Saturday, October 5, 2019

Orang yang suka mengeluh dan merungut boleh merosakkan kesihatan anda - Jauhi mereka

  Mat       Saturday, October 5, 2019

Pada 2 September 1998 Anwar Ibrahim diterajang keluar dari kabinet. Dia disiasat terhadap aduan kesalahan meliwat. Seluruh Malaysia terkejut lagi.

Terkejut lagi selepas kejutan pertama di mana tersebarnya buku '50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM'.

Kejutan pertama orang ramai terutamanya di kalangan orang politik merebak lebih jauh bila Anwar yang sudah tentu jadi orang pertama paling terkejut.

Dia bertindak cuba menghalang kerosakan yang bakal terjadi hasil dari tersebarnya buku tersebut. Dia dapatkan perintah mahkamah menghalang penyebaran buku itu. Dia juga saman penulisnya.

Rentetan dari kejutan demi kejutan, cubaan mengawal keadaan yang hanya membuatkan keadaan jadi lebih parah ditambah parah lagi bila sehari selepas diterajang dari kabinet, Anwar dibuang pula dari UMNO.

20 September 1998, Anwar kena tangkap pula. Kena tangkap tanpa dibicarakan. Dia dituduh salah guna kuasa cuba halang siasatan polis terhadap kes liwatnya. Anwar kena tubuk ketika dalam tahanan sampai lebam sebelah matanya. Lebam itu jadi simbol parti keadilan selepas itu.

Semua peristiwa itu membawa kepada tertubuhnya parti keadilan nasional. Kemudian pada tahun 1999 negara kita buat pilihan raya umum di mana parti keadilan bergabung dengan PAS juga dengan DAP atas nama Barisan Alternatif.

Saya ulang balik semua kisah lama itu sebab nak mengimbau semula titik mula saya ambil tahu dengan penuh perhatian perkembangan politik tanah air. Sebelum itu main ikut-ikut macam tu saja. Itupun sekadar suka-suka sebab nak berkawan dengan kawan-kawan kampung lain yang ramai dari kalangan pengikut PAS.

Jadi kaki mengeluh dan merungut

Sejak mula ikut perkembangan politik dan jadi peyokong Barisan Alternatif, saya mula terbawa-bawa dengan budaya mengeluh dan merungut.

Apa saja yang kerajaan BN buat ketika itu jadi isu. Namapun pembangkang, jadi tak kerja lain selain dari cari isu untuk dibangkang. Duduk kedai kopi sesama sendiri dari kalangan penyokong BA tak ada kerja lain selain dari merungut dan mengeluh.

Darah sentiasa naik mendidih. Hati sentiasa panas. Kritik sana kritik sini. Sembang kencang untuk naikkan semangat istiqamah nak tumbangkan kerajaan. Masa tu juga saya mula kenal apa itu blog. Itu senjata utama untuk lepaskan marah dan kutuk kerajaan.

Tak ada satu haripun yang akan berlalu tanpa mengeluh, komplain, merungut dan menyumpah kerajaan dan siapa saja yang masih sokong kerajaan.

Apa yang saya dapat sejak itu adalah jiwa yang penuh dengan kemarahan. Hati tak pernah tenteram. Memang seronok bila dapat merungut dan mengeluh dan menyumpah orang yang kita benci. Berkumpul atas sat matlamat untuk sama-sama menyatakan rasa benci pada satu kumpualn lain sangat mudah dan seronok untuk kita turut serta.

Berhenti terus bermula tahun 2013

Saya kekal bersemangat ikut perkembangan politik dan sokong apa saja melainkan BN sehingga ke PRU-13, tahun 2013.

Selepas BN masih kekal menang pada PRU-13, itu saya mula bosan dengan politik. Mula sedar jiwa jadi tak tenteram dengan terlalu ambil tahu pasal politik ni. Paling ketara, saya jadi kaki merungut dan kaki mengeluh hasil dari sikap benci kerajaan sepanjang ambil tahu pasal politik.

Akhirnya saya nekad jauhkan diri dari cakap dan turut serta dalam sebarang aktiviti politik. Kalau ada kawan-kawan cerita politik saya akan beredar. Paling mudah, jauhkan saja diri dari mereka. Berhenti baca akhbar, berhenti tulis blog politik dan fokus kembali kepada bab cari makan sahaja.

Bukan terus tak peduli pasal politik. Ambil tahu juga. Tapi sekadar nak tahu dan tidak komen atau mengeluh atau merungut.

Hasilnya ... jiwa kembali tenang.

Merungut dan mengeluh rosakkan kesihatan

Nampaknya keputusan yang saya buat itu memang tepat.

Sebab kajian mendapati orang yang suka merungut dan mengeluh akan membuatkan bahagian otak jadi rosak. Baca kat sini ceritanya.

Bukan saja anda jadi tak sihat jika suka merungut dan mengeluh, malah, sekadar duduk dan mendengar kawan-kawan yang suka mengeluh dan merungut juga akan berikan kesan yang sama.

Kalau Dr Zul haramkan merokok di semua tempat awam kedai makan dan lebuh raya atas alasan asap rokok berikan kesan kesihatan buruk pada orang lain yang tak merokok, dia perlu juga pertimbangkan pengharaman merungut dan mengeluh di tempat awam yang ada orang ramai.

Kesan buruknya sama sahaja.

Harap-harap Kementerian Kesihatan Malaysia akan pertimbangkan pula akta merungut dan mengeluh serta menyumpah di khalayak ramai untuk diharamkan. Demi kesihatan orang lain elok disegerakan kaji akta macam tu.

Setuju ?

logoblog

Terima Kasih sebab sudi membaca, Orang yang suka mengeluh dan merungut boleh merosakkan kesihatan anda - Jauhi mereka

Previous
« Prev Post

1 comment:

  1. Saya setuju dengan pendapat tuan, lepas ni, tak payah pergi undi lagi dah, kita duk rumah. Jadi pemerhati sahaja. Jiwa pun tenang hati lapang.

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !