Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Tuesday, February 23, 2021

Selain dari bisnes jual jeruk mangga di simpang lampu isyarat, apa lagi bisnes yang anda boleh buat

  Mohd Shubhi       Tuesday, February 23, 2021


 Aktiviti cari duit yang paling awal saya tengok di simpang lampu isyarat jalanraya lama dahulu adalah kutip derma. 

Itupun dilakukan oleh bukan warga Malaysia. Mereka pecahkan tradisi amalan rakyat negara kita. Sejak sekian lama, tak pernah ada orang buat macam tu.Tiba-tiba mereka muncul.

Anda tentu pernah lihat juga aktiviti sebegitu sebelum ini. 

Seorang lelaki, pakai kopiah putih bersih, bawa tasbih, bawa sticker cetakan ayat-ayat Al-Quran. Dia akan berjalan dari satu tingkap kenderaan ke satu tingkap lain sambil mata tajam merenung mata pemandu atau penumpang yang ada dalam kenderaan tersebut.

Itu taktik yang berkesan. Melihat orang yang kelihatan daif, peluh berderau, berjalan terkesut-kesut ke sana ke mari, mampu menimbulkan rasa simpati.

Pasti akan tergerak dalam hati. Apa salahnya sedekah seringgit dua .. tak luakpun duit tu. Begitulah fikiran kebanyakan orang yang hulurkan derma atau yang beli sticker peraih simpati itu.

Mula dulu saya hanya lihat seorang sahaja. Kemudian akan ada 2 atau 3 orang. Biasanya seorang lelaki tua dewasa dan bersama dengannya 2 orang kanak-kanak. Dari bentuk rupa paras mereka, nampak memang bukan warga negara.

Jual produk tradisional di stesen minyak

Ada satu lagi yang lebih awal dari aktiviti berniaga atau minta sedekah di simpang lampu isyarat. Aktiviti ni lebih lama wujud. Mereka menjual produk tempatan tradisional di stesen minyak. Ada madu, ada minyak urut, ada kismis dan lain-lain lagi seumpamanya.

Bisnes ini menggunakan taktik meraih simpati dengan menggunakan kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Kanak-kanak tersebut diletakkan di banyak tempat seperti stesen minyak atau kawasan Rehat dan Rawat lebuh raya. Dari pagi sehingga ke malam, kat situlah kanak-kanak itu berada. Berteduh di situ dan mencuba nasib dengan siapa saja yang mereka jumpa.

Memang saya kasihan dan tak setuju ketua kumpulan yang buat kerja macam tu. Walaupun kanak-kanak tu diletakkan di tempat yang teduh. Ada kemudahan asas seperti bilik air dan tempat rehat. Tak sesuai gunakan kanak-kanak untuk tujuan cari duit.

Tapi sekarang tak pernah jumpa lagi kumpulan tersebut. Mungkin sebab covid-19 agaknya.

Bisnes jual jeruk mangga di simpang lampu isyarat

Sekarang, aktiviti yang sangat ketara dan aktif berlaku adalah bisnes jual jeruk mangga di simpang lamu isyarat. 

Aktiviti tu dah merebak satu Malaysia nampaknya. Bukan saja di Lembah Kelang, yang memang dah ada di merata-rata simpang lampu isyarat. Tapi juga di negeri lain saya dah terserempak dengan kumpulan ini.

Mereka pula ramai. Sekali datang akan ada 3 atau 4 orang. Sebaik saja lampu isyarat merah, mereka akan datang bawa di kiri dan kanan balang penuh diisi jeruk mangga.

Memang sentiasa akan ada orang yang membelinya. Bagus juga bosan tunggu lampu bertukar ke hijau. Tambah lagi jika lampu isyarat macam simpang kat Giant Shah Alam tu. Simpang lampu isyarat paling lama di Malaysia saya rasa.

Bisnes apa lagi boleh buat kat simpang lampu isyarat

Mula-mula peminta sedekah. Dari situ muncul pula penjual jeruk mangga. Entah apa pula yang akan muncul selepas ini.

Dengar kata hasil jualan jeruk mangga kat simpang lampu isyarat sangat lumayan. Seorang penjual yang duduk berniaga pergi dan balik kat simpang tu mampu menjana sehingga RM300 bersih atau lebih sehari.

Itu satu pendapatan yang lumayan.

Apa nak malu. pakai penutup muka pakai topi, tak ada sesiapa yang akan kenal anda menjualnya. Nak nampak luar biasa lagi pakai uniform pelik seperti berupa binatang atau super hero.

Saya cuba fikirkan apa pula bisnes yang boleh anda buat pula selain dari jeruk mangga. Takkan kita nak biarkan mereka saja yang buat duit kat simpang lampu isyarat tu. Perlu berikan persaingan. Perlu berikan tawaran pilihan pada pemandu yang bosan tunggu lampu hijau kat simpang tu.

Jom kita cuba buat senarai idea:

  1. Minuman kopi asli sejuk - Coffee Latte yang saya selalu beli kat McD memang sangat sedap. Harganya juga boleh tahan. Buat macam penjual jeruk mangga yang bawa tong besar letakkan kat satu tempat. Boleh bawa mesin expresso mobile dan mula sediakan coffe latte bungkus siap.
  2. Buah potong campur - Kenapa mangga jeruk saja. Buatlah berbagai buah-buah campuran seperti nangka bungkus siap. Buah naga, tembikai, rock melon, tembikai susu, ciku. Macam buah-buahan yang ada di RnR Bukit Gantang, Tapah atau Sungai Perak.
  3. Roti dan Kek - Roti dan kek coklat atau vanila atau strawberry berkrim sepotong ditabur kacang masukkan dalam bungkusan yang sesuai. Atau boleh juga jual Krepe atau Palova dan seumpamanya.
  4. Sandwich Croissont - Gunakan roti perancis crosissant atau pakai roti baguet panjang diisi dengan salad, tomato, buah zaiton, avocado dan ikan tuna berserta mayonnaise. Boleh tambah telur sikit. Perghh sedap tu kalau makan sambil tunggu lampu hijau.
  5. Nasi lemak dan kuih mueh - Pilihan ni boleh dijual waktu pagi ketika orang berebut nak pergi ke pejabat. Buat secara pakej utk seorang dua atau 3 orang. entu memudahkan mereka yang tak sempat makan ketika keluar dari rumah tadi.
  6. Bungkusan makan tengahari - Ini pula sesuai ketika tengahari. Buat packing yang menarik dan mudah untuk dimakan sambil tunggu dalam kereta. Spageti carbonara, atau sos tomato cendawan dan lain-lain seumpamanya. Boleh dijadikan menu makan tengahari pantas dan mudah.
Setakat itu idea yang saya terfikirkan. Ideanya adalah untuk menjual satu produk yang sebungkus atau sebalang RM10 atau lebih. Ia lebih mudah dan pantas dan tak perlu sediakan duit pertukaran yang remeh.

Jika semakin ramai yang terjun ke simpang lampu isyarat tu, lebih meriahlah setiap simpang lampu isyarat di seluruh negara kita. Terutamanya di semua pusat bandar yang saban hari penuh dengan kenderaan.

Bila dah tak muat berkumpul dan berebut tempat berniaga di simpang lampu isyarat, boleh buat pot sepanjang semua jalan menuju ke simpang lampu isyarat tu. 

Ini akan membuat sepanjang jalan raya nampak sangat meriah dan penuh dengan peniaga makanan, buah jeruk asam dan air minuman. Baru tak jemu memandu di mana-mana saja jalan raya. jem pun tak apa sebab tak perlu keluar kenderaan untuk panggil penjual datang ke kereta.

Nak jadi negara tersusun atau caca merba

Berniaga bukanlah satu kesalahan. Malah orang yang berusaha cari duit dengan berniaga adalah insan yang mulia. Dia pilih cara halal untuk sara hidup dirinya dan seluruh keluarganya.

Sebab itulah bila ada pihak berkuasa saman atau bertindak kepada mereka yang sibuk berniaga di simpang lampu isyarat, akan ada saja rakyat Malaysia yang membantah. Tak setuju dengan tindakan saman atau kacau orang nak cara makan.

Mereka yang mahu kerajaan jangan masuk campur dan tak mahu kerajaan halang semua usaha mulia berniaga tepi jalan dan kat simpang itu nampak potensi negara kita jadi negara caca merba yang sangat meriah di mana-mana.

Tak perlu susun cara berniaga dan gazetkan tempat yang boleh dan tak boleh. Belasah saja asalkan boleh supaya negara kita akan jadi terkenal di seluruh dunia. Pelancong akan turun berduyun-duyun melihat bagaimana sebuah negara caca merba menguruskan rakyatnya buat bisnes ikut suka mereka.

Kebanyakan negara yang sangat meriah dengan perniagaan tak tersusun sepanjang jalan adalah negara yang punya jumlah rakyat miskin tidak terkawal. 

Itu adalah tanda program keluarkan rakyat dari lembah kemiskinan telah gagal. Bila kerajaan tak mampu nak sediakan peluang pekerjaan atau peluang jana pendapatan untuk rakyatnya, maka rakyat perlu kreatif untuk hidup.

Bila rakyat kreatif, janganlah pula kerajaan nak marah!.

Kemunculan perniagaan yang caca merba, bagi saya adalah lambang kerajaan atau negara yang gagal menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi. Ia juga satu tanda kegagalan kerajaan dalam membina industri yang berkemahiran tinggi.

Rakyat terpaksa buat kerja remeh yang siapa saja boleh buat seperti jual jeruk mangga tepi simpang lampu isyarat. Siapa tahu samada yang usung jeruk tu sebenarnya ada ijazah kejuruteraan. Tapi dah tak ada kerja, dia terpaksa bersaing dengan kawan-kawannya yang hanya ada sijil tamat sekolah saja.

Lama kelamaan, jika berterusan begini, negara kita akan ketinggalan berbanding semua negara jiran lain. Sekarang pun dah nampak Indonesia semakin laju. Banyak syarikat gergasi dalam automotif umpaanya yang dulunya bertapak di negara kita dah lari ke Indonesia.

Lepas ni industri elektrik, elektronik, robotik dan akhirnya semua industri berteknologi tinggi akan cabut keluar dari Malaysia. Masa itu, tentu lebih meriah jualan sepanjang jalan raya dari Perlis sampai ke Johor. Begitu juga semua simpang lampu isyarat akan lebih meriah dengan berbagai jenis perniagaan lagi.

Kita tnggu dan lihat nanti ..

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Selain dari bisnes jual jeruk mangga di simpang lampu isyarat, apa lagi bisnes yang anda boleh buat

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !