Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Tuesday, June 15, 2010

Kenang-Kenangan Hidup - Prof Hamka

  Mohd Shubhi       Tuesday, June 15, 2010
Buku tulisan Prof Hamka ini memang satu kenang-kenangan kehidupan penulisnya, ulamak tersohor dari negara jiran kita Indonesia, yang ditinggalkan kepada kita generasi yang baru sebagai contoh teladan mengharungi kehidupan.

Ia merupakan cerita biodata Prof Hamka sedari kecil bagaimana dia dibesarkan, suasana masyarakat di tempat dia membesar, suasana negara Indonesia semasa dijajah Belanda, kemasukan Jepun sehinggalah Belanda masuk semula dan berakhir dengan kemerdekaan Indonesia.

Jika kita biasa membaca tafsir Al-Azhar tulisan Prof hamka, kita akan dapati beliau merupakan ulama yang lebih cenderung kepada perkahwinan monogami. Dia tidak berapa menggalakkan poligami diamalkan. Dengan membaca riwayat hidupnya ini kita akan faham kenapa pendapatnya begitu. Dia mengalami sejarah hitam sejak kecil akibat dari amalan poligami ayahnya.


Ini menunjukkan ulama tidak dapat lari daripada mengeluarkan pendapat yang selari dengan suasana atau pengalaman peribadi ulama tersebut. Untuk perkara-perkara ranting kita sepatutnya terbuka dan bersedia merujuk kepada banyak pendapat agar ia selari dan sesuai dengan peribadi kita.


Walaupun Prof Hamka tidak banyak mempelajari secara terus dari ayahnya yang merupakan pelopor fahaman pembaharuan di Indonesia, namun Prof Hamka juga mempunyai pendapat yang sealiran dengan ayahnya, cuma dia tidak sekeras ayahnya. 

Dari segi keilmuan, ayahnya memang lebih hebat darinya kerana pembelajaran yang diikuti oleh ayahnya adalah formal dan teratur sehingga habis. Tapi Prof Hamka lebih kaya ilmunya dari segi kehidupan realiti akibat dari kedegilannya melawan arus dan beberapa kali melarikan diri merantau menimba pengalaman.

Prof Hamka tidak melibatkan dirinya dengan mana-mana parti politik, dia merasakan politik bukanlah medannya untuk berjuang, tetapi beliau memainkan peranan yang amat besar untuk kemerdekaan negaranya dengan menggunakan kelebihannya berpidato dan mempengaruhi masyarakat. Dia tidak teragak-agak terjun berjuang atas nama bangsa dan agama dengan mana-mana parti sekalipun. Perjuangan beliau yang hebat itu tidak mengharapkan ganjaran dari manusia, ia perjuangan atas kesedaran memikul tanggungjawab agama.

Kita akan melihat bagaimana Prof Hamka diuji, dia pernah dibenci oleh masyarakat sehingga orang ramai yang melintas dihadapan rumahnya meludah ke arah rumahnya kerana benci, ujian itu amat bermakna dalam membentuk peribadinya.

Jika anda mahu menyelami apa itu hidup dan berjuang, anda perlu membaca kisah ini, ia amat baik sebagai sumber inspirasi mengharungi kehidupan.

Selesai membaca kisah Prof Hamka, saya faham betapa jauh dan kecilnya diri saya.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Kenang-Kenangan Hidup - Prof Hamka

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !