Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Monday, March 21, 2022

Betul ke orang yang berniaga ni jenis berani ambil risiko lebih dari kebanyakan orang lain?

  Mohd Shubhi       Monday, March 21, 2022

Kalau nak jadi seorang usahawan, perlu berani ambil risiko !

Biasa dengar nasihat macam tu?

Saya sering sangat dengar. Sebelum tergerak nak berniaga dulu dah dengar. Sekarang pun masih lagi dengar.

Yang cakap macam itu terdiri dari kalangan usahawan juga. Samada yang berjaya, mahupun yang masih suam-suam kuku.

Ramai percaya dengan nasihat itu. Paling ketara dari kalangan yang sampai sekarang masih menggigil takut nak berhenti kerja dan berniaga.

Ketika buat keputusan nak berniaga dan berhenti kerja, saya lupakan semua nasihat macam tu. Ambil risiko atau tidak, bukan lagi soalnya.

Bukan risiko yang ditakutkan. 

Tapi lebih kepada risau orang kritik.

Paling menakutkan jika orang yang kita hormat, kita sayang, kita rapat selama ini kritik dan kondem tindakan kita.

Uji tahap ambil risiko anda

Adakah anda jenis yang berani ambil risiko?.

Cuba jawab soalan di bawah dengan memilih salah satu dari 3 pilihan yang ada seperti berikut.

Soalan:

“Bisnes mana satu yang akan anda pilih dan jalankan jika keadaannya begini .. “

  1. Yang menjana keuntungan sebanyak RM20 juta. Kebarangkalian bisnes itu sukses adalah sebanyak 20%.
  2. Yang menjana keuntungan sebanyak RM10 juta. Kebarangkalian bisnes itu sukses adalah sebanyak 50%.
  3. Yang menjana keuntungan sebanyak RM5 juta. Kebarangkalian bisnes itu sukses adalah sebanyak 80%.

Sila buat pilihan anda sekarang dan catit atau simpan dulu dalam hati. Nanti saya akan berikan jawapannya kat bawah ni.

Usahawan perlu berani ambil risiko

Berbalik kepada petua orang ramai yang usahawan perlu berani ambil risiko kat atas tadi.

Memang betul.

Risiko memang kena ambil bila nak keluarkan modal, curahkan tenaga, perah otak dan korbankan masa untuk memulakan apa-apa saja idea perniagaan.

Disebabkan itulah majoriti besar orang yang dah selesa makan gaji akan kekal makan gaji sampai pencen. Walaupun dia meratib nak berniaga dari hari pertama dia mula kerja makan gaji sampai ke sudah.

Sebab dia tak berani.

Tapi …

Adakah orang macam saya, yang akhirnya berhenti kerja juga dan berniaga lebih berani dari yang tak berhenti?

Jawapannya tidak!

Saya juga takut.

Majoriti besar yang letak jawatan dan berniaga itu juga sama takutnya dengan anda. Tak lebih berani takat manapun. Malah mungkin jauh lebih penakut dari anda.

Yang membezakan antara usahawan yang berhenti kerja dan jadi usahawan sepenuh masa, dan ternyata keputusan itu adalah sangat baik untuk dirinya, adalah macam mana dia tangani rasa takut itu.

Apa kegunaan ‘takut’

Cuba tanya diri anda dan fikirkan jawapannya sekarang, kenapa perlu ada takut dan apa kegunaan rasa takut itu?

Kegunaan takut itu tidak lain dan tidak bukan adalah supaya anda buat persediaan. Berhati-hati mengkaji dan buat pertimbangan sebaik mungkin.

Macam-macam cara nak buat persediaan itu.

Tanya orang, kawan yang lebih pandai dan ada pengalaman. Masuk kelas. Beli dan baca buku. Buat perancangan. Buat plan A dan plan B dan lain-lain lagi seumpamanya.

Semakin banyak anda mendapatkan maklumat, diri semakin bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan. 

Semua itu adalah persediaan mental dan fizikal untuk menghadapi segala kemungkinan apa yang bakal berlaku.

Bila tiba masanya, anda buat juga. Tapi dalam keadaan terkawal dan bertawakal.

Itulah gunanya ada takut.

Tahu tak selama ini. Anda masih bernyawa dan tidak dilanggar kenderaan ketika melintas jalan raya, kenapa?

Sebab adanya rasa takut itu lah.

Yang berani sangat langgar lampu isyarat. Selit kiri kanan, lumba dan potong pakai jalan kecemasan dan sebagainya, itulah yang masuk ICU atau dah ada di alam barzakh sekarang.

Pelumba pro buat macam tu juga. Tapi jarang mereka kena hentaman fatal. Sebab adanya persediaan dan latihan untuk jadi lebih cekap dan punya keupayaan untuk ambil risiko yang sudah dipertimbang dan dikira.

Berani ambil risiko sebab dah kira

Usahawan yang sekarang berjaya cari makan. Mampu hidup dan pertahankan bisnes mereka belasan tahun sampai sekarang berani bukan semata-mata berani hati kering.

Tapi mereka berani sebab buat persediaan. Orang putih kata Calculated Risk.

Saya tengok sendiri dari pergaulan sejak dulu sampai sekarang. Kawan-kawan yang hati kering berani jalankan apa saja idea bisnes tanpa buat perkiraan dan persediaan biasanya menyungkur habis duit dan buang masa.

Kawan-kawan yang diperlekeh takut dan terlalu berhati-hati, kemudian mereka berniaga. Itulah yang biasanya selamat dan melayari perjalanan dunia perniagaan mereka sampai berjaya.

Perasaan takut perlu ada supaya anda buat persediaan. Ambil sikap berhati-hati mengkaji dan buat pertimbangan sebaik mungkin.

 

Antara impian besar dan risiko tinggi

Berbalik kepada soalan yang saya tanya di tas tadi. Anda pilih jawapan yang mana satu?

Adakah anda buat Bisnes no 1, 2 atau 3?

Ada dua perkara utama dalam soalan di atas. Yang pertamanya adalah cita-cita atau impian besar.

Kalau berdasarkan impian besar, pilihan pertamalah yang akan dilakukan. Untung RM20 juta. Siapapun pasti teringin peluang sebegitu.

Jadi bagi yang jenis besar impiannya tanpa fikir panjang akan pilih pertama. Mungkin atas dorongan dan kepercayaan yang usahawan mestilah punya cita-cita besar.

Perkara kedua yang ada dalam soalan tersebut adalah berkenaan risiko.

Bagi yang penakut, tak berani ambil risiko besar, maka pilihan ke-3 adalah paling selamat. Kemungkinan untuk berjaya adalah 80%. Kalau dia cuba 10 kali, 8 kali akan berjaya.

Usahawan yang berjaya akan pilih yang ke-3 secara semula jadi. 

Sebab mereka sama saja takut dengan kegagalan. Bila mereka buat keputusan, maka pertimbangan dan perkiraan yang paling selamat akan menjadi pilihan utama.

Boleh tak ambil pilihan yang pertama?

Sudah tentu boleh saja jika anda bercita-cita besar. Tapi buat persediaan, cari maklumat dan atasi masalah sehingga peratusannya untuk berjaya meningkat lagi ketahap maksimum.

Sekurang-kurangnya, dalam banyak-banyak pilihan yang ada, ianya adalah lebih rendah risikonya untuk gagal.

Point yang saya nak sampaikan kat sini adalah sentiasa ambil keutamaan kepada risiko berbanding sasaran.

Sasaran besar dan cita-cita tinggi sahaja tidak cukup untuk membuatkan orang jadi hebat. Ia perlu disertai dengan usaha mengurangkan dan mengelakkan segala risiko yang mampu menjadikan usaha anda gagal.

Adakah semua yang saya kongsikan di atas adalah pendapat peribadi saya sahaja yang tidak ada rujukan sokongan berdasarkan kajian?

Sebenarnya ini memang pendapat peribadi berdasarkan pengamatan saya sendiri. Tapi bila saya rujuk kepada buku bertajuk Originals tulisan Adam Grant, ternyata ianya telah dibuktikan oleh banyak kajian.

Sambung sikit lagi, keadaan ketika saya berhenti kerja dan berniaga …

Pertimbangan risiko ketika itu memang saya buat.

Dari segi risiko jika berlaku kegagalan, saya dah buat persediaan mental untuk atasinya. Lagipun masa saya berhenti kerja itu, masih single. Tak ada tanggungan yang membebankan sangat.

Kalau semuanya gagal, saya masih boleh hidup hanya dengan 3 atau 4 ratus sebulan.

Ertinya, semua masih dalam ruang lingkup calculated risk .. 

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Betul ke orang yang berniaga ni jenis berani ambil risiko lebih dari kebanyakan orang lain?

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !