Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Friday, March 15, 2019

Apa berlaku setelah kerajaan PH haramkan merokok di semua kedai makan

  Mohd Shubhi       Friday, March 15, 2019

Antara perkara yang paling terasa, terutamanya kepada para perokok, sejak kerajaan Pakatan Harapan ambil alih pemerintahan negara adalah, pengharaman merokok di semua premis makanan di negara kita.

Itu salah satu usaha Kementerian Kesihatan menjaga kebajikan rakyat Malaysia. Itulah matlamat utamanya. Merokok memang tak bagus untuk kesihatan. Samada kepada perokok, mahupun kepada orang ramai yang turut sama terhidu asap rokok.

Bahaya asap rokok vs asap kenderaan

Ada orang yang pertikaikan kenapa nak fokus pada asap rokok saja. Bukankah pencemaran udara yang dibuat oleh asap semua kenderaan di atas jalan raya, tak kurang bahayanya untuk kesihatan rakyat Malaysia.

Untuk jawab persoalan mana lebih bahaya. Samada asap rokok atau asap kenderaan. Saya ada tulis berkenaan isu yang sama sebelum ini. Anda boleh baca kat artikel ini. Bukti kajian menunjukkan bahawa asap rokok adalah 10 kali ganda bahayanya berbanding asap kenderaan.

Jadi, memang tepatlah kerajaan fokus kepada asap rokok tu.

Anti perokok selesa di kedai makan

Bagi orang yang memang anti perokok, tindakan kerajaan mengharamkan rokok di semua kedai makan memang sangat melegakan.

Sekarang semua orang yang tak suka perokok dan tak selesa dengan kehadiran perokok yang hembus asap bahaya itu di kedai makan dah tak ada lagi. Pemandangan bersih di kedai makan terutamanya di kedai mamak nampak amat ketara sekarang.

Walaupun perokok masih boleh hisap rokok dalam jarak 3 meter dari kedai makan, ramai yang saya lihat ambil keputuan tak hisap rokok terus. Mungkin malas nak bangun pergi ke satu sudut luar seorang diri, tinggalkan majlis semata-mata untuk hisap rokok.

Biasanya bila bersarapan di hujung minggu, saya akan bawa satu keluarga makan di kedai mamak. Amalan itu diteruskan sampai sekarang dan memang sangat selesa sekarang dengan tak adanya orang merokok kat kedai mamak.

Meja cepat kosong di kedai makan

Kalau sebelum ini, kaki rokok akan lepak sambil minum bergelas-gelas kat kedai mamak, sekarang mereka dah tak buat macam tu lagi.

Ramai yang hanya duduk, makan dan minum cepat-cepat dan terus beredar. Mereka balik atau pergi ke tempat lain untuk pekena rokok bagi yang ketagih tak boleh tahan.

Semua itu membuatkan meja kosong dengan pantas tanpa ada lagi sekumpulan pelanggan yang sebelum ini duduk berjam-jam kat kedai mamak menikmati aktiviti berborak sampai merokok.

Elak makan dan minum kat kedai

Ada ramai juga yang berjaya kurangkan masa terbuang melepak kat kedai makan lebih dari separuh. Kedai makan hanya dikunjungi untuk melepaskan lapar atau dahaga sahaja.

Disebabkan tak boleh merokok kat kedai makan, aktiviti jumpa kawan-kawan untuk bersosial juga jadi berkurangan. Baik melepak kat rumah atau mana-mana premis yang bukan kedai makan untuk berborak dari buat salah merokok kat kedai makan.

Saya yakin banyak kedai yang hilang ramai pelanggan setia mereka dari kalangan perokok setelah kerajaan haramkan merokok. Ada sesetengah kedai mamak yang sengaja biarkan perokok hisap juga sebab mereka tahu kalau berkeras juga tak ramai pelanggan yang akan masuk nanti.

Saya salah seorang dari perokok sosial. Hisap rokok hanya bila jumpa kawan-kawan di kedai minum terutamanya di kedai mamak. Saya hisap rokok daun. Amalan tradisi orang kampung yang saya belajar dari orang tua-tua kat kampung.

Semenjak merokok di haramkan, saya terus kurang jumpa kawan-kawan bersosial kat kedai mamak. Boleh bilang jari saya pergi lepak kedai mamak dalam tempoh sebulan. Jumpa kawan-kawan hanya di pejabat sekarang.

Jimat duit dan jimat masa yang terbuang.

Berhenti di RnR juga dah sangat jarang sekarang. Dulu saya berhenti sekali sekala bila mengantuk. Boleh rehat sebentar, minum kopi O sambil balut rokok daun dengan teman kereta bila travel. Bila dah tak boleh, saya hanya berhenti untuk solat dan kemudian teruskan perjalanan. Tiada lagi rokok ketika travel di lebuh raya Plus.

Ramai orang merokok dalam kenderaan

Ini paling ketara berlaku sejak kerajaan hramkan perokok di kedai makan.

Saya kerap lihat orang merokok dalam kenderaan mereka. Kalau dulu, jarang nampak perokok yang merokok dalam kenderaan, sekarang mudah jumpa kenderaan yang terbuka tingkap depan sambil tangan yang memegang rokok tersadai tepi pintu kenderaan sambil memandu.

Yang tak bagusnya adalah bila saya lihat golongan bapa yang bawa satu keluarga termasuk anak dan isteri yang merokok dalam kenderaan. Kalau ada anak kecil lagilah sedih. Kenapa si ayah tak boleh fikirkan sebentar kepentingan anak-anak dan isterinya.

Lepas habis, mereka buang pula puntung rokok atas jalan. Ini membuatkan banyak puntung rokok bersepah sepanjang jalan.

Kawasan merokok di Airport

Hari tu saya sampai di salah sebuah Airport di Sarawak. Kat luar airport tu, ada satu kawasan yang dikhaskan untuk hisap rokok. Saya lihat satu surat dipaparkan pada dinding kat kawasan itu kebenaran sementara dari kementerian kesihatan untuk jadikan kawasan itu tempat merokok.

Saya terfikir kenapa kerajaan tak benarkan kedai makan adakan satu kawasan khas untuk pelanggan kedai makan yang nak merokok. Apa bezanya airport dengan kedai makan tu dari segi kawasan?.

Dan apa bezanya merokok 3 meter dari premis makanan dengan adakan satu kawasan khas untuk perokok di kedai makan. Asapnya akan berlegar ke udara juga.

Kalau ada kawasan khas untuk perokok, boleh pasang penyedut udara menghala ke atas bumbung kedai makan tu untuk elakkan asap rokok pergi ke kawasan lain di kedai makan tersebut.

Perokok sedih dianak tirikan

Jumlah perokok agak ramai juga di negara kita.

Bila aktiviti yang mereka suka buat sudah tidak dibenarkan lagi, maka ramai yang terasa seperti jadi anak tiri sekarang. Malah ada kawan-kawan yang kaki merokok kat kedai makan dulu rasa menyesal pangkah PH masa PRU 14 lalu.

Mereka nampaknya macam nak kalih kepada BN semula bila Pru 15 nanti. Itulah yang mereka cakap. Mungkin mereka hanya berseloroh. Kalau mereka serius, ramai juga peyokong PH dari kalangan perokok akan ubah sokongan nampaknya.

Begitulah sedikit sebanyak, apa yang saya perhatikan sejak kerajaan PH haramkan merokok hampir di semua premis awam di negara kita.

Secara peribadi, saya rasakan kebaikannya jauh lebih tinggi berbanding tak bagus. Paling syok adalah saya tak hidu lagi asap rokok yang busuk itu di kedai makan. Masa juga tak terbuang melepak dan bersosial dengan kawan-kawan sekarang. Duit pun jimat.

Hasil dari larangan merokok tu juga, saya berhenti terus dari hisap rokok daun. Tak payah sibuk balik kampung lagi bila bekalan tembakau jawa dan daun rokok habis sekarang.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Apa berlaku setelah kerajaan PH haramkan merokok di semua kedai makan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !