Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Friday, July 15, 2016

Kembara perjalanan masuk ke tempat penuh sejarah, Gua Niah, Miri, Sarawak

  Mohd Shubhi       Friday, July 15, 2016
Dah agak lama tak update blog ini semenjak bulan puasa tempoh hari kemudiannya dah habis raya. Kali ni nak update sikit pengalaman kembara perjalanan ke tempat penuh sejarah Gua Niah yang terletak di Miri Sarawak.

Peluang untuk berkunjung ke Gua Niah ni sebenarnya dipenuhi sebelum masuknya bulan puasa lagi. Lebih tepat lagi berlaku ketika berlansungnya pilihan raya negeri Sarawak yang berlansung sebelum ini. Adenan Satem menang besar ketika pilihan raya tersebut hasil daripada skill negosiasi hebat yang ada pada Adenan Satem menyatukan semua kumpulan dalam Barisan Nasional di sana.

Tidak mengejutkan sangat dengan kemenangan Adenan Satem di Sarawak sebab awal-awal lagi beliau keluarkan kenyataan akan letakkan jawatan jika UMNO masuk ke Sarawak. Itu janji Adenan Satem pada bulan April bagi meyakinkan kepada para pengundi di Sarawak. Bagi beliau, Barisan Nasional sudah cukup kuat di sana tanpa memerlukan kehadiran UMNO.

Ertinya, dari awal lagi beliau sudah menghilangkan segala liabiliti yang ada pada UMNO. Beliau menjadikan Barisan Nasional Sarawak satu entiti unik yang tak sama dengan Semenanjung. Dengan itu, parti pembangkang tak ada modal yang besar sangat untuk berhujah dengan rakyat Sarawak. Samada barisan pembangkang berpecah atau tidak bukanlah menjadi satu faktor penentu dalam pilihan raya negeri Sarawak ketika itu.

Berbalik kepada pengalaman kembara ke Gua Niah semula...

Maklumat berkenaan Gua Niah

Gua Niah adalah sebuah Gua Terbesar di negara kita. Malah merupakan sebuah gua batu kapur yang terbesar di dunia. Letaknya dalam 90 kilometer dari Bandar Miri, Sarawak. Saya dengan 3 orang lagi rakan sewa kereta bertolak dari Miri untuk ke Gua Niah. Perjalanan kami ambil masa dalam lingkungan satu setengah jam saja untuk sampai ke kawasan tersebut.

Bayaran yang dikenakan hanyalah RM10 satu orang. Kemudian perlu bayar pula pada tuan punya perahu seorang seringgit. Tak ada jambatan untuk menyeberangi sungai untuk masuk ke hutan sebelah sana, hanya ada perahu.

Di tepi sungai tersebut terpampang papan peringatan supaya berhati-hati dengan buaya di dalam sungai itu. Tengok papan tanda saja dah rasa sedikit gerun. Maklumlah buaya yang ada adalah buaya liar. Lagipun buaya kat Sarawak terkenal dengan saiznya yang besar. Tapi agak terkilan sebab tak dapat jumpa atau tengok kelibat buaya ketika kami menyeberangai sungai itu dengan perahu.

Sebaik saja sampai ke seberang sana, kami terpaksa berjalan kaki masuk ke dalam hutan untuk pergi ke Gua Niah. Daripada gadget iPhone, saya dapati jumlah langkah yang saya buat sepanjang perjalanan masuk dan keluar ke Gua Niah dari pinggiran hutan itu adalah Melebihi 20 ribu langkah.

Gerai cenderahati pertengahan jalan ke Gua Niah

Bukan satu perjalanan yang mudah sangat kalau tak biasa berjalan kaki. Masa dalam hutan tu masih ok perjalanannya sebab ada jalan khas yang diperbuat dari kayu teras. Terasa kayu yang dipijak amat kuat dan padat setiap kali melangkah pijak jambatan kayu itu. Saya ketuk kayu itu dengan tangan, memang boleh rasa padatnya. Sebab itu jambatan tersebut tidak rosak di mamah usia dan tidak digeir oleh anai-anai.

Di pertengahan perjalanan ke Gua, ada satu tapak gerai untuk orang tempatan menjual cenderamata. Masa kami pergi ada 3 orang wanita dalam usia pertengahan membuka gerai mereka. Ada juga dijual air tin dan air botol mineral. Kami singah sebentar dan berborak dengan mereka. Kebetulan hujan turun dengan lebat sebaik saja kami sampai ke kawasan gerai tersebut. Jadi berteduh sebentar menunggu hujan reda.

Tapi bila hujan tak reda, kami terpaksa meredah hujan sebab nak kejar masa. Perjalanan masih agak jauh untuk masuk ke Gua Niah sehingga ke hujung di mana adanya lukisan orang purba pada dinding gua. Memang kawasan itu sering turun hujan, patutlah ramai yang berpesan supaya bawa plastik untuk tutup peralatan elektronik kalau nak masuk ke Gua Niah.

Tak ramai pengunjung ke Gua Niah

Nasib kami baik sebab tak ada pengunjung yang turut sama masuk hari itu. Ketika kami masuk seramai 4 orang, ada sepasang mat saleh bersama seorang penunjuk jalan yang turut sama masuk di belakang kami.

Masa berada di dalam gua pula terjumpa dua orang lelaki dari semenanjung yang masuk hanya setakat kawasan orang mengambil sarang burung. Mereka dah putus asa untuk terus masuk lagi ke dalam sebab perjalanannya selepas itu amat mencabar untuk ke penghujung. Keadaannya gelap, lembab, dan udaranya pulak berbau dengan najis kelawar yang banyak.

Setelah melepasi gua pertama dan berada semula dalam hutan, kami terjumpa pula seorang gadis berbangsa Cina yang masuk ke dalam Gua Niah itu seorang diri. Dia berseluar pendek, memakai baju hujan lut sinar dan memakain lampu suluh pada kepalanya.

Memang berani sungguh gadis tersebut. Dia berselisih dengan kami tanpa memperdulikan kewujudan kami. Saya tak pasti samada dia manusia atau jin, terlupa pulak nak tanya pada peniaga gerai ketika balik samada ada terlihat seorang gadis berbangsa Cina seorang diri keluar tadi.

Perlu stamina nak masuk Gua Niah

Perjalanan dalam gua memang mencabar. Kalau anda berbadan besar dan tidak ada stamina, saya nasihatkan supaya berlatih terlebih dahulu tingkatkan staina sebelum meredah masuk ke dalam Gua Niah. Takut semput dan menyusah kan diri sendiri nanti di dalam gua tersebut.

Uniknya Gua Niah adalah disebabkan penemuan tengkorak dan barangan peralatan kuno yang berusaia lebih 40 ribu tahun !. Itu bukti sejarah penting yang menunjukkan Gua Niah dah jadi penempatan manusia sejak lebih 40 ribu tahun lamanya.

Sudah tentu keadaan gua tersebut tidak sama dengan keadaannya ketika 40 ribu tahn dahulu. Saya cuba bayangkan bagaimana agaknya masa zaman itu, tapi tak ada gambaran. Dengan semua penemuan tersebut, Gua Niah menjadi satu tapak penting dunia dalam kajian arkeologi.

Kami gagahi diri kuatkan semangat untuk pergi sampai ke pneghujung gua. Di situ terletak kawasan di mana adanya lukisan purba pada dinding gua yang dibuat oleh orang dulu kala. Tapi malangnya lukisan tersebut semakin pudar dan tidak berapa jelas. Lagipun kawasan pada dinding itu serta rangka perahu yang ada telah dipagari dan ditutup. Tidak dibenarkan masuk ke dalamnya.

Bagus juga begitu sebab kawasan yang tak ada pagar, banyak juga contengan yang dibuat oleh mereka yang tak berfikir panjang. Saya perasan ada nama Bidin ditulis pada salah satu dinding batu pada gua.

Mungkin dia nak tinggalkan sejarah pula pada manusia yang akan datang untuk membuat kajian apa makna perkataan Bidin tersebut. Kalau dibuka kawasan lukisan purba itu pada orang ramai, saya yakin ia akan dipenuhi oleh contengan lain dengan banyak macam apa yang Bidin tu buat.

Saya tak mahu cerita panjang lagi sebab memang artikel yang sepatutnya pendek ini nampaknya dah jadi panjang. Saya kongsikan sedikit gambar yang sempat dirakamkan ketika kembara masuk ke Gua Niah tersebut.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Kembara perjalanan masuk ke tempat penuh sejarah, Gua Niah, Miri, Sarawak

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !