Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, August 7, 2008

Cobaan Kehidupan

  Mohd Shubhi       Thursday, August 7, 2008
Sabtu lalu 2/8/08, selepas menghadiri perjumpaan anjuran Dewan Perniagaan Islam Malaysia di Hotel Vistana saya singgah menziarahi seorang kawan yang tinggal di keramat. Saya teringat untuk menjenguknya untuk bertanya khabar tentang kesihatannya yang kurang baik akibat dari penyakit yang dihidapinya. Kawan saya itu dulunya merupakan seorang usahawan yang berjaya dan juga merupakan seorang aktivis politik yang hebat. Namun lumrah kehidupan seumpama air laut ada pasang ada juga surutnya. Sekarang ini merupakan zaman surut lautan kehidupannya. Perniagaannya jatuh bertimpa-timpa semakin ke bawah sehingga waktu ini masih mencari-cari dasar untuk menghulurkan kakinya agar dapat dia menerjah naik semula ke permukaan. Saya kurang pasti samada dia telah menemui dasarnya untuk melonjak semula. Cuma takut-takut kalau dia rasa selesa berada di dasar yang telah ditemuinya dan mahu menetap disitu, tentu lemas nanti tak bernafas.

Semenjak kejatuhan perniagaannya itu kesihatannya juga terjejas yang menambahkan lagi parahnya. Melalui kawan-kawan yang lain saya mendapat tahu bahawa ketika zaman kejayaannya dia merupakan seorang usahawan yang berhati mulia yang sentiasa membantu orang lain untuk Berjaya dalam kehidupan. Sudah banyak kawan-kawan yang merupakan anak didiknya dahulu yang kini telah menempa kejayaan dalam perniagaan masing-masing. Hasil dari pengamatan saya banyak kawan-kawan yang dididiknya mewarisi cara dan gaya kawan saya berkomunikasi. Gaya mereka menganalisa juga saling tak tumpah sepertinya. Saya diberitahu juga yang dia dahulu tidak pernah berkira wang ringgit, pantang didengarnya orang susah nescaya ringan tangannya menolong. Pernah juga saya bertanya padanya apa agaknya kesilapan yang dian lakukan yang menyebabkannya jatuh. Katanya mungkin salah satu daripadanya ialah disebabkan sikap yang tidak berkira atau menolong orang lain dengan cara yang tidak berhemah.

Saya sampai dirumahnya dalam waktu asar. Setelah memberi salam saya lihat dia keluar sambil terhencot-hencot manahan sakit. Kedua belah kakinya di salut dengan sarung kaki yang tebal. Mukanya kelihatan pucat. Masih belum lega lagi rupanya. Saya harap dengan lawatan saya itu sekurangnya dapat memberikan kelegaan moral kepadanya. Kami berbual sebentar di luar rumahnya sambil duduk. Tiba-tiba terkeluar dari mulutnya cerita tentang seorang kawannya yang tinggal tak berapa jauh dari situ yang sedang jatuh sakit. Dia ajak saya pergi melawat kawannya itu kalau-kalau kami dapat membantunya. Saya pun bersetuju untuk pergi melawat kawannya itu bersamanya. Ketika menunggu dia bersiap saya berkata dalam hati, rupanya sifat dia membantu orang masih utuh dalam jiwanya, walaupun dia lebih layak ditolong, namun dia masih mendahulukan orang lain, sedangkan dirinya sendiri dia tidak pernah meminta ditolong. Saya terharu rupanya masih ada manusia yang sebegini di zaman kita ini. Orang-orang beginilah yang kita menumpang rahmat Allah diturunkan terhadapnya. Moga kawan saya ini mendapat gangaran yang setimpalnya di dunia dan juga di akhirat.

Kami menaiki kereta menuju ke tempat kawannya itu. Di dalam kereta dia menceritakan serba sedikit tentang sahabatnya itu. Namanya Fauzi. Dia merupakan seorang India yang pada asalnya merupakan seorang pemuda yang beragama hindu. Fauzi satu hari mendapat hidayah untuk menjadi seorang muslim melalui Tuan Guru Yusof Rawa. Fauzi ini dahulunya merupakan seorang penganut agama hindu yang bengis dan amat bencikan orang islam, namun kehendak Allah tiada siapa menduga yang akhirnya dia jatuh cinta dengan Islam.
Kami sampai di tempat Fauzi tinggal iaitu sebuah kedai makan mamak di mana dia bekerja menyara hidupnya. Sambil itu Fauzi juga amat cekap dalam bidang IT. Begitulah dia menambahkan pendapatannya untuk sesuap nasi buat meneruskan kehidupannya.

Sekarang ini dia mengalami masalah kesihatan yang memerlukan pembedahan untuk memulihkannya. Saraf tulang belakangnya mengalami kerosakan akibat tulang belakang berhampiran tengkuknya terseliuh dan menghimpit sarafnya. Keadaan ini amat serius dan memerlukan pembedahan segera, jika tidak Fauzi bakal lumpuh dari leher turun kebawah. Sekarang pun kedua tangannya telah mula kebas kebas dan keupayaan untuk dia berdiri lama amat terbatas. Dia menceritakan pada saya bertapa susah untuk dia rukuk dalam solatnya. Apatah lagi untuk melakukan kerja yang berat.

Saya lihat Fauzi amat cekal dalam menjalani kehidupannya. Merupakan satu kerugian kita sebagai orang islam membiarkan orang seperti Fauzi ini berada dalam ketidakupayaan sedangkan jika dia sihat tentu banyak sumbangan yang dapat diberikan pada agama.
Dia redha dengan ketentuan yang Allah berikan padanya. Untuk menjalani pembedahan dia memerlukan dalam 20 ribu ringgit, dia tak nampak jalan bagaimana dia dapat mencari jumlah wang sebanyak itu. Berbagai usaha dia lakukan termasuk memohon bantuan kepada baitulmal, namun pihak baitulmal mengecamnya sebagai india yang datang menipu untuk mendapatkan wang. Dia nampaknya kecewa dengan orang Islam sendiri. Saya melihat beginilah yang sering terjadi pada para muallaf yang menyebabkan mereka kembali tersesat. Kita yang Islam baka ini tak sensitive untuk menolong mereka.
Saya meminta nombor akaun Fauzi untuk saya cuba war-war kan, manalah tahu Allah mengerakkan hambanya yang lain yang sedang mencari peluang untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.
Saya ada mencatitkan maklumat nombor akaunnya pada sekeping kertas. Saya harap jika ada sesiapa yang terbaca kisah ini dan ingin menolong Fauzi untuk pembedahannya boleh komen pada artikel ini untuk saya paparkan maklumat Fauzi atau saya berika nombor Fauzi untuk dihubungi terus.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Cobaan Kehidupan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !