Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Wednesday, May 12, 2021

Selamat Jalan Ramadhan - Sempena hari-hari terakhir Ramadhan: Nukilan Azad Jasmi l 11 Mei 2021

  Mohd Shubhi       Wednesday, May 12, 2021


Wahai Ramadhan aku rindu padamu

Aku ingin buat hatimu terpaut padaku

Jika kau pulang ke Rabb-Mu

Pohonlah doa agar kita nanti bertemu

Ingin ku tunggu

Moga tahun depan kasih bersatu kembali

Jika aku belum dipanggil Ilahi


Wahai Ramadhan, saat kau jadi saksi ku di hari penentu

Sampaikan doa ku

Yang baik-baik saja pada Tuhan ku

Aku sangat malu

Kerna amal yang kurang khuysuk pada Rabb ku

Dunia dan nafsu ku

Masih menghalangi kekhusyukan ibadahku


Rasullulah ada bersabda,

Apabila malam terakhir bulan Ramadhan tiba

Maka menangislah langit, bumi, dan seisinya

Serta malaikat jua

Kerna musibah menimpa umat manusia


Lalu Rasulullah dalam riwayat Jabir Baginda ditanya

Musibah apakah itu ya Rasulullah? 

Baginda menjawabnya,

Kerna perginya bulan Ramadhan Mulia

Dibulan ini semua doa dimakbul Ilahi

Semua sedekah diterima pasti

Semua kebaikan dilipat ganda pahala pemberi

Semua seksa ditolak Ilahi


Entah bila bakal berjumpa lagi

Bulan mulia bulan penuh berkati

Bulan indah bulan pahala menanti

Bulan yang penuh rahmat Ilahi

Namun diri 

Khusyuk jauh sekali

Ego diri tinggi

Takkabur penuh diri

Solat culas sana culas sini

Sedekah sikit sekali

Mengumpat sana sini

Dengki khianat sudah pasti

Ujub rasa diri hebat sekali

Tiada orang boleh lebih dari diri

Komen di muka bumi tiap tiap pagi


MasyAllah dimanakah harga diri

Dimata Mu wahai Rabb Tertinggi

Ampunilah kami yang kerdil ini


Kita terlihat Ramadhan di sana

Bergerak perlahan meninggalkan kita

Lalu di sapa ia “Engkau mahu ke mana?” 

Dengan lembut ia berkata

Masa ku sudah tiba

Aku harus pergi jua

Mungkin jauh dan mungkin sangat lama

Tak ku tahu bila kita kan berjumpa

Sampaikan pesan untuk semua


Ramadhan bakal pergi sekejap lagi

Ajaklah Sabar untuk menemani diri

Jika ada duka di hati

Peluklah Istiqamah dah redha pada Ilahi

Jika lelah dan lemah mencari Taqwa diri

Bersandarlah pada Tawadhuk setiap hari

Disaat takkabur dan sombong menyerang diri

Pohonlah nasihat Sunnah dan Quran yang pasti

Jika ujian dan cubaan melanda diri

Sabar dan terima dengan terbuka hati

Dunia ini bukan tempat bercuti

Ujian setiap hari menanti


Bila di dengar pesanan Ramadhan tadi

Air mata mula membasahi pipi

Tenang dan harmoni makhluk bumi

Hanya sebulan ini

Namun sebelas purnama nanti

Bergolak semula sakit hati

Mengata pula diruang media pasti

Bertegang urat di Parlimen sendiri

Berpecah ikut ideologi

Berceramah mengata sana sini


Wahai Tuhanku

Ampunkanlah kami selalu

Berilah hidayah pada umat Mu

Berilah Syurga dan jauh dari nerakaMu

Umur kami tidak tentu

Panjang dan pendek mungkin berlalu

Lapangkan seksa kubur Kami

Mudahkan sakaratul maut itu

Berilah buku hisab dari kanan hambaMu

Moga kami dapat bertemu Mu

Di kampung abadi penentu Mu


Selamat Tinggal Ramadhan hari ini

Entah berjumpa entah tak sempat lagi

Ingin ku peluk rahmat bersama mu lagi

Sebulan terasa singkat sekali

Pantas berlalu dah sampai ke hujung kini

Bulan berkat bulan rahmat bakal pergi

Aduh! Terasa rugi terasa sedih di hati

Menyesal tak sudah sudah lagi

Kerna aku tak ambil peduli

Peluang setahun sekali ini

Hadiah dan Rahsia Ilahi

Untuk rakyat Bumi yang mengerti

Tentang Ramadhan bulan mulia ini.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Selamat Jalan Ramadhan - Sempena hari-hari terakhir Ramadhan: Nukilan Azad Jasmi l 11 Mei 2021

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !