Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, December 7, 2023

Semalam bagi orang tua adalah sejarah bagi anak muda - Propaganda Media & Hiburan

  Mohd Shubhi       Thursday, December 7, 2023


Semalam saya tonton filem mengisahkan seorang ayah yang tinggal seorang diri di perkampungan setelah kematian isterinya. 

Anak-anaknya semua sudah mendirikan rumah tangga dan berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki dan meneruskan kehidupan mereka masing-masing.

Satu hari, si ayah cedera di kaki setelah ditimpa kemalangan, maka dia terpaksa di bawa ke bandar untuk tinggal bersama salah seorang dari anak lelakinya di sana. Dari situ bermulalah konflik antara amalan kehidupan anak-anak yang sudah jauh berbeza dengan si ayah yang masih terikat dengan amalan di zamannya.

Isteri kerja suami jaga anak

Kejutan pertama yang amat ketara yang dilihat berlaku pada anak lelakinya adalah perubahan tanggung jawab yang sudah bertukar. Anak lelakinya sebagai suami yang sepatutnya menjadi sumber kekuatan keluarga, yang biasanya keluar rumah dan bawa balik keperluan makan dan minum keluarga, bertindak sebagai suri rumah.

Suami memasak sediakan makan dan minum anak-anak, pastikan mereka ke sekolah, menguruskan perihal rumah tangga, kemas dan cuci pinggan dan pakaian dan duduk melihat semua kerja sekolah anak-anak.

Isteri kepada anak lelakinya itu pula yang keluar pagi dan pulang lewat petang, adakalanya malam, bertindak sebagai pencari rezeki untuk di bawa pulang buat satu keluarga. 

Sebagai pencari rezeki keluarga, kelihatan menantunya sangat menguasai keluarga dalam menentukan perkara-perkara penting dalam rumah tangga, sedangkan dia seorang wanita. Apa saja yang suami nak buat perlu dibawa berbincang terlebih dahulu dengan isteri untuk mendapatkan kata putus.

Sudah tentu amalan keluarga sedemikian adalah jauh berbeza dengan apa yang si ayah lalui ketika zamannya.

Si ayah cuba menegur anak lelakinya untuk betulkan keadaan yang dia lihat sudah terbalik.

Anak lelakinya tak mampu buat kerja lelaki seperti potong kayu, tebang pokok, baiki kereta, bersihkan bumbung rumah dan lain-lain kerja kasar yang khas untuk lelaki. Bila ditegur, anak lelakinya kata tak perlu buat sendiri semua kerja itu sebab boleh upah orang untuk lakukan semua kerja kotor dan berat.

Anak lelakinya juga tak tahu bawa kereta manual lama yang ayahnya bawa dari kampung. Anak lelakinya akan ke kedai beli barang keperluan dengan menaiki basikal sahaja sebab si isteri yang bawa kereta untuk pergi kerja. Itu juga kelihatan sangat pelik buat si ayah tua tersebut.

Nak dipendekkan cerita, terlalu banyak yang berlaku dan lintang pukang rumah tangga anaknya itu sehingga akhirnya si ayah melarikan diri pergi ke pusat penjagaan orang tua. Masa perjalanan menuju ke sana lah si ayah mula membuat refleksi terhadap apa yang berlaku.

Semalam bagi diriku hanyalah sejarah bagi mereka.

Ungkapan itu dibuat oleh ayahnya dalam menerima hakikat perbezaan cara hidup zamannya yang dirasakan baru semalam sedangkan buat anak-anaknya, itu sudah menjadi satu sejarah. Dunia sudah berubah.

Orang tua mengalah

Cerita itu ada happy endingnya, seperti semua cerita yang ada. Menantunya mula sedar yang dia terlalu keras dengan bapa mertuanya. Si anak lelaki pula bersabar dan menerima perbezaan mereka dan akhirnya mereka ambil semula ayah untuk tinggal sekali dan masing-masing hidup bahagia sesuai dengan zaman ini.

Zaman di mana suami memasak, ajar anak-anak memasak, beri tuition kepada anak-anak dalam bab pelajaran, mengemas, membersihkan pinggan dan si isteri keras mengejar kerjaya, mendapat gaji tinggi dan memberi arahan dengan lantang terhadap suaminya yang penyabar dan tenang.

Media sumber propaganda

Cerita tersebut nampak realistik dan menyenangkan apabila konflik dua zaman akhirnya bersatu semula membentuk sebuah keluarga yang bahagia.

Tapi hakikatnya ia hanyalah satu propaganda dunia moden untuk mengubah cara kehidupan manusia sesuai dengan apa yang dunia moden mahukan. 

Bagi dunia moden, manusia hanyalah satu sumber untuk digunakan dalam aktiviti pengeluaran mereka yang berprinsipkan lebih banyak lebih bagus. Kemajuan adalah diukur berdasarkan kuantiti dan bukanlah berdasarkan kualiti.

Untuk menguasai tenaga pekerja agar lebih mudah dikendalikan, para pekerja wanita diperlukan. Jika digunakan tenaga kerja lelaki, yang memang keras dan lebih sukar di kawal, penguasaan terhadap pekerja adalah lebih sukar. 

Maka propaganda untuk menerima perubahan bahawa perempuan juga mampu menggantikan suami untuk keluar pagi, balik malam, pergi cari makan adalah sesuatu yang lazim dan perlu diterima oleh masyarakat.

Satu lagi strategi untuk menguasai manusia atau rakyat adalah dengan memegang kaum wanita. Kuasai wanita, maka lelaki akan tewas dan tidak mampu berfungsi dengan baik lagi sebagai mana seorang lelaki.

Jika dulu wanita bergantung kepada lelaki, iaitu suaminya dalam hal ehwal kehidupan dan keselamatan, tugas itu diambil alih oleh kerajaan yang menjaga hak kaum wanita. Bila wanita rasa selamat ada kerajaan yang melindunginya, maka dia sudah tidak bergantung harap kepada lelaki lagi dalam kehidupan jangka panjangnya. Kalau perlukan hanya sekadar memenuhi keinginan seks saja. Itupun untuk yang masih percaya kepada pegangan agama.

Kaum lelaki makin lama makin tidak dihormati oleh kaum wanita yang sudah terpedaya dengan propaganda moden ini. Itulah yang berlaku kepada anak lelaki dalam cerita di atas tadi. 

Semua perubahan itu hanya satu cubaan menafikan fitrah kejadian antara kaum lelaki dan kaum wanita yang berbeza. Makin lama makin menjadi-jadi amalan menentang fitrah ini dan semua boleh lihat apa yang sedang berlaku pada masyarakat moden di seluruh dunia sekarang.

Saya hanya cuba memahami keadaan masyarakat yang saya ada di dalamnya sekarang. Bukan nak cuba ubah atau nak tanam kesedaran pada orang ramai. Tak ada apa-apa yang mampu menentang kerosakkan yang sedang berlaku selain dari Tuhan saja yang mampu mengubahnya.

Apa yang mampu anda buat jika mahu selamatkan diri adalah dengan hidup di kampung atau masyarakat yang paling tidak moden yang ada. Lagi lambat kawasan itu menerima pembangunan, lagi selamat manusia yang tinggal di dalamnya.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Semalam bagi orang tua adalah sejarah bagi anak muda - Propaganda Media & Hiburan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !