Jas duit

Jasduit - Just do it !

Wednesday, April 8, 2009

Memilih Nama Perniagaan Sesuai - Pastikan Ada Cerita Disebaliknya

  Mat Bihi       Wednesday, April 8, 2009
Sewaktu saya merantau seorang diri selama hampir 3 bulan di Eropah, banyak yang saya lihat. Antaranya adalah nama-nama syarikat asing. Kadang-kadang nama-nama syarikat ini menjadi penghibur untuk kita senyum keseorangan.
Sewaktu saya tiba di Luxembourgh sebuah negara kecil yang terletak diantara Jerman dan Perancis, saya ada kira-kira 5 jam untuk melawat bandar ini  sebelum menaiki semula keretapi menuju ke Paris. Saya terlihat sebuah van yang mempunyai nama yang sangat melucukan bagi saya. 
Nama syarikat van tersebut adalah MauDuit. Untuk menjadikan ceritanya lebih menarik, alamat website syarikat tersebut pula adalah www.mauduit.lu. Di Luxembourg penghujung alamat website mereka adalah dengan ".lu"
Saya kurang pasti apa reaksi orang Malaysia jika satu hari syarikat ini menembusi pasaran negara kita. 
Ini hanya pengenalan cerita, apa yang ingin saya ceritakan dalam artikel ini adalah tentang memilih nama perniagaan yang sesuai dan memastikan nama perniagaan ini mempunyai cerita disebaliknya. 
1. Kesesuaian Nama 
Pastikan nama yang kita pilih ini mempunyai cerita dan selain itu mudah disebut, mudah diingati, mudah dieja dan yang paling penting, mudah disebarkan.
Cuba sebut nama ini berulang-ulang, cuba taip nama ini, tanyakan pada orang dari taraf pendidikan yang berbeza dan tanya mereka, apa yang mereka rasa dan fikir sewaktu menyebut nama tersebut. 
Contohnya, sewaktu di UK dulu saya pernah mendaftarkan sebuah syarikat bernama Tefta Limited dan di Malaysia juga saya daftarkan nama tersebut sebagai Tefta Sdn. Bhd. Setelah sekian lama, ayah saya memberitahu saya bahawa nama ini agak tidak bagus kerana ia membawa bunyi "theft" atau kecurian dalam bahasa Inggeris. 
Sejak hari itu, saya kaji dan kaji, memang betul ada sejenis 'feeling' yang kurang baik apabila kita menyebut nama tersebut berulang-ulang. Paling tidak pun, orang akan teringat syarikat kita apabila melihat perkataan 'theft' atau 'thief'. 
Jadi nama ini tidak sesuai.
2. Terdapat domain name yang sesuai di internet
Setelah memilih beberapa nama. Googlekan nama yang dipilih itu di internet dan lihat juga samada alamat website untuk nama tersebut masih ada ataupun tidak.
Berikan prioriti kepada nama yang mempunyai penyudah .com atau .net. 
Alamat domain dan syarikat boleh berbeza. Dalam contoh saya, saya menggunakan syarikat saya Anzac Consultancy tetapi website saya mempunyai domain www.kursusborongchina.com. Saya memilih alamat ini kerana ianya lebih mudah untuk menyampaikan apa yang saya sajikan untuk pelanggan. 
3. Lihat latar belakang nama syarikat 
Selain itu, lihat juga syarikat-syarikat lain yang mempunyai nama yang sama atau hampir sama. Lihat latar belakang syarikat tersebut. Supaya pelanggan tidak tersalah anggap kita adalah syarikat tersebut.
Sebelum saya mendaftarkan syarikat Tefta seperti yang diceritakan diatas saya mempunyai perniagaan pertama saya dengan nama Shahab Media pada tahun 2002. Saya sangat menyukai nama ini. Saya juga pernah menerbitkan beberapa buah buku dan VCD Dokumentari menggunakan perniagaan ini. Malah perniagaan ini mempunyai permit dari KDN untuk menerbitkan majalah. Tetapi majalahnya tak pernah diterbitkan.
Namun nama ini pula mirip nama syarikat media penerbitan Al-Qaeda iaitu Sahab Media. Hampir setiap video yang memuatkan ucapan Osama bin Laden mempunyai logo dan nama syarikat ini. 
Jadi adalah penting kita lihat latar belakang nama syarikat kita dan juga nama-nama yang mirip kepada nama syarikat kita. Walaupun ini adalah perkara kecil, namun persepsi dan imej adalah perkara pertama yang akan menarik pelanggan untuk datang ke arah kita.
4. Cerita disebalik nama 
Manusia secara nalurinya minat kepada cerita. Malah setiap hari kita bercerita dan mendengar cerita dari orang disekeliling kita. Cerita adalah medium penghubung antara kita dan manusia lain. 
Adalah sesuatu yang bernilai sekiranya nama perniagaan kita mempunyai cerita disebaliknya. Cerita yang menarik dan bernilai baik akan membuatkan perniagaan kita mempunyai imej bayangan yang baik di minda pengguna.
Contoh nama-nama yang berjaya dihadapan kita adalah seperti Yahoo, Google, Celcom, Maxis, Vodafone, Air Asia, Mydin dan banyak lagi. Jika nak disenaraikan nama-nama yang tidak berjaya juga sangat banyak. 
Contohnya nama Yahoo! berasal dari ayat "Yet Another Hierarchical Officious Oracle". Nama yang dipersetujui oleh Jerry Yang dan David Filo pencipta laman ini kerana nama ini mempunyai nilai tenaga dan keseronokan. 
Orang selalu bertanya, ada apa pada nama ? Memang ada banyak perkara pada nama.
Shahabudeen Jalil
Kuala Lumpur 
08 April 2009
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Memilih Nama Perniagaan Sesuai - Pastikan Ada Cerita Disebaliknya

Previous
« Prev Post

1 comment:

  1. Nice! Benda ni nampak remeh. But actually still important.

    ReplyDelete