Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Friday, November 15, 2019

Petua panjang umur berdasarkan kajian - Amalkan 5 jenis senaman mudah ini

  Mohd Shubhi       Friday, November 15, 2019

Siapa yang tak ada hasrat untuk panjang umur?

Walaupun memang ada manusia yang hilang pedoman lalu ambil keputusan nekad untuk bunuh diri. Tapi itu jarang berlaku. Biasanya majoriti manusia yang normal pemikiran akalnya, akan lebih cenderung untuk panjang umur.

Bagi orang yang masih ada kesempatan. Masih ada keinginan untuk layari internet dan baca blog ni, saya andaikan anda normal dan punya keinginan untuk panjang umur. Macam Tun Mahathir yang dah melewati 90 tahun, masih kuat buat kerja dan jadi pemimpin negara.

Jadi apa dia senaman ringkas yang boleh bantu anda untuk panjang umur? Saya senaraikan kat bawah ini. Mudah-mudahan, anda dapat pilih salah satu untuk diamalkan secara konsisten.

1. Lari atau Jogging

Kalau sebut lari, ada yang silap faham pulak. Lari dari bayar hutang, lari dari tanggung jawab dan sebagainya, boleh guna perkataan lari juga. Kalau lari yang membawa maksud senaman, perkataan yang lebih mudah difahami adalah Jogging.

Laporan dari 14 kajian yang dilakukan terhadap sejumlah 230,000 peserta dengan tempoh kajian antara 5.5 ke 35 tahun membuktikan kebaikan jogging ini untuk kesihatan. Anda boleh rujuk laporan kat sini.

Samada anda jenis yang jogging laju atau perlahan tak kisah. Ia terbukti dapat bantu anda untuk panjang umur. Kalau anda jogging seminggu sekalipun, masih ok berbanding tak lari lansung. Jadi jangan lupa lari bila ada masa.

Lari ligan bas, lari dari dikejar anjing, lari pergi kerja dan sebagainya walaupun mengah, tapi ada manfaat yang besar. Jika anda terpaksa lari hari ni sebab kejar bas, bersyukurlah !.

2. Berenang

Kalau anda jenis tak suka lari atau jogging sebab rasa penat dan tidak menyeronokkan. Boleh cuba berenang. Orang yang jadikan berenang sebagai satu senaman rutin di dapati lebih panjang umur. Risiko untuk mati awal pada orang yang berenang turun sebanyak 28%.

Risiko untuk mati awal disebabkan kena strok atau serangan jantung pula berkurangan sehingga 41% bagi orang yang suka berenang.

Berenang kosnya tinggi?

Ya dan tidak!

Kalau anda duduk di kawasan laut, pergi saja berenang kat laut tu. Percuma sahaja tak perlu bayar. Kalau duduk di kawasan sungai pun boleh juga berenang.

Kalau kat bandar, daftar di mana-mana pusat berenang. Kena bayar juga sikit. Tapi biasanya tak lah mahal sangat. Tapi apa salahnya kalau ganjarannya adalah kemungkinan yang agak tinggi untuk panjang umur.

Laporan tentang berenang bantu anda panjang umur boleh didapati kat sini.

3. Main tenis atau badminton

Ini sukan kegemaran ramai terutamanya badminton. Mungkin tenis tak ramai sangat yang boleh atau suka main sebab kod tenis agak terhad di negara kita. Tapi gelanggang badminton ada banyak.

Saintis dapati mereka yang rajin main tennis atau badminton menurun risikonya untuk mati awal sebanyak 47%. Jauh lebih bagus berbanding berenang kat atas tadi. Laporan tentang sukan ini ada dalam pautau awal kat atas tadi.

4. Yoga

Ini aktiviti yang perlu digabung dengan aktiviti sukan lain untuk tingkatkan lagi kesan panjang umurnya. Baca laporannya kat pautan ini.

Namun begitu, Yoga ni kontroversi sikit kat negara kita sebab dah ada fatwa yang mengharamkannya. Majlis fatwa kebangsaan telah gazetkan fatwa haram terhadap amalam yoga yang ada bacaan mentera seperti yang diamalkan oleh pengganut agama lain dari Islam.

Yoga saja dengan aktiviti fizikal masih ok. Tapi majlis fatwa kebangsaan masih tetap tak galakkan takut tergelincir juga. Takut rosak akidah kerana ianya sebahagian dari keseluruhan amalan yang teah diharamkan.

Mungkin faedah yang sama dari segi spiritual boleh anda dapati dari amalan solat dan zikir jika anda orang Islam. Untuk senaman yang bantu aliran darah mungkin boleh anda cuba Qi Dong atau Tai Chi yang dah dikomersialkan sekarang.

5. Jalan kaki 

Ini senaman paling mudah. Pakai baju kemejapun boleh buat senaman jalan kaki ni. Jalan laju sikit dalam 10 minit ke satu jam secara rutin mampu kurangkan risiko mati awal dalam 18%. Oklah tu. Mesej utamanya kat sini adalah jangan asyik duduk tak bergerak.

Kesemua 5 senaman mudah kat atas tak banyak kosnya. Mudah sangat nak buat jika anda mahu.

Tapi kalau nak cari alasan kenapa tak boleh buat, memang sangat mudah. Sebab kekangan kerja, kena pergi kerja awal. Kerja perlu duduk di pejabat dan seribu satu macam lagi alasan. Kalau nak bagi alasan lebih baik cakap saja tak mahu. Tak payah nak pusing-pusing.

Jika anda rasa ini penting, anda akan cari jalan. Bukan cari alasan. Selamat berusaha dan moga-moga dengan izin Allah, hidup panjang umur.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Petua panjang umur berdasarkan kajian - Amalkan 5 jenis senaman mudah ini

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !