Jas duit

Jasduit - Just do it !

Friday, November 11, 2016

Bajet 2017: Peniaga harap kerajaan lebih berbelanja tahun 2017

  Mat Bihi       Friday, November 11, 2016
Oleh: Zainulfaqar Yaacob

Kutipan bersih Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Disember 2015 adalah sebanyak RM27.01 bilion, dedah Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Namun, hasil GST suku pertama (Q1) 2016 dalam tempoh bulan Januari hingga Mac lalu berjumlah RM10.2 bilion, dan kian berkurangan menjadi RM7.1 bilion pada Q2 dalam tempoh April hingga Jun lalu.

Berbanding Q1 2016, hasil Q2 menyusut kira-kira 30 peratus.

Angka penyusutan hasil itu sekaligus seakan menunjukkan kuasa membeli dan kuasa produktiviti dalam ekonomi negara seakan kian lemah. Kuasa membeli yang kian lemah akibat kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat mendorong semua pihak lebih berhati-hati dalam berbelanja.

Kesan berantai daripada itu akan turut melemahkan kuasa membeli.

Maka, sepatutnya Kerajaan Persekutuan melalui Bajet 2017 Pusat wajar berbelanja lebih, serta mengekang ketirisan, amalan rasuah dan pembaziran dana awam.

Belanjawan tahunan 2017 yang mengurangkan peruntukan untuk Universiti Awam, Kementerian Pendidikan serta sektor kebajikan, sebenarnya akan melemahkan lagi kuasa membeli dan kuasa produktiviti dalam ekonomi negara.

Kuasa membeli dan produktiviti 

Penasihat Koperasi Pasar Aneka Taman Selat Butterworth Berhad (KPATSBB) Tuan Zolkifly Md. Lazim berkata, langkah terdahulu Kerajaan berbelanja lebih untuk membina Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Politeknik Cawangan Seberang Perai Tengah, dan mewujudkan Kompleks Ibupejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menyebabkan wujudnya kesan berganda (multiplier effect) dalam ekonomi rakyat di Parlimen Permatang Pauh.

"Semua jenis aktiviti perniagaan boleh berkembang hidup di sekitar Parlimen Permatang Pauh ini kerana kakitangan kerajaan dan pelajar ada membawa kuasa membeli.

"Kalau kuasa membeli tidak datang daripada belanja pensyarah, pelajar-pelajar universiti dan politeknik serta kakitangan MPSP ini, kuasa produktiviti daripada penjaja makanan dan peniaga jua tidak akan wujud secara sihat di Permatang Pauh.

"Kerajaan boleh mengutip cukai daripada semua pihak ini, kerana ada pembayar cukai yang banyak, pembayar cukai yang banyak ada kerana kuasa produktiviti yang tinggi, kuasa produktiviti yang tinggi ada kerana kuasa membeli daripada ahli akademik, kakitangan kerajaan dan mahasiswa ini.

"Jika seorang pensyarah berbelanja RM100 sehari, kesan berganda (multiplier effect) mungkin RM1,000 apabila aktiviti ekonomi terjadi membabitkan penjual makanan, peniaga, pelajar, dan semua pihak yang berurusan secara ekonomi dengan pensyarah tersebut.

"Yang penting adalah kuasa membeli dan kuasa produktiviti terus diransang dengan kerajaan berbelanja lebih, bukan sebaliknya.

"Sebenarnya mewujudkan kesan berganda (multiplier effect) dalam ekonomi rakyat adalah sama penting dengan usaha mengurangkan pembaziran dana awam di 'Putrajaya', berbanding usaha mengurangkan belanja dalam belanjawan definisi sesebuah Kerajaan.

"Kalau kerajaan faham betapa penting kuasa membeli dan kuasa produktiviti ini diransang oleh sebuah Kerajaan, mereka tidak akan mengurangkan peruntukan belanja Universiti Awam dalam Bajet 2017 (sejumlah) RM7.4 bilion berbanding RM13.378 bilion bagi belanjawan tahunan sebelumnya (Bajet 2016 Pusat) umpamanya," jelas Zolkifly dalam sesi tinjauan rambang sekitar kawasan Pekan Permatang Pauh di sini baru-baru ini.

Zolkifly merupakan Presiden D'BM Hospital Permatang Pauh dan pengusaha sebuah lagi hospital bersalin swasta di Gombak, Selangor. Menurut Zolkifly, iklim ekonomi yang kian mencabar tidak menjejaskan aktiviti keusahawanannya kerana satu-satu hospital swasta lazimnya mempunyai pelanggan terpilih yang lebih kecil.

"Pelanggan hospital swasta rata-rata lebih kecil berbanding rata-rata rakyat yang memilih ke hospital kerajaan dengan kos perubatan yang lebih murah.

"Yang datang ke D'BM Hospital Permatang Pauh sangat kecil bilangannya dan mereka ini rata-rata ada kemampuan dari segi kewangan," jelas Zolkifly lagi.

Belanja lebih, ransang ekonomi negeri 

Zolkifly bagaimanapun berkata beliau lebih berhati-hati dalam berbelanja harian disebabkan beban berantai daripada pelaksanaan GST.

"Kerajaan yang tua sahaja alan bergantung pada hasil sumber mentah seperti petroleum, tebang balak atau jual tanah secara spekulatif.

"Kerajaan yang muda di negara maju berbelanja lebih secara kreatif untuk kebajikan rakyat, dengan hanya mengutip cukai yang wajar, amal belanja hemah, berjimat-cermat serta tidak membazir atau rasuah membabitkan dana awam.

"Kalau Kerajaan menabung semua hasil royalti petroleum, mungkin hasil pelaburannya mencecah RM30 bilion, menyamai hasil GST yang dikutip pada tahun lalu (2015)," ujar Zolkifly.

Zolkifly memuji pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang memperuntukkan belanja kira-kira RM61 juta melalui program-progran emas kepada warga emas, pelajar-pelajar, mahasiswa, ibu tunggal, bayi baru lahir, orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya.

"Ambil contoh Bajet 2016, (peruntukan) RM61 juta ini tak penting sama ada ia perbelanjaan mengurus atau perbelanjaan pembangunan.

"Yang paling penting RM61 juta ini akan bergerak dalam masyarakat akan merangsang kuasa membeli, kuasa produktiviti dan memberi kesan berganda dalam ekonomi rakyat," jelas Zolkifly lagi.

Jangan peduli dakyah IMF

Berikut laporan statistik Bank Negara Malaysia yang menunjukkan nisbah hutang Kerajaan Pusat berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari tahun 1986 ke 1992 :

  • 1986 - 103.4 %
  • 1987 -  101.7 %
  • 1988 -  96.4 %
  • 1989 - 85.5 % 
  • 1990 - 79.5 % 
  • 1991 - 73.3 % 
  • 1992 - 64.4 %
  • 1993 - 55.7 % 
Pada 30 Jun 2016, nisbah Hutang kepada KDNK sebanyak 53.4 % sahaja.

Tetapi sesetengah pihak menyebarkan dakyah bank dunia IMF kononnya negara akan muflis sekiranya nisbah hutang kepada KDNK melebihi had 55 peratus.

Persoalannya, jika Malaysia tidak muflis pada 103.4 peratus nisbah hutang kepada KDNK 1985 dahulu, bagaimana negara boleh bankrap dengan angka di bawah paras 55 peratus nisbah hutang kepada KDNK 2016?

Di sini, langkah terpenting bagi sebuah Kerajaan adalah meningkatkan kadar eksport berbanding jumlah import dalam akaun semasa, supaya lebihan kewangan (surplus) bukan disebabkan kerajaan menjual aset negara sebagaimana pada tahun 1990 hingga 1997.

Sejak tahun 1998 hingga sekarang, akaun semasa kerajaan masih positif dan sebuah Kerajaan wajar tumpu perhatian pada usaha mengurangkan tahap hutang isi rumah rakyat yang mencecah paras 89.1 peratus daripada KDNK pada tahun 2015.

Sokong kerajaan belanja lebih

Lanjutan itu, seorang lagi responden MOHD. AZHAR AZIZ mensyor Kerajaan Negeri yang mempunyai lebihan kewangan sekali ganda menjadi RM574 juta dalam tempoh lapan tahun sejak 2008 lebih berbelanja untuk merangsang kuasa membeli dan kuasa produktiviti di Pulau Pinang.

Dalam tempoh 50 tahun sejak 1957 hingga 2007, Kerajaan Negeri era Barisan Nasional merekodkan surplus lebih kecil, sejumlah RM373 juta.

"Tak patut kalau tabung masjid umpamanya mencatatkan lebihan kutipan setiap bulan sampai keseluruhannya mencecah RM1 juta, tetapi kegiatan ekonomi ahli kariah masjid di sekeliling lemah kerana tidak dijana.

"Sebab itu, elok sesebuah kerajaan berbelanja lebih untuk ransang ekonomi rakyat di Pulau Pinang, selain memberitahu rakyat mengenai kemampuan Kerajaan Negeri mencatatkan lebihan kewangan setiap tahun.

"Pada saat ekonomi mencabar, saya masih untung, tetapi tidak seperti dahulu kerana harga barang meningkat, tetapi kuasa membeli rakyat pada tahap yang sama kerana gaji mereka tak naik.

"Untuk terus mengejar untung minimum, caj lantai untuk pelanggan tetap mesti lebih 'istiemwa', dan, mutu perkhidmatan untuk pelanggan pun mesti lebih baik," ujar Mohd. Azhar Aziz, pengusaha sebuah bengkel kereta di Pekan Permatang Pauh.

Menurut beliau, ketika ekonomi kian mencabar kini, purata nilai jualan sekitar RM20,000 hingga RM40,000 sebulan. Dan Mohd. Azhar memberitahu, pihaknya UiTM Kampus Pulau Pinang merupakan antara pelanggan utama beliau untuk servis kenderaan dan pendingin hawa milik universiti.

Besarkan saiz bisnes

Bagi MOHAMAD AMBERI AZIZ, seorang pengusaha syarikat penyelenggara kejuruteraan melihat peluang perniagaan dalam bidang berkaitannya lebih mengecil serta menyaksikan saingan yang kompetitif.

Sebagai ahli perniagaan, katanya, beliau harus lebih kreatif untuk menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran ekonomi yang sedia mencabar ini.

"Saya banyak juga berurusan dengan kerajaan, saya melihat amalan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri hampir sama, (iaitu) mengurangkan perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan, mungkin ini sebahagian daripada langkah penjimatan.

"Bagi saya, tahun ini agak mencabar, dari rekod penyata kawangan syarikat memang nampak agak ketara berbanding tahun lepas.

"Banyak kekangan dari segi kuasa membeli tahun ini agak berkurangan berbanding beberapa tahun dahulu.

"Saingan semakin besar tetapi saiz bisnes membabitkan Kerajaan semakin kecil, lebih banyak belanja Kerajaan mungkin akan membesarkan saiz bisnes sedia ada, " jelas Mohamad Amberi.

Mengadapi saat ekonomi kian mencabar, Mohamad Amberi memberitahu pihaknya menubuhkan lebih banyak anak syarikat untuk pelbagai cabang perniagaan demi menjana keuntungan secara produktif.

Cabaran peniaga warung makan

ROSLIANA MAD DESA, peniaga makanan Gerai Pak Lang bersebalahan Stesen Minyak Caltex Pekan Permatang Pauh pula memberitahu kos operasi perniagaannya meningkat tinggi kerana kenaikkan harga barang dan GST.

Justeru, beliau begitu berhati-hati dalam menetapkan harga jualan makan supaya pelanggan setia 'tak lari'.

"Ayam kampung atau ayam 'biasa' sekarang harga mahal berbanding dahulu, takkan kami nak letak harga yang lebih murah.

"Jadi, kami terpaksa menyediakan makanan pada harga murah seperti masakan (berasaskan) telur supaya pelanggan yang jimat berbelanja terus setia ke warung makan kami.

"Selalunya hasil jualan kami meningkat pada hari awal bulan masuk gaji, jadi baguslah kalau kakitangan kerajaan dapat bonus atau Kerajaan belanja banyak untuk ransang ekonomi rakyat," ujar beliau sambil memberitahu hasil jualannya masih di atas siling keuntungan pada saat ekonomi kian mencabar kini.

Rosliana yang enggan gambar wajarnya diketahui umum memberitahu, mujur kos sewaan tapak gerai adalah berpatutan disebabkan beliau berkongsi tempat niaga dengan dua 'tauke' makan lain di sini.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Bajet 2017: Peniaga harap kerajaan lebih berbelanja tahun 2017

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment