Friday, May 28, 2021

Siapa yang akan menangis jika anda mati sekarang?

  Mat       Friday, May 28, 2021

Sejak saya baca tajuk satu buku yang lebih kurang begini pertanyaannya, ‘siapa yang akan menangis bila anda mati?’, soalan itu selalu sangat melintas dalam benak fikiran.

Tajuk buku tu, dalam bahasa inggerisnya, ‘Who will cry when you die’, saya tak beli sampai sekarang. Ia ditulis oleh Robin Sharma.

Kalau anda pernah baca buku terkenalnya bertajuk The Monk Who Sold His Ferrari, tentu boleh dapat gambaran bentuk tulisan dan penceritaan buku yang ini juga. Sebab itu saya tak tergerak nak beli. Dia banyak tumpu bab spiritual. Mengajak pembaca perlahankan sebentar gerak langkah kehidupan untuk buat sentiasa bermuhasabah terhadap segala pengalaman yang dah dilalui.

Walaupun tak beli, tajuk power itu berjaya melekat masuk ke dalam benak otak kepala saya ini sampai ke hari ini, walaupun lebih 10 tahun terbaca tajuk buku itu di MPH Subang Jaya dulu.

Bila lihat kes covid-19 yang macam tak berkesudahan, kena redah keluar buat kerja juga untuk pastikan meja kat rumah boleh ada hidangan makanan untuk anak isteri, soalan siapa akan menangis jika saya mati sekarang sering singgah masuk dalam fikiran.

Siapa mati yang buat saya menangis

Ada satu perkara pelik yang saya rasa malu nak kongsikan. Sebenarnya baru saya perasan bahawa selama ini saya belum pernah sekalipun menangis sebab orang mati. Ramai yang saya kenal dah mati termasuklah saudara mara dan kawan. Tapi tiada seorang pun yang membuatkan saya menangis lagi.

Termasuklah ayah saya yang meninggal dunia pada tahun 1982. Saya masih bersekolah ketika itu. Dia meninggal di atas rumah setelah beberapa hari dibawa balik dari hospital sebab dah tak boleh nak buat apa-apa lagi. Masa bawa balik dia dah tak sedarkan diri.

Berita itu saya terima dan reda. Tak menangis lansung. Tapi suasana kesedihan tetap terasa. Saya lebih banyak memerhatikan kesedihan semua orang. Paling ketara adalah ibu saya. Tapi saya sendiri tetap tak menagis juga.

Selepas dah lama dia pergi, bulan demi bulan, ketika saya berseorangan terutamanya di bawah rumah atau di atas tangga. Imbauan kenangan bersama ayah akan datang. Imbauan itu akan membuatkan air mata meleleh bila saya sedar tiada lagi peluang kedua untuk saya lalui atau bina apa-apa kenangan baru bersama dia lagi. Ketika seorang diri itu, dah lama selepas mati baru nak menangis.

Boleh dikira setakat ini, satu-satunya orang yang membuatkan saya menangis bila dia mati adalah ayah saya.

Dan yang membuatkan air mata bergenang dan jatuh menitis adalah semua kenangan bersama dengannya. Walaupun kekerapan bersama ayah boleh kira jari, yang sedikit itu tetap memberikan kesan apabila ianya kenangan yang manis.

Saya rumuskan, siapa saja yang pernah bersama saya, membina kenangan manis, membina kasih sayang tanpa mengharap apa-apa balasan, akan membuatkan saya menangis seandainya dia pergi meninggalkan saya.

Boleh teka siapa yang paling banyak dan paling lama bersama saya dan masih ada lagi sekarang. Tak lain tak bukan ibu saya. Terlalu banyak kenangan dengan dia. Sampai sekarang saya tak pernah lepas luangkan masa untuk bersama dengannya secara berkala. Tinggalkan kerja dan lari untuk bersamanya 2 atau 3 hari jauh di Langkawi sana.

Covid-19 ni memang kacau daun menghalang rutin tersebut dari berlaku seperti biasa. Moga segalanya akan pulih balik dan dapatlah saya bertemu dengannya secara berkala seperti biasa semula.

Selain dari ibu, seorang lagi insan yang bakal membuatkan saya menangis tanpanya sudah tentu isteri saya. Kemudian semua anak-anak yang saya ada. Entah siapa terlebih dahulu yang akan menangis, Tuhan saja yang tahu.

Bina hubungan berikan kasih sayang

Dalam banyak kajian yang dibuat, perasaan paling gembira dan kekal lama rasa gembira tersebut, akan berlaku apabila anda berusaha memberi kebaikan kepada orang lain. Tak kisah beri hadiah, tolong, dan sebagainya.

Pemberian yang tulus ikhlas tanpa harapkan apa-apa balasan adalah bukti sayang anda kepada orang tersebut. Makin memberi, makin rapatlah perhubungan anda, makin bahagia terasa di dada.

Yang tak bestnya adalah, perhubungan dan kebaikan yang dicurahkan itu membuatkan kesedihan yang kuat apabila berlaku perpisahan disebabkan kematian. Makin kuat saling bertukar balas kebaikan antara dua insan, makin besarlah kesedihan akan berlaku.

Tanpa ada hubungan, hidup jadi tidak bermakna. Bila banyakkan hubungan, perpisahan pula terpaksa dilalui penuh dengan kesedihan.

Walaupun begitu, tahu bakal hadapi semua kesedihan itu, adalah lebih berbaloi membina hubungan. Berbakti dan curahkan kasih sayang kepada insan lain. Daripada hidup berjiwa keras dan fikirkan diri sendiri saja.

Mungkin betul juga macam apa yang ayah Robin Sharma kata padanya dalam buku yang saya sebutkan kat atas tadi, yang saya sempat baca sikit ..

“Ketika dilahirkan, anda menangis seorang diri dan semua orang gembira. Biarlah ketika anda pergi nanti, semua orang menangis dan anda pula gembira .. “

Siapa akan menangis jika anda mati sekarang?

Semoga semua usaha kita berbuat baik semasa hidup ini, dapat berikan kesan di dalam hati dan mampu membina kenangan yang kuat kepada seramai mungkin orang disekeliling kita.

Jika ada orang menangis jika anda mati sekarang, itu tandanya hidup anda adalah berbaloi selama ini.

Dan jika rasa, tak akan ada sesiapa yang menangis jika anda mati sekarang, masih sempat untuk buat sesuatu sementara nafas masih ada. Jangan stress terlalu lama bersama dengan keluarga sebab PKP sekarang ni. Jalin hubungan dan rapatkan ikatan. Itu perkara positif yang perlu direbut dalam suasana wabak sekarang ini.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Siapa yang akan menangis jika anda mati sekarang?

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !