Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Tuesday, May 20, 2008

Mengimbau 10 tahun lalu

  Mohd Shubhi       Tuesday, May 20, 2008
"Engkau buat apa bihi...?", tanya kawan saya.
"Aku jual baja" jawab saya.
"Laaaa...mai ikut aku ke KL la, bagi la budak lulus darjah enam buat kerja jual baja tu, hang patut buat benda lain" balas kawan saya.
Itulah perbualan saya dengan salah seorang kawan 10 tahun dulu di kampung Kubang Semang. Kawan saya tu satu sekolah dan satu kelas dengan saya ketika kami sama-sama belajar di Sekolah Menengah Penanti.
Selepas SPM saya melanjutkan pelajaran ke luar negara manakala dia menghabiskan zaman mudanya di Malaysia dengan merempit (Dia memang kaki motor), sambung belajar, bekerja, berhenti kerja kemudian berniaga.
Bila saya tamat belajar dia sudah agak berjaya dengan perniagaannya dan saya baru hendak berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.
Ajakan dan kata-kata kawan saya itu terdetik juga di fikiran saya. Itulah permulaan saya berhijrah ke KL dan bekerja dengan syarikat kawan tersebut untuk menimba pengalaman.
Saya datang ke KL pada tahun 1999. Kedatangan saya adalah hasil dari ajakan kawan saya itu untuk bekerja di dalam syarikatnya yang pada ketika itu sedang menyiapkan satu projek di KLCC.
Saya melibatkan diri dalam projek itu dan bertungkus lumus cuba menghabiskan projek tersebut yang telah tertangguh dari tempoh siapnya.
Sambil itu saya cuba mendalami bidang perniagaan kawan saya tersebut dengan hasrat mungkin saya akan membuka cawangan di pulau pinang tempat saya tinggal apabila saya pulang kelak. Asal tujuan saya ke KL pun begitulah, bila habis saja projek di KLCC tu saya akan pulang semula ke Pulau Pinang untuk memulakan perniagaan baru.
Setelah hampir setahun saya berada di syarikat kawan saya itu, kegawatan ekonomi turut melanda syarikat kawan saya. Saya terpaksa mencari sumber kerja yang lain.
Tiada keputusan yang pasti ketika itu, saya ada memberikan Resume saya pada seorang kawan, Norizan namanya, yang bekerja di syarikat Ericsson yang membuat telefon bimbit di Shah Alam.
Ketika itu kilang tersebut sedang mencari ramai pekerja baru yang diperlukan untuk pembesaran perniagaannya. Saya dipanggil untuk temuduga dengan pengurus kilang tersebut.
Sayapun tidak menyangka mereka berminat untuk memanggil saya temuduga, lagipun pengalaman bekerja saya tidak cocok untuk kerja yang saya minta.
Saya pula pada ketika itu tidak berapa mengharap sangat untuk bekerja makan gaji, saya lebih berminat untuk bekerja sendiri. Saya hadir juga temuduga tersebut dan bertemu dengan seorang Benggali iaitu pengurus jabatan Perancangan dan Logistik di kilang itu.
Mereka memerlukan seorang eksekutif perancang operasi, itu yang diberitahu oleh kawan saya sebelum menghadari temuduga.
"Hang goreng sajalah, katakan yang hang biasa dengan kerja tu" kata Norizan kawan saya itu.
Dalam temuduga saya jawab semua soalan dengan cukup yakin, tiada lansung perasaan gugup, lagipun tiada apa yang saya nak rugi samada diterima atau tidak.
Bila ditanya tentang gaji saya minta ala kadar saja, tak demand lansung. Bila ditanya bila boleh mula kerja, saya jawab bila-bila saja.
Habis temuduga saya pulang ke rumah sewa saya di USJ 12. Saya berkemas barangan saya merangka untuk pulang ke kampong. Waktu itu bulan puasa dan raya lagi seminggu.
Saya bercadang untuk balik raya di kampong dan tak datang lagi ke KL. Saya nak cari makan di Kampong saja.
Keesokan harinya saya berangkat balik kampong dengan kereta proton saga saya. Barang saya sarat di belakang. Dalam perjalanan saya yang masih lagi dalam kawasan Selangor, telefon bimbit saya berbunyi.
Benggali yang temuduga saya itu menelefon saya. Dia beritahu yang saya diterima untuk bekerja di Ericsson dan menyatakan gaji yang ditawarkan. Jumlahnya jauh lebih banyak dari yang saya minta.
Saya minta tempoh untuk memikirkan tawaran itu darinya dan akan memberi jawapan lepas raya. Dia jawab "No, I need the answer now, either accept or not accepted, If you accept, you must start working after raya" kata Benggali itu.
Mendengar itu saya pun terus berkata yang saya setuju dengan tawaran tersebut dan akan mula bekerja sebagai mana yang dia minta.
Sambil saya meneruskan perjalanan fikiran saya melayang cuba merasionalkan apa yang telah berlaku. Saya berkata dalam hati, biarlah saya bekerja di KL dulu di Ericsson, sambil mengenal pasti perniagaan apa yang nak saya ceburi.
Lagipun di KL saya dapat meluaskan pergaulan dan pengetahuan saya, penting untuk berjaya dalam perniagaan. Kereta saya meluncur laju ke utara dan saya menuju pulang dengan satu keazaman yang baru dalam menempuh hari-hari yang akan mendatang.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Mengimbau 10 tahun lalu

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !