Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, June 15, 2023

Semakin moden, manusia semakin bergantung kepada barang ciptaan manusia

  Anonyme       Thursday, June 15, 2023


Sebelum dimasukkan ke sekolah untuk belajar menulis dan mengira, orang tua daftarkan saya masuk ke tabika di Balai Raya Penanti.

Bagi orang Penanti atau Kubang Semang yang sezaman dengan saya tentu masih ingat Balai Raya tu. Letaknya di hujung padang Sekolah Menengah Penanti. Bangunan kosong, lapang dan besar seperti dewan pertunjukkan. 

Balai Raya Penanti

Ada pentas besar di bawah bumbung tinggi tersebut. Dan di belakang dewan itu pula tempat tinggalnya seorang pembuat wau terkenal di zaman saya kecil dulu. Kalau tak salah, kami panggil dia Pak Nge ( tak tau nak eja) Kebiasaannya, orang yang dipanggil dengan nama sebegitu bernama Ismail. 

Mereka tinggal 2 orang laki bini yang saya rasa kedua-duanya dari Kelantan. Kulit sawo matang gelap pekat dan sering tak pakai baju duduk di belakang dewan itu membuat wau bulan yang besar, yang ditempah dari pelanggan yang mengenalinya.

Kalau waktu petang ada bunyi dengung kuat di udara kedengaran dari rumah saya, dah tentu itu bunyi dengungan wau bulan Pak Nge melayang-layang di udara khariah Kubang Semang. Orang kata dia buat tali rentangan dengung itu daripada lintah, entah betul entah tidak. Tapi itulah yang saya percaya sampai sekarang tapi tak pernah pergi kaji dan semak. 

Bangunan Balai Raya tu sekarang dah tak wujud lagi digantikan oleh bangunan Yayasan Aman. Bersebelahan bangunan kecil, tempat Nurul Izah jadikan pejabat wakil rakyatnya masa dia memang jadi Ahli Parlimen Permatang Pauh dulu.

Main Wau buat sendiri

Dari kecil lagi saya dah kenal apa itu wau. Kami tak pernah sebut layang-layang, semuanya di panggil wau. Besar atau kecil, bentuk bulan atau burung, semuanya adalah wau.

Wau pertama yang saya dapat adalah hasil buatan arwah bapak. Dia ambil buluh dari belakang rumah, urut dengan cantik, ikat jadi bentuk ' t '. Di hujung bawah ekor t tu di rentang sebatang lagi buluh pendek.

Pada hujung bucu kiri dan kanan palang tengah batang buluh tu, di tarik tali ke atas dan bawah lalu terbentuklah rupa poligon 5 sisi. Saya yakin anda dapat bayangkan rupa layang-layang ringkas itu.

Kertas surat khabar dijadikan dinding wau tersebut. Kalau nak elok lagi, kena beli kertas putih wau khas, yang Pak Nge sendiri akan gunakan pada semua wau bulan rekaannya. Tapi zaman tu, 5 sen pun orang kampung berkira dan cuba jimatkan. Ia satu nilai yang besar.

Saya perhatikan sekali saja bapak buat. Lepas tu, dah pandai buat sendiri. Bukan pakai kayu buluh yang dibelah dan diurut cantik, sebaliknya saya pakai batang lidi penyapu mak saja. 

Kos untuk hasilkan layang-layang itu semuanya free. Lidi ambil penyapu mak. Kalau pakai buluh ambil dari hutan belukar belakang rumah. Kertasnya pula pakai surat khabar lama yang orang buang. Benang pula ambil dari bakul jahitan mak.

Terus kepada ciptaan Tuhan

Zaman sebelum masuk sekolah merupakan zaman menerokai kehidupan di kampung dan persekitaran sekelilingnya. Tiada yang seindah zaman itu.

Setiap kali bangun pagi, kalau kelas mengaji tak ada, awal-awal lagi saya dah pergi pusing kampung. Cari buah jatuh, cari kawan, panjat pokok dan lain-lain. Tak ada satu pun peralatan elektronik masa tu. Lenggang kangkong saja. Paling kuat, ada lastik buatan sendiri.

Saya bertuah sebab dilahirkan dalam suasana susah dari segi harta benda. Ia menjadikan otak lebih kreatif untuk menyelesaikan segala keinginan yang muncul dalam kepala tanpa perlu memikirkan soal tak ada duit.

Ertinya, segala keinginan, juga keperluan, terus dapatkan saja dari alam ciptaan Tuhan. Pakai pokok dan tumbuhan, pakai sungai, pakai hutan, pakai batu dan tanah. Semuanya kurniaan Tuhan secara percuma sejak wujudnya manusia di muka bumi ini.

Zaman dulu, semua jenis permainan ada musimnya. Ada masa gasing jadi kegilaan. Maka habislah satu kampung pakat buat gasing. Memang ada dijual di kedai runcit Cina di pekan Penanti tu. Tapi tak mainlah pakai gasing yang dibeli. Kami akan buat sendiri supaya lebih besar.

Arwah bapak pandai dan berseni dalam membuat gasing. Ada sekali tu dia tebang batang pokok limau yang besar. Dia buat sebiji gasing dari batang limau tu. Cantik, licin gasing buatannya. Dia pakai golok tajam potong dan tetak batang tu. Bila dah siap, diperhalusi pula dengan pakai kaca yang pecah saja. Melelh air liur saya tengok gasing tu.

Bila dah siap, dia masukkan paku besar pada hujung bawah gasing. Potong kepala paku tu dan asah kannya sampai tajam. Lepas tu dia baling pusing gasing tersebut untuk lihat seimbang atau tak. Berulang kali buat begitu sehinggalah pusing gasing tu lancar, halus dan dapat berpusing seimbang dalam tempoh masa yang lama.

Kat situ saya lemah. Cuba buat sendiri secantik yang ayah buat, tapi jiwa tak berseni. Yang sebetulnya, tak sabar nak susahkan diri untuk perkara kosmetik kecantikan. Asal dah siap, lebih kurang saya, terus masukkan paku dan kalut nak pergi hempas pulas ke tanah gasing hodoh tu.

Seperti saya sebut awal tadi, kalau pada dah dikerat, datangalah musim main wau pulak. Tapak bendang yang biasanya kering di musim itu akan jadi padang naikkan wau. Wau juga dibuat sendiri. Sekali saya dapat wau yang cantik dibuat rupanya seperti burung walid berwarna hitam.

Wau burung tu Pak Nge bagi kat saya bila setiap hari saya pergi melangut tengok dia buat wau pagi petang terliur dengan semua wau yang dia buat tu tapi tak mampu nak beli sebab dia buat wau untuk pertandingan atau perhiasan. Harganya memang jauh dari kemampuan saya dan keluarga. Guna duit beli beras jauh lebih penting. 

Jadi tengok dan kagumi saja semua hasil wau buatan Pak Nge. Sehinggalah dia luangkan masa buat wau burung tu untuk saya. Tuhan saja yang tahu betapa kembang mekarnya hati saya mendapat pemberian tu. Tak tau nak kata apa. Nak nangis atau nak ketawa ..

Bila musim main hoki menular seluruh kampung, dari bole sampai ke batang kayu hoki tu kami buat sendiri saja. Batang hoki saya buat guna perdu buluh belakang rumah tu. Pilih yang memang akarkan ada bengkok sikit, potong dan jadi kayu hoki. Bola hoki pula gulung pejal getah skrap sampai jadi bola bulat sama saiz dengan boleh hoki sebenar.

Macam yang saya kata, kami terus pakai apa saja anugerah ciptaan Tuhan untuk kehidupan. Banyak lagi contoh kalau nak dicari. Apa yang saya cerita baru bab kanak-kanak punya dunia permainan. Belum lagi cerita bab ayah mak makan lauk dan sayur yang didapati terus dari alam saja.

Usaha lupakan Tuhan

Sambil membesar, saya mula perhatikan satu perubahan demi satu perubahan berlaku. Anugerah ciptaan Tuhan makin di tinggalkan. Manusia cipta permainan untuk kanak-kanak. Kena beli kalau nak main dan dibuat segala bentuk iklan untuk lemahkan akal dari menahan keinginan memilikinya. 

Maka menjerit lah anak-anak mahukan permainan dan akhirnya dapat juga. Main sampai rosak dan menjerit mahu lagi. Kena keluarkan duit pula untuk beli yang baru.

Bermula dari situ makin banyak ciptaan manusia di lambakkan ke pasaran. Permainan, makan minum, peralatan yang boleh didapati terus dari alam ciptaan Tuhan jadi kolot. Orang tinggalkan semua itu untuk kejar apa saja peralatan, makanan, permainan, kemudahan yang manusia telah cipta dan hasut semua masyarakat memakainya. Kononnya lebih cekap, lebih moden dan lebih maju. Dan manusia percaya.

Kenderaan di cipta, mulanya basikal saja. Sekali beli dah boleh pakai mungkin sampai mati. Masih agak selamat. Kemudian di reka motosikal. Sekali beli kena selenggara dan kena isi bahan bakar, dah kena keluarkan duit sampai bila-bila selagi masih nak pakai kenderaan tu. Duit makin banyak diperlukan untuk bayar kepada manusia lain.

Bila duit diperlukan, manusia mula perlu cari banyak duit secara konsisten sebab dah mula terikat dengan seribu satu macam produk dan kos untuk pastikan ia dapat digunakan secara berterusan. Kenderaan, telefon, letrik, air, permainan, komputer, line internet smart phone, ansuran rumah, ansuran kenderaan, ansuran perabut ...

Semua itu tapakkan duit. Maka kena kerja tanpa henti untuk terus cari duit dan bayar produk yang dibuat di kilang yang mana dia sendiri kerja kilang tu untuk dapat gaji dan beli produk yang dia sendiri tolong buat dan berterusan begitu dari ayah kepada anak kepada cucu kepada cicit .. dan manusia makin menjauhkan dirinya dari Tuhan sebab terlalu bergantung kepada segala keperluan ciptaan manusia.

Yang menguasai semua barang, perlatan, makanan, kemudahan dan lain-lain seumpamanya hanyalah dalam 1% ke 3% peratus manusia di atas sana sahaja. Mereka tak pernah kerja. Begitu juga anak dan cucu mereka. Semua manusia di muka bumi ini dijadikan sebagai hamba dalam permainan gila mereka sebagai golongan elit.

Masihkan manusia tidak sedar?

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Semakin moden, manusia semakin bergantung kepada barang ciptaan manusia

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !