Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Friday, April 9, 2021

7 perkara yang 'Kartel Tender Kerajaan' buat untuk dapatkan jumlah projek bernilai RM3.8 billion

  Mohd Shubhi       Friday, April 9, 2021


Antara berita besar dua hari sudah meletop kat Malaysia adalah pembongkaran dan penangkapan sindiket kartel tender kerajaan.

Memang satu berita besar, tapi anda terkejut ke?

Adakah anda terkezut besar dengan berita tu. Membaca laporannya lalu geleng-geleng kepala. Tak sangka ada yang sanggup buat kerja macam tu kat Malaysia ni .. ?

Saya yakin, anda yang dah lama duduk Malaysia. Faham sangat apa yang berlaku kat negara ni sejak dulu sampai sekarang. Sejak zaman awal selepas merdeka, paling ketara zaman PM paling lama Malaysia. Dah biasa sangat dengar bagaimana kerajaan ditipu oleh peniaga licik macam tu.

Malah lama dulu, Prof Sayyid Ḥusayn al-ʿAṭṭās dah tulis kerisauannya terhadap korupsi dalam buku bertajuk 'The Sociology of Corruption'. Dia juga pernah utarakan bagaimana kerajaan boleh kena tipu dek kontraktor yang licik sejak dulu. 

Dia kata kontraktor licik tipu kerajaan. Sebab, pegawai kerajaan dipenuhi oleh orang dungu. Rumusan itu, dibuat secara berlapik. Tak mau tuduh ada berlaku rasuah tanpa bukti.

Kes macam tu berkekalan sangat lama berpuluh tahun. Kerajaan kena tipu dengan kontraktor yang menjual sebatang pen mata bola dengan harga puluhan ringgi. Atau sebiji karipap bersaiz biasa dengan harga RM8. Kerajaan bayar habis pada kontraktor yang tak buat kerja dan macam-macam lagi kisah licik kontraktor di negara kita.

Bila tersebar dan disahkan oleh pihak pembenteras rasuah negara, kecundangnya satu kartel tender kerajaan yang berjaya sapu projek sampai RM3.8 billion, saya lansung tak terkejut. Cuma terdetik persoalan siapa agaknya yang tak suka kat kontraktor tu lalu buat kacau taburkan beras dalam periuk nasinya.

Bagaimana kartel tender kerajaan buat

Saya senaraikan kat bawah macam mana kontraktor licik tu buat untuk berjaya membelasah sampai 354 projek yang ditender oleh pihak kerajaan seluruh negara.

  1. Guna lebih dari 150 syarikat untuk masuk tender - Masuk tender pakai banyak syarikat. Jadi boleh la berpakat.
  2. Semua syarikat dimiliki oleh seorang Tokan saja - Upah atau bayar orang lain masukkan nama jadi pengarah syarikat yang ditubuhkan. Orang Malaysia ada yang jenis asal dapat duit mudah, sanggup angkat kain hilang integriti hilang prinsip.
  3. Sasarkan kerja selengaraan dan pembinaan - Memang itulah jenis tender yang paling banyak buka tutup kat Malaysia ni di segenap rantau di mana saja ada penempatan manusia.
  4. Bayar gaji dan bagi komisyen - Semua balaci yang digunakan namanya dalam syarikat akan diberikan gaji. Kemudian dapat komisyen lagi. Siapa tak mau? apatah lagi orang yang tak ada apa-apa aktiviti dan perjuangan sangat dalam hidupnya selain dari naik kereta mahal dan naik perut gebu putih melepak.
  5. Tipu kelayakan - Macvam biasa orang berani dan licik buat. Dia main bubuh saja kelayakan yang diperlukan untuk cukup syarat. Biasa sangat kontraktor licik buat kerja ni dari dulu. Cuba pi tanya pada yang ada pengalaman main kerja kontrak masuk tender sejak zaman PM paling lama dulu.
  6. Tipu penyata kewangan - Ini satu lagi perkara yang lama sangat dok dengar. Ambil statement bank syarikat lain yang baik punya cashflow. Belah atas tampal maklumat syarikat sendiri. Kemudian photocopy. Jadilah syarikat anda punya kekuatan kewangan yang sangat baik.
  7. Pasang kaki dalam - Ini juga memang dah lama berlaku dan semua kontraktor tahu perangai pasang kaki kat dalam ni. Buat-baut tak tau pulak. Kaki dalam akan berikan semua maklumat yang diperlukan untuk mudah isi harga dan sebagainya.
  8. Masuk tender secara berjemaah - Bila sekali masuk tender dia punya syarikat saja ada lebih dari separuh jumlah yang turut serta. Takkan lah tak dapat salah satu dari syarika yang dia amsuk tu.
Nampak tak licik punya kontraktor. Patut sangat la dia kaya raya sampai ada dua buah, bukan sebijik ya, dua buah helikopter. Ada kapal layar mewah. Kereta mewah jangan cakap la.

Memang padan dengan usaha liciknya. Buat benda susah tu sampai jadi. tak kemut duit bayar kepada semua balacinya. Kalau tak bayar dia takkan dipercayai oleh orang. Jadi tentu dia jenis kota janji punya kontraktor ni.

Semua dia bagi pada pegawai orang dalam tu terutamanya. Pompuan pun dia bagi. Apatah lagi duit.

Adakah cara kartel tender tu salah


Ni satu tanda tanya juga yang perlu dibahaskan. Kena kupas satu persatu semua kesalahan yang dia buat supaya nampak jelas samada nak tiru buat atau tidak. Samada nak jadikan panduan untuk kontraktor berambisi besar selepas ni buat perkara sama dengan sedikit twist atau tidak.

Pertama sekali bab dia ada lebih dari 150 buah syarikat. Samada kesemuanya diletakkan nama sendiri atau dia pakai nama orang sebagai wakil, tak ada salahpun. Yang saya tahu, zaman kerajaan bani melayu memerintah sebelum ini, ramai orang kuatnya ada berpuluh-puluh syarikat.

Yang salah paling ketara adalah pegawai atau orang dalam yang bantu dia dapatkan tender yang dia masuk tu. Siap bocorkan segala rahsia untuk pastikan semuanya ikut spesifikasi dan harga berdasarkan bajet yang diluluskan.

Namun begitu, perkara tersebut bukanlah lagi satu rahsia besar. Dari pengalaman masuk tender kerajaan selama puluhan tahun berniaga, boleh kira jari tender yang main masuk secara lurus bendul tanpa ada kenal orang dalam yang lekat disenarai pendekkan dan dianugerahkan kerja.

Tapi disebabkan yakin rezki tu Tuhan yang anugerahkan. Tuhan juga suruh jauhi amalan tidak beretika. Tuhan juga suruh elak rasuah dan semua jalan cari makan yang tak bersih, saya tetap masuk dan isikan tender dan hantar dengan kiraan harga sebenar berdasarkan keupayaan syarikat secara jujur buat kerja.

Memang ada yang dapat dengan cara jujur begitu. Dapat sekadar cukup untuk kekal hidup. Mampu sara semua staff dan keluarga mereka untuk besarkan anak-anak. Tapi nak jadi kaya sampai ada kapal layar dan helikopter memang tak terlintaspun dalam kepala. Perlu cari jalan luar biasa untuk itu, macam kontraktor kartel tender tu buat barulah mampu.

Tipu kelayakan, tipu penyata kewangan dan lain-lain seumpamanya adalah salah pihak pegawai kerajaan yang pejam mata dengan semua perkara tersebut. Bukan tak tau amalan itu biasa sangat orang buat. Jadi semaklah.

Saya setiap bulan akan pastikan staff print penyata kewangan, bawa pergi bank dan minta pegawai bank sahkan sebagai benar dan ori. Pegawai bank selalu tanya kenapa nak kena buat begitu sedangkan penyata yang dicetak dari akaun syarikat tu memang dah ori. Saya beritahu itu hanya lah satu usaha untuk buktikan semua yang syarikat berikan adalah penuh dengan kejujuran.

Biasa berlaku dalam tender kawalan nyamuk di sebuah majlis perbandaran besar kat Malaysia ni dianugerahkan kepada satu syarikat yang tengok namapun tahu dia bisnes katering .. haha!. Tapi dia tetap diberikan job yang nilainya lebih dari sejuta tu.

Untuk bersangka baik, kita kata yang pegawai di majlis perbandaran itu sangat berfikiran positif untuk berikan peluang sama rata kepada siapa saja yang nak berniaga. Saya yakin pegawai itu juga tidak akan rasa risau sikitpun untuk serahkan giginya dibedah cabut oleh tukang kasut yang bisnes repair kasut tepi kaki lima pekan.

Macam-macam jenis kartel di Malaysia


Tulisan dalam pautan ni menarik untuk dibaca. Dia senaraikan 4 kartel yang kuasai berita negara setahun dua kebelakangan ni.

Kartel yang melibatkan kegiatan ekonomi adalah yang paling banyak dan ketara. Contohnya dalam bisnes yang memerlukan AP untuk import barang masuk ke dalam negara. Ayam, kain baju, beras, daging, sayur-sayuran, dan lain-lain lagi tak lepas dari mainan kartel ni.

Jika pergi semak semua kaki yang dapat AP dari dulu sampai sekarang, biasanya grup yang sama juga. Dia secara tidak lansung dapat kawal harga barang yang dia libatkan diri supaya ikut keuntungan yang dia mahukan. Pergi tanya orang yang dah lama bisnes sayur tentang betapa berkuasanya para toke yang pegang segala AP sayur tu.

Bayangkan dalam polis juga ada kartel yang ada kerjasama kuat dengan dunia gelap. Mereka saling buat jalinan kerjasama untuk pastikan bisnes gelap itu dapat beroperasi dengan lancar tanpa gangguan. Ini juga kartel sial yang para tokeh serta pegawai terlibat lansung tidak punya akal yang murni.

Yang paling melucukan, ramai yang buat semua kerja sial, makan duit kotor macam tu, dalam masa yang sama sangat warak amalan agamanya. Bila pencen naik turun tangga masjid. Tak jemu buat kebajikan.

Ada seorang kawan yang saya kenal kerja dengan syarikat besar. Dia juga ada team luar sendiri ambil kerja-kerja luar. Dia mampu buat segala kerja dengan harga rendah tak masuk akal. 

Jadi banyaklah orang ak berikan kerja padanya. Semua tu dia mampu lakukan sebab kos barangnya adalah percuma. Dia hanya belasah dari syarikat tempat kerjanya saja, seludup keluar untuk bisnesnya pula.

Kalau tengok tuan punya badan, anda tak kan percaya dia sanggup buat semua kerja macam itu. Dia ke hulu ke hilir dengan kopiah putih atas kepalanya. Aktif dalam komuniti masjid dan surau. Bantu orang susah, kutip dana buat korban di Kemboja dan bantu sekolah tahfiz.

Kecelaruan akal begitu sangat banyak berlaku di kalangan orang kita sebenarnya. Entah apa yang tak kena?

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, 7 perkara yang 'Kartel Tender Kerajaan' buat untuk dapatkan jumlah projek bernilai RM3.8 billion

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !