Jas duit

Jasduit - Just do it !

Sunday, March 4, 2012

Ibn Athaillah Askandary - Pengarang Kitab Hikam

  Mat Bihi       Sunday, March 4, 2012
Saya ada pernah menulis beberapa tajuk menyentuh qada dan qadar sebelum ini dan menyebut perkataan popular daripada aliran mazhab Ahlissunnah yang menyatakan bahawa 'usaha tidak memberi bekas', malangnya ada beberapa kerat manusia yang menyerang menyatakan saya sesat...nauzubillah.

Ada satu kitab yang amat terkenal yang bertajuk Al-Hikam, sebuah tulisan Ibnu Athaillah Askandary. Kitab ini amat menarik untuk ditelaah bagi mereka yang menyerang saya. 

Saya yakin dengan membaca kitab tersebut sudah tentu mereka akan menyerang sebagai sesat pula pengarang kitab yang amat terkenal itu.

Berikut adalah ringkasan cerita pengarang kepada kitab itu:

Ibn Athaillah Askandary yang hidup pada zaman Dinasti Mamluk itu dapat merasai keadaan dan suasana kestabilan politik pada ketika itu. Oleh yang demikian tidak hairan jika beliau dapat memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaik-baiknya untuk mencapai cita-cita beliau dalam bidang ilmu pengetahuan, khasnya ilmu pengetahuan agama.

Kebudayaan dan tamadun Islam yang telah dibina pada zaman Rasulullah SAW berkembang dengan pesatnya pada zaman Kerajaan Bani Umayyah dan Kerajaan Bani Abbasiah itu bukan sekadar mempengaruhi kehidupan umat Islam seluruh pelusuk dunia malahan orang Kristian di Benua Eropah juga telah bangun kerana kejutan kebudayaan dan ketamadunan Islam.

Situasi ini disebabkan pada abad ke-7 Hijrah atau ke-13 Masehi, bangsa Eropah telah terlibat secara khusus dalam peperangan Salib. Hubungan mereka dengan tentera-tentera Islam dalam peperangan tersebut telah meninggalkan kesan yang besar terhadap ketamadunan bangsa Eropah.

Di Mesir sendiri pada akhir abad ke-7 Hijrah, tidak dapat dinafikan ia telah menjadi sebuah pusat kebudayaan dan tamadun Islam yang setanding pada ketika itu dengan Kota Baghdad dan beberapa kota yang lain di Sepanyol.

Beberapa kota besar di Mesir seperti Kaherah, Iskandariah dan lain-lainnya telah menjadi pusat perkembangan kebudayaan dan tamadun Islam pada masa itu.

PENDIDIKAN

Walaupun para sarjana yang pernah membuat kajian tentang biografinya menegaskan bahawa maklumat perkembangan awal hidupnya terlalu sedikit yang diperolehi, namun secara logiknya dapat kita mengandaikan bahawa beliau pada peringkat awalnya adalah mendapat didikan dan asuhan agama seperti juga kanak-kanak lain pada masa itu.

Berdasarkan kepada satu petunjuk bahawa keluarga beliau adalah ahli agama yang bijak dan terkenal pada masa itu. Sebagai seorang kanak-kanak yang terdedah dengan pengajian tradisional Islam, beliau mempelajari ilmu yang berkaitan dengan Fardhu ’Ain, membaca, menulis, menghafaz al-Quran dan sebagainya lagi.

Apabila umurnya meningkat remaja, beliau telah mempelajari berbagai cabang ilmu Islam yang pada lazimnya dipelajari oleh para pemuda pada masa itu. Sesuai dengan zaman tersebut, Kota Iskandariah merupakan salah sebuah pusat kegiatan ilmu pengetahuan yang penting di Mesir sehingga menjadi tumpuan para ilmuan pada ketika itu.

Antara bidang ilmu yang berkembang pesat di Kota Iskandariah pada ketika itu ialah ilmu fiqh, ilmu hadis, ilmu usuluddin dan tidak ketinggalan juga dengan ilmu tasawuf . Ibn Ataillah mempelajari ilmu-ilmu zahir seperti feqah, tafsir, hadis, falsafah dan lainnya dari sebuah madrasah fiqh mazhab Maliki yang terkenal di Iskandariah pada masa itu.

Madrasah ini diasaskan oleh oleh seorang ulama yang terkenal dalam Mazhab Maliki iaitu Syeikh Abu Hassan al-Ibyari yang meninggal dunia pada pada tahun 618H. Ibn Ataillah sangat bertuah kerana sempat berguru dengan ramai ulama terkenal.

Dalam ilmu fiqh, beliau berguru dengan seorang ahli fiqh terkenal bernama Syeikh Nasir al-Din Ibn Munir. Manakala dalam bidang ilmu hadis pula beliau berguru dengan Syeikh Shihab al-Din Abu Ma’ali yang terkenal dengan gelaran Syeikh al-Abraquhi.

Dalam bidang nahu dan tata bahasa Arab, beliau berguru dengan Syeikh al-Muhyi al-Mazuni, seorang ulama yang setaraf dengan Syeikh Ibn al-Nuhas yang terkenal di Mesir pada ketika itu. Ibn Ataillah juga pernah berguru dengan al-Syeikh al-Imam al-Syaraf al-Din al-Dimyati yang hidup antara tahun 613-705 H. 

Manakala dalam bidang usul fiqh, tauhid, falsafah, dan mantiq pula, beliau pernah berguru dengan Syeikh Muhammad Ibn Mahmud yang terkenal dengan gelaran Shamsuddin al-Isbahaniy.

ULAMA FIQH MAZHAB AL-MALIKI

Berdasarkan kepada beberapa fakta yang berkaitan dengan kegiatan beliau seperti yang telah dihuraikan di atas, maka tidak menghairankan bahawa Ibn Ataillah semasa mudanya sudah menjadi seorang ahli feqah yang terkenal dalam mazhab Maliki, sebelum menceburkan diri dalam ilmu dan amalan tasawuf.

Semasa bergiat aktif dalam bidang fiqh, beliau banyak memberikan fatwa tentang hukum hakam kepada orang ramai. Seperti ulama-ulama lain dalam bidang fiqh, beliau sering meragui kebenaran ilmu dan amalan tasawuf.

Beliau sering mempertikaikan kedudukan ulama tasawuf dan para pengamalnya. Tidak salah jika dikatakan Ibn Ataillah adalah salah seorang yang lantang menentang ilmu tasawuf, khasnya ilmu tasawuf yang dipelopori oleh Tariqah al-Syadziliyyah.

MENJADI ULAMA TASAWUF

Allah SWT telah menentukan bahawa Ibn Ataillah menjadi seorang tokoh ilmu tasawuf yang masyhur. Keraguannya terhadap kebenaran ilmu tasawuf amnya, dan terhadap Syeikh Abu al-’Abbas al-Mursi khasnya, telah bertukar menjadi keyakinan yang teguh dan kental.

Perubahan tersebut adalah disebabkan oleh desakan batinnya yang sentiasa ingin mengetahui kemungkinan perkara yang ditentang selama ini dan dianggap sebagai salah itu adalah benar. Sejak pertemuan pertama tersebut, beliau terus mendapat didikan serta asuhan dari gurunya, al-Syeikh Abu al-’Abbas al-Mursi dalam ilmu dan amalan tasawuf khasnya Tariqat al-Syadziliyyah.

Beliau adalah murid kesayangan Syeikh Abu al-’Abbas al-Mursi. Hubungan mereka berdua sentiasa rapat sesuai dengan syarat dan prinsip-prinsip tariqah. Beliau mendapat didikan serta asuhan dari Syeikhnya selama kira-kira 12 tahun.

Dalam masa yang singkat Ibn Ataillah telah berupaya mengarang kitabnya yang tersohor dalam ilmu tasawuf iaitu ‘Al-Hikam’ semasa al-Syeikh Abu al-’Abbas masih hidup dan al-Hikam mendapat pengesahan dari Syeikhnya.

Satu babak baru dan mencabar dalam sejarah kehidupan Ibn Ataillah bermula apabila beliau berpindah ke Kaherah. Di sini beliau menyebarkan ilmu pengetahuannya, baik yang zahir mahu pun ilmu batin iaitu ilmu tasawuf.

Tentunya beliau menjadi orang penting (mursyid) dalam Tariqat Syadziliyyah, terutamanya setelah kewafatan gurunya Syeikh Abu al-’Abbas al-Mursi. Beliau bukan sahaja menyebarkan ilmu tersebut kepada orang ramai di tempat-tempat awam tetapi juga berkesempatan menjadi pensyarah di Universiti al-Azhar dan di Madrasah al-Mansuriyyah.

DIDIKAN DAN ASUHAN

Pengajaran dan asuhannya mendapat sambutan yang baik dari semua lapisan masyarakat Mesir, khasnya di Kota Kaherah. Beberapa tokoh terkenal merekodkan bagaimana keadaan dan suasana sambutan orang ramai terhadap pengajaran dan asuhan beliau itu.

Antaranya ialah Ibn Hajar al-’Asqalany menyebutkan: “Ibn Ataillah Askandary itu bersyarah dengan kata-kata yang melunakkan hati, di atas sebuah kerusi, di Universiti al-Azhar. Beliau menyulamkan ajaran ahli tasawuf dengan ajaran angkatan salaf dan kehalusan ilmu Islam, maka ramailah para pengikutnya.”

Ibn Ataillah berperanan penting meneruskan kesinambungan pengajaran dan penyebaran, asuhan dan didikan Islam khasnya dalam ilmu dan amalan tasawuf Tariqah al-Syadziliyyah. Malahan menurut catatan Dr Al-Taftazaniy, beliau sebenarnya berperanan penting mempopularkan gerakan tariqah-tariqah pada zamannya dengan mengajak orang ramai mengikuti Tariqah al-Syadziliyyah selepas ketiadaan syeikhnya. 

Malahan lebih jauh dari itu, Dr. Al-Taftazaniy berpendapat bahawa Ibn Ataillah adalah sebagai contoh yang ulung dalam bidang tasawuf di Mesir di akhir kurun ke-7 Hijrah dan pemimpin yang penting dalam pembentukan tariqat dan tasawuf aliran Syadziliyyah.

Dengan ketokohan tersebut, beliau dapat mempertahankan dan menangkis tohmahan yang ditujukan oleh golongan yang mempertikaikan ajaran tasawuf ke atas pengamal tariqat tasawuf khasnya Tariqat al-Syadziliyyah.

Hasil kesungguhan dan penat lelah Ibn Ataillah dalam usaha mendidik dan mengasuh murid-muridnya selama kira-kira 23 atau 24 tahun di Kaherah, maka lahirlah beberapa orang muridnya yang terkenal dalam usaha menyambung dan menyebar, mendidik dan mengasuh orang ramai dalam ilmu dan amalan Tariqah al-Syadziliyyah.

Antara murid-muridnya yang terkenal ialah
Syeikh Taqiy al-Din al-Subkiy (w.756H), ayah kepada Taj al-Din al-Subkiy, pengarang kitab Tabaqat al-Shafi’iyyah al-Kubra (w.771H), Syeikh Daud Ibn ’Umar Ibn Ibrahim al-Syadziliy terkenal dengan gelaran Ibn Bakhula, pengarang kitab al-Lata’if al-Mardiyyah dan al Syeikh Abu al-Abbas Ahmad Ibn Milaq al-Iskandari al-Usuliy (w.749 H).

TULISAN

Pengajaran dan asuhan yang dilakukan oleh Ibn Ataillah bukan sekadar lisan dan hal semata-mata, tetapi usaha tersebut meliputi juga dalam bidang penulisan. Selain dari murid-murid yang ramai, beliau juga meninggalkan kepada generasi kemudian, di Mesir khasnya dan bagi rakyat Malaysia amnya, karya-karya berharga dalam bidang ilmu pengetahuan khasnya dalam ilmu dan amalan tasawuf.

Antara hasil karya Ibn Ataillah yang berupa kitab dan risalah adalah:
  1. Al-Hikam (Kitab yang mengandungi adab-adab dalam ilmu tariqah dan tasawuf, ibadah, tawhid, zikrullah, maqamat, dan ahwal dan sebagainya)
  2. Al-Munajat (Sebuah risalah kecil yang mengandungi doa-doa. Risalah ini menurut Dr. al-Taftazaniy disusun oleh Ibn Ataillah ketika beliau mengarang dan menyusun kitabnya al-Hikam)
  3. Al-Wasiyyah (Sebuah risalah kecil mengandungi nasihat-nasihat yang ditujukan kepada para sahabat dan anak muridnya di Iskandariah. Al-Wasiyyah boleh didapati pada akhir kitab Lata’if al-Minan)
  4. Al-Tanwer fi Isqat al-Tadbir (Kitab ini mengandungi ajaran yang berkait dengan Tauhid Rububiyyah)
  5. Lata’if al-Minan (Kitab ini mengandungi biografi atau manaqib gurunya, Syeikh Abu al-’Abbas al-Mursi)
  6. Taj al-’Arus al-Hawi li Tahdhib al-Nufus (Kitab ini mengandungi nasihat dan panduan bagi ahli tasawuf, khasnya mengenai cara-cara mendapatkan tazkiyyat al-nafs)
  7. Al-Quds al-Mujarrad fi Ma’rifat al-Ism al-Mufarrad (Kitab ini mebicarakan tentang zat Allah SWT, sifat-sifat-Nya, nama-nama-Nya dan af’al-Nya dari sudut ilmu kalam dan pengalaman dhauqiyyah sufi)

KESIMPULAN

Ibn Ataillah Askandary adalah seorang tokoh yang terkenal di zamannya. Pengorbanan yang dilakukannya dalam bidang pendidikan dan asuhan telah melahirkan ramai golongan ulama terkemuka yang meneruskan kesinambungan budaya intelektual pada zaman berikutnya.

Tidak ketinggalan juga dengan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh beliau menerusi tulisannya khasnya dalam ilmu dan amalan tasawuf yang telah memberikan kesan yang sangat mendalam dalam hubungan dua hala dari sudut budaya dan ilmu di kalangan rakyat Malaysia sejak sekian lama....  Wallahua’lam.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Ibn Athaillah Askandary - Pengarang Kitab Hikam

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment