Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Tuesday, May 24, 2022

20 perkara tentang penjenamaan yang menarik untuk diketahui jika anda seorang usahawan

  Mohd Shubhi       Tuesday, May 24, 2022


Bila anda mula sebut perkataan 'jenama'?.

Itu bukan perkataan awal yang saya kenal. Masa kanak-kanak dulu, perkataan pertama disebut adalah ‘brand’.

Campur aduk antara perkataan Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia dah lama berlaku dalam masyarakat kita. Ada perkataan yang orang kampung pun lebih biasa pakai yang BI berbanding BM. Malah ada yang tak tahupun wujud perkataan sama dalam BM.

Bila sebut sesuatu brand, dalam kepala akan nampak rupa bentuk logo brand tersebut. Tak lupa juga warnanya.

Bagi saya, rasanya sampai sekarang masih kuat perasaan itu. Brand hanya melambangkan samada mahal atau murah. Itu saja.

Kalau mahal, maknanya produk itu ada brand. Bila murah, ertinya tak ada brand lah.

Itu fahaman ringkas yang terbentuk sejak kecil.

1. Penjenamaan penting dalam bisnes

Bila mula berniaga, berkawan dengan orang berniaga yang ke depan sikit. Mereka akan wirid pasal membina jenama. Boleh diringkaskan dalam satu saja perkataan, iaitu Penjenamaan.

“Bila berniaga, kita perlu bina kita punya brand ..”

Pesan kawan bisnes dulu masa kat kampung

Itu ayat keramat. Selalu saya dengar di kalangan kawan-kawan berniaga yang agak advance. Ayat itu juga diulang kepada kawan-kawan kampung yang dah lama berniaga. Yang dah berjaya lebih dari yang bercakap tu.

Oleh sebab sewaktu saya mula berniaga, bercampur dengan kawan-kawan kampung yang tak ambil pot pasal brand, maka saya juga sama fahaman macam mereka.

Bagi mereka, tak payah ambil peduli sangat brand ke tak brand. Kalau bisnes tak mampu nak bagi duit, suam-suam kuku saja, elok tak usah sembang pasal penjenamaan.

Begitulah falsafah yang ramai kawan-kawan pegang dan mereka belayar laju dalam bisnes dengan falsafah itu.

Untuk duduk di sudut pertengahan antara kawan-kawan kampung tu dengan mereka yang advance, maka saya ambil jalan mudah dan ringkas.

Tak ambil serius sangat tapi, setiap syarikat yang saya buat, pasti akan ada logo. Itu terjemahan kepada fahaman singkat saya terhadap makna jenama. Jenama adalah logo.

Bila dah lama berniaga. Rajin pula mengkaji memalui pembacaan dan bertanya. Saya mula faham bahawa penjenamaan itu bukan sekadar logo.

Ia adalah satu proses yang membantu anda meringkaskan pemahaman terhadap aktiviti pemasaran. Saya kongsikan kat artikel ini beberapa perkara menarik tentang penjenamaan untuk faham apa yang saya maksudkan.

3. Keutamaan yang dikongsi bersama

Itu adalah ringkasan terhadap jenama. Bila sebut AirAsia misalnya, semua orang akan nampak pengangkutan udara dengan harga kasih sayang. Itu keutamaan yang dikongsi bersama antara syarikat dengan pelanggan sasarannya.

Jika anda letakkan keutamaan pengangkutan udara yang istimewa, esklusif, ada kelas, Air-Asia bukan untuk anda. Dan dia sebenarnya tak peduli pun untuk layan kritikan atau sindiran sinis anda tu. Sebab keutamaan yang ada tak sama.

Secara ringkas, jenama menyatukan antara bisnes dengan pelanggan di bawah satu kepercayaan dan keutamaan yang sama.

4. Rasa dah biasa

Sifat manusia yang secara tidak dapat dikawal, sentiasa pentingkan kepada benda atau perkara yang dah terbiasa. Itu adalah konsep penting yang mahu diterjemahkan oleh jenama.

Untuk ambil jalan selamat, manusia lebih condong buat perkara yang dia dah terbiasa. Samada pernah lihat, pernah ada pengalaman atau seumpamanya. Familiar adalah perkataan yang lebih tepat untuk mudah faham.

Perkara paling anda tak suka adalah benda baru yang tak pernah dilihat.

Contohnya ketika duduk seorang diri dalam taman, tiba-tiba datang individu yang tak pernah dilihat kelibatnya selama 20 tahun duduk di situ. Perasaan curiga pasti timbul. Itu adalah perasaan dan perkara biasa. Anda perlu berhati-hati terhadap perkara yang baru, masih tak ada pengalaman dengannya.

Jadi jenama cuba atasi masalah itu. Semua aktiviti adalah kearah cuba untuk pastikan anda rasa biasa dengan produk atau khidmat yang ditawarkan. Biasa tengok logo, selalu sangat nampak logo dan warnanya di merata tempat.

Kenapa saya mudah sangat makan McD ketika duduk di Perancis dulu?

Sebab kat Malaysia pun semuanya sama dah pernah saya lihat dan alami. Sebab itu sangat mudah untuk terima di mana saja berada. Bukan takat logo dan setiap butiran kecil premisnya. Malah sampai ke tahap cara melayan, cakap, budaya dan lain-lain kesemuanya sebijik sama.

Sama juga bila sekali tu, tengah duduk transit kat Frakfurt, datang sekumpulan warga Filipina. Pantas mula terangkat pandang dan berikan senyuman dan terus sapa. Bila berbual baru tahu mereka Filipino. Saya selesa menyapa dan berbual, mereka juga macam itu. Sebab sama rupa, sama gaya, ingatkan Melayu juga.

5. Lalu banyak kali sebelum ingat

Untuk wujudkan rasa biasa kat atas itu, maka syarikat yang ada bajet tak lokek untuk buat aktiviti iklan. Kat TV, kat Radio, pasang billboard tepi jalan utama dan sebagainya.

Untuk yang tak ada bajet kalau terikut-ikut syarikat besar macam tu, akan jadi macam kancil cuba berak besar seperti gajah. Mahu pecah dubur begitu!

Anda perlu tahu bahwa motif utama, adalah untuk tanam rasa biasa di mata pelanggan yang disasarkan.

Berdasarkan kajian, perlu tembak mesej, pamerkan segala perkara yang berkait dengan syarikat seperti logo, warna, emosi dan sebagainya, sebanyak 5 ke 7 kali sebelum orang nak ingat.

Buka gerai tepi jalan dengan konsep, warna, gaya, uniform, amalan yang konsisten sudah mampu untuk mencapai matlamat tersebut. Jangan kejap macam ni kejap macam tu. Sampai lokasipun asyik ubah. Hari berniaga juga ikut mood.

Itu tidak membantu berikan perasaan biasa pada pelanggan yang lalu lalang, yang anda nak cuba pujuk datang.

6. Tujuh saat pertama yang getir

Cetusan emosi terhadap keutamaan bersama yang saya terangkan kat atas tadi perlu diterjemahkan dalam tempoh 7 saat awal setiap kali berhadapan dengan pelanggan. Terutamanya pelanggan baru pertama kali datang nak cuba.

Jika anda perjuangkan keutamaan mesra pelanggan contohnya, ada 7 saat saja untuk pelanggan buat rumusan awal untuk setuju atau tidak.

Penting untuk berlatih, pantau, sekata dan konsisten dalam sambutan awal terhadap setiap pelanggan.

7. Warna besar pengaruhnya

Salah satu cara paling mudah untuk lekatkan rasa biasa dalam otak pelanggan adalah warna. Tak perlu perkataan untuk terangkan warna. Sebab itu semua jenama besar atau yang dulunya kecil kini jadi besar, ambil berat dan konsisten dengan warna.

80% daripada perkara yang orang ingat terhadap sesuatu benda akan pergi kepada warna. Jadi jangan buat main-main dnegan warna yang dipilih. Belajar lah sikit cetusan emosi daripada warna. Agar ia terjemahkan keutamaan bersama yang anda mahu ketengahkan.

8. Kongsi maklumat lebih berkesan

Zaman media sosial ni, perkataan content marketing sangat popular. Itu bukan iklan. Tapi aktiviti memberikan maklumat penting kepada golongan yang sama keutamaan dengan syarikat.

Matlamatnya adalah untuk jalinkan perhubungan yang lebih akrab antara bisnes dengan pelanggan. Untuk katkan lagi perasaan sama perjuangan dan kepercayaan yang ada. Bukan fokus pada nak jual saja.

Sebab itu konsep perkongsian maklumat dan seumpamanya adalah 3 kali lebih kuat menghasilkan perhubungan berbanding iklan menjual.

Bila syarikat fokus kepada pelanggan, maka pelanggan akan fokus pada syarikat. Itu prisnsip timbal balik yang anda perlu pegang bila nak bina jenama. Ia membentuk ikatan sukarela.

9. Iklan hanya pada yang relevan

Zaman dunia perhubungan tanpa sempadan sekarang membuatkan semua orang yang sertai dunia digital dedahkan semua maklumat tentang diri mereka. Semua orang tahu hal ini. Bukan lagi satu rahsia.

Bila jadi begitu, mereka harapkan iklan yang lalu adalah relevan dengan minat dan gaya hidup mereka. Jika anda buat iklan di google atau Fb misalnya, sistem akan laksanakan hasrat tersebut, asalkan anda tahu cara menggunakannya.

Tapi dalam perkongsian maklumat, dalam grup FB atau wasap, tak ada AI yang akan bantu untuk tapis. Oleh itu andalah yang perlu main peranan untuk berikan maklumat atau iklan atau awaran yang relevan.

Perlu tahu kat grup mana yang anda perlu sertai dan aktif. Bukan masuk saja FB Group entah apa-apa dan tempabk iklan.

Ingat semula konsep penjenamaan di atas tadi. Perkongsian prinsip dan keutamaan.

10. Elak masuk bakul sendiri angkat

Penjenamaan bukan kisah anda. Tapi kisah perkongsian keutamaan yang sama antara anda dengan pelanggan. Jadi elakkan sikap asyik nak cerita pasal anda sahaja. Jangan masuk bakul dan cuba angkat sendiri.

Hampir separuh dari pengguna yang dibanci kata akan cabut tinggalkan jenama yang buat perangai macam itu. Mereka muak dengan sikap bangga diri.

Jika nak kekalkan perhubungan, beri perhatian perkara ini.

11. Pengguna tak ikut lebih dari 5 jenama

Dari segi kesetiaan pelanggan, kajian mendapati pengguna biasanya ikut antara 1 ke 5 jenama saja.

Dengan kewujudan seribu satu jenama dan tawaran yang ada, sangat susah untuk kumpul pelanggan setia. Jangan buat silap sampai pelanggan lari.

12. Layanan adalah segalanya

Anda mungkin tak ada bajet untuk logo, iklan, promosi, dan seumpamanya macam syarikat gergasi. Tak perlu risau.

Yang paling penting adalah usaha untuk layan pelanggan dengan cara terbaik. Berikan pengalaman yang melekat dalam ingatan setiap kali pelanggan berurusan dari A sampai Z.

Memori indah berurusan dengan anda adalah proses penjenamaan yang sangat berkesan.

13. Orang beli bila ada pengesyoran

Perkongsian pengalaman yang memberansangkan dari pelanggan yang biasa dengan bisnes anda mendorong keputusan beli sebanyak 90%.

Tinggi tu.

Buatlah apa saja supaya pelanggan dengan sukarela sanggup syorkan bisnes anda.

14. Jaga kawan pelanggan anda

Semua pelanggan anda ada kawan. Selain dari jaga pelanggan, jangan lupa untuk jaga kawan dia juga. Sebab 62% pengguna biasanya akan kongsikan promosi dan peluang kepada kawan-kawan mereka.

Bila buat apa saja promosi, tumpukan sama pada kawan-kawan pelanggan anda. Angap saja kawan pelanggan anda, adalah kawan anda juga ..

15. Pelanggan setia sangat berharga

Seorang pelanggan yang setia adalah 10 kali lebih baik dari pelanggan yang datang sekali kemudian tak mai lagi.

Oleh itu, pastikan tak ada pelanggan yang datang sekali kemudian tak muncul dah. Paling penting, layan pelanggan setia anda macam raja.

Sebab itu konsisten kepada kepercayaan dan pegangan utama antara anda dan pelanggan sangat penting. Agar dari awal lagi dapat elakkan ‘bukan mereka yang tak sama keutamaan’ datang membeli.

Konsisten dan yakin untuk berkata, ‘produk ini bukan untuk anda’ adalah perkara yang penting.

16. Tingkatkan kesetiaan jimatkan kos

Dalam kajian, jika anda berjaya tingkatkan durasi kesetiaan pelanggan sebanyak 2%, kos perniagaan anda akan dapat dijimatkan sebanyak 10%.

Sekali lagi. Fokus pada pelanggan yang anda nak layan. yang sama keutamaan, kepercayaan dan perjuangan. Tak ada strategi lain yang lebih bagus dari itu.

17. Beri perhatian pada produk jenama peribadi anda

Pernah dengar perkataan Private Label Brand?

Kalau pergi Giant atau Tesco, anda akan jumpa banyak produk sebegitu. Sabun basih kain, sabun basuh pinggan, garam, bijirin sarapan pagi .. macam-maca lagi.

Pasaraya buat produk sama tapi pakai jenama mereka untuk pilihan alternatif kepada produk yang dah ada jenama popular. Biasanya harganya jauh lebih rendah. tapi kualitinya tak kalah.

Pertimbangkan untuk adakan produk alternatif macam ini yang pakai nama syarikat anda yang dah lama bertapak dan ramai pelanggan setia.

Walaupun anda outsource pihak ke-3 untuk buat, ia tetap jadi pilihan dan merupakan satu industri multi-billion di seluruh dunia.

18. Harga mahal ok, asalkan ada perjuangan

Kembali kepada konsep awal di atas tadi, perjuangan dan keutamaan yang dikongsikan bersama pelanggan sasaran anda.

Jika anda ada perjuangan untuk menjadikan dunia yang lebih baik untuk semua, harga mahal sikit tak ada. Kajian menunjukkan pelanggan sanggup bayar lebih jika apa yang anda buat mendatangkan kesan baik pada perjuangan yang mulia.

Sedangkan derma sumbangan orang ramai boleh berikan kepada perjuangan kebajikan, inikan pula beli barang yang ada kesan kebaikan.

19. Telus dan ikhlas

94% daripada pegguna sangat setia kepada jenama yang telus dan ikhlas dalam semua aktiviti mereka.

Jaga peribadi, jaga pergerakan, jaga langkah anda dan semua perjalanan syarikat. Berterus terang bila buat salah jangan tutup dengan pembohongan. Semua orang buat silap, tapi tak ada orang yang suka pada mereka yang tak mengaku buat silap.

20. Perlu ke media sosial?

Dari kajian, jualan meningkat sebanyak 32% pada syarikat yang hadirkan diri dalam media sosial berbanding yang tak hadir.

Jadi, perlu ada ..

Ada usahawan yang takut hadirkan diri dalam media sosial. takut kena serang bila buat silap.

Jangan jadikan itu alasan. Malaikat saja yang tak buat silap. Manusia memang jadi perkara lumrah dengan buat silap.

Tak ada orang nak buat silap. Tapi tak akan ada yang terlepas darinya. Oleh itu hadapi kenyataan itu dan beranikan diri

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, 20 perkara tentang penjenamaan yang menarik untuk diketahui jika anda seorang usahawan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !