Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Sunday, May 28, 2023

10 perkara wajib Semak dan betulkan sebelum nak mulakan idea bisnes kecil anda - #1. Tahap desakan

  Mohd Shubhi       Sunday, May 28, 2023

Panduan 10 perkara wajib untuk anda semak ini dah banyak kali saya ulang kongsikan dalam blog hidupringkas.com dulu. Saya tulis dalam berbagai pendekatan supaya orang yang berkunjung ke blog itu dapat manfaat dari panduannya.

Saya ulang tulis di sini sebab ada soalan dari seorang kawan minta saya berikan contoh supaya mudah faham. Supaya lebih senang nak ikut, saya buat contoh lebih spesifik. 

Katakan anda nak buka sebuah bengkel membaiki dan selenggara kenderaan di sebuah pekan kecil di Sungai Pelek, Sepang, Selangor.

Dalam artikel ini saya hanya akan fokus kepada perkara pertama sahaja. Kemudian akan saya tulis pula yang ke-2 dalam artikel lain selepas ini satu persatu sampai habis kesemua 10 perkara tersebut di blog ini.

Berbalik kepada idea nak buka bisnes khidmat baiki dan selenggara kenderaan tadi.

Sebelum nak mulakan bisnes bengkel kenderaan itu, anda wajib semak perkara pertama berikut terlebih dahulu.

#1. Tahap desakan produk anda

Ini perkara paling awal untuk anda fikirkan. Mungkin lebih mudah faham kalau saya sebut perkataan Bahasa Inggeris, ‘demand’.

Ada permintaan tak?

Kalau ada, berapa kuat tahap desakannya?

Buat survey kawasan dulu

Untuk jawab persoalan itu, kena pusing tengok kawasan persekitaran di mana bengkel baiki kenderaan itu mahu dibuka.

Dah ada banyak workshop ke?

Kalau ada, berapa banyak?

Kalau selepas pusing habis sekitar 10 kilometer dari pekan kecil tu anda dapati hanya ada 3 workshop saja, itu tandanya ada harapan. Anda perlu pergi zoom lebih dekat workshop jenis macam mana pulak yang ada di situ.

Katakan 3 workshop yang ada satu fokus kepada jentera berat, satu lagi tayar dan yang akhir workshop umum. Maka anda dah boleh dapat idea untuk buat satu lagi workshop yang lebih fokus.

Katakan anda akan buka workshop yang fokus hanya kepada kenderaan nasional sahaja. Proton dan Perodua. Paling dekat pesaing yang ada, adalah di Lukut. Satu lagi ada di Kota Warisan. Keduanya jauh lebih dari 10 km dari pekan tersebut.

Maka, kalau anda buat tawaran untuk adakan workshop specialize kepada Perodua dan Proton sahaja, sudah tentu tahap keperluannya sangat tinggi.

Untuk panstikan lagi betul atau tidak, anda perlu tanya kepada seramai mungkin pemilik kenderaan Perodua dan Proton yang anda jumpa, tinggal di area situ.

Hampir setiap pemilik kenderaan perodua dan proton yang anda tanya bagi tahu kalau ada workshop khas untuk Perodua atau Proton kat Pekan Sungai Pelek tu, next servis sudah tentu mereka akan terus ke workshop tersebut.

Itu tandanya tekaan anda terhadap tahap desakan atau keperluan yang tinggi untuk adakan workshop kat area itu adalah sangat tepat. Ramai yang dok tunggu nak jadi pelanggan.

Kalau tempat yang nak dibuka workshop tu lansung tak ada lagi sebuahpun, maka lebih tinggilah tahap desakan idea bisnes itu. Tentu ia akan memberikan kelegaan yang sangat tinggi pada penduduk sekitar area tersebut.

Fokus pada keperluan orang

Bila main gitar dan menyanyi, anda akan main lagu yang anda suka. Lantaklah orang lain tak suka lagu tu. Depa tak pernah dengar lagu tu. Lagu tu tak sedap dan sebagainya.

Anda tak ambil kisah sebab main gitar dan menyanyi hanya untuk layan perasaan dan hiburkan hati anda sendiri. Lebih ke arah hobi. Bukan nak buat duit atau nak jadi artis terkenal.

Tapi, kalau nak main gitar dan menyanyi sebab nak jadi artis untuk cari makan sara hidup, maka tak bolehlah main cakap ‘lantak lah samada orang suka atau tidak!’

Anda dah masuk ke zon berniaga. Mengharapkan duit orang yang akan berikan kepada anda sebab mereka suka pada lagu yang anda nyanyi.

Mahu tak mahu, perlu main gitar dan menyanyi lagu yang orang suka. Baru ada perniagaan. Baru ada pasaran. Baru ada permintaan.

Sama macam kes nak buka workshop kat atas tadi.

Tak bolehlah main buka saja dan buat satu workshop ikut selera hati anda sendiri. Ini bab berniaga. Bukan boleh nak syok sendiri.

Anda tak akan di bantu seandainya tak buat sesuatu yang dapat membantu orang lain terlebih dahulu. Bantu orang selesaikan masalah mereka, maka barulah ada duit masyuk!.

Ramai orang cakap, buat bisnes yang anda suka. Ikut kata hati anda. Fokus kepada apa yang anda cinta. Betul tu!

Itu akan menjadikan usaha anda tidak menjemukan. Macam kes main gitar dan menyanyi lagu asli yang memang anda gemar genre lagu macam tu. Juga lagu rock kapak, itu mengimbau kenangan zaman seluar ketat satu ketika dahulu. Anda suka dan orang pun suka. Makin bagus dan mudahlah kerja seni anda itu.

Kalau disebabkan nak ikut kata hati, anda buat sesuatu yang tak ada orang suka, alamat bisnes anda akan kelaut. Yang paling baik adalah kedua-duanya ngam. Anda suka dengan bisnes tu, industri itu dan dalam masa yang sama ramai orang lain yang suka juga dan mahukan apa yang anda suka itu. Itulah yang paling ideal.

Kalau anda nak buka workshop baiki bot laju sebab suka main bot laju dan ada sebuah bot laju dalam simpanan, sedangkan dalam sekitar 20 km radius area tu tak ada seorang pun yang punya bot laju, memang sengaja cari penyakit kalau nak buka juga.

Saya sebut perkara ni nampak macam over pulak.

Takkan benda simple macam nipun nak bagi tahu orang?

Ya! memang simple dan sangat common sense. Tapi kenyataannya, ramai yang terlepas pandang bab ni. Ada yang buka workshop fokus untuk kenderaan race bertahap tinggi sedangkan sangat sedikit permintaannya di area tempat workshop dia buka tu.

Suruh ubah tak mahu sebab dia kata itu memang minat dia! Tapi dia juga yang merungut sales tak berapa ada untuk hidupkan perniagaan tersebut.

Pertimbangkan tahap desakan

Ok!. tak payah kita panjangkan lagi bab ini. Rasanya dah sangat mudah faham sekarang. Dalam bab nak cari dan jalankan idea niaga anda, ini perkara paling utama untuk dipertimbangkan.

Ada lagi 9 perkara yang hakikatnya ada hubung kait secara terus atau tidak dalam memperelokkan lagi idea bisnes yang anda nak jalankan tu. Nanti anda akan dapat lihat satu persatu bila saya sambung lagi di artikel lain.

Untuk permulaan, bab desakan ini perlu diselesaikan dahulu. Pastikan tahap desakan atau keperluan untuk dapatkan produk yang anda nak tawarkan itu adalah sangat tinggi.

Kalau ditanya bakal pelanggan, dia kata kalau tak adapun tak ada masalah, itu petanda buruk!

Kita sambung perkara kedua iaitu ‘saiz pasaran’ dalam artikel yang lain selepas ini.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, 10 perkara wajib Semak dan betulkan sebelum nak mulakan idea bisnes kecil anda - #1. Tahap desakan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !