Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Sunday, April 18, 2021

Penghargaan Buat Adiguru Kesenian Tradisional dan Mempertingkatkan Kelestarian Tradisi Kebudayaan Tempatan

  Mohd Shubhi       Sunday, April 18, 2021

Izan Satrina Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA (kiri) dan Eddin Khoo, Pengasas - Pengarah PUSAKA (kanan) pada majlis menandatangani MoU

Program Adiguru CENDANA Tanda Penghargaan Buat Adiguru Kesenian Tradisional dan Mempertingkatkan Kelestarian Tradisi Kebudayaan Tempatan

Kuala Lumpur, 15 April 2021 – Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA - dari MyCreative Ventures), dan pertubuhan kebudayaan PUSAKA menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menandakan titik awal usahasama dalam mempertingkatkan kelestarian, keterlihatan dan pemeliharaan para adiguru kesenian tradisional atau mereka yang mengungguli kesenian tradisional di Malaysia.

Antara hasil usahasama ini termasuklah pelancaran Program Adiguru CENDANA yang merupakan antara program Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Acara MoU ini disaksikan oleh Pengerusi MyCreative Ventures, Ts. Noor Azmi Mat Said.

Program Adiguru CENDANA fokus untuk menyokong mereka yang secara khusus terlibat dalam bidang-bidang kesenian

Program Adiguru CENDANA fokus untuk menyokong mereka yang secara khusus terlibat dalam bidang-bidang seperti Tradisi Lisan, Muzik, Tarian, Teater, Penceritaan, Seni Rupa dan Kraf.

Program ini merupakan sebuah program kesenian masyarakat yang bermatlamat untuk:

  • Menghargai individu atau kumpulan atas kepakaran dan pencapaian seumur hidup dalam memupuk kecemerlangan, daya tahan dan perkembangan kesenian tradisional Malaysia dalam masyarakat mereka
  • Memperkuat usaha-usaha para adiguru kesenian tradisional dalam memastikan kelestarian amalan seni mereka dalam masyarakat
  • Menyokong para adiguru kesenian tradisional dalam mengajar seni mereka kepada golongan muda setempat
  • Membolehkan para adiguru untuk menyelenggara/ menambahbaik infrastruktur atau menambahbaik kelengkapan lain bagi kesenian tradisional dalam masyarakat setempat
  • Membantu dalam meningkatkan penonjolan diri para adiguru bagi menggalakkan lagi penghargaan dan pemahaman
  • Memudahkan jalinan dan perkongsian antara para adiguru masyarakat mereka, dan pembangunan koridor ekonomi wilayah dan lain-lain lagi. 

“Kami sangat berbesar hati apabila usahasama ini membuahkan hasil dalam memastikan segala perkhidmatan dan perancangan merangkumi para pengamal kreatif kita di luar bandar. 

Kami berharap usahasama ini akan berkekalan agar ianya menjadi tanda iltizam kami terhadap masyarakat kreatif tradisional dan tempatan di Malaysia. 

Usaha ini adalah sebahagian daripada visi MyCreative Ventures untuk membangunkan Ekonomi Jingga (Orange Economy) negara, yang sejajar dengan hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama dalam membangunkan semula ekonomi dalam era selepas pandemik COVID-19,” menurut Noor Azmi Mat Said.

Adiguru CENDANA telah memulakan panggilan bagi permohonan dan pencalonan sejak 8 April 2021, kepada mereka yang memiliki pengetahuan dan kemahiran tinggi dalam amalan serta penyampaian pelbagai bentuk kesenian tradisional. 

Permohonan dan pencalonan akan diadili oleh sebuah Jawatankuasa Penilai yang terdiri daripada para pakar dalam kebudayaan dan kesenian.

Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA - dari MyCreative Ventures), dan pertubuhan kebudayaan PUSAKA menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU)

Adiguru yang terpilih akan diumumkan pada bulan Jun 2021. Dengan memanfaatkan geran sehingga RM30,000, segala kegiatan akan diadakan sepanjang tempoh 12 bulan bermula pada pertengahan bulan Julai. 

“Sebagai sebuah agensi ekonomi seni budaya, dan sebagai sebahagian daripada masyarakat kesenian, kita mesti mengakui sumbangan para adiguru dan mereka yang dari generasi ke generasi mengungguli kesenian tradisional kepada Malaysia, baik untuk masa lalu, sekarang, ataupun masa hadapan. 

Usahasama dengan PUSAKA ini akan memastikan bahawa usaha ini dijalankan dengan cara yang terhormat, berpengetahuan, relevan dari segi budaya dan terangkum,” menurut Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Mohd Sallehuddin. 

Pengasas-Pengarah PUSAKA, Eddin Khoo, menyambut baik jalinan usahasama antara CENDANA, sambil menegaskan bahawa usaha melindungi kesenian tradisional dalam masyarakat setempat adalah penting. 

“Kesenian tradisional Malaysia adalah wadah bagi ilmu yang mendalam, pandangan dunia, konsep-konsep estetika, dan ingatan bersama masyarakat kita.

Kesemuanya mengandung ‘semangat’ kreatif masyarakat kita, dan mencerminkan proses pertemuan kebudayaan yang sudah membentuk pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia,” menurut beliau. 

“Kita perlu mengakui keahlian dan kepintaran masyarakat kesenian tradisional kita, dan agensi seperti CENDANA layak menjadi pemudah caranya.”

Program Adiguru CENDANA akan turut menampilkan komponen ‘Program Residensi Penceburan Kontemporari dan Tradisional’, bagi mengajak para pengamal kreatif untuk terlibat dalam program residensi penceburan bersama adiguru daripada Program Adiguru CENDANA. 

Dengan memupuk usahasama kreatif antara kesenian tradisional dan para pengamal kreatif, pengalaman-pengalaman penceburan ini akan menggalakkan lagi penghargaan terhadap kesenian tradisional dalam kalangan masyarakat dan turut sama merintis jalan-jalan baharu bagi penerokaan kreatif dan pembangunan kebudayaan. 

Untuk maklumat lanjut tentang Program Adiguru CENDANA, sila rujuk https://www.cendana.com.my/opportunities/our-funding-programmes/adiguru-cendana 

-TAMAT-

Tentang CENDANA

Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) dilancarkan pada 6 September 2017 untuk membentuk ekonomi seni budaya yang megah, mampan dan bercita-cita tinggi untuk Malaysia, disamping meningkatkan profil seni budaya Malaysia dalam membentuk identiti Malaysia sebagai destinasi seni yang strategik di peringkat global. 

Disokong oleh Kerajaan Malaysia melalui MyCreative Ventures Sdn Bhd (syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan) dan melapor kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.cendana.com.my.

Tentang PUSAKA

PUSAKA merupakan sebuah pertubuhan kebudayaan yang bekerjasama erat dengan para seniman ulung seni persembahan tradisional di Malaysia dan serantau. 

PUSAKA berusaha untuk mewujudkan arkib dokumentari seni persembahan tradisional yang menyeluruh di Malaysia, di samping memperkukuhkan kelestarian tradisi-tradisi ini pada peringkat masyarakat.

Kami menghidupkan semula resam kebudayaan dengan menganjurkan projek-projek persembahan dan pendidikan belia dalam masyarakat setempat bagi memastikan ianya dapat diperturunkan kepada generasi seterusnya.

Melalui segala kegiatan yang dilakukan, PUSAKA berhasrat untuk menghamparkan lembaran intelektual dalam merenung aspek-aspek budaya, tradisi dan pemikiran.


Untuk maklumat lanjut tentang PUSAKA, sila layari www.pusaka.org.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: 

Falliq Effendy 

Pengurus Komunikasi Pemasaran CENDANA

+60 12-932 1347 

falliq@cendana.com.my

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Penghargaan Buat Adiguru Kesenian Tradisional dan Mempertingkatkan Kelestarian Tradisi Kebudayaan Tempatan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !