Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, June 16, 2022

9 cara yang anda boleh buat untuk kembangkan syarikat dan perniagaan

  Mohd Shubhi       Thursday, June 16, 2022

Kebiasannya, siapa saja yang dah lama berniaga, pasti akan timbul hasrat untuk besarkan syarikat yang anda usahakan sekarang.

Selalunya ia timbul apabila anda dah mulakan bisnes tu sejak, sekurangnya 5 tahun yang lalu. Tambah pula bisnes dah berada dalam keadaan stabil.

Kalau baru saja mula berniaga, baru setahun dua. Dah terliur nak besarkan bisnes, rasanya masih terlalu awal. Itu pendapat saya.

Saya cakap tentang perniagaan konvensional.

Yang ada premis. Ada produk atau servis yang secara umumnya sudah menjadi kebiasaan dan diterima secara meluas.

Bukannya perniagaan berasaskan teknologi internet atau seumpamanya.

Kalau perniagaan berasaskan IT, 5 tahun baru nak membesar dah terlalu lewat. Perkembangan kemajuan dunia IT bergerak terlalu pantas.

Sebab itu bisnes yang berasaskan IT ni perlu dana yang sangat besar secara berperingkat yang pantas. Untuk kejar masa atau jangkahayat yang pendek selalunya ada pada produk atau servis berasaskan IT.

Tak sama macam bisnes konvensional seperti buka kedai atau kilang buat roti benggali umpamanya. Atau buka syarikat perkhidmatan selenggaraan bangunan.

Besarkan syarikat selepas 5 tahun

Perniagaan konvensional ambil masa untuk stabil.

Kalau ikutkan pengalaman saya sendiri. Juga dari pengamatan melihat kawan-kawan dan kenalan. Juga dari pembacaan. Saya dapati 5 tahun adalah masa yang mencukupi untuk syarikat dan perniagaan stabil.

Stabil ertinya dah mula mencapai keuntungan yang baik dan konsisten. Taukeh dah tak perlu ‘berkorban apa saja’ lagi.

5 tahun juga adalah masa yang mencukupi, para pekerja lama atau baru di syarikat rasa dengki pada taukeh. Tak puas hati kononnya taukeh untung banyak dan pekerja yang teruk di bawah tak dapat perkongsian keuntungan yang selayaknya sepeti mana taukeh menikmati kesenangan.

Biasanya, bila dah sampai ke tahap tersebut, pengurusan wajib formal. Ikut undang-undang dan prosedur yang betul dan patuhi segala undang-undang yang ada.

Itu diperlukan bila pekerja dah mula berfikiran pendek, tak puas hati dengan taukeh yang dirasakan meraih untung yang sangat banyak.

Hanya pengurusan formal dan bersistematik saja mampu mengawal semua keadaan sebegitu. Segalanya dah perlu hitam dan putih.

Tempoh masa 5 tahun juga membolehkan anda pertimbangkan idea untuk besarkan lagi perniagaan tu ke tahap yang lebih tinggi.

3 proses bina periagaan

Sekali lagi saya ingatkan bahawa usahawan hanya layak fikir untuk besarkan perniagaan apabila perniagaan yang dah ada sekarang berada dalam kedudukan yang stabil.

Maksudnya dah ada jualan yang melepasi breakeven point atau dalam bahasa panjangnya, dah melepasi titik pulang modal.

Cara yang betul, pada pendapat saya, bila mula berniaga adalah dengan lalui 3 langkah seperti di bawah:

  1. Mula berniaga – Setelah dah buat cubaan, semak pasaran dan permintaan, gilapkan sana dan sini idea bisnes anda tu, maka anda pun mulakan perniagaan. Ada sasarannya, ada jangkamasa yang perlu di penuhi tempohnya untuk mencapai sasaran.
  2. Capai breakeven – Bila dah mulakan perniagaan, sasaran ini yang perlu anda capai terlebih dahulu. Perlu berusaha dengan sepantas mungkin untuk pastikan perniagaan anda boleh berputar semula dengan modal yang ada. Tak perlu suntikan dana lagi. Betulkan segala aktiviti pemasaran dan jualan sampai dapat titik pulang modal.
  3. Perbaiki margin keuntungan – Bila dah capai titik pulang modal, ertinya perniagaan dah mula mampu menjana keuntungan. Pada peringkat ini, anda perlu perelokkan lagi segala operasi, pemasaran dan jualan serta pengurusan kewangan supaya margin keuntungan dapat dipertingkatkan.

Kesemua 3 peringkat itu ambil masa.

Kalau baru 2 atau 3 bulan berniaga, dah nak buat untung berlipat ganda, memang sukar nak capai.

Melainkan anda hanya mulakan perniagaan nak buat duit segera. 

Biasanya orang akan buat bisnes trading barang laris keras yang berlaku secara bermusim untuk buat duit segera.

Barang pilihan untuk buat duit cepat ni biasanya merupakan barang yang memenuhi kehendak dan bukan barang keperluan.

Barang macam T-Shirt yang tiba-tiba jadi kegilaan atau beg tangan wanita yang anda boleh pujuk cairkan emosi supaya kaum hawa beli walaupun ‘tak ada pun’ tak apa.

Kebetulan anda ada lubang barang macam tu diimport dari China dengan harga yang menarik. Ada pengikut ramai pulak. Atau anda memang pakar dalam menggunakan media sosial untuk pujuk orang membeli. Maka bolehlah ambil pendekatan bisnes ‘hit and run’ macam ni.

Tetapi. Jika anda nak bina sebuah perniagaan yang stabil. Orang putih kata sustainable. Tak boleh tidak, perlu bina syarikat. Perlu bina jenama. Perlu membesar secara berperingkat. Dengan harapan, bisnes dan syarikat itu kekal hidup walaupun anda dah meninggal nanti.

Perniagaan macam itu yang saya lebih suka. Perniagaan yang macam itu yang saya tujukan setiap kali buat artikel pasal perniagaan di blog ini.

Jadi. Berbalik kepada cara nak besarkan bisnes anda yang dah stabil tu!

Saya kongsikan 9 cara yang anda boleh lakukan. Teruskan pembacaan di bawah ya!

1. Beli syarikat orang lain

Dalam bahasa yang hebat sikit orang panggil ‘acquisition’. Orang korporat. Penggemar teori perniagaan akan sebut perkataan macam tu untuk gerunkan anda yang mendengarnya.

Tapi hakikatnya saya kenal ramai sangat kawan-kawan yang beli syarikat orang lain tanpa mampu nak sebutpun perkataan ‘acquisition’ tu. Menatang apapun mereka tak tahu perkataan tu. Tapi dia orang besarkan syarikat selamba dengan beli company orang.

Mereka besarkan syarikat dengan beli syarikat lain yang buat perniagaan yang sama.

Anda boleh saja beli samada syarikat yang dah parah hampir muflis nak kena gulung tikar. Dengan kepakaran dan pengalaman yang ada, anda pulihkan semula. Turn-around orang putih kata. Jadi menguntungkan.

Anda dapat masuk ke lokasi baru, besarkan pasaran dan sudah tentu dapat tingkatkan jualan keseluruhan. Juga jimatkan kos seterusnya naikkan keuntungan.

Beli syarikat nak bungkus ni bagus sebab biasanya dapat dibeli dengan harga yang sangat murah.

Atau boleh juga beli syarikat yang menguntungkan. Kebetulan taukeh tu nak pencen. Dah tua tak larat. Anak-anak dia pulak tak berminat sebab semuanya ada kerjaya masing-masing.

Syarikat macam itu juga ada banyak kelebihan. Anda ada satu team yang baru. Budaya baru yang mungkin lebih baik dari syarikat anda sendiri. Idea juga akan lebih banyak dan menarik. Paling penting, syarikat memang dah buat untung setiap bulan.

2. Bergabung dengan syarikat lain

Kalau nak beli syarikat orang lain tak cukup duit. Anda boleh fikirkan idea bergabung.

Ada syarikat yang buat bisnes sama macam anda. Lain lokasi atau mungkin saja sama lokasi. Kebetulan pula anda duda dan dia janda. Jadi gabungkan saja body dan business sekali.

Biasanya gabungan yang betul dan serasi akan barikan impak yang berganda. satu campur satu antara dua individu yang serasi akan hasilkan mungkin 3, 4, 5 atau mungkin lebih lagi dari itu.

Duduk bawah satu jenama. Swap share. Anda masuk jadi pemegang share company dia. Dan dia masuk jadi pemegang share company anda.

Perlukan bantuan akauntan dan lawyer untuk semua urusan tersebut. Ini untuk elakkan masalah di kemudian har nanti kalau-kalau ada perkara tak diingini berlaku. Walaupun anda gabungkan bisnes sekali dengan gabungkan tempat tidur, elok pakai lawyer dan akauntan juga.

3. Buka cawangan lokasi baru

Ini pilihan paling terkenal dan paling banyak diamalkan oleh para usahawan.

Malah, yang baru setahun dua buat bisnes dah mula cerita nak buka cawangan di merata lokasi baru. Bisnes yang sedang dok buatpun tak tahu untung banyak mana. Entah ada untung entah tak adapun tak berapa nak pasti.

Sebenarnya nak buka cawangan baru di lokasi yang baru ni tidak semudah yang anda sangkakan. Perlu buat kajian yang betul-betul. Buat kiraan yang betul. Buat perancangan yang baik dan betul.

Sebab anda kena ambil staff baru. Kena sewa atau beli premis dan kena renovate pulak lagi. Kena isikan segala peralatan dan keperluan. Kemungkina n besar kena berhutang untuk adakan semua itu.

Bukan selepas dua atau tiga bulan perniagaan tu akan buat untung. Kena tahan tampal lubang. Entah berapa lama tak pasti lagi. Kena ada orang yang ada keupayaan untuk cover tempat baru itu. Anda seorang diri tak akan boleh jadi superman.

Penting untuk pastikan bisnes yang ada sekarang memang dah jana untung yang baik dan stabil serta konsisten. Kalau tak ada cukup duit, anda akan pilih lokasi baru berdasarkan kemampuan. Dan bukannya berdasarkan apa yang baik untuk bisnes anda.

Sebab itu saya kata, baru setahun dua nak pulun buka cawangan adalah terlalu awal.

4. Buka Tawaran 'Francais'

Cara ni tak payah nak sebut. Semua orang dah tahu dan pernah dengar perkataan ni. Tun Mahathir antara pemimpin awal yang popularkan cara atau sistem francais ni kat negara kita. Sejak tahun 1975 lagi dia dok sebut suruh tengok cara ni.

Cara ini memerlukan bukti yang anda memang dah berjaya dengan bisnes yang anda buat tu. Ada cukup lengkap segala sistem pengurusan yang terbukti berjaya dari A ke Z.

Ada SOP. Ada cara buat sales & marketing. Ada sistem urus kewangan. Ada metodologi pilih dan latih pekerja dan sebagainya.

Semua ini menarik untuk usahawan baru nak berniaga ambil tawaran francais anda sebab dapat rendahkan risiko bisnes gagal.

Sama juga macam kat atas tadi. Baru setahun dua bisnes dah nak pulun tawarkan francais adalah terlalu awal.

Walaupun antara keperluan untuk daftarkan francais kat negara kita syaratkan sekurangnya hanya dua tahun berniaga. Buat orang yang ada pengalaman, tentu tahu itu tak cukup untuk melayakkan anda kuasai bisnes yang anda buat itu jadi berjaya dengan mudah.

5. Tawarkan perlesenan

Orang putih panggil ‘Licensing’

Maksudnya anda benarkan orang gunakan jenama produk atau syarikat anda yang dah terkenal dan dipercayai tu.

Dari situ anda dapat ganjaran dalam bentuk royalti hasil dari jualan produk yang gunakan jenama syarikat anda itu.

Sebagai contoh, katakan anda buat bisnes restoran kari kepala ikan. “Restoran Hameed”, itu nama restoran anda. Ada cawangan di seluruh Malaysia dan semua orang kenal nama restoran anda tu. Restoran tu pula memang mendapat sambutan baik dari para pelanggan.

Datang seorang kawan, minta nak gunakan jenama ‘Restoran Hameed’ untuk produk frozen food yang dia ada.

Setelah bincang. Anda setuju berikan lesen pada dia untuk gunakan jenama Restoran Hameed tu.

Memang lebih bagus kalau anda sendiri yang buat dan edarkan di seluruh negara di seluruh pasaraya. Tapi ini perlukan kos yang tinggi. Untuk sediakan semua prasarana dan sebagainya.

Elok biarkan kawan anda tu buat semua urusan pembuatan, pemasaran dan pengedaran. Anda ahanya makan komisyen saja dari hasil jualan.

6. Kerjasama bisnes

Ini juga boleh dijadikan cara untuk besarkan bisnes.

Cari syarikat lain yang masih dalam industri yang sama, tapi mungkin produk yang berbeza. Produk anda dan dia saling lengkap melengkapi.

Contoh mudah adalah jika anda buat bisnes servis pest control. Cari syarikat lain yang buat khidmat cuci bangunan. Agak buat kerjasama seiring sejalan. Kedua-duanya punya pelanggan sasaran yang sama. Jadi lebih mudah dan pantas kembangkan bisnes anda.

Juga baik untuk syarikat yang jalin kerjasama dengan anda itu. Win-win kata orang.

7. Perlbagaikan bisnes

Biasanya orang akan sebut, diversify.

Ini juga ramai yang buat.

Cuma masalahnya yang dok ada pun tak ke mana, dah mula cakap pasal diversify. 

Itu tak fokus namanya. Nak lari pi buat benda lain pulak sebab rasa macam dah lemas dengan apa yang cuba diusahakan.

Diversify ni ada risiko sikit. Takut hilang fokus pada bisnes yang sedang dilakukan sekarang. Saya hadapi dilema yang sangat tersiksa bila mula diversify.

Walau pun kesemuanya memang menjana duit. Tapi kepuasan hati tak berapa nak ada. Rasa ralat dan macam telan tak lepas bila tak fokus pada hanya satu bisnes.

Cara pelbagaikan bisnes atau diversify yang baik adalah dengan kembangkan pada produk yang melengkapi bisnes yang anda memang dah buat dengan jayanya.

Contohnya anda buat pusat rawatan mengurut yang memang dah jalan baik. Anda tambah pula lagi dengan tawaran produk minyak urut dan terapi jenama anda sendiri pulak. Itu projek diversify yang baik.

Atau anda kembangkan bisnes bela kambing susu yang besar sekarang kepada buat keju dan yogurt anda sendiri pulak.

8. Buka pasaran baru

Bila anda mula berniaga, sehingga mencapai tahap stabil, tandanya, bisnes anda itu  fokus pada pasaran yang sangat jelas. Bisnes punya sasaran terhadap jenis pelanggan yang digariskan dengan terang dan jelas demografiknya.

Itu pendekatan yang terbukti lebih mudah untuk berjaya.

Kalau tak jelas dengan pelanggan sasaran, kononnya nak ambil pendekatan pasarkan kepada semua jenis pelanggan, membujur lalu melintang pantah, anda akan mudah kehabisan stamina sebab tak fokus. Saya terangkan lebih lanjut di bawah ni ..

Katakan anda buka workshop selenggara dan membaiki kenderaan. 

Anda sasarkan untuk fokus pada kenderaan Perodua sahaja. Buat begitu sebab rata-rata pemilik perodua akan cari workshop luar sebaik saja habis tempoh warranty.

Dengan sasaran yang jelas sedemikian, aktiviti jualan dan pemasaran menjadi jauh lebih mudah dan berkesan.

Nak pilih pekerja juga sangat mudah dan pantas. Nak cari pembekal juga sangat mudah. Malah anda akan ada kelebihan dalam pembelian spareparts sebab tahu mana yang perlu beli banyak dan mana yang perlu simpan stok sikit sahaja.

Ringkasnya, dengan sasaran pelanggan yang sangat jelas macam itu, akan memudahkan kesemua urusan perniagaan anda sehingga mencapai tahap stabil.

Bila semuanya dah stabil, barulah boleh fikirkan cara yang ke-8 ni untuk besarkan perniagaan itu. Lebarkan pula pelanggan sasaran kepada pemilik kenderaan proton.

Itulah maksudnya besarkan perniagaan dengan kembangkan kepada pasaran baru. Sebelum ini fokus hanya kepada Perodua, tapi sekarang lebarkan pasaran kepada Proton pula.

9. Membesar secara organik

Ini cara nak besarkan perniagaan yang terakhir. Bukan bermaksud tak ada lagi cara lain selain dari 9 cara yang saya sebutkan di sini. Saya yakin masih ada lagi cara lain yang saya masih jahil tak tahu.

Kalau anda tahu, ada lagi cara lain selain dari kesemua 9 cara yang saya dah gariskan, sila kongsikan kat ruang komen ya. Terima kasih didahulukan.

Besarkan perniagaan secara organik sebenarnya merupakan cara yang paling luas diguna pakai.

Sama ada usahawan sedar atau tidak, ini cara paling selamat dan kurang risiko. 

Mungkin anda yang membaca pun sedang guna pakai pendekatan ini untuk besarkan perniagaan.

Cara in ada disiplinnya yang tersendiri.

Kalau saya nak terangkan secara terperinci, akan jadi sangat panjang. Jadi saya hanya terangkan secara ringkas sahaja.

Caranya adalah dengan melihat segala rekod dan aktiviti selama anda berniaga sehingga ke hari ini dan mula buat perancangan yang lebih mantap.

Lebih tepat lagi. Cara membesar berdasarkan perkembangan organik ini adalah dengan memberi tumpuan lebih ke arah memantapkan lagi segala perjalanan bisnes anda dari A ke Z.

Fokus pada aktiviti di dalam perniagaan.

Sebab itu kita panggil secara organik. Dia dibesarkan bukan secara paksaan. 

Sembuhkan segala luka dalaman. Sihatkan segala sel dalaman, organisasi, sumber kemanusiaan, perjalanan operasi, pengurusan pelanggan, pengurusan pemasaran, dan lain-lain lagi.

Dengan berbuat begitu, secara tidak lansung, periagaan akan meningkat naik secara terurus dan terkawal.

Cara kendalian pembesaran secara organik ini akan jadi lebih mantap jika anda buat dengan sistematik.

Cara mudah adalah dengan bayar sahaja kepada business coach. Mereka biasanya pakar dalam pemantapkan keseluruhan perniagaan anda.

Business coach bukan setakat tengok jualan dan keuntungan saja. Mereka akan bantu anda bina daya kepimpinan, bantu buat pengurusan risiko, bantu buat analisa SWOT, buat Business Operation Planning, buat operation management system, buat SOP dan sebagainya sehingga ke tahap exit plan.

Setakat itu saja perkongsian saya kali ini.

Moga anda dapat sedikit idea untuk besarkan perniagaan anda sekarang dengan perkongsian di artikel ini.

Moga ada manfaatnya. Kalau anda suka, jangan lupa kongsikan artikel ini dengan tekan butang like agar lebih ramai yang dapat manfaatya. TQVM 

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, 9 cara yang anda boleh buat untuk kembangkan syarikat dan perniagaan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !