Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Saturday, May 12, 2018

PRU 14 - Pakatan Harapan perlu ucap terima kasih pada DS Najib Razak

  Mohd Shubhi       Saturday, May 12, 2018



Baru sampai Selangor. Balik dari Permatang Pauh tunaikan kewajipan mengundi pada PRU 14 baru-baru ini. Nampaknya artikel ramalan menarik pasal PRU 14 yang saya tulis kat blog ini kat sini, sebelum ini hampir tepat.

Ada yang kata ramalan tu syok sendiri dan mengarut. Tapi nampaknya tak lah mengarut sangat. Hampir betul juga kebanyakan dari ramalannya agak betul dan kita dah dapat saksikannya sekarang.

Sangkaan saya sendiri yang BN akan tetap menang juga ternyata salah sama sekali. Walaupun salah, buat julung kalinya saya rasa gembira yang ramalan saya salah terus. BN akhirnya tersungkur juga tewas selepas lebih dari 60 tahun berkuasa memerintah Malaysia.

Rasa merdeka selepas PRU 14

Semua kawan-kawan yang saya jumpa terutamanya yang setia berjuang lawan BN sebelum ini rasa macam merdeka. Pelik juga perasaan itu muncul dengan kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU 14 ini walaupun negara kita dah merdeka lama dulu.

Paling ketara aura merdeka itu terpamer adalah pada media massa utama negara kita. Surat khabar juga nampaknya dah mula mendapat kepercayaan sekelip mata. Dengar radio, nonton TV, dan baca akhbar dah mula terasa berbaloi dan penting.

Itu yang paling best rasanya. Mungkin sekarang semua orang dah boleh mula KIV semua maklumat dari media sosial dan beralih ke media massa utama untuk mendapatkan kesahihan sesuatu maklumat sekarang.

Semua orang rasanya menyambut suasana baru berubahnya negara kita ke arah yang lebih terbuka sekarang ini. Harapnya macam itulah. Jangan pula PH buat hal balas dendam dan jadi seperti mana kerajaan yang mereka benci sebelum ini sudahlah.

Pakatan Harapan perlu ucap terima kasih

Kemenangan ini bukan datang dengan mudah. Banyak orang yang korbankan masa dan wang ringgit untuk buka mata rakyat. Hasil dari himpunan semua kejadian dari tersingkirnya Anwar Ibrahim sehinggalah Tun Mahathir sendiri yang ketua semua parti pembangkang, akhirnya BN tewas juga.

Saya sebelum ini percaya BN terlalu sukar untuk ditewaskan. Sangkaan saya adalah rakyat Malaysia hanya akan sedar apabila mereka tak ada beras untuk ditanak, baru nak ubah kerajaan. Tapi nampaknya sangkaan saya itu salah sama sekali.

Saya punya andaian, BN hanya akan boleh diturunkan melalui pergerakan atas jalan dan bukannya melalui peti undi. Tapi semuanya terbukti salah selepas PRU 14.

Dan orang yang bertanggung jawab membantu semua itu berlaku tidak lain dan tidak bukan ialah DS Najib Razak sendiri. Kedegilannya terus lawan arus dengan macam-macam helah dan penafian yang mencabar kewarasan rakyat Malaysia akhirnya menaikkan minyak orang ramai di pet undi.

Jadi Pakatan Harapan perlu ucapkan terima kasih pada bekas Pengurusi BN dan Umno yang baru letak jawatan tadi kerana tak jemu membantu semua itu berlaku. Termasuklah semua menteri kabinet yang mirip Pak Lawak setiap kali keluarkan kenyataan yang membuatkan rakyat marah.

Terima Kasih DS Najib dan semua menteri kabinet BN sebelum ini yang membantu rakyat berani dan tak fikir panjang untuk turunkan mereka secara aman melalui peti undi.

Cabaran baru Pakatan Harapan

Memang banyak kerja PH selepas berkuasa ini. Banyak janji yang mereka buat sebelum ini perlu ditunaikan. Paling saya suka dan nantikan adalah pemansuhan GST yang sejak ia dilaksanakan membuatkan perniagaan saya sakit dan mencabar.

Mungkin dengan pengalaman yang Tun Mahathir ada selama 22 tahun mengetuai negara dapat pulihkan kedudukan Malaysia di mata dunia. Itupun bergantung pada kerjasama yang boleh digembeleng dari semua menteri kabinet dari semua parti dalam PH.

Untuk dapatkan kerjasama itu saya rasa amat sukar terutamanya dari pemimpin PKR yang dah lama berjuang. Mereka tentu akan minta lebih keutamaan. Lagipun PKR biasanya bergantung sangat pada Anwar. Semua keputusan sekecil manapun akan dirujuk pada Anwar terlebih dahulu dan Anwar pulak saya lihat biasanya suka buat keputusan gelogoh dan tak jelas.

Masa umum 3 menteri utama tadi tidak kelihatan geng PKR. Khabarnya mereka semua masih dok bincang dengan ketua umum mereka Anwar tentang perlantikan menteri kabinet. Masih tak buat keputusan lagi nampaknya PKR ni dan Tun M nampaknya tak dapat nak tunggu. Rafizi pulak buat kenyataan semua keputusan sidang media tadi masih belum muktamad. Dah nampak masalah mula timbul baru 2 hari berkuasa dan macam biasa datang dari PKR.

Begitu juga dari DAP yang setia berjuang selama ini. Biasanya DAP amat licik dalam berpolitik. Mereka akan sentiasa nego awal dengan Tun Mahathir untuk apa saja keputusan sebab DAP lebih yakin dengan keupayaan Tun Mahathir buat keputusan yang biasanya amat jelas. DAP tak berapa serasi dengan Anwar berbanding Tun M sebab Anwar punya keputusan biasanya tak jelas dan sentiasa berhelah dan play safe.

Yang paling beruntung sudah tentu adalah dari kalangan pemimpin Amanah. Mereka buat keputusan bijak keluar dari PAS untuk tubuh parti baru dan sertai PH. Siapa sangka Mat Sabu boleh ketuai barisan pertahanan negara?

Siapa sangka Lim Guan Eng akan jadi Menteri Kewangan???

Menteri Kewangan berbangsa Cina dari DAP???

Nampak janggal selama ini. Tapi bila Lim Guan Eng di tanya apa pendapatnya sebagai seorang berbangsa Cina menjawat tugas Menteri Kewangan sejak sekian lama tak pernah ada, dia punya jawapan amat win!

"First of all, I don't see myself as Chinese. I'm Malaysian. I'm here to help the country."

Itu jawapan Lim Guan Eng sebaik saja ditanya soalan dalam sidang media tadi.

Tun Mahathir juga buktikan yang dia bukan jenis rasis tahap bebal yang selama ini orang tuduh padanya. Semua itu terpadam bila dia lantik Lim Guan Eng dari DAP jadi Menteri Kewangan. Tahniah TUN dan tahniah Lim Guan Eng!.

Sat cabaran paling berat yang PH perlu tangani sekarang adalah untuk kendalikan puak ekstremis bangsa Melayu dan ekstremis agama yang masih ramai dan tebal kat Malaysia. Dah boleh dengar suara basi itu bising dalam grup whatsapp bila mereka jumlahkan kerusi Melayu berbanding kerusi Cina. Puak itu masih tak boleh nak terima bangsa Malaysia nampaknya.

Sampai bila fahaman rasis bangsa dan agama akan hilang kat Malaysia tak ada siapa yang tahu. Bangsa atau agama mana yang sepatutnya dijadikan contoh bukan atas nama sahaja. Paling penting ia perlu diterjemahkan pada amalan dan budaya. Tapi yang itulah masih tak ada pada bangsa dan agama yang anggap mereka gemilang hanya pada nama kat negara kita.

Jika amalan dan budaya gemilang dan terbilang, tak payah nak laungkan nama, orang akan pandang tinggi dan jadikan contoh tauladan. Harap semua orang kat Malaysia kerja keras untuk saling bersaing membuat kebaikan.

Kebaikan secara universal yang diterima pakai oleh semua bangsa dan agama amat banyak yang perlu dibaiki. Fokus pada itu terlebih dahulu dan selebihnya, adalah bonus jika dapat direalisasikan.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, PRU 14 - Pakatan Harapan perlu ucap terima kasih pada DS Najib Razak

Previous
« Prev Post

1 comment:

  1. Pendapat yang perlu diberi perhatian oleh pemimpin PH..

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !