Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, June 11, 2009

Di Lanyak Treller Bawa Besi - Rahsia Takbir !

  Mohd Shubhi       Thursday, June 11, 2009

Peristiwa ini berlaku pada tahun 2002 ketika saya bekerja untuk syarikat Danzas Logistics (Sekarang DHL).

Hari itu Sabtu, saya kerja separuh hari di pejabat operasi kargo KLIA. Saya bergegas pulang apabila melihat jam sudah melewati pukul 2 petang dan isteri pula menunggu untuk makan bersama di rumah.

Dari KLIA ke Kampung Melayu Subang mengambil masa satu jam lebih, lalu saya pecut kereta Satria merah saya sebaik sahaja mengambil tiket di pondok tol KLIA.

Masih dalam kawasan sepang, saya melihat tanda jalan menunjukkan aktiviti baik pulih jalan sedang dijalankan di hadapan, saya masih lagi memecut. Meter kelajuan menunjukkan lebih kurang 115 km/j. Saya berada di lorong kanan.

Tak lama kemudian kelihatan tanda jalan memberi amaran lorong kanan ditutup dari tiga lorong kepada 2 lorong dan seterusnya ke satu lorong.

Kelihatan kon merah-putih tersusun mengarah kereta di sebelah kanan jalan masuk ke kiri. Saya sedang laju dan melihat di hadapan ada treller panjang agak laju berada di lorong paling kiri.

Nampak macam masih sempat memotong treller itu sebelum terperangkap di belakangnya apabila lorong menjadi satu, saya tekan pedal minyak makin dalam, dari 120km/j terus memecut dari lorong kanan. Hati kecil membisik tak sempat, tapi kaki terus menekan.

Masuk ke lorong dua mengikuti kon, beriringan dengan treller, jalan makin sempit, sudah tak sempat memotong treller, jalan sudah menjadi satu dan saya mengambil keputusan untuk melanggar sahaja kon yang tersusun tanpa menekan brek kerana takut hilang kawalan.

Kon saya langgar satu demi satu, melambung ke udara seperti cerita dalam filem. Kereta dan treller bersaing beriringan, treller itu laju rupanya dan dia lansung tak brek melihat saya di sebelah yang semakin menghampiri jentera binaan jalan yang banyak di hadapan.

Kereta saya masih laju dan saya terpaksa tekan brek untuk mengelak dari melanggar semua jentera berat di hadapan.

Sedikit sahaja brek di tekan, bahagian belakang kereta saya melongsor perlahan masuk ke dalam perut treller yang sarat dengan gulungan besi.

Saat itu, masa bagaikan terhenti. Detik demi detik saya melihat di tepi kereta saya di himpit badan treller, cermin belakang pecah satu demi satu, lalu tayar treller menghimpit dan menghantam dengan kuat bahagiang belakang kiri kereta saya dan kereta terpancul keluar semula dari perut treller itu.

Namun bahagian depan pula perlahan-lahan melongsor masuk ke dalam bawah perut treller, membawa bersama saya yang sudah tak mampu buat apa lagi.

Saya melepaskan stereng, meletakkan kaki kemas di lantai kereta. Saya bertasyahud perlahan-lahan, sambil menginsafi segala kejahatan saya, segala kesilapan saya, segala kealpaan saya. Saya amat menyesali semua itu. Saya tidak bersedia lagi, tiada bekalan yang saya ada.

Semua perkara buruk saya yang lalu datang mengimbau satu demi satu di dalam fikiran, sambil bahagian depan kereta satria yang rendah itu masuk perlahan-lahan ke perut treller, dan tayarnya yang besar terus memanjat bahagian depan kereta saya.

Naik ke depan hingga ke cermin, saya menahan nafas, bersedia menghadapi tikaman kaca dan tujahan besi.

Serentak dengan bunyi letupan kuat cermin dan besi yang hancur, saya bertakbir dengan kuat, agar diberikan kekuatan menahan kesakitan yang bakal di alami.

"ALLAHUAKBAR !!!",

Memang itulah yang berlaku, Maha Besar Allah, takbir saya di iringi dengan pantulan kereta yang tak semena-mena terpancul keluar ke kanan dan terus berkeadaan statik lansung tak bergerak.

Vroommm....lori terus kedepan, meninggalkan kereta saya yang remuk tak bergerak. Saya memandang kebelakang takut kalau ada kenderaan lain pula yang menghentam kereta saya dari belakang.

Kaca bertaburan di ribaan saya. Dalam ribuan pecahan kaca yang menghambur itu hanya satu sebesar biji gandum yang menurjah masuk di tepi antara jari anak dan jari manis tangan kanan saya. Darah meleleh sedikit. Selain itu semua anggota saya tiada apa-apa.

Banyak kenderaan dibelakang. Saya cuba membuka pintu, tak berjaya, saya menolak dan menendang, pintu terbuka dan saya terus keluar berlari ke arah divider dan terus duduk di situ.

Melihat kon yang bertaburan. Kereta saya yang ranap terus ke tanah. Sport Rim yang terbelah dua, sekeliling kereta remuk kecuali di bahagian pemandu. Saya menggigil tak terkawal. Tak mampu walau untuk menelan air liur.

Pekerja pembinaan jalan sedang lari menuju ke arah kereta saya beramai-ramai. Sampai di situ, mereka mendapatkan saya dan bertanya 'mana pemandunya ?'.. saya menunjukkan pada diri saya sendiri dan berkata perlahan "saya".

Semua yang berada disitu menggelengkan kepala. Seorang buruh indonesia menepuk bahu saya sambil berkata "banyak isinya di dalam ini"... saya faham maksudnya. Dia menyangka saya punya ilmu yang hebat.

Ya, saya punya satu ilmu yang amat hebat, paling besar, dan paling penting," La Ilaha Illallah "

Hanya saya yang tahu, apa sebenarnya yang terjadi. Yang pasti ada hubungannya dengan laungan Takbir saya.

Moga ada pengajaran pada cerita di atas.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Di Lanyak Treller Bawa Besi - Rahsia Takbir !

Previous
« Prev Post

1 comment:

  1. Salam.

    Pengalaman di anjung maut. Tiada maut sebelum ajal. Mesti banyak hikmah selepas kejadian.

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !