Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Saturday, April 16, 2016

Nasi kukus mama yang best, dan pelayan robot hotel Rocana Kuantan

  Mohd Shubhi       Saturday, April 16, 2016
Isnin lepas saya bersama seorang lagi kawan bertolak dari Shah Alam menuju ke Pahang. Kami bertolak dari Shah Alam dalam lingkungan pukul 2 petang. Singgah sana dan sini selesaikan beberapa perkara akhirnya dalam pukul 3.30 lebih baru dapat masuk ke Lebuhraya Karak.

Sepanjang perjalanan bahang panas terasa kuat. Pasang pendingin hawa dalam kereta ambil masa yang agak lama sebelum dapat sejukkan suasana dalam kereta. Cuaca panas sedemikian membuatkan tidak ada keinginan untuk singgah samada di RnR atau di perhentian lebuh raya. (sumber gambar)

Cuaca paling panas dalam sejarah

Tak pernah lagi rasa bahang panas macam ini sepanjang saya hidup kat Malaysia ni. Panas dan kering dah berlarutan cukup lama. Bahang panas terasa baik di waktu siang mahupun di waktu malam. Bila tidur dalam keadaan kipas siling yang terbuka, panas masih tetap terasa. Kerap kali terjaga di tengah malam, baju pagoda lusuh yang dipakai terasa basah dek peluh yang mengalir.

Kalau solat jumaat di masjid TTDI Jaya di Shah Alam yang sedang dalam pembinaan, habis basah kuyup baju pagoda yang saya pakai sebagai pakaian dalam. Peluh mengalir macam anak sungai tak berhenti-henti setiap kali mendengar khatib membaca khutbah.

Ada kalanya terasa kepala melayang macam nak pitam setiap kali duduk di dalam masjid yang dipenuhi oleh atap zink di bahagian atasnya. Ditambah lagi dengan dinding sebelah kanan yang ditutup penuh, membuatkan tiada laluan angin untuk menyegarkan semula hawa di dalam masjid. Satu keadaan yang amat menyiksakan.

Di kala itu baru terasa menyesal tak dapat pergi awal ke masjid untuk tunaikan solat jumaat. Kalau pergi awal dapat berebut duduk bahagian dalam yang dilengkapi pendingin hawa yang nyaman. Semua orang yang duduk dalam kawasan dalam itu nampak selesa sangat. Tok Khatib pulak bersemangat berikan khutbah tanpa rasa masa berlalu dan para jemaah di luar telah habis basah pakaian mereka bermandikan peluh.

Buka puasa makan nasi kukus

Sambung cerita perjalanan kami ke Pahang semula. Perjalanan diteruskan secara relaks sebab tidak kejar apa-apa urusan penting hari itu. Lagipun kami berdua puasa sunat Isnin, tak payah nak fikirkan pasal singgah makan atau minum.

Sampai sekerat jalan, tiba-tiba hujan turun dengan lebat membasahi jalanraya. Syukur alhamdulillah !. Baru terasa nikmat datangnya hujan. Tak kisah lebat sampai tak boleh memandu laju. Biarlah hujan berterusan lebat begitu supaya bahang panas kembali turun.

Kami bercadang nak buka puasa di Restoran Nasi Kukus Mama di Kuantan yang terkenal tu. Setiap kali ke Pahang, nasi kukus itulah yang menjadi makanan wajib samada untuk tengahari atau malam. Restoran My Mama Nasi Kukus paling dekat ada kat Gambang.

Oleh kerana ketika sampai di Gambang waktu masih awal, maka kami teruskan perjalanan ke Pusat Bandar Kuantan. Rasa macam sempat untuk daftarkan diri di Hotel Rocana terlebih dahulu sebelum keluar semula untuk buka puasa. Rupa-rupanya tersasar. Jem kat Pusat Bandar boleh tahan jugak nampaknya.

Azan magrib kedengaran di radio menandakan dah boleh buka puasa. Kami masah berada dalam kereta di pusat bandar Kuantan. Nasib baik isteri dah sediakan beberapa ulas kurma dalam tupperware. Ada buah epal dan lai yang segar juga disediakan oleh isteri ketika keluar rumah tadi. Itu dah cukup untuk dijadikan juadah berbuka kami berdua.

Oleh kerana dah masuk waktu, kami terus cari restoran nasi kukus mama kat Bandar Kuantan tu. Waze jadi penyelamat memudahkan perjalanan. Ikut waze, kona kanan, kona kiri, jalan lurus, masuk satu pekan penuh dengan rumah orang Cina dan akhirnya kami jumpa juga restoran nasi kukus mama.

Check in di Hotel Rocana

Perut kenyang hati senang. Tidak ada kekangan masa untuk bergegas nak tunaikan solat magrib sebab kami niat untuk himpunkan saja magrib di waktu insya nanti kat hotel. Itulah kelebihan berpuasa dalam masa yang sama bermusafir.

Nasi kukus mama yang ringkas dengan kuantiti yang sederhana memang sesuai sangat dijadikan makanan berbuka puasa. Ayamnya sedap sangat. Biasanya saya akan ambil bahagian peha, kali ini peha juga menjadi pilihan. Tapi agak mengecewakan sedikit sebab ada bahagian dalam yang tak berapa masak. Oleh kerana lapar, malas nak buat aduan, makan saja. Lagipun itu kali pertama dapat ayam peha yang tak berapa masak.

Habis makan, kami terus menuju ke hotel Rocana yang menjadi singgahan biasa setiap kali ke Kuantan. Semua urusan tempahan telah diuruskan oleh orang lain. Bilik yang disediakan untuk kami berdua adalah bilik dengan satu katil Queen Size.

Saya mohon supaya bilik tersebut ditukarkan kepada bilik dua katil bujang sebab kami duduk sebilik dan tak perlu nak kongsikan satu katil dengan satu selimut. Kalau kami sepasang lelaki dan perempuan tak apa juga, memang seronok kongsikan selimut atas satu katil.

Tapi malangnya permintaan kami tidak dilayan. Semua bilik penuh 100% kata lelaki receptionist yang bercakap seperti robot tanpa punya perasaan melayan seorang manusia. Cara percakapannya sebijik maca robot cerita jepun.. "tak boleh cik, itu procedure yang kami perlu ikut...". itu ayat robot yang dia ulang.

Nak dijadikan cerita, turun dua orang lelaki batalkan bilik dengan dua katil bujang yang mereka dah check in sebab tersilap hotel. Saya terdengar perbualan mereka dan terus bertanya pada receptionist semula kalau-kalau kami boleh tukarkan bilik dengan mengambil bilik yang telah dikosongkan itu.

Jawapan dari seorang robot juga yang kami terima.. "tak boleh cik, malam tak ada house keeping, kami tak boleh berikan bilik itu walaupun kosong.. itu procedure". Robot berkata-kata lagi dengan nada tidak ada perasaan simpati juga tanpa senyuman.

Sejak 8 bulan yang lalu, kami tak pernah missed duduk di hotel tersebut setiap kali pergi ke Kuantan. Kawan saya seorang lagi yang memang tak pernah lepas duduk situ setiap bulan. Malah receptionist itu dia dah cam mukanya. Malangnya, receptionist tersebut tidak pernah ambil peduli untuk mengingati muka kawan saya itu dan dilayannya macam orang yang baru kali pertama masuk ke hotel.

Saya boleh rumuskan dia memang tidak ada bakat menjadi seorang pekerja hotel. Apatah lagi duduk di bahagian frontline sebuah hotel yang agak bagus itu. Mungkin Boss dia tak kisah semua itu sebab hotel tersebut sentiasa penuh tempahannya. Kalau suka datang, kalau tak suka boleh belah dan cari hotel lain.

Nampaknya itulah yang mungkin perlu dilakukan selepas ini. Perlu cari hotel lain pulak dan tak perlulah asyik tinggal di Rocana sahaja setiap kali ke Kuantan.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Nasi kukus mama yang best, dan pelayan robot hotel Rocana Kuantan

Previous
« Prev Post

7 comments:

  1. Kalau ke Kuantan...bleh try hotel Sri Manja...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih tuan Shariffudin, insyaallah boleh cuba next trip nanti

      Delete
  2. saya rs.....kalau booking adalah bilik lain n dtg adalah bilik lain yg dpnda mmg mlanggar prosedure hotel...sbb kita x tahu bilik tu under company ke apa....so kat stu da ada payment....n soal receptionist yg robot ke apa.....dia hnya mlksanakan tugas....yes customer always right..but some times kita kna tgk keadaan.....lau check in mlm...logik akal mmg la xde housekeeping.....lau soal robot receptionist yg x igt muka....sehari bpuloh kot ttamu yg dia check inkan..x le nk hafal muka.....maaflah..for my opinion....kadang ltakkan org di bahu kita...dan pkirlah possitive

    ReplyDelete
  3. Selamat Sejahtera Encik,

    Saya Soo Mei Lin- Front Office Executive dari Rocana Hotel Kuantan.

    Terima kasih atas sokongan padu pada Rocana Hotel selama ini. Setelah membaca artikel Encik, kami ingin memohon maaf atas kesilapan pekerja kami terdahulu. Kami akan menyusuli kes ini dengan pekerja yang berkenaan.

    Kami akan mempertingkatkan mutu perkhidmatan pekerja hotel kami. Harap dapat member perkhidmatan yang lebih memuaskan pada kunjungan yang seterusnya.

    Akhirnya, Kami amat berterimakasih atas feedback Encik. Sila hubungi saya di 09-5173993 atau meilin.soo@rocanahotel.com. , jikalau Encik ada informasi atau feedback lain yang hendak kongsi dengan kita.

    Terima Kasih.

    Mei Lin
    Front Office Executive
    Rocana Hotel Kuantan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Mei Lin atas respond yang amat positif. Nex time jika ada masalah saya akan berikan maklumat terus pada Cik Mei Lin

      Delete
  4. Nasi kukus mama pengusahanya bukan orang muslim lagi.elakkan makan di sana kerana bahan yg disediakan tidak halal.

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !