Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Saturday, April 1, 2023

Cara untuk membuatkan orang sentiasa suka mendengar apa yang anda cakapkan

  Mohd Shubhi       Saturday, April 1, 2023


Bercakap memang mudah. Semua orang yang tidak bisu boleh bercakap. Anda sendiri sering bercakap dan sentiasa mendengar orang bercakap.

Tetapi, kenapa ada orang yang apabila dia bercakap, semua orang akan memberikan perhatian pada percakapannya. Ramai yang mendengar dia bercakap dan sentiasa rasa teruja dengan ucapannya

Kenapa pula ada orang yang apabila bercakap, anda berharap agar dia segera selesaikan ayat terakhirnya sahaja. Atau lebih baik dia tak bercakap dari bercakap. 

Ada pula sesetengah orang apabila bercakap membuatkan anda terus percaya dan yakin apa yang dicakapkannya. Sedangkan ada sesetengah orang, banyak manapun dia cakap, berapa kalipun dia ulang cakap, anda lansung tak yakin dengan apa saja yang dicakapkannya. 

Ada juga orang apabila anda meminta nasihat daripadanya lalu dia mula bercakap memberikan nasihat, anda terus rasa lega dan lapang dan menemui jalan penyelesaian dalam masalah yang dihadapi. 

Ada juga ada orang yang bila anda minta nasihat daripadanya lalu dia bercakap membuatkan masalah jadi lebih kusut. Rasa menyesal pulak minta pandangan atau minta nasihat darinya.

Adakalanya ada orang yang anda sentiasa saja mahu menjadikan dia teman untuk mendengar anda bercakap sedangkan anda sendiri tak mahu mendengar dia bercakap.

Ada orang lain pula anda lebih suka mahu menjadikan dia teman untuk anda mendengar dia saja bercakap sedangkan anda lebih suka mendengar daripada bercakap.

Bercakap dengan berkesan

Sebenarnya semua persoalan yang disebutkan di atas ada kena mengena dengan kehebatan seseorang itu bercakap.

Memang mudah bercakap, semua orang memang boleh bercakap tetapi jika tidak kena gayanya percakapan anda hanya sekadar mencetuskan pencemaran bunyi.

Oleh itu sebelum bercakap pastikan anda ikuti petua yang saya sebutkan di bawah agar cakap anda sentiasa kedengaran menarik. 

Cakap dengan perlahan-lahan

Perlahan di sini bukan bermaksud volume, tapi rentak percakapan anda.

Jangan cakap seperti ‘senapang mesin’ yang memuntahkan pelurunya tanpa henti menghancurkan apa saja yang ada di depan.

Untuk memahaminya dengan lebih jelas cuba bayangkan percakapan seorang kanak-kanak yang gementar cuba menceritakan sesuatu pada anda, berbanding dengan percakapan seorang hakim ketika memberikan penghujahannya. 

Berhenti sejenak

Pastikan anda henti sejenak satu atau dua saat setiap kali menghabiskan ayat atau anda juga boleh henti sejenak di tengah ayat dan sambung semula untuk menghabiskannya.

Mereka yang berbuat begitu mempamerkan kejituan serta keyakinan akan ucapannya serta yakin orang tidak akan potong percakapannya sewaktu berhenti sebentar. 

Turunkan intonasi

Anda akan dilihat bercakap dengan penuh keyakinan jika setiap kali habiskan ayat anda turunkan intonasi.

Bayangkan intonasi apabila anda bertanya soalan, ‘apa kamu cakap?”, intonasi anda apabila bertanya soalan itu jadi menaik dengan mendadak pada akhir ayat. Jangan buat begitu ketika berucap atau bercakap.

Bayangkan pula jika anda berkata pada seorang kawan, “maaf, saya tak boleh tolong kami ..”,

Perkataan kamu pada akhir ayat yang diperlahankan intonasinya akan cukup meyakin kawan anda bahawa anda benar-benar tidak mampu menolongnya. 

Bernafas dengan betul

Lihat bagaimana anda bernafas ketika bercakap. 

Jangan hembus dan sedut nafas dengan menggunakan mulut, gunakanlah hidung anda.

Orang yang bercakap sambil bernafas dengan menggunakan mulut hanya mempamerkan rasa bimbang dan tidak yakin pada orang lain. 

Perhatikan juga bagaimana anda menyedut nafas. Adakah melalui dada atau perut. Pernafasan yang betul adalah melalui perut dan bukan dada. 

Jika anda tarik nafas dan bahagian dada yang kembang sedangkan perut anda kempis, anda telah bernafas dengan cara yang salah. 

Lihat bayi yang sedang tidur, bernafas dan belajar semula cara bernafas ‘semulajadi’ melalui bayi.

Jika anda mahu tambahkan lagi kemanisan dalam percakapan anda, jangan lupa untuk senyum sedikit ketika bercakap.

Walaupun ketika bercakap melalui telefon, ia memberikan kesan yang baik dan nyaman pada mereka yang mendengarnya.

Selamat mencuba dan semoga lebih mudah bercakap.

(Sumber buku: The Charisma Myth: How Anyone Can Master the Art and Science of Personal Magnetism) 

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Cara untuk membuatkan orang sentiasa suka mendengar apa yang anda cakapkan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !