Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Saturday, June 6, 2015

Tak sangka Yan Kedah tempat yang menarik !

  Mohd Shubhi       Saturday, June 6, 2015
Ini bukan kali pertama sampai ke Yan Kedah, tapi mungkin disebabkan kali pertama dulu sampai dah terlalu lama. Dan dah hilang gambaran suasana di situ. Bila sampai kali kedua ini, tak sangka pulak rupa-rupanya Yan Kedah ini merupakan satu tempat yang amat menarik untuk dilawati.

Kalau tak salah, kali mula jejak kaki ke Yan Kedah adalah pada tahun 1997. Masa kegawatan ekonomi negara dan juga seluruh dunia, saya meronda dengan kawan untuk mencari peluang atau lebih tepat lagi mencari rezki.

Kepala pening masa tu sebab dah berhenti kerja ambil VSS. Projek perniagaan pulak tak menjadi bila pelabur tarik diri sekerat jalan disebabkan kesan ekonomi yang teruk masa tu. Untuk tenangkan jiwa dan ambil angin serta cari idea, kawan bawa meronda sekitar Yan Kedah.

Tak habis meronda, terlihat satu kawasan yang dipenuhi dengan pokok petai. Ketika itu pula buah petai lebat hampir di kesemua pokok yang ada kat situ. Mentol idea menyala terang apabila melihat suasana petai bergantungan dengan banyak.

Akhirnya perjalanan terhenti di situ dan berakhir dengan saya menjadi saudagar petai dengan sekelip mata. Pasal itu agaknya tak ada yang saya tahu tentang suasana Yan Kedah masa tu. Otak sibuk nak cari sesuap nasi.

Dari Bukit Mertajam ke Yan Kedah

Kali ini, saya sampai ke Yan Kedah dengan keadaan kepala yang tidak sepening dulu. Kepala segar dan deria menjadi lebih peka. Baru nampak betapa menariknya kawasan yang di namakan Yan Kedah.

Bertolak dari Bukit Mertajam lebih kurang pukul 3 petang, saya ambil jalan lama untuk ke Yan Kedah. Langsung tak naik lebuhraya sebab bukan nak kejar apa-apa pun. Lagipun jalan ikut kampung dan pekan sebegitu lebih menyegarkan mata dari masalah mengantuk.

Entah sebab apa sejak umur naik menghampiri usia tua ni mata amat mudah mengantuk. Pegang saja steering, mulut menguap, mata kuyu. Habis rasa lemah seluruh urat badan. Bila picit urat kaki atau urat tangan rasa lega. Ada kaitan dengan rasa sengal urat anggota badan kaki dan tangan dengan rasa mengantuk nampaknya.

Saya melalui Bagan Luar, menuju ke Bagan Ajam dan terus ke Kepala Batas ikut jalan lama. Dari situ sambung terus ke Sungai Petani melalui Tikan Batu, Bakar Arang dan melintas Pekan Sungai Petani. Singgah ke Giant kat Sungai Petani untuk beli buah epal 2 beg.

Dengan adanya buah epal 2 beg itu, ada harapan dapat kurangkan rasa mengantuk dan bosan memandu. Setiap kali mata nak kuyu, saya akan tokak sebiji buah epal dan makan dengan mengunyah perlahan-lahan.

Rasa manis, rangup dan berair pada buah epal itu menyegarkan minda. SEdap sungguh makan buah sebenarnya. Tambahan pula, tak ada had patut atau tak patut dalam aktiviti makan buah ni. Makanlah sebanyak mana yang kita suka, tak ada masalah. Buah tak ada mudarat makan banyak macam makan nasi.

Gunung Jerai di Yan Kedah

Sepanjang jalan lama itu kami melalui banyak tempat menarik. Sudah tentu yang paling terkenal adalah Gunung Jerai. Gunung itu merupakan puncak paling tinggi di Negeri Kedah dengan ketinggian 3,235 kaki.

Biasanya orang yang suka suasana kehijauan dan cintakan alam sekitar tentu pernah pergi walaupun sekali ke Gunung Jerai. Saya dah pernah pergi sebelum ini naik sampai ke kawasan resort di atas Gunung Jerai tersebut. Tempat itu agak sejuk dan menarik. Mungkin sekarang jauh lebih menarik lagi agaknya.

Orang yang sukakan perkara mistik juga tentu kenal sangat dengan Gunung Jrai ini. Saya ada dengar dari mulut seorang Ustaz dari Indonesia yang sebut tentang Gunug Jerai ini. Ustaz itu merupakan pengamal perubatan alternatif. Katanya Gunung Jerai itu menjadi tempat pilihan ramai orang yang nak kuasai ilmu kebatinan.

Mereka akan pergi ke Gunung Jerai untuk bertapa. Kalau nasib baik dan kena gaya, maka pertapaan itu akan memberikan kuasa istimewa pada si pengamalnya. Menurut Ustaz Indonesia itu lagi, sebenarnya, mereka yang bertapa itu mendapat bantuan daripada para jin yang hebat yang mendiami Gunung Gerai.

Sebenarnya, para Jin yang duduk kat Gunung Jerai itu adalah antara Jin yang paling kuno dan lama bertapak sejak ribuan tahun dahulu. Itulah kata ustaz Indon. Sebab dah lama sangat hidup, maka para jin di situ ada anyak ilmu, maklumat dan pengalaman.... panjang lagi cerita ustaz tu, tapi saya dengar saja sebagai maklumat dan dikongsikan kat sini.

Dengan pemanduan perlahan-lahan dan berhenti beli buah, kuih tradisional dan sebagainya, akhirnya kami sampai ke Guar Chempedak yang masuk dalam daerah Yan. Saya singgah nak beli buah kat tepi pasar. Ada banyak gerai buah kat situ dan harganya boleh tahan juga.

Masa nak beli buah terserempak dengan sebuah Van jual roti benggali. Rupanya ada juga roti benggali kat Yan Kedah. Disebabkan saya tak sempat nak beli roti benggali kat Bagan tadi, maka belian itu menjadi rezki toke roti benggali kat Yan Kedah. Saya belasah beli 3 buku roti yang siap di sapu mentega dan kaya.

Banyak tempat menarik di Yan Kedah

Dari Pekan Guar Chempedak, kami teruskan perjalanan menuju ke Pekan Yan. Sepanjang jalan di kiri dan kanan amat redup sekali. Suasana amat bersih dengan pemandangan yang sungguh indah.

Kiri kanan jalan di penuhi dengan sawah padi. Gabungan rumah lama dan baru dan susunan tali air yang ada menunjukkan pembangunan di kawasan tersebut terancang dengan amat baik. Sawah bendang dengan latar belakang Gunung Jerai menambahkan lagi keindahan panorama yang mampu memukau mata.

Akhirnya saya sampai di Pekan Yan. Kami tunggu seorang cikgu di Kedai Minyak Petronas Yan. Rumah Cikgu itu akan jadi rumah penginapan kami selama dua hari satu malam di Yan Kedah. Dia kenakan bayaran sebanyak RM150. Rumahnya baru lagi, cantik, ada dua bilik, siap dengan pendingin hawa dan kipas angin. Tak jauh pula dari Masjid dan kedai makan.

Oleh kerana masa tak mengizinkan, kami hanya sampai di Titi Hayun dan Batu Hampar saja sepanjang dua hari berada di Yan Kedah. Banyak masa habis kat Pantai Murni atas urusan kerja. Yang paling malang adalah anak-anak sebab tak sempat mandi manda di Titi Gantung bila hari nak mandi tu hujan turun lebat pada hari petangnya.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Tak sangka Yan Kedah tempat yang menarik !

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !