Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, November 2, 2023

Petua untuk anak muda yang mahu berkahwin tetapi masih tak kahwin-kahwin lagi

  Anonyme       Thursday, November 2, 2023


Sedikit perkongsian tentang berfikiran positif. Kisah ini adalah pengalaman dalam bab nak kahwin yang telah saya lalui. Bagi yang belum berkahwin, saya tujukan artikel ini khas untuk anda.

Sembang urusan kahwin ni, kalau umur masih muda mungkin mendirikan rumah tangga bukan satu desakan sangat. Tapi kalau dah berumur, ia jadi satu liabiliti yang dipikul bahu kemana saja anda pergi.

Saya rancang untuk kahwin pada umur 25 tahun. Itu umur yang dikira sesuai bagi seorang lelaki pada pendapat saya. Malangnya perancangan tersebut tak menjadi. Saya kahwin lewat 8 tahun daripada yang dirancangkan.

Punca kahwin lambat

Dulu saya tak sedar dan tak ambil peduli kenapa jadi begitu.

Bila pandang kembali ke belakang saya mula terfikir kenapa pada umur 33 saya boleh kahwin dan bukan pada umur 25. Sedangkan semua halangan yang dihadapi adalah sama saja malah pada umur 33 tahun halangannya lebih mencabar.

Salah satu punca utama yang saya rasakan menyumbang kepada tak dapat kahwin adalah sikap atau cara saya berfikir.

Sekarang baru sedar bahawa sikap positif membuatkan saya maju setapak mendapatkan apa yang saya mahu. Sikap dan fikiran negatif pula membuatkan saya berhenti atau berundur dari meneruskan hasrat hati saya.

Secara ringkasnya begini.

  • Anda ada keinginan untuk menjayakan sesuatu.
  • Bersikap positif sepanjang jalan membuatkan anda maju selangkah demi selangkah menuju ke arahnya.
  • Bersikap negatif pulak membuatkan segalanya terhenti, tiada kemajuan dan impian tersadai begitu saja.

Positif sepanjang perjalanan

Saya berikan gambaran apa yang dimaksudkan sebagai sikap dan fikiran positif sepanjang perjalanan mendapatkan apa yang disasarkan dalam urusan nak cari pasangan dan dijadikan teman hidup.

Proses mengorat

Tak ada lelaki yang tak pernah berkenan pada seseorang wanita. Tentu ada sesekali terdetik dalam hati ingin mengenali seseorang wanita yang samada paras rupa, sopan santun, atau budi pekertinya menambat hati.

Kalau kita jenis yang bersikap negatif, timbul bisikan “takkanlah dia akan berkenan dengan orang macam aku?”.

Rasa ragu-ragu itu jika dilayan akan terus membuatkan langkah seterusnya terhenti. Tapi jika rasa ragu itu ditangani, samada jumpa kawan yang berpengalaman atau berdialog dengan diri sendiri, sehingga keyakinan kembali pulih, akan timbul fikiran positif kembali.

Bila ada positif, cara berfikir akan berubah, “lebih baik aku cuba daripada menyesal tak mencuba, untung-untung dia terbuka dan menerima aku” 

Itu mampu membuatkan anda melangkah ke depan dan tup! rupanya ada peluang.

Proses melamar

Bila dah berdepan dengan orang yang anda suka, bagus pula responnya. Dia bersungguh-sungguh agar anda bertemu ibubapanya.

Timbul pula satu cabaran yang membuatkan anda gelabah. Anda bayangkan bapanya bermisai lentik, garang merenung tajam berkata “NO WAY!!!”.

Jika terus layan perasaan negatif itu, andaa mula menjauhkan diri berundur ke belakang sehinggalah akhirnya ada orang lain yang kebas awek itu.

Anda boleh saja berfikiran positif. Bayangkan sambutan mesra ayahnya dan mengharapkan agar segera dihantar rombongan satu kampung untuk melamar secara formal.

Itu membuatkan anda rasa nak hidupkan enjin kereta memecut terus menuju ke rumah awek dan bertemu ibubapanya. Timbul rasa yakin untuk pergi bertemu keluarga wanita tersebut dan bila ke sana, keyakinan anda sangat membantu. 

Alangkah leganya bila sampai yang kahadiran anda memang dinantikan dengan pesanan, “bawalah rombongan masuk meminang segera!”.

Proses bertunang

Semua orang kata sekarang ini ibubapa suka letak belanja dan wang hantaran terlalu tinggi sedangkan anda bukannya berada. Wang simpanan pulak tak seberapa, tak payahlah pergi lagi tunggu dan tunggu.

Fikiran negatif sebegitu membantutkan perjalanan usaha untuk berkahwin anda.

Jika mahu bersikap positif, anda akan berkata walau dia letak belanja RM100 ribu pun akan aku usahakan sampai dapat. Tak ada siapa yang boleh menghalang aku teruskan hasrat murni ini.

Lalu anda melangkah setapak lagi ke depan dan alangkah terkejutnya bila wang hantaran hanyalah RM10 ribu!, tak lah banyak sangat, proton paling murahpun lebih RM20k.

Kan mudah begitu?

Proses Akad Nikah

Bagi anak muda, bayangan proses akad nikah amat menyeramkan.

Setiap kali terfikir anda sedang menghadap, lutut bertemu lutut dengan Tok Kadi sambil beliau menggengam kuat tangan dan menggoyangkannya, peluh mula menitis pada dahi. Rasa nak pengsan dan terus tak ingat nak kata apa.

Semua soalan Tok Kadi pula tak dapat dijawab, rukun nikah anda kata ada 13 dan berbagai perkara bodoh lagi dilakukan ... itu semua fikiran negatif yang membuatkan anda mencari alasan untuk menagguhkan perkahwinan

Jika positif, anda berazam untuk bersedia dengan semua kemungkinan. Kalau tak tahu, jawab saja tak tahu dan janji akan beli buku untuk belajar atau cari dalam internet atau tanya kawan seorang ustaz, tentu Tok Kadi terangguk-angguk kagum.

Kalau terpaksa ulang ijab kabul sampai seribu kalipun tak apa asalkan semuanya selesai hari itu juga. Bayangan positif sedemikian akan membuatkan anda terus ke hadapan.

Alangkah leganya bila anda hanya terpaksa ulang ijab kabul sebanyak 11 kali sahaja, bukankah itu lebih baik daripada 20 kali?

Anda mesti berfikiran positif !

Segera berfikiran positif

Akhirnya, sah sudah hubungan suami isteri jika segalanya berjalan dengan anda sentiasa bersikap positif. Sebab itu saya katakan setiap kali anda befikiran positif anda akan terus melangkah ke depan dan ke depan sehingga tercapai matlamat.

Begitu juga dalam segala hal yang lain. Sikap itulah yang membawa kepada keadaan diri anda sekarang samada berjaya atau tidak.

Selepas sah menjadi pasangan suami isteri pulak jangan lupa letakkan matlamat akan mengekalkan perhubungan itu sehingga ke anak cucu atau sehinggalah salah seorang pergi dahulu.

Pegang matlamat tersebut kuat-kuat dan bersikap positiflah selama melayari bahtera rumah tangga walaupun ribut tropika melanda. Andaikata matlamat itu anda lupa, rumah tangga akan berantakan.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Petua untuk anak muda yang mahu berkahwin tetapi masih tak kahwin-kahwin lagi

Previous
« Prev Post

4 comments:

  1. berusahalah dengan gigih baik mengumpul duit atau berdoa sungguh-sungguh agar jodoh dipermudahkan...itu saya pandangan saya untuk anak muda yang mahu menamatkan alam bujang

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya ! rajin lah berdoa agar Tuhan permudahkan, insyaallah !

      Delete
  2. Pihak perempuan dan pihak berotoriti pula jgnlah mempersulit bahkan permudahkan. Mudah mudahan dipermudah Tuhan dan diberkati.

    Anak perempuan saya nikah, takder hantaran. Maskahwin pun pihak lelaki decide, RM300. Anak dah 2 skrg.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setuju 100%. Moga Allah berkati tuan sekeluarga !

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !