Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Monday, September 22, 2008

Bertemu Sheikh Abdullah Al- Harari

  Mohd Shubhi       Monday, September 22, 2008
Saya dan 5 rakan yang lain yang tadi sama-sama mengikuti kuliah Sheikh Abdullah di masjid At- Tauba tadi berserta tambahan seorang lagi rakan berbaris menunggu ketibaan Sheikh Abdullah ke rumah Hamzah. Di masjid tadi kami tak berkesempatan untuk bersalam dengam Sheikh Abdullah kerana terlalu ramai orang. Ini lah peluang kami untuk bersalam dengan Sheikh dan mencium tangannya untuk mendapat berkat Ulamak (Nota: Ada pandangan yang menyesatkan konsep Tabarruk ini, iaitu konsep mengambil berkat dari orang-orang tertentu).
Tidak lama kemudian kereta yang membawa Sheikh Abdullah tiba. Sheikh turun dari kereta bersama dengan beberapa orang pengiringnya. Kami di perkenalkan kepada Sheikh Abdullah seorang demi seorang. Kami seorang demi seorang bersalam dan mencium tangan Sheikh Abdullah. Sheikh Abdullah kelihatan begitu tenang dan amat bersih sekali. Dia sentiasa tersenyum sambil bersalaman dengan kami.
Tiba pada kawan kami yang terakhir (dia tak hadir ketika di masjid tadi), Sheikh Abdullah tiba-tiba bertanya padanya, "kenapa tak hadir di masjid tadi", kawan saya itu tergamam, dan seperti biasa sikap orang melayu dalam situasi begitu hanya tersenyum.
Saya terfikir dalam hati bagaimana Sheikh Abdullah perasan yang kawan saya tadi tu tak hadir masa di masjid tadi. Sedangkan kami berada jauh daripada Sheikh Abdullah nun di penjuru masjid dan lagi pun ada ramai orang di sana.
Selesai bersalam dengan kami semua, Sheikh Abdullah masuk ke dalam rumah. Kawan saya yang di tanyai Sheikh tadi terus terpancul dari mulutnya " macam mana Sheikh tahu yang aku tak pergi tadi ha...?", rupa-rupanya kami semua mempunyai soalan yang sama yang tak terjawab.
Kami beredar pulang ke rumah masing-masing selepas itu membawa bersama persoalan tadi. Saya juga pulang kerumah berjalan kaki sambil berfikirkan tentang peristiwa tadi. Sampai di rumah saya berasa tak senang duduk. Keinginan untuk pergi menemui Sheikh Abdullah dan duduk berhampiran dengannya membuak-buak dalam jiwa saya. Saya ingin menemuinya berdepan dan meminta dia mendoakan saya. Puas teragak-agak saya saya terus nekad keluar dari rumah menuju ke rumah Hamzah semula. Saya berjalan kaki perlahan-lahan menuju ke sana. Saya berfikirkan bagaimana nak mencari alasan untuk menemui Sheikh Abdullah. Biasanya para pengiringnya tidk membenarkan orang menemui Sheikh ketika dia berehat jika tidak ada perkara yang penting.
Sampai di depan rumah Hamzah saya mundar-mandir di kawasan itu tak berani nak ketuk pintu rumah. Agak lama juga saya mundar mandir di situ dan akhirnya saya batalkan hasrat saya dan mahu berpatah balik, tak berani saya nek ketuk pintu. Tiba-tiba pintu rumah Hamzah di buka. Saya berpaling melihat ke arah pintu tersebut dan kelihatan Abdul Rahman seorang berbangsa Jibouti menghulurkan kepalanya menjenguk keluar. Melihat saya di luar dia memanggil saya masuk. Saya menuju ke pintu dan bertanya padanya dia cari apa buka pintu tu...?, dia kata tadi Sheikh Abdullah tiba-tiba keluar dari bilik rehatnya, berjalan ke ruang tamu sambil duduk dan memanggilnya dan mengarahkannya untuk pergi buka pintu. Sheikh kata padanya buka pintu dan ajak pemuda yang kat luar rumah tu masuk. Maka sebab itulah Abdul Rahman buka pintu dan melihat siapa ada kat luar, dan kebetulah dia lihat hanya saya yang ada tercegat kat luar tu.
Saya hanya mampu berkata "Masyaallah..." lalu saya terus masuk diiringi Abdul Rahman menemui Sheikh Abdullah. Kelihatan Sheikh Abdullah sedang duduk di ruang tamu, saya menuju padanya dan terus bersalam sambil mencium tangannya. Saya duduk betul-betul berhadapan dengan Sheikh Abdullah sambil merenung mukanya. Saya rasa amat tenang sekali melihat Sheikh Abdullah.Sheikh Abdullah merenung muka saya agak lama hanya sekali, selepas itu dia lebih banyak memandang ke atas. Saya tak tahu nak cakap apa pada masa itu. Namun saya berterus terang yang saya teringin untuk menemui Sheikh Abdullah bersemuka.
Sheikh Abdullah bertanya kenapa saya datang dari Malaysia ke Perancis ?. Saya berkata saya datang untuk belajar di perancis. Tanya Sheikh lagi kenapa tak pergi belajar di Mekah. Saya kata memang teringin nak ke sana namun apakan daya tak kesampaian. Sheikh berkata insyaallah kamu akan ke sana suatu hari.
Kemudian Sheikh tanya apa tujuan saya menemuinya. Saya terus-terang yang saya mahu menemuinya semata-mata untuk meminta dia mendoakan saya, itu sahaja. Mendengar jawapan saya Sheikh Abdullah terus mengangkat kedua belah tangannya keatas seraya memuji Allah dan berselawat keatas junjungan mulia nabi Muhammad Solaallahualaihiwasala. Saya turut mengangkat kedua belah tangan saya untuk mengaminkan doanya. Sheikh Abdullah kemudian memohon semoga Allah mempermudahkan perjalanan hidup saya. Saya mengaminkannya dengan bersungguh-sungguh. Selesai doa saya mohon diri untuk pulang kerana tidak mahu mengganggu Sheikh Abdullah merehatkan diri. Saya bersalam dan mencium tangannya sekali lagi dan mengucapkan terima kasih padanya. Abdul Rahman mengiringi saya ke pintu untuk pulang. Saya rasa puas dan kagum dengan Sheikh Abdullah. Apabila saya memohon untuk dia mendoakan saya, pada masa itu juga dia mendoakan saya.
Saya berjalan pulang di tengah kesejukan malam itu dengan perasaan puas sekali. Itu lah serba sedikit pertemuan pertama saya dengan Sheikh Abdullah di Monpellier, France. Selepas pertemuan itu saya, bertemu sekali lagi dengan Sheikh Abdullah di Paris.
Saya meneruskan pengajian saya dengan Sheikh Khaled di masjid At-Tawba Montpellier, dengan lebih tekun.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Bertemu Sheikh Abdullah Al- Harari

Previous
« Prev Post

1 comment:

  1. Assalamualaikum w.b.h

    Saya doakan perjalanan hidup saudara sempurna dengan kebaikan dan kebajikan serta di berkati Allah.

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !