Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, March 10, 2016

Tersesat ke pusat perkelahan Sg Sendat

  Mohd Shubhi       Thursday, March 10, 2016

Pernah dengar tentang pusat perkelahan Sungai Sendat? atau mungkin anda biasa dengar air terjun Sungai Sendat yang wujud di Ulu Yam di bawah jagaan Majlis Daerah Hulu Selangor.

Saya memang tak pernah tahu menahu langsung adanya sebuah kawasan menarik yang bernama Air Terjun Sungai Sendat. Kawasan perkelahan ini saya jumpa secara tak sengaja ketika cuti raya cina baru-baru ini.

Berjalan sempena cuti raya cina

Ketika cuti raya tersebut, saya rancang nak bawa anak-anak berkelah ke kawasan jeram di Ulu Yam. Cuti selama seminggu hari tu kami sekeluarga hanya duduk kat rumah saja tanpa ada apa-apa perancangan untuk berjalan.

Pengalaman keluar dari Lembah Kelang untuk berjalan ketika cuti raya cina satu ketika dulu membuatkan saya serik untuk merancang apa-apa perjalanan ketika bermulanya cuti raya cina.

Masa tu kami sekeluarga nak ke Kuantan. Punyalah bersiap segala kelengkapan disumbatkan masuk dalam kereta. Kononnya nak bermusafir di Pahang bercuti dan berjalan makan angin. Selepas subuh cuti raya cina itu, kami keluar rumah menuju ke Karak.

Masa keluar masih ok lagi. Tapi bila dah masuk kawasan gombak, kenderaan melekat atas jalanraya tak bergerak-gerak. Orang ramai berpusu-pusu nak masuk ke lebuhraya karak. Berjam-jam menunggu masih tak sampai juga walaupun untuk masuk ke tol.

Dengar kata kenderaan beratur jem dari tol mula sampai ke tol akhir !.

Last sekali, saya cari jalan pusing balik ke rumah dan batalkan saja semua rancangan untuk pergi bercuti keluar dari Lembah Kelang. Sejak itulah percutian keluar dari Lembah Klang dengan kenderaan darat tidak masuk dalam buku setiap kali cuti raya cina.

Lebih baik bercuti dan berjalan di kawasan Selangor saja yang sebenarnya ada terlalu banyak kawasan berkelah dan peranginan yang menarik.

Keluar ke Ulu Yam dengan panduan waze

Cuti kali ini kami naik dua buah kenderaan penuh dengan kanak-kanak untuk pergi mandi manda ke Ulu Yam. Kereta adik ipar saya ada di belakang dan saya duduk di depan. Biasanya untuk ke Ulu Yam saya akan ambil jalan mudah menuju ke Batu Cave dan masuk ke belakang terus untuk ke Ulu Yam.

Entah kenapa hari itu saya rasa macam nak masuk lebih raya pergi Ulu Yam ikut Lebuhraya Utara Selatan. Yang saya tahu kita boleh masuk Ulu Yam melalui Kuala Kubu Bharu. Saya pernah masuk ikut situ ketika balik dari Pulau Pinag satu ketika dahulu dan tembus keluar ke Batu Cave.

Sengaja nak cuba ikut waze manalah tahu kalau-kalau dia berikan jalan mudah dan menarik. Maka saya set destinasi Ulu Yam melalui waze dan terus mengikuti jalan yang dia tunjukkan. Hasilnya adalah saya tersesat masuk ke Ulu Yam mana pun tak tahu sampai ke satu perkampungan Cina.

Oleh kerana dah sedar kami sebenarnya sudah tersesat dan saya sendiri tak pasti sedang berada di mana, maka jalan paling mudah adalah berhenti keluar dari kenderaan dan pergi tanya orang.

Sampai di sebuah tokong, kelihatan seorang lelaki separa tua berbangsa Cina sedang membersihkan kawasan tokongnya itu. Mungkin dia nak pastikan tokongnya bersih ketika sambutan hari raya Cina. Saya tegur lelaki itu dan bertanya arah nak ke pusat perkelahan.

Menuju ke pusat perkelahan Sungai Sendat

Dia tunjukkan jalan terus masuk dalam kampung Cina itu lagi ke dalam. Ada tanda arah katanya. Saya ikut saja dan dalam kepala saya membayangkan kawasan jeram di Ulu Yam yang biasa saya pergi, mungkin ada jalan lain masuk ke sana.

Masuk punya masuk sehinggalah melalui kawasan pertanian yang tak ada orang dan akhirnya kami sampai ke Pusat Perkelahan Sungai Sendat. Kawasannya cantik, terpencil, bersih dan tersusun. Saya tak pernah sampai ke kawsan itu sebelum ini.

Untuk masuk ke dalam kawasan perkelahan itu kena bayar tol. Ada pengawal pintu kat depan jalan masuk ke situ. Harganya tak mahal. Satu kepala RM1 sahaja kalau tak silap saya. Kami bayar dan terus masuk dengan amat teruja sekali.

Ingatkan tak ada orang, dan kami jadi antara yang paling awal. Rupanya dan penuh !. Wakaf yang baik-baik berdekatan dengan kawasan air terjun semuanya sudah dipenuhi oleh pengunjung awal lain. Malah ada yang datang bermalam di sana sejak kelmarin lagi.

Akhirnya kami ambil satu wakaf di seberang sungai. Nak kena lintas air jeram terlebih dahulu untuk ke wakaf tersebut. Agak mencabar sebab kami bawa banyak makanan dan minuman. Anak-anak semua pula masih kecil.

Oleh sebab itu saja pilihan yang ada, terpaksalah berangkut pergi dan balik bawa barang dari kenderaan dan cross jeram untuk ke wakaf. Akhirnya selesai juga dan kami makan minum pagi kat situ.

Makanan semuanya lazat. Ada nasi lemak siap dengan sambal dan telur mata. Ada sandwich sardin cap Ayam. Ada bihun goreng. Dan paling best ada kopi O panas, minuman kegemaran. Walaupun semuanya sedap, anak-anak macam tak nak layan saya dengan makanan, mereka lebih awal pergi terjun masuk dalam air yang sejuk itu.

Saya ada lampirkan sedikti gambar yang sempat dirakamkan untuk tatapan pembaca. Kalau anda berminat nak ke sana, elok pergi awal-awal sebab biasanya semakin lewat semakin ramai pengunjung. Kami hari itu pergi agak awal, dan sempat berkelah dan mandi manda dan ketika orang semakin ramai datang, kami bertolak balik pukul 1 petang.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Tersesat ke pusat perkelahan Sg Sendat

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !