Friday, 1 January 2016

Masalah kudis buta zaman dulu dan sekarang.

Sebut saja masalah kudis buta memang rasa ngeri. Tak dapat bayangkan bagaimana orang yang terkena masalah kudis buta menghadapinya terutamanya di waktu malam. Keadaan kulit yang diserang kudis buta di segenap penjuru menambahkan lagi rasa ngeri tersebut.

Kenapa panggil kudis buta

Kalau terkena kudis buta, ketika sedang tidur di waktu malam, tangan akan duduk tak diam asyik garu-sana garu-sini. Masa garu tu sudah tentu dalam keadaan pejam mata.

Maka mungkin sebab itulah penyakit tersebut diberikan nama Kudis Buta, kerana aktiviti menggaru kudis tersebut sering berlaku di waktu malam dalam keadaan orang yang terkena itu pejam mata tak dapat melihat. Malah kebiasannya tak sedarpun aktiviti menggaru itu.

Kudis buta perkara biasa di kampung dulu

Masa zaman kanak-kanak di kampung dulu, selalu sangat tengok orang terutamanya kanak-kanak yang terkena kudis buta. Bagi yang jenis geli, tentu tak tahan dan tak sanggup tengok pengidap kudis buta. Merah, berlubang dan bernanah.

Semuanya berpunca daripada kesan garuan pada kulit yang terkena peyakit kulit buta tersebut, mengakibatkan berlakunya kesan sampingan dari serangan bakteria selepas kawasan gatal itu digaru.

Masa kecil-kecil dulu orang tua-tua cukup takut bila ada ada anak orang lain yang terkena kudis buta. Mereka akan cuba menjauhinya. Malah ada anggapan bahawa masalah kudis buta ini merupakan masalah keturunan.

Anggapan salah tentang kudis buta

Bila orang anggap penyakit kudis buta adalah penyakit keturunan, maka ia mencetuskan masalah buruk dalam masyarakat. Orang tak mahu menjalinkan hubungan dengan keluarga yang ada masalah kudis buta apatah lagi menjalinkan hubungan perkahwinan dengan keluarga yang ada keturunan masalah kudis buta.

Hakikatnya, penyakit kudis buta bukanlah penyakit keturunan. Itu adalah anggapan yang salah yang perlu diperbetulkan. Anggapan itu berlaku mungkin disebabkan kebiasaannya satu-satu keluarga yang sama akan sering menghidapi masalah kudis buta. Lalu ianya dianggap penyakit keturunan.

Satu keluarga dan keturunan yang sama sering terkena masalah kudis buta barangkali disebabkan oleh tabiat atau sikap yang sama dalam menguruskan kebersihan rumah tempat tinggal dan kesihatan keluarga mereka.

Walau apapun, kudis buta bukanlah sejenis penyakit keturunan. Jadi jika anda dah terjatuh cinta pada mana-mana anak dara tapi terpaksa batalkan hasrat nak masuk meminang sebab ada ahli keluarganya pernah kena kudis buta, tak perlu risau. Teruskan saja masuk meminang tak perlu risau.

Kudis buta penyakit jangkitan kelamin

Ada juga yang anggap bahawa masalah kudis buta adalah penyakit bawaan daripada aktiviti kelamin bebas. Macam yang berlaku pada penyakit Aids yang dianggap adalah penyakit bawaan daripada aktiviti bersama.

Memang cara paling mudah untuk anda kena penyakit kudis buta adalah melalui perhubungan kelamin. Sebab ketika itu anda akan bersentuhan kulit ke kulit dengan penuh intim. Usap sana usap sini, melurut dari kulit ke kulit.

Disebabkan aktiviti sentuhan kulit sesama kulit itulah menyebabkan anda terkena jangkitan hama kudis buta. Hama kudis buta yang ada pada orang yang sedang mengidap kudis buta akan berpindah ke kulit anda pula.

Ringkasnya, sebab utama terkena jangkitan kudis buta adalah sentuhan kulit ke kulit yang berlaku secara agresif dan berlarutan. Setakat salam biasa (bukan salam 3 line) tak akan kena jangkitan kudis buta. Apatah lagi jika anda jenis salam macam orang Bangla yang hulur lurus macam tak tahu bersalam.

Kudis buta zaman sekarang

Masalah kudis buta masih tetap ada. Sama macam zaman dulu juga, ianya masih tetap berlaku. Cuma zaman sekarang, ramai orang yang dah ada kesedaran tentang ilmu kesihatan.

Akses untuk mendapatkan rawatan juga dah mudah berbanding ketika zaman dahulu. Tak payah nak ikut petua orang tua-tua zaman dulu lagi jika terkena masalah kudis buta. Pergi saja ke klinik dan dapatkan rawatan zaman moden yang terbukti berkesan.

Ramai yang dah tahu bahawa masalah kudis buta adalah masalah serangan sejenis Hama yang dipanggil Sarcoptes scabiei.
Hama Kudis Buta

Hama tersebut tidak dapat hidup lama jika berada dalam keadaan biasa dalam bilik atau dalam rumah. Biasanya akan mati dalam tempoh 48 ke 72 jam tanpa ada sentuhan dengan manusia.

Tapi sebaik saja dia berjaya naik ke kulit manusia, dan mula masuk duduk bawah kulit, Hama itu akan mampu kekal hidup kat situ untuk selama 2 bulan.

Bila tinggal di bawah kulit itulah Hama itu akan membiak dengan bertelur, makan dan minum sambil bersuka-suka dan berak di bawah kulit kita. Hasil dari najis berak Hama dan tindak balas dengan kulit itu makan akan timbul kesan rasa gatal yang teramat.

Bila gatal, tak ada perkara lain yang lebih indah selain daripada garu sampai berdarah. Bila dah luka dapat serangan bakteris pula dan kudis merebak dan bernanah. Begitulah seterusnya berlaku selagi Hama kecil itu berada di bawah kulit anda.

Bagaimana nak hapuskan masalah kudis buta

Oleh kerana punca sebenar berlakunya masalah kudis buta itu adalah disebabkan hama kudis buta tadi, maka cara nak hapuskan masalah kudis buta mestilah dengan terlebih dahulu membunuh hama yang ada pada kulit kita.

Sebab itu ubat yag biasa diberi oleh doktor dalam merawat masalah kudis buta adalah ubat pembunuh hama yang perlu disapu pada kulit orang yang terkena maslaah kudis buta. Ubat itu semuanya adalah racun serangga yang boleh digunakan pada kulit manusia tapi dengan panduan yang betul.

Berikut diberikan panduan mengatasi masalah kudis buta yang diambil daripada portal Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kudis Buta

Pengenalan

Kudis buta adalah sejenis jangkitan kulit yang boleh berjangkit disebabkan oleh sejenis hama. Hama adalah sejenis makhluk seperti serangga yang membentuk laluan/terowong di bawah lapisan luar kulit. Hama bertelur di bawah kulit dan menghisap darah dari mangsanya. Kudis buta dijangkiti melalui sentuhan langsung kulit ke kulit. Semua orang tanpa mengira peringkat umur terdedah kepada jangkitan ini. Kudis buta yang menjangkiti haiwan tidak boleh menjangkiti manusia, ia hanya akan menyebabkan ruam.

Rawatan

Cuci pakaian dan cadar yang telah digunakan oleh orang yang dijangkiti dengan air panas. Masukkan perkara yang tidak boleh dicuci ke dalam beg plastik yang tertutup dan simpan selama sekurang-kurangnya tujuh hari untuk membolehkan hama dan telurnya mati. Perabut dan tempat tidur perlu dibersihkan dengan pencuci hampagas. Orang yang bergaul rapat dan tinggal bersama orang yang telah dijangkiti kudis buta harus dirawat pada masa yang sama.

Rawatan kudis buta termasuklah menyapu krim atau losyen seperti:

A. Permethrin 5%

Cara menggunakannya:

  • Sapu ubat ke seluruh badan termasuk kulit kepala, leher dan belakang telinga. Beri perhatian terhadap celah-celah jari kaki dan tangan dan di bahagian hujung kuku. Penggunaan berus kecil boleh membantu menyapu loyen ini. 
  • Bersihkan selepas 24 jam. 
  • Permethrin sepatutnya disapu sebanyak dua kali, dengan jarak selama satu minggu di antara rawatan. 
  • Ubat perlu disapu semula jika tangan dibasuh sebelum cukup 24 jam. 
Nota** Tidak boleh digunakan terhadap bayi berusia kurang dari 2 bulan. 

Langkah berjaga-jaga

  • Elakkan ubat dari terkena mata. 
  • Jangan disapu ke atas kulit yang luka atau dijangkiti kuman. 
  • Dapatkan bantuan perubatan untuk bayi berusia 2 bulan hingga 2 tahun. 

B. Losyen Malathion 0.5% 


Cara menggunakannya

  • Sapu ubat ke seluruh badan termasuk kulit kepala, leher dan belakang telinga. Beri perhatian terhadap celah-celah jari kaki dan tangan dan di bahagian hujung kuku. Pengunaan berus kecil boleh membantu. 
  • Bersihkan selepas 24 jam. 
  • Malathion sepatutnya disapu sebanyak dua kali, dengan jarak selama satu minggu di antara rawatan. 
  • Ubat perlu disapu semula jika tangan dibasuh sebelum cukup 24 jam. 
Langkah berjaga-jaga

  • Penggunaan serentak Malathion dengan krim lain. 
  • Elakkan ubat dari terkena mata.
  • Jangan sapu ke atas kulit yang luka atau dijangkiti kuman. 
  • Dapatkan bantuan perubatan untuk bayi berusia kurang dari 6 bulan. 

C. Gamma benzene hexachloride (or lindane) 


Cara menggunakannya

  • Sapukan satu lapisan nipis losyen dan urut supaya losyen menyerap dengan baik ke seluruh badan iaitu dari leher hingga jari kaki. 
  • Biarkan selama 8 hingga 24 jam. 
  • Mandi dan bersihkan ubat selepas jangkamasa tersebut. 
Kontraindikasi

  • Wanita mengandung dan bayi pramatang 
  • Wanita yang menyusukan anak 
  • Pesakit dengan sejarah penyakit epilepsy (sawan)
  • Pesakit dengan berat badan yang rendah
Langkah berjaga-jaga

  • Penggunaan serentak Lindane dengan krim lain 
  • Elakkan ubat dari terkena mata atau lapisan mukosa
  • Jangan sapu ke atas kulit yang terlelas
  • Jangan sapu losyen selepas mandi air panas yang bersabun 

D. Benzyl Benzoate lotion (EBB)


Cara menggunakannya

  • Mandi dengan air suam sebelum mula menyapu ubat supaya penyerapan lebih baik dengan liang roma yang terbuka. 
  • Sapu ubat ke seluruh badan kecuali muka dan celah kelangkang. 
  • Biarkan selama 24 jam dan bersihkan badan. Ubat perlu disapu semula jika tangan dibasuh sebelum cukup 24 jam. 
Perhatian Khusus Kegatalan

  • Pesakit telah pulih dari jangkitan selepas rawatan selesai walaupun rasa gatal-gatal mungkin berlanjutan sehingga beberapa minggu 
  • Rawatan untuk kegatalan mungkin diperlukan. Sapuan steroid boleh mengurangkan kegatalan dan keradangan. 

Pencegahan


Pengenalpastian dan rawatan segera penyakit ini sangat penting untuk mengawalnya daripada merebak. 

Pesakit yang dijangkiti sepatutnya dikecualikan dari ke sekolah sehingga selesai rawatan.

Kudis buta boleh berjangkit semula, jadi adalah sangat penting untuk mengikut segala arahan rawatan dan membersihkan bahan yang tercemar dengan penyakit tersebut.

Semakan akhir : 20 April 2012
Penulis : Yam Chiew Fong
Penyemak : Rabi'ah bt. Mamat

2 comments:
Write comments
  1. Terima kasih tuan, atas info yg sangat berguna ini. Kes kudis buta kerap berlaku di sekolah asrama. Pada anak2 yg berada di asrama, elakkan lepak atau tidur di katil pengidap kudis buta.

    ReplyDelete
  2. Kudis buta, bila masuk asrama 2-3 bulan akan ada kesanya. Tak ramai yang duduk di asrama tak kena kudis buta.

    ReplyDelete

Hey, we've just launched a new tips for small business blog. You'll like it - hidupringkas.com
Join Our Newsletter