Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Wednesday, May 18, 2022

Sikap degil untuk terus mencuba banyak kali akan bezakan anda dengan orang lain

  Mohd Shubhi       Wednesday, May 18, 2022


Sepanjang menjalani kehidupan dari kecil sampai besar, anda tentu dah masak hadapi perasaan kecewa, sedih atau marah.

Satu saja punca yang menyebabkan timbulnya perasaan kecewa tu semua.

Punca asasnya adalah disebabkan apa yang anda jangkakan jadi yang sebaliknya. Atau apa yang anda mahukan tak dapat.

Tak kisahlah samada dari segi kebendaan atau perasaan.

Jika  apa yang anda mahukan itu tak dapat, dan diam-diam disimpan pada diri sendiri sahaja, jarang ada masalah. Tak ada tekanan sosial pada diri dan perasaan jika diam-diam dipendamkan begitu.

Tetapi, bila perkara tersebar pada orang lain, akan timbul berbagai tafsiran orang terhadap diri anda. Bergantung pada orang macam mana yang dapat maklumat itu.  

Pada orang yang tak suka pada diri anda, dia akan kata, anda dah gagal.

Pada orang yang sayang kat diri anda, dia akan pujuk dengan ayat, 'tentu ada hikmah disebaliknya'.

Orang yang pandang rendah pada anda pula akan kata 'kesian!'.

Orang yang percaya pada potensi yang ada pada diri anda akan kata, 'sabar lah!, belum masanya lagi tu, cuba lagi!'.

Dalam banyak-banyak respon dari orang, saya lebih suka tafsiran orang yang percaya pada saya.

Dia percaya saya layak untuk berjaya. Ada potensi untuk maju ke depan. 

Sebab itu dia berikan galakan untuk terus mencuba. Dan terus mencuba adalah resepi paling berkesan dalam mencapai kejayaan dalam apa saja perkara.

Mendapatkan galakan dari kawan atau orang yang kita hormat, untuk terus mencuba dalam sesuatu perkara sehingga berjaya sangat membantu untuk anda mencaai kejayaan dalam hidup.

Berjaya sebab banyak kali cuba

Kita zoom lagi bab mencuba ni.

Jom lihat contoh pencapaian seorang jurujual.

Apa yang membezakan antara jurujual bagus dengan yang tak bagus?

Adakah jurujual bagus tak takut jumpa, cakap dan cuba yakinkan orang beli produk yang dia jual?

Apakah jurujual yang bagus jenis manusia yang berani dan tebal muka?

Sebenarnya, apa yang seorang jurujual bagus dengan jurujual tak bagus ada, sama saja.

Mereka sama-sama takut, sama-sama tak berani, sama-sama ada perasaan gementar dan malu berhadapan dengan prospek. Terutamanya prospek yang keras menolak segala tawaran mereka.

Cuma yang bezakan keduanya adalah dari segi berapa kali mereka mencuba. 

Data dari kajian menunjukkan kesemua jurujual yang tak bagus biasanya akan berhenti mencuba secara purata sebanyak 4 kali.

Bandingkan dengan jurujual yang sentiasa perform, banyak membawa pulang hasil jualan. 

Mereka biasanya boleh cekal terus mencuba melebihi 20 kali!

Dengan kecekalan macam itu, memang layaklah mereka berjaya.

Bergantung harap pada nasib baik

Dia memang bernasib baik!

Dia memang dilahirkan untuk berjaya!

Dia ada kabel kuat!

Itu semua cakap-cakap orang yang apabila melihat kejayaan seseorang.

Macam-macam lagi boleh anda kata pada mereka yang berjaya tu.

Kata-kata macam tu lebih dekat kepada tak betul. Sekadar nak damaikan hati yang tak berjaya macam orang yang anda cakap tu saja.

Hakikatnya, mereka berjaya sebab tak jemu mencuba.

Buat dan buat lagi dalam apa keadaanpun. Samada sedang bersemangat ataupun ketika tak ada semangat.

Itu yang membezakan antara mereka yang luar biasa dengan mereka yang biasa-biasa.

Paksa diri ketika tak ada semangat

Artikel ni saya tulis ketika dalam keadaan tak ada semangat.

Baru masuk pejabat. Ada temujanji dengan pihak bank. Ada sistem baru yang pihak bank mahu perkenalkan untuk syarikat saya. Dengar penjelasan dari mereka dan serahkan pada staff akaun untuk teruskan dan uruskannya.

Semalam pula ada buat pemeriksaan kesihatan. Alhamdulillah semua ok kecuali kolestrol. Perlu teruskan makan ubat untuk kawal paras supaya berada di bawah tahap yang selamat.

Doktor tu nasihat saya ubah gaya hidup. Makan sayur dan buah paling banyak, lauk kedua banyak dan nasi paling sedikit.

Kemudian dia sarankan saya bersenam secara rutin.

Semua itu dapat membantu kawal tahap kolestrol saya katanya.

Saya hanya dengar saja dan angguk kepala semua saranan itu. Sebab dah masak dengan semua nasihat tersebut. Saya dah amalkan lebih 20 tahun kesemua petua yang kononnya mujarab tu dan hasilnya kolestrol naik juga.

Mula timbul tanda tanya samada betul ke semua petua tersebut berkesan untuk jaga kesihatan?

Yang pastinya, ia tidak berkesan pada diri saya sendiri.

Awal pagi tadi macam biasa saya bersenam. Ambil masa sejam. Pusing sekeliling taman permainan. Stretching, sebelum bersenam. Mendagu dan tekan tubi sampai letih. Kepala masih ligat berfikir apakah semua ini masih tidak membantu kawal kolestrol.

Atau sebenarnya kolestrol punya tahap bacaan yang doktor sarankan itu semuanya auta sahaja. Tak ada masalah dengan bacaan tersebut dan tidak perlu telan ubat pun untuk kawal supaya dia turun.

Selesai bersenam baru dapat peringatan dari staff pasal meeting dengan pihak bank. Dah tergesa-gesa bersiap dan gerak ke pejabat.

Selesai meeting baru nak tutup pintu pejabat masuk dalam bilik bunyi telefon. Ada program mengejut keusahawanan. Saya perlu berikan ceramah dan kelas bimbingan kepada usahawan di Melaka.

Program bermula pada hari Sabtu ini. Baru depa nak bagi tau. Dah ada satu kerja tambahan nak kena semak dalam masa dua tiga hari ni.

Mulanya tak nak tulis artikel ni. Ada alasan yang kukuh untuk abaikan rutin menulis dengan semua perkara yang konon sibuk di atas.

Tapi bila teringat pasal sikap orang-orang yang berjaya, yang akan kekal buat samada bersemangat atau tidak, saya paksa diri untuk tulis juga.

Sasaran yang perlu diberikan perhatian adalah pada kekerapan yang dah ditetapkan untuk dipatuhi. Bukan kepada penghasilan artikel yang hebat.

Samada apa yang saya tulis akan jadi hebat, menarik atau tidak, tak perlu diberikan perhatian sangat.

Fokus saja pada menulis sebanyak mungkin. Jangan berhenti selagi menulis itu merupakan salah satu dari identiti yang saya mahu diri saya di kenali.

Kalau ada orang labelkan pada saya sebagai seorang penulis blog, saya terima dengan baik.

Memang itu salah satu identiti diri sayapun.

Rezki dari sumber yang tak diduga

Anda tentu hafal ayat 1000 dinar.

Saya percaya anda yakin bahawa jika cekal bertakwa dan bertawakkal, akan didatangkan rezki dari sumber yang tidak diduga.

Dari pengalaman saya sendiri memang selalu sangat jadi macam tu.

Saya kerap menulis kat blog ni.

Selalu berlaku, artikel yang saya tulis, saya rasa akan mendapat sambutan yang sangat bagus. Tentu ramai akan suka dan kongsikan pada umum dengan laju.

Tapi sering berlaku, artikel itu tak ada orang pandang pun. Malah tak ada yang share lansung.

Sahih yang saya sebenarnya syok sendiri. Apa yang saya rasa bagus, lansung tidak sama dengan semua orang lain. Malah tak ada orang pandang pun.

Ada pulak artikel yang saya main tulis sahaja. Sekadar memenuhi kuota jumlah artikel yang perlu ditulis.

Saya siapkan dan siarkan tanpa ada apa-apa harapan.

Tak disangka pula artikel itu mendapat sambutan hangat. Orang kongsi, tekan butang share, berikan komen. 

‘Cut n Paste’ dan siarkan pada blog mereka tanpa berikan kredit dan sebagainya.

Maknanya, artikel tu ramai yang suka dan anggap bagus.

Terbalik pulak dari apa yang saya jangkakan.

Jadi, memang betullah! bertakwa dengan berusaha. 

Bertawakkal dan serahkan padaNya. Terima apa saja hasilnya. Pastikan akan datang rezki dari sumber yang tak terduga.

Lebih baik fokus pada aktiviti. Buat berdasarkan sasaran. Cuba buat yang terbaik. Kekal buat samada ketika ada semangat atau ketika tak ada semangat.

Itu yang akan bezakan antara amatur dengan profesional !

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Sikap degil untuk terus mencuba banyak kali akan bezakan anda dengan orang lain

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !