Saturday, 21 May 2016

Kisah bekas bouncer masuk Islam kini niaga coconut shake

Posted by   on

Balik ke Pulau Pinang baru-baru ini dipertemukan dengan seorang bekas bouncer pusat hiburan dan kelab malam di Permatang Pauh. Seorang rakan dari Permatang Pauh yang aktif buat kerja dakwah membimbing mereka ang baru masuk Islam telah perkenalkan bouncer tersebut pada saya.

Mungkin ada yang tak tahu apa itu bouncer. Kalau dalam bahasa Melayu, kita panggil tukang pukul. Kalau dalam bahasa Inggeris, bouncer ini kerjanya adalah mengawal ketenteraman kelab malam atau pusat hiburan dari gangguan pengacau yang cuba buat honar.

Asal usul bekas bouncer agak menyedihkan

Dari cerita bouncer yang berumur 29 tahun itu, nama asalnya adalah Tan Wei Hon. Dia dilahirkan di negeri Sabah hasil dari perhubungan ayahnya dengan seorang wanita yang dia sendiri tak pernah kenal. Ertinya, sampai sekarang dia sendiri tak tahu siapa sebenarnya emak kandungnya.

Bapanya berbangsa Cina berasal dari Butterworth, Pulau Pinang yang berhijrah ke Sabah. Setelah Tan Wei Hon dilahirkan, bapanya membawanya balik ke Pulau Pinang dan ditinggalkan serta dibesarkan oleh neneknya.

Bila besar Tan Wei Hon di sekolahkan di Simpang Empat Tasek dan setelah habis sekolah dia mula mencari sumber rezkinya sendiri dalam dunia gelap pusat hiburan. Lebih kurang 4 tahun sudah, dia bertemu dan jatuh cinta dengan seorang gadis Indonesia yang beragama Islam.

Untuk membolehkan dia berkahwin dengan gadis Indon tersebut, Tan Wei Hon akhirnya memeluk agama Islam dan menukarkan namanya kepada Mohd Randy. Kisah percintaannya tak panjang dan dia tak jadi berkahwin dengan gadis Indon itu.

Selepas itu, dia habiskan masanya merayap dari sebuah bar ke bar yang lain. Itulah kerja yang dia tahu. Menjaga perjalanan bar-bar yang menggajikannya supaya tidak ada gangguan. Islamnya kekal hanya pada nama dan tiada amalan yang dilakukannya.

Pada satu hari dia dipertemukan kepada kawan saya ini, Zol Mat Lazim yang merupakan penaung sebuah badan NGO bernama MyIkut. Kerja MyIkut adalah menjalankan dakwah serta membantu mereka yang memeluk Islam tetapi menghadapi masalah dalam kehidupan mereka setelah menjadi muslim.

Semenjak berkawan dengan Zol, dia diajak kembali mengamalkan Islam. Dia di ajar membaca surah Fatihah dan diajar menunaikan solat. Randy seronok mengikuti rangkaian rakan barunya dan setelah 3 bulan, majikannya mula nampak perubahan ketara pada Randy.

Diringkaskan cerita, akhirnya majikannya membuang Randy dari bekerja di pusat hiburan sebagai bouncer. Itu tidak mendatangkan apa-apa masalah pada Randy sebab itulah yang terbaik untuknya. Dia berazam untuk berikhtiar mencari sumber rezki yang hahal dan baik serta mengmalkan agama anutannya sebaik mungkin dengan bantuan rangkaian rakanya yang baru.

Randy berusaha menyara hidup jalan yang baik

Randy ini ada kemahiran membaiki telefon. Dia belajar sendiri sepanjang hidupnya yang gelap selamam ini. Aktiviti membaiki telefon bmbit itu sedikit sebanyak dapat memberikan padanya sedikit pendapatan.

Pada mulanya Zol mahu membantunya untuk membuka kedai membaiki telefon. Tapi satu hari Randy melihat orang berniaga Coconut Shake dan dia telah jatuh cinta dengan perniagaan tersebut. Dia menyuarakan hasratnya untuk membuka gerai coconut shake di Permatang Pauh.

Dah Randy nak buka kedai Coconut Shake, maka itulah yang dia dapat. Dia kini menjalankan perniagaan Coconut Shake di depan jalan utama dari Pekan Permatang Pauh menuju ke Butterworth. Tempatnya tak jauh dari Pasar Malam Ampang jajar kat Permatang Pauh itu.

Hari saya singgah mencuba coconut shake yang disediakan oleh Randy, saya lihat ada sebuah laptop atas meja gerainya. Bila ditanya, dia kata laptop itu untuk kegunaan membaiki handphone bila ada permintaan dari para pelanggan yang dah tahu dia boleh baiki handphone.

Randy buat segelas coconut shake untuk saya dan dia buat satu lagi menu baru untuk saya cuba hari itu, iaitu Mangga Shake. Saya sempat ambil gambarnya untuk tatapan pembaca. Kembung perut saya hari itu sebab belasah dia cawan besar minuman yang lazat dicampur dengan aiskrim tersebut.

Bagi anda yang tinggal di sekitar Pulau Pinang atau seberang perai, kalau lalu kat tempat Randy berniaga, bolehlah singgah dan berikan sokongan pada Randy yang berusaha untuk berubah dan membina perniagaannya sendiri.

Ada banyak Tatoo pada lengan Randy, kalau orang yang tak tahu mungkin akan serba salah nak beli minuman yang Randy sediakan. maklumlah orang kita memang agak sensitif dengan mereka yang ada Tatoo pada anggota badan. Tapi jangan risau, Randy tak akan buat minuman yang tak senonoh untuk anda semua.

Bersamalah kita memberikan sokongan pada mereka yang ada inisiatif untuk menjadi manusia yang baik !

1 comment:
Write comments
  1. alhamdulillah...moga hidayah allah sentiasa menaunginya..

    ReplyDelete

Hey, we've just launched a new tips for small business blog. You'll like it - hidupringkas.com
Join Our Newsletter