Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Saturday, May 28, 2022

Dalam 3 kategori pekerja makan gaji ni, anda jenis yang mana satu?

  Mohd Shubhi       Saturday, May 28, 2022

Ilmu untuk artikel 3 kategori pekerja ini saya dapat dari email James Clear. Dia hantar 2 email setiap minggu. Kandungannya adalah maklumat ringkas yang sangat meransang minda untuk berfikir.

Jika anda belum dengar lagi tentang nama tersebut, saya berikan sedikit maklumat.

James Clear adalah penulis buku Atomic Habit. Hanya dengan satu buku tu saja dia jadi terkenal, dan jadi penceramah kepada banyak syarikat besar antarabangsa.

Itu kesan hebat jika anda fokus.

Itu juga mesej yang yang dia tekankan dalam bukunya.

Dia kaji dan dalami semua perkara yang menyentuh urusan pembinaan tabiat. Tapi dia bukannya seorang penyelidik.

Dia hanya peka dan sentiasa ambil tahu apa yang baru ditemui oleh para penyelidik. 

Kemudian cuba sesuaikan dengan usahanya untuk mantapkan dan permudahkan urusan mengubah tabiat menjadi lebih baik.

3 kategori pekerja dalam syarikat

Apa yang James Clear tu kongsikan tentang 3 kumpulan pekerja bukanlah satu yang baru. 

Dah lama tahu. Saya yakin anda pun dah lama tahu.

Cumanya kekadang, bila pekerja buat semak, sikap cepat melatah sering kuasai diri.

Lalu hilang pedoman dan lupa bahawa manusia semuanya tak sama.

Cara anda fikir, sangat tak sama dengan cara orang lain fikir!

Sentiasa ingatkan diri kenyataan itu. 

Peringatan terhadap fakta tersebut akan buatkan anda lebih mudah malayari cabaran hidup bermasyarakat.

Secara individu, manusia amat berbeza sama sekali.

Tapi masih boleh dikelaskan dalam bentuk kategori yang sama.

Cara buat kategori amat mudah. Anda hanya perlu buang semua yang tak sama, yang ada pada individu. Kemudian hanya lihat pada titik tindan perkara yang sama dikongsikan oleh semua yang ada.

Conthnya, Bangsa Asia dengan Bangsa Eropah.

Sebagai manusia, kita sama saja. Ada baik ada jahat. Ada pandai ada bodo. Ada cantik ada sangat cantik. Ada rajin ada malas dan sebagainya.

Tapi buang semua yang berbeza, kita masih dapat asingkan antara Bangsa Asia dengan Bangsa Eropah.

Macam itu juga dalam bab pekerja.

Secara umum, mereka semua sangat berbeza antara satu sama lain. Tapi boleh dikelaskan dalam beberapa kategori yang sama untuk permudahkan pengurusan staff dalam syarikat anda.

Bukan untuk menghina.

Kalau dah macam itu pembawakannya, nak buat cam mana. Terpulang kepada anda untuk membuat keputusan nak buat apa.

Pilih kerja, pilih team berdasarkan kategori yang betul, yang dirasakan sesuai untuk anda. Itulah yang terbaik dan bukannya buat perbandingan dan menghina.

Kita terus lihat apa 3 kategori pekerja di bawah.

Kategori 1 – Buat apa yang disuruh

Biasanya kumpulan ini paling ramai.

Sikap mereka mudah sahaja.

Buat apa saja kerja yang anda suruh mereka buat. Jika suruh mereka bunuh ular, itulah yang dibuat.

Selepas ular mati, kerja selesai.

Mereka akan tunggu arahan selanjutnya.

Untuk anda yang berniaga, yang tengah bersemangat pulun nak naikkan syarikat dan perniagaan, akan rasa terkilan dengan kumpulan pekerja macam itu. 

Anda harapkan mereka berikan lebih dari itu. Tak kan tak tahu bila ular dah mati perlu diuruskan bangkainya. Bukan tunggu depan bangkai tunggu arahan nak buat apa pula.

Anda terlupa yang cara mereka berfikir sangat jauh berbeza.

Jangan nak susahkan diri kecewa, bebal dan merungut.

Ambil tahu hakikat itu dan sila bertindak dengan cara yang sesuai untuk kumpulan pekerja sebegitu.

Antaranya adalah dengan memberikan panduan dan arahan yang jelas dan lengkap. 

Buat andaian yang kononnya mereka sepatutnya dah besar panjang dan tahu apa yang perlu dilakukan adalah satu andaian yang salah sama sekali.

Kilang atau syarikat besar atasi masalah dengan pekerja tahap 1 ini dengan sediakan SOP lengkap.

Tulis semua yang mereka perlu buat dan pastikan mereka semua buat apa yang tertulis. 

Anda perlu ikut cara yang dah terbukti berjaya itu sebab jumlah pengikut kumpulan 1 ni adalah yang paling ramai di atas muka bumi.

Kategori 2 – Fikir ke depan

Ini kumpulan yang tak berapa ramai berbanding kumpulan 1 kat atas tu. Mereka punya semua ciri-ciri kumpulan 1 dengan tambahan satu lagi sikap.

Sikap mencari dan menjangkakan kemungkinan masalah di masa yang akan datang, lalu mencari jalan untuk mengelak masalah itu dari berlaku.

Ertinya, mereka cuba memilih apa yang bakal berlaku dengan menggunakan keupayaan memilih tindakan pada masa yang sedang berlaku.

Itu ciri-ciri orang yang hebat dan tidak hanya sekadar memeluk tubuh.

Itu juga saranan kepada anda yang mahu berjaya.

Biasanya mereka yang ada keupayaan ini peka kepada sejarah. Peka mencari maklumat dari cerita yang lalu untuk dijadikan pedoman membuat telahan kepada apa yang bakal berlaku.

Itu keupayaan seorang penyelia, paling rendah.

Syarikat anda mungkin ada 10 orang pekerja, tapi bukan semua boleh jadi penyelia.

Sebab itu saya kata mereka yang jenis ini tak ramai. Lagi malang jika ada 10 pekerja dan semuanya kategori 1. 

Pening Boh!

Orang dari kumpulan ini, sekalipun tak diberikan SOP lengkap, mereka masih mampu selesaikan tugasan.

Sebab mereka tahu kalau tak berikan arahan jelas dan terperinci pada orang bawah, akan kucar kacir jadinya.

Sebab itu saya kata, mereka ada keupayaan penyelia atau pengurus.

Jadi kalau nak tahu kumpulan mana pekerja yang anda ada. Uji seorang demi seorang. Berikan satu kerja dengan arahan yang tak lengkap. Dan lihat macam mana mereka laksanakannya.

Kategori 3 – Lihat peluang di depan

Kumpulan ini lagi tak ramai.

Paling kurang, anda sendiri sebagai Taukeh syarikat, wajib ada sikap sebegini.

Anda mampu laksanakan semua arahan, mampu melihat ke depan kemungkinan berlakunya masalah dan bertindak untuk mengelak. 

Di tambah satu lagi keupayaan untuk memcium peluang maju, menjadi lebih baik dan berusaha untuk mendapatkannya.

Itu ciri-ciri Taukeh yang bergerak naik dari bawah.

Ada kalanya akan wujud seorang dua pekerja tersesat dalam ramai-ramai jenis kumpulan ke-3 ini.

Jika ada, ia adalah satu rahmat untuk anda yang nak wujudkan sebuah empayar.

Kalau anda lihat usahawan-usahawan yang besar berjaya jadi multi millionaire atau jadi billionaire, mereka ada ramai pekerja di tahap ini.

Saya sendiri ketandusan pekerja jenis macam ini.

Atau mungkin saya sendiri kurang keupayaan untuk masuk kategori ke-3 ni.

Kelebihan untuk kenal pasti, mengorat pekerja dalam kategori ke-3 ini akan membuatkan syarikat anda naik sedikit demi sedikit dan akhirnya membesar secara eksponen.

Anda masuk kategori mana

Saya ada kongsikan pasal 3 kumpulan pekerja ni dengan kawan-kawan di media sosial.

Ada yang berikan jawapan luar biasa.

Dia kata tak ada satupun yang di atas. Ertinya dia bukan jenis kumpulan-1, bukan 2 dan bukan juga 3.

Mulanya saya abaikan saja.

Tapi bila renung balik. Dia nak beritahu dia tak buat apa yang disuruh, tak pandang jauh ke depan dan tak ada keupayaan mencium peluang!

Itu sangat teruk!

Itu tahap mayat.

Harap yang baca ni sedar kat mana kedudukan anda sekarang dan jangan nak dakwa kumpulan manapun tak ada.

Tapi perlu difahami bahawa memang bukan dalam semua keadaan anda akan berada di dalam kumpulan yang sama. 

Ada keadaan atau kerja atau urusan yang anda hanya duduk level 1 saja. Ertinya anda akan kekal lama kat situ dan tak payah nak harapkan kenaikan ke atas.

Ada pula urusan yang anda berada di tahap ke-2. Baguslah tu. Biasanya akan cepat naik pangkat jika buat kerja seumpama itu.

Ada juga keadaan di mana bila lakukan urusan tersebut anda berada di tahap ke-3. Itulah kerja yang sangat sesuai untuk anda jika ingin mengecapi kejayaan yang lebih besar dari biasa.

Moga artikel ini bermanfaat. 

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Dalam 3 kategori pekerja makan gaji ni, anda jenis yang mana satu?

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !