Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Monday, June 27, 2022

Dari wabak covid 19 baru saya nampak pentingnya beri perhatian pada bisnes 'keperluan asas'

  Mohd Shubhi       Monday, June 27, 2022


Satu perkara penting yang anda dapat lihat dari wabak covid-19 sudah tentu pertamanya adalah perlaksanaan PKP. Itu pengalaman pertama kali seumur hidup yang sangat luar biasa.

Dari PKP itu, baru nampak jelas perbezaan antara keperluan asas berbanding kehendak. Perbezaan antara perniagaan yang selesaikan masalah keperluan asas juga nampak jelas berbanding perniagaan yang hanya selesaikan masalah kehendak sahaja.

Biasanya, keperluan asas manusia ni tak pernah berubah dari dahulu sampai sekarang. 

Kalau di zaman sebelum penjajah dulu, tok nenek kita perlukan makanan, zaman sekarang macam tu juga.

Untuk cari idea nak mulakan perniagaan asas ni tak payah sangat. Apa saja yang anda perlukan untuk jalani kehidupan, itu jugalah yang semua orang lain perlukan.

Pilihlah salah satu dan boleh mulakan perniagaan. Anda hanya perlu belajar cara untuk menghasilkannya sahaja.

Antara keperluan dan kehendak

Dalam keadaan aman sejahtera, keperluan asas sering bercampur aduk dengan kehendak.

Hasil campuran itu menyebabkan munculnya berbagai pilihan. Ditawarkan kepada pengguna untuk memenuhi gabungan keperluan asas dan kehendak tu.

Disebab gabungan keperluan dan kehendak, maka beras saja ada macam-macam jenis.

Ada beras kampung, beras tempatan, beras siam, beras wangi, beras jepun, beras herba poni, beras rebus, beras basmathi dan panjang lagi kalau nak disenaraikan.

Bila berlaku PKP, beras apa dah tak penting lagi. Asalkan ada beras saja dah memadai. 

Begitu juga dengan lain-lain keperluan asas. 

Pakaian contohnya, jenama apa dah tak penting, asalkan selesa boleh tutup aurat dah cukup.

Rumah juga sama. Samada besar atau kecil dah tak berapa penting sangat. Asalkan ada tempat selesa untuk beradu dah memadai. Kalau ada rumah hujung minggu di pusat peranginan, dalam keadaan PKP, sikitpun tak berguna.

Semalam seorang kawan telefon bertanyakan khabar. Dah lama tak berhubung. Dia ceritakan perkembangannya. 

Bisnes meletup-letup, main saham di semua pasaran saham dunia. London, Singapura, Amerika, Jepun. Ada motosikal kuasa besar, selalu pusing dunia dengannya. Ada rumah di London dan lepak situ setiap kali ke sana .. bla bla bla.

Saya tanya bila last sekali pusing dunia dan ke rumah tu?

Dia jawab dalam 2018 ke 2019 .. sejak PKP, semua yang dia ada macam tak berguna. Membazir saja.

Muhasabah kedudukan bisnes

Banyak bisnes yang gulung tikar akibat 3 kali kena tsunami PKP. Tsunami pertama mungkin cuba bertahan. Harap semuanya sementara saja.

Kemudian datang pula kedua. Gelombang ke-2 ni bunuh lagi sekumpulan perniagaan. Yang buka restoran, terpaksa tutup. Yang buat bisnes berkaitan pelancongan tak payah cakaplah. Begitu juga bisnes yang melibatkan sentuhan seperti urutan dan seumpamanya.

Sekarang datang pula PKP 3.0, saya sendiri dan mula termenung panjang. Nasib baik bisnes yang dibuat, masuk kategori pertengahan impak terhadap covid-19.

Ada bisnes yang terkesan sederhana, Ada yang kesannya kecil saja dan ada yang kesannya sangat besar sampai bungkus.

Bagi yang murah rezki, sedang semua orang terumbang ambing, dia pula belayar laju, bisnes naik mencanak-canak. Syarikat shopping online dan logistik serta warehouse umpamanya terpaksa gandakan lagi keupayaan mereka untuk penuhi permintaan.

Kalau anda juga sara hidup dengan berbisnes, saya yakin semua itu dah diambil kira. Anda tahu kedudukan bisnes anda sekarang sebaik saja kena PKP 1.0 tahun lepas lagi.

Kalau masih tak ketahuan punca, tak buat apa-apa perubahan, maknanya anda ada duit terlalu banyak dan yakin tak akan habis. Mohon hubungi saya segera kalau sudi.

Bisnes teras dan sokongan

Bisnes secara umumnya hanya ada 2 jenis saja. Yang pertamanya adalah bisnes teras dan keduanya adalah bisnes sokongan. Saya perasan perkara ini bila baca buku-buku ekonomi tulisan Ha-Joon Chang, seorang pakar ekonomi berbangsa Korea.

Kata pakar ekonomi tersebut, negara yang pandai adalah mereka yang tidak pernah melupakan bisnes teras untuk dibina di dalam negaranya sendiri. Bisnes teras adalah bisnes yang ada produk dan produk itu boleh dijual dalam negara dan boleh juga dieksport ke luar negara.

Bisnes teras itulah bisnes yang sebenar. Yang jadi ibu kepada segala bisnes sokongan lain. Tanpa adanya bisnes teras, takkan wujud yang lain.

Dalam keadaan apapun, gawat atau tidak, negara yang jaga semua bisnes terasnya tidak akan hadapi masalah. Bila keadaan ekonomi baik, negara yang kuat bisnes terasnya akan dapat ambil kesempatan kembangkan pendapatan negara dengan aktivit eksport.

Sekali fikir, dalam keadaan biasa, rasa macam salah teorinya itu. Pendapat untuk setiap negara berikan tumpuan kepada kekuatan mereka masing-masing dan melakukan perdagangan tukar produk antara negara-negara berbeza nampak lebih bijak. Setiap negara dapat bina niche mereka.

Tapi bila berlaku covid-19, nampak jelas bahawa membina sesuatu kekuatan terhadap satu dua industri tidak semestinya perlu abaikan industri keperluan asas. Perlu pastikan supaya bekalan keperluan asas sentiasa mencukupi untuk bekalan dalam negara.

Dalam keadaan sekarang, kawan-kawan yang buat bisnes teras tak terjejas. Begitu juga mereka yang buat bisnes sokongan, yang berikan khidmat kepada bisnes teras tu. Anda boleh lihat sendiri dalam keadaan pkp apapun, bisnes teras dan bisnes sokongan untuk bisnes teras, masih tetap berjalan macam biasa.

Yang buat bisnes sokongan, selama ini berikan khidmat kepada separuh bisnes teras dan separuh lagi bisnes bukan keperluan asas, akan hadapi kesan akibat covid-19. Bergantung tahap mana pembahagian market yang dia ada.

Industri pest control umpamanya. Mana yang selama ini tapaw habis hotel-hotel yang ada di Malaysia sebagai customer mereka sudah tentu berada dalam keadaan nazak sekarang. Industri pelancongan dah masuk kategori nazak, semua industri sokongannya juga turut sama nazak.

Untuk anda yang buat bisnes sokongan, mahu tak mahu, perlu juga ubah strategi. Perlu fokus kepada pelanggan yang menjalankan bisnes teras asas dan boleh abaikan bisnes yang berasaskan kehendak dalam masa terdekat ni.

Senarai bisnes teras asas

Berikut saya senaraikan bisnes teras asas yang perlu diberikan perhatian sekarang. Saya jangkakan, keadaan wabak ini akan berterusan begini dalam satu jangkamasa yang lama lagi. Mungkin 3 atau 4 tahun lagi. Ini berdasarkan perkembangan aktiviti vaksinasi negara kita dan juga negara lain di seluruh dunia.

Di negara kita, jumlah yang divaksin setakat ni baru dalam 2 juta orang, itu pun tak vaksin penuh lagi. Perlu 2 dos baru selesai. Kita sasarkan dalam 80% rakyat divaksin untuk kembali ke normal.

Dengan jumlah 32 juta orang, tempoh masa 2 tahun lagipun masih tak cukup untuk penuhi sasaran. Ditambah lagi dengan sikap sebahagian penduduk yang kencing tak hadir temujanji dan sebagainya, akan melewatkan lagi proses vaksinasi. Walau bagaimanapun, saya harap saya salah dalam kiraan ini.

Supaya anda yang berniaga dapat teruskan kehidupan, suka atau tidak terpaksa ubah semua tumpuan untuk aktiviti perniagaan anda. Samada terus lompat buat bisnes teras asas. Ataupun, buat bisnes sokongan yang berkhidmat kepada mereka yang jalankan bisnes teras asas itu.

Berikut adalah senarai bisnes teras asas yang tetap kekal relevan dalam apa keadaan pun.

Bisnes peruncitan

Kalau anda tengok dari awal PKP dulu sampai sekarang, kedai runcit atau mini market tak pernah tutup. Dalam kedai runcit anda boleh jual bermacam-macam keperluan harian penduduk setempat.

Bila buka kedai runcit, perlu ingat untuk berikan tumpuan penuh kepada penduduk tempatan dalam lingkungan 10 kilometer radius. Buat bancian betul-betul pasaran dan demografik penduduk dan penuhi keperluan mereka.

Peruncitan lain seperti farmasi, kedai makanan binatang peliharaan atau makanan ternakan, kedai hardware pertanian, kedai spareparts kenderaan motosikal, kereta atau basikal, juga termasuk dalam peruncitan memenuhi keperluan asas kehidupan.

Apa saja industri atau bisnes yang memberikan khidmat kepada perniagaan peruncitan ini juga kekal relevan bila-bila masa. Ini untuk pastikan bisnes peruncitan itu sendiri berjalan lancar.

F&B, pertanian dan perladangan

Bermula dari aktiviti pertanian dan perladangan, termasuklah penternakan, nelayan dan semua aktiviti mula dalam memenuhi bekalan makan dan minum, sehinggalah kepada aktiviti pemprosesan, pembungkusan, pembuatan dan keseluruhan rangkaiannya adalah masuk dalam keperluan asas dan teras.

Apa saja industri sokongan yang berkhidmat untuk menjayakan aktiviti teras di atas juga sentiasa relevan dalam apa keadaan sekalipun. Ini termasuklah logistik, premis transit binatang peliharaan, proses pembuatan makanan binatang ternakan dan banyak lagi.

Lain-lain bisnes asas

Dua jenis bisnes kat atas tu adalah punca utama yang menggerakkan kehidupan dan aktiviti orang ramai. Dari aktiviti itu juga berkembang semua bisnes lain di bawahnya.

Selain dari itu, bisnes-bisnes ini juga adalah termasuk dalam bisnes yang diperlukan untuk pastikan keperluan asas penduduk dipenuhi dalam apa keadaan pun.

  • Aktiviti kebajikan dan bantuan – Saya masukkan industri ini dalam kategori bisnes sebab memang kebanyakkan orang yang buat ini, akhirnya menuju ke arah menjana pendapatan juga. Paling tidak untuk dirinya sendiri atau kepada para pembantunya. Paling lekeh, ia menjadi alat pemasaran untuk samada populariti atau bisnes lain yang berkaitan dengan pengamalnya.
  • Industri kewangan dan insuran – Untuk anda buka sebuah bank memanglah sangat berat, tambah pula kat Malaysia yang kawal jumlah bank tak macam negara maju lain. Tapi apa saja industri yang berkaitan dengan kewangan dan insuran masih tetap relevan untuk pastikan transaksi berlaku walaupun dalam keadaan semua orang duduk kat rumah.
  • Industri perkhidmatan kritikal – Ini saya maksudkan kepada semua bisnes perkhidmatan yang melibatkan aktiviti selenggaraan atau baik pulih. Termasuklah, bahan binaan, jaga keselamatan, pembersihan, pelupusan sampah dan bahan buangan, servis elektrikal dan mekanikal, pest control, khidmat pindah barang dan lain-lain lagi khidmat samada untuk kerajaan atau swasta atau perseorangan.
  • Industri ambil dan hantar – Ini saya rasa bisnes yang paling pesat berkembang semenjak dua menjak ini bila berlakunya PKP. Penunggang motosikal pintar dan pakat akrobatik motosikal muncul dengan banyaknya sekarang untuk pastikan proses terhadap belian secara online lancar dan berjaya.
  • Pendidikan dan pembelajaran – Urusan pendidikan dan pembelajaran wajib terus berjalan dalam apa keadaan sekalipun. Anda hanya perlu ubah dari fizikal kepada digital. Macam mana nak buat, fikirkanlah sendiri.
  • Pengangkutan dan pergudangan industri – macam saya sebut kat atas tadi, industri ini perlu ada untuk sokong 2 industri teras dan asas kat atas tadi.
  • Pusat penjagaan kritikal – Maksudnya pusat penjagaan orang cacat, orang sakit, lemah upaya, orang tua, orang gila dan lain-lain seumpamanya perlu berjalan juga samada kerajaan atau swasta.
  • Khidmat penjagaan kritikal – Kalau kat atas premis disediakan. Untuk khidmat ni, anda boleh pergi ke rumah pelanggan untuk lakukan tugas penjagaan masalah kritikal yang sama.
  • Servis profesional – Khidmat akaun dan audit serta khidmat guaman masih tetap ada dan boleh berjalan secara online
  • Stesen minyak – Walaupun jualan sudah tentu terkesan dalam keadaan PKP, tapi bisnes tetap perlu dijalankan juga. Lokasi sangat penting untuk pastikan kesan PKP tidak terlalu ketara. Kawasan lebuhraya utama dalam masa sama berhampiran penempatan adalah lokasi yang amat baik.
  • Kesihatan dan keselamatan – Apa saja industri yang melibatkan pembuatan, pemprosesan, peyimpanan, selengaraan pengangkutan dan lain-lain seumpanya untuk bekalan perubatan dan keselamatan adalah sentiasa relevan dalam apa keadaan pun.

Mungkin ada yang saya terlepas pandang, anda boleh tambah kat ruang komen di bawah ni supaya senarai ini jadi lebih lengkap.

Untuk 3 atau 4 tahun akan datang ni, perlu fokus kepada aktiviti bisnes tersenarai kat atas tu samada masuk ke bisnes teras asas atau bisnes yang memberikan sokongan kepadanya.

Jika anda berjaya kekal stabil dalam keadaan sekarang dan dapat bertahan untuk 3 ke 4 tahunakan datang nanti, bila semuanya kembali pulih, and aakan jadi orang kaya baru di zaman itu, insyaallah. 

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Dari wabak covid 19 baru saya nampak pentingnya beri perhatian pada bisnes 'keperluan asas'

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !