Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Sunday, April 19, 2015

Kena simbah air panas dengan pelayan kedai makan

  Mohd Shubhi       Sunday, April 19, 2015
Kena simbah air panas oleh pelayan kedai makan
Pernahkah anda kena simbah dengan air panas oleh pelayan ketika duduk seorang diri tunggu makanan di kedai makan?

Kalau anda tak pernah kena simbah dengan air panas di kedai makan, anda mungkin tak tahu macam mana rasanya dibuat begitu. Tapi saya baru saja kena simbah dengan seorang pelayan wanita dan dah tahu macam mana rasanya sekarang.

Sabtu lalu satu sejarah berlaku dalam hidup saya. Tengah duduk tunggu hidangan seorang diri di sebuah kedai makan di Shah Alam, tiba-tiba saya disimbah dengan air yang tengah panas habis basah dari paras pinggang sampai ke bawah.

Bukan sekadar air panas. Malah ia sebenarnya berupa teh o limau panas yang belum dikacau gulanya. Semuanya berlaku dengan begitu pantas dan saya tergamam tak terkata apa-apa. Nasib baik masih ada seluar dan baju yang jadi penapis kepanasan air teh tersebut dari terus meresap ke kulit.

Tergamam kena simbah dengan air panas

Sabtu lalu saya menggigil kelaparan. Teringat asam pedas di sebuah restoran di seksyen 10 Shah Alam Terbuka selera untuk pekena asam pedas untuk dijadikan makanan tengahari hari itu.

Tanpa fikir panjang saya keluar menuju ke Seksyen 19 Shah Alam dan masuk ke simpang Petronas lalu cari tempat kosong untuk letak kereta. Kemudiannya terus masuk dalam kedai dan pelayan tak tunggu masa yang lama untuk datang ambil tempahan.

Saya minta satu set asam pedas dan segelas teh o limau panas. Sementara menunggu datangnya hidangan makanan saya buka buku panduan buat pemasaran menggunakan Facebook yang ditulis oleh Dr Azizan Osman, pakar pemasaran yang terkenal seantero dunia itu.

Leka membaca dan saya tumpukan mata pada buku tanpa perdulikan orang lain. Kebetulan saya duduk hujung sekali dalam kedai jauh daripada orang lain dengan keadaan mengadap dinding kedai. Pelayan yang lalu silih berganti depan meja tak saya pedulikan. Kebetulan laluan di depan itu membawa ke dapur tempat mengumpul pinggan yang perlu dibasuh.

Tiba-tiba dengan begitu pantas sekali, seorang pelayan wanita menjerit, gelas tercampak atas meja terbalik mengarah ke badan dan saya terasa panas dari pinggang sampai ke kaki. Buah limau tergolek atas meja dan keseluruhan meja basah. Nasib baik tak kena beg duit, telefon dan buku yang sedang saya baca.

Macho spontan kena simbah air panas

Saya terus bangun berdiri secara spontan sambil tunduk ke bawah melihat habis baju dan seluar yang ada di badan basah. Anu saya paling teruk basah. Terasa panas walaupun ada memakai seluar dalam. Terpaksa saya tahan dan bersikap macho bila yang menyimbah saya itu adalah pelayan wanita muda, putih dan comel.

Dia tergamam dan saya lebih-lebih lagi tergamam. Dia tercegat berdiri menutup mukanya dan tak berhenti memohon maaf. Saya hanya diamkan diri dan segera pergi ke sinki di belakang mengambil air sejuk dan menggosokkannya pada kawasan basah terkena teh o limau panas.

Ketika sedang menggosok dan merenjis dengan air sejuk, datang pelayan wanita yang simbah air panas tadi membawa sebungkus tisu putih. Diberikannya pada saya sekeping demi sekeping dengan mulut tak henti minta maaf.

Saya ambil tisu itu dan lap pakaian sedikit demi sedikit dan tersedar bila kesemua tisu yang dihulurkannya dah nak habis, lalu saya hentikan semuanya dan pergi duduk semula. Seorang lagi pelayan mengeringkan meja dan lantai di bawah tempat saya duduk.

Oleh kerana saya jauh dari orang ramai, tak ada yang perasan sangat kejadian. Perempuan tadi datang lagi memohon maaf dan saya katakan tolong bawa nasi dan asam pedas saya terlebih dahulu kerana saya lapar. Selesai makan nanti saya akan balik untuk tukar pakaian.

Makan dalam keadaan basah seluar dan baju

Hidangan datang dengan cepat. Jurukira datang pula minta maaf dan bagi tahu makanan itu dia belanja kesemuanya, mintalah apa saja dia akan berikan percuma. Saya tak peduli semua itu, terus makan nasi sebab terlalu lapar.

Saya angkat muka berpaling pada seorang pelayan dan minta kicap. Mereka kelam kabut pergi ambil kicap dan berikannya pada saya, dan saya teruskan makan lagi sehinggalah habis kesemuanya. Datang pula teh o limau panas segelas dan saya minum.

Ketika itu baru saya mula berfikir. Apa yang tak kena dengan saya. Kenapa saya tak marah dan mengamuk. Kalau yang simbah air panas itu ialah seorang pelayan lelaki, apakah saya akan mengamuk dan marah padanya?. Apakah saya pilih bulu dalam tindakan?.

Akhirnya saya buat rumusan, semua kejadian mesti ada sebabnya. Saya beranggapan bahawa saya memang layak disimbah dengan air panas ketika itu. Mungkin saya banyak dosa, mungkin ada perkara yang lain yang saya tak ketahui sedang dirancang untuk saya dan sudah tentu ada hikmahnya.

Saya bangun pergi ke kaunter nak bayar dan jurukira kata tak perlu. Dia mohon maaf dan mohon agar saya tidak serik untuk datang lagi ke kedai itu... saya tak pasti samada akan ke situ lagi atau tidak.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Kena simbah air panas dengan pelayan kedai makan

Previous
« Prev Post

6 comments:

  1. hehehe, gara-gara tersimbah secara tak sengaja, terus jadi pelanggan vip. mintak la apa je, mesti cepat sampai kecuali langit dan bumi.

    kalau orang yang jenis panas hati, mesti keputusannya berbeza kan? jangankan makan free, silap haribulan boleh bertumbuk (kalau pelayan lelaki). mujurlah...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itu la, lepas ni kalau kena simbah walaupun dengan pelayan lelaki kena buat relaks dan sabar juga.. baru adil

      Delete
  2. penulis seorang yang bias...hehee..

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !