Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Friday, August 29, 2014

Buah yang anak anda tak pernah tengok

  Mat Bihi       Friday, August 29, 2014
Balik kampung baru-baru ini dapat peluang kutip buah yang mungkin anak-anak anda tak pernah tengok. Atau mungkin anda sendiri tak pernah tengok. Kalau anda tinggal di kawasan utara, atau terutamanya kawasan kampung saya di Pekan Penanti, tentu dah biasa tengok pokok serta buah ini.

Pokok buah ini hanya tinggal sebatang kat belakang deretan kedai di Pekan Penanti. Pokok itu masih berdiri kukuh dari saya kecil sampai sekarang ini. Tak ada sesiapa yang menebangnya. Saya tak pasti dia duduk atas tanah kepunyaan siapa.
Buah seralat

Bagus juga pokok tersebut masih kekal sampai sekarang. Bolehlah saya perkenalkan pada anak-anak saya pula. Macam mana saya cari makan masa zaman kanak-kanak dahulu. Bila musim buah itu jatuh, kami akan kutip bawa balik. Dapat makan buat tersebut rasa macam dapat makan buah epal.

Orang sekarang sombong dengan buah

Bukan mudah nak makan buah epal, limau atau anggur masa zaman kanak-kanak dulu. Entah berapa kali sahaja yang dapat makan sepanjang yang saya ingat ketika zaman kanak-kanak. Kalau nak merasa buah epal hijau atau limau sunkist, kena pergi tengok Tokong Cina di belakang kedai Ah Nyiok, kalau mereka letak, saya akan ambil bawa balik diam-diam untuk makan.

Jadi buah apa saja yang boleh makan, kami di zaman itu akan ambil dan makan. Sekarang saya lihat semua orang tak perdulikan lagi kesemua buah yang jatuh berderai di bawah pokok. Banyak yang busuk begitu saja dan tak ada siapa ambil peduli termasuklah kanak-kanak.
 Malah lebih sedih bila saya lihat buah rambutan, buah manggis buah mempelam dan banyak lagi buah yang dibiarkan jatuh tanpa ada siapa perdulikannya. Mungkin kita dah kaya raya ada banyak duit. Kalau nak makan pergi saja ke pasar malam dan beli satu ikat bawa balik.

Ramai orang mungkin dah malas nak bersusah payah kait buah sendiri. Lebih mudah pakai duit pergi beli dari orang yang rajin kait dan himpun serta menjual buah. Entah apa nak jadi pada orang ramai sekarang saya tak tahu, malas semakin menjadi-jadi. Orang yang rajin senang nak buat duit sekarang.

Mungkin anda tak pernah tengok Buah seralat

Berbalik pada cerita asal posting ini, saya nak ceritakan pasal buah seralat. Saya tak tahu apa nama sebenarnya. Saya juga tak tahu apa nama saintifiknya. Mungkin anda panggil dengan nama lain di kampung anda. Tapi di Kampung saya kami panggil Buah Seralat. Sebab rupanya macam Bola Seralat.

Kalau anda tengok betul-betul, buah ini berwarna cokelat terang atau orange gelap apabila dia masak. Warnanya cantik dan kelihatan macam rupa kain baldu. Sebenarnya bulu halus dari kulit buah itu agak miang kalau anda main sentuh dengan tangan.

Jadi kalau nak makan kena gosok dengan sabut kelapa terlebih dahulu sampai ia jadi licin hilang segala baldu yang ada pada kulit buah tersebut. Oleh kerana sabut kelapapun dah tak ada di kampung sekarang sebab orang terus beli santan di pasar, saya terpaksa kopek sendiri kelapa tua untuk dapatkan sabutnya.

Mungkin boleh gosok dengan bahan lain. Tapi saya nak merasakan kembali zaman kanak-kanak, maka semunya diulang semula untuk ditunjukkan pada anak-anak. Memang best ulang kerja lama-lama dulu semula.

Rupa dalam buah seralat

Selepas digosok segala bulu pada kulit buah seralat, barulah boleh dikupas dengan pisau untuk buang kulitnya yang dah bertukar warna. Dari gambar anda boleh lihat buah itu dah bertukar warna jadi warna unggu gelap.

Kupas kulit itu dan di dalamnya kelihatan macam buah sentul. Ada biji hitam besar yang rupa biji tersebut macam biji buah Salak. Isi putih semuanya boleh dimakan. Rasanya manis lain macam sikit. Baunya juga agak kuat. Ada yang tak suka kalau tak tahan dengan bau buah Seralat itu.

Selesailah tugas saya memperkenalkan buah seralat dan bagaimana nak makan buah seralat pada anak-anak saya. Rupanya isteri saya juga tak pernah merasa buah itu dan tak pernah tengok sebelum ini.

Anda pula macam mana? ada tak buah seralat di kampung anda dan apa nama panggilannya? Boleh kongsikan di bawah...
logoblog

Thanks for reading Buah yang anak anda tak pernah tengok

Previous
« Prev Post

22 comments:

  1. Di tempat kami kan Pahang) dipanggil buah mentega. Sekarang mungkin dah tak ada lg.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Oh! buah mentega. Istimewa nama tu...!

      Delete
  2. Mengimbu kenangan silam. Terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Dipasar malam di Kubang Semang (ban busuk) ada dijual pada setiap hari jumaat. boleh dapatkan disana. Itupun kalau ada. Boleh juga buat pesanan.

    Next project buah kemunting pula.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Oooo! ada orang jual kat pasar malam rupanya!, laku ka?. Buah kemunting!, betoi gak tu, insyaallah akan cari lepas ini..!

      Delete
  4. betul kalau di kampong saya di melaka di panggil buah mentegapd tahun 6o an
    sekarang tiada lagi poko ini
    kalau tak silap di taman klcc ada pokok ini
    kalau tak silap pokok ini sepeti pokok manggis


    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul ka kat KLCC ada ditanam... nak pi tengok nanti. Terima kasih

      Delete
  5. kalau dapat tn sertakan sekali gambar pohonnya....mungkin ramai yang kenal...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dah masukkan gambar buah tu atas pokok.. Terima kasih

      Delete
  6. dulu saya biasa makan buah ni kat belakang balai bomba bukit mertajam ......pokok nya berhampiran padang BMRC .....40 tahun dulu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Subhanallah! padang BMRC pun rasanya ada budak yang tak pernah tengok... lama tu tuan. Duduk kat mana tu tuan..?

      Delete
    2. Dulu pak sedara aku makan dgn bulu dan bijik dia sekali

      Delete
  7. Cerita pula buah nanam yg lekat kat batang pokok, belakang rumah saudara d Penanti pula lepas ni... :)

    ReplyDelete
  8. Nama Saintifiknya - Diospyros blancoi
    Common name - Velvet Apple

    Padang BRC tu saya sempat tengok sebelum bertukar jadi Summit :-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Tuan, ilmu baru tu... nanti saya update maklumat kat atas tu.. Ada gambar padang BMRC tak..?

      Delete
    2. Gambar BMRC takde tuan, masa tu mana ada kemudahan kamera macam sekarang ni.

      Delete
    3. Boleh saya tau ke antara khasiat yang ada dalam buah Mentega ni ?

      Delete
  9. Saya tak pernah tengok buah ni.. hehe. Ini pertama kali tengok tuan.

    ReplyDelete