Jas Du It

Jasduit - Just do it !

Wednesday, September 5, 2018

Akhirnya saya tonton juga Munafik 2 filem seram Hantu Melayu terbaru

  Abu Ays       Wednesday, September 5, 2018


Sejak anak-anak tengok disebalik tabir pembikinan filem Munafik 2, mereka asyik pujuk nak pergi tonton filem tersebut bila ianya ditayangkan nanti.

Anak-anak memang minat segala filem seram. Walaupun mereka penakut tapi masih tetap nak tengok juga setiap kali ada cerita seram kat TV.

Hari Khamis malam, anak lelaki darjah 4 buka cerita yang kawannya hari tu ponteng sekolah sebab nak pergi tonton cerita Munafik 2. Dia jadikan tu sebagai modal untuk pujuk saya bawa mereka semua pergi tonton Munafik 2.

Hari jumaat selepas solat jumaat, saya terpaksa ke pejabat untuk selesaikan kerja. Anak-anak hantar mesej tak putus asa pujuk untuk bawa mereka pergi tonton Munafik 2. Apa yang menarik minat mereka untuk pergi tengok wayang saya tak tahu.

Dah lama tak tengok wayang

Dah berpuluh tahun saya tak pergi tegok wayang. Samada filem orang putih atau filem Melayu semuanya saya tak ambil peduli. Saya lebih suka tengok filem yang disiarkan dalam TV sahaja. Tak kisah walaupun setelah setahun atau lebih baru berkesempatan untuk menontonnya.

Dari tengok filem mengarut, lebih baik tengok rencana. Kalau filem yang dilakonkan berdasarkan cerita sebenar, saya lebih suka tengok. Sebab cerita sebenar lebih banyak memberikan faedah dan pelajaran kepada kehidupan.

Cerita hantu hampir kesemuanya adalah mengarut. Kalau benarpun ianya berlaku, gambaran watak hantu atau jin yang dipaparkan hanyalah imaginasi sahaja. Tak ada siapa tahu bagaimana rupa hantu sebenarnya.

Kalau ada orang dakwa dia ada deria ke-6 atau seumpamanya, yang membolehkan dia tengok hantu, itupun boleh diragui lagi sebab tak boleh dibuktikan. Apa yang dia nampak juga hanyalah imaginasi yang ada di dalam fikirannya.

Sebab itu orang Melayu ada gambaran hantu melayu, orang putih ada gambaran hantu mat saleh dan orang cina ada gambaran hantu Cina mereka sendiri. Semua bangsa akan ada imaginasi hantu mereka sendiri dan itulah yang dikeluarkan oleh daya imaginasi mereka.

Itu sebab utama saya tak berapa nak ikut sangat desakan anak-anak untuk pergi tonton cerita Munafik 2 yang tonjolkan segala cerita hantu melayu tu. Takut anak-anak tertanam bayangan rupa hantu akibat terpengaruh dengan filem sedemikian dan imaginasi itu akan jadi real dalam pemikiran mereka.


Akhirnya tonton juga munafik 2

Setelah dipujuk bertalu-talu, akhirnya masa bawa anak-anak meronda di Subang Parade, saya pergi jenguk pangung wayang kat atas tu. Dan memang ada Munafik 2 disiarkan. Maka saya layanlah beli tiket untuk satu keluarga tonton Munafik 2 yang bermula pada pukul 5.20 petang.

Laku juga tiket terjual. Masa beli tempat kosong bahagian belakang dah penuh. Tinggal bahagian depan sahaja yang masih kosong. Saya dapat tahu Munafik 2 amat laris sejak hari mula ianya ditayangkan. Kutipan dalam tempoh 4 hari pertama mencecah sampai RM21.6 juta.

Ramai orang Melayu yang minat tengok cerita hantu mengarut rupanya.

Saya dapat tahu satu lagi cerita hantu mengarut bertajuk Hantu Kak Limah, juga berjaya kutip banyak juta ringgit. Itu membuktikan lagi yang orang kita memang suka takutkan diri mereka dengan semua gambaran hantu dari imaginasi yang telah di-realkan dalam pemikiran.

Sedikit ulasan cerita Munafik 2

Oleh sebab dah pergi tengok, elok saya buat sedikit ulasan apa yang saya fikirkan terhadap filem Munafik 2 yang mendapat sambutan ramai itu.

Saya bukan orang filem dan tak ada apa-apa kemahiran dalam industri perfilemen. Jadi saya ulas berdasarkan apa yang saya fikir dari kaca mata orang biasa yang layan anak-anak pergi tengok wayang yang mereka teringin nak tonton.

Cerita yang dipaparkan hanya kuatkan lagi teknik perubatan yang biasanya diamalkan oleh para Ustaz yang mengaku pandai buang dan lawan hantu yang suka ganggu orang ramai. Mereka amalkan segala bacaan yang dipanggil Rukyah untuk lawan hantu Melayu.

Dalam cerita Munafik 2 ini ada dua watak yang umum. Pertamanya adalah watak Iblis yang berkata-kata dalam loghat Indonesia. Watak Iblis itu cuba menggoda keimanan Ustaz Adam, watak pengamal perubatan alternatif dalam filem tersebut.

Watak iblis loghat Indon itu muncul tanpa ada hujung dan pangkalnya. Dari mana dia datang dan ke mana ianya berakhir tidak diberikan hint dalam cerita Munafik 2 tersebut. Kenapa loghat Indonesia dan kenapa wanita juga saya tak tahu ujung pangkalnya. Saya tak nampak apa kaitan Iblis Indon perempuan itu dengan keseluruhan jalan cerita Munafik 2.

Satu lagi watak umum adalah jin Yahudi yang masuk meresap ke dalam tubuh badan orang. Saya tak pasti samada watak Jin Yahudi itu yang dimaksudkan adalah Yahudi dari segi kepercayaan agama Yahudi atau dari segi Bangsa Yahudi. Itu nak kena tanya Syamsul sendiri apa yang dia maksudkan sebagai Jin Yahudi yang sangat kuat itu.

Bila Jin Yahudi itu merasuk Sakinah, dia mampu panjat pokok dan bangunan macam Spiderman. Sungguh hebat Sakinah yang kena rasuk panjat pokok macam cicak panjat dinding saja. Cerita macam itu saya selalu juga dengar tapi tak pernah dengar lagi dari cerita orang yang pernah melihatnya sendiri kejadian berlaku.

Semua cerita orang kena rasuk berupaya buat perkara ajaib hanya didengari dari cerita berlapis-lapis orang atas orang. Entah betul entah tidak saya tak dapat nak pastikan. Setakat ini saya memang tak percaya ada kejadia sedemikian pernah berlaku.

Jadi saya anggap itu semua adalah khayalan sahaja.

Watak Jin Yahudi itu saya andaikan bahawa ianya ada kaitan dengan Abu Jar. Mungkin ianya adalah Jin khadam suruhan Abu Jar yang bantu segala kerja menyusahkan orang lain yang tidak tunduk kepadanya.

Tidak juga diperincikan bagaimana Abu Jar berjaya kuasai Jin Yahudi itu. Jauh juga Jin tu berhijrah sampai ke Tanah Melayu dan jadi Khadam Abu Jar. Jin itu juga berbahasa melayu dan sekali sekala cakap Arab. Ertinya jin itu adalah Yahudi yang daang dari Timur Tengah dan bukannya dari Israel, entahlah?

Pengajaran dari cerita Munafik 2

Saya sejujurnya tak nampak apa-apa pengajaran yang boleh diperolehi dari cerita Munafik 2 itu. Semuanya hanyalah sekadar hiburan dalam bentk yang menakutkan sahaja. Ketakutan dibantu dengan mainan bunyi dan aksi suspen.

Oleh kerana saya dah jangkakan setiap aksi suspen akan di berikan klimaks dengan kejutan hantu, maka tak ada satupun kejutan itu berjaya membuatkan saya terkejut dari awal sampai akhir. Tapi semua orang samada tepi depan dan belakang saya nampaknya memang terkejut sampai ada yang tak habis-habis mencarut setiap kali tersentak dengan kejutan.

Keadaan masyarakat kampung yang terlalu takut dengan Abu Jar juga saya sifatkan sebagai agak ekstrim dan tak sepatutnya berlaku. Seolah-olah tak ada sistem pemerintahan yang baik dalam masyarakat itu.

Tak ada sistem kepolisian dan tak ada organisasi keselamatan yang wujud di daerah itu sehingga membolehkan Abu Jar membiakkan pengikutnya. Apa teknik yang Abu Jar gunakan untuk kuasai pengikut supaya taat setia tidak berapa ditonjolkan sangat.

Nak kata teknik habuan seks yang diberikan galakan sesama pengikut tidak juga diberikan gambaran. Habuan seks hanya dinikmati oleh Abu Jar saja sampai membuahkan anak kepada Sakinah. Sakinah yang cedera parah kena belasah kemudiannya dijadikan kenduri seks oleh Abu Jar sendiri bersama dengan para pengikutnya.

Nak kata Abu Jar berikan kekayaan kepada para pengikutnya juga tidak diberikan gambaran dalam cerita itu. Fikiran logik saya tak boleh nak buat rumusan yang meyakinkan dan membuatkan saya tak dapat hayati apa-apa pengajaran untuk kehidupan sebenar.

Perkara paling banyak yang ditonjolkan dari awal sampai habis adalah cubaan kejutan demi kejutan supaya orang melatah dan tersentak. Itu saja yang boleh saya rumuskan.

Dari segi lakonan pulak, saya nampak macam sebuah lakonan teater saja semuanya termasuklah lakonan Rahim Razali.

Ringkasnya, ia satu cerita yang agak membosankan bagi saya.

logoblog

Terima Kasih sebab sudi membaca, Akhirnya saya tonton juga Munafik 2 filem seram Hantu Melayu terbaru

Previous
« Prev Post

2 comments:

  1. Ada rasa menyesal tak pergi tengok?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak juga sebab dapat layan anak-anak tonton wayang sekali sekala.

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !