Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Tuesday, March 29, 2022

Panduan mudah dan ringkas buat analisa SWOT bagi anda yang berniaga

  Mohd Shubhi       Tuesday, March 29, 2022


Saya cuba cari perkataan yang betul dalam Bahasa Malaysia tentang SWOT Analysis, tapi tak jumpa. Jadi saya pakai google translate saja dan hasilnya goggle terjemahkan sebagai ‘Analisis SWOT’.

Tak apalah. Saya yakin anda tentu pernah dengar akan perkataan analisis SWOT ni. Kalau tak pernah dengarpun ok saja. Sebab artikel ini saya buat untuk kongsikan cara yang paling ringkas bagaimana nak tahu kedudukan semasa perniagaan yang anda sedang lakukan.

Apa tujuan analisis SWOT

Matlamat melakukan analisis swot adalah untuk merancang pergerakan seterusnya dalam perniagaan anda. Contohnya dikala negara ditimpa wabak Covid-19 ni. Anda tak pasti apa tindakan yang perlu dibuat.

Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas anda boleh mulakan dengan buat analisis swot.

Anda juga boleh mulakan dengan buat analisis swot untuk atur strategi meningkatkan jualan perniagaan. Atau mungkin baru dapat idea bisnes dan merancang nak mula berniaga. Boleh juga buat swot analisis.

Bukan sekadar untuk perniagaan saja, analisis swot ini juga boleh digunakan untuk kenal pasti kedudukan diri anda sendiri. Pendek kata, boleh diguna pakai dalam banyak keadaan samada individu atau organisasi.

Saya gunakan analisis swot ini bila kongsikan panduan untuk penambah baikan perniagaan kepada para usahawan kecil. Ia akan dimasukkan sebagai salah satu topik perbincangan dalam kursus pendek ‘Business Operation Planning’ yang biasa saya sampaikan kepada para usahawan.

Rancang nak kukuhkan lagi syarikat

Untuk mudah faham, saya andaikan anda nak buat projek besarkan bisnes yang dah beberapa tahun tersangkut dalam keadaan yang sama saja tak naik-naik.

Sebelum nak rangka segala strategi dan tindakan, elok buat analisis swot ini dulu untuk tahu duduk keadaan sebenar syarikat perniagaan anda tu.

2 perkara asas dalam analisis swot

Untuk buat analisis swot terhadap syarikat, anda hanya perlu lihat 2 perkara asas sahaja. Pertama, adalah perkara dalaman yang anda boleh kawal. Iaitu syarikat dan diri anda sendiri.

Yang kedua, adalah faktor luaran yang anda memang tak dapat nak kawal. Faktor sekeliling selain dari syarikat dan diri anda.

Dari kedua perkara asas itu, kita boleh pecahkan pula kepada 2 bahagian untuk setiap satunya. Jom kita tengok kat bawah ni apa dia pecahan tu ..

#1. Faktor dalaman

Perkara pertama yang anda perlu semak adalah kekuatan syarikat anda sekarang. Apakah kelebihan syarikat atau apa kekuatan yang ada pada syarikat.

Cuba buat satu senarai secara spontan apa kekuatan yang ada pada syarikat anda sekarang.

Tapi sebelum itu, anda perlu ingat satu perkara penting. Ramai pemilik syarikat akan syok sendiri bila disuruh senaraikan kekuatan. Dia rasa hebat boleh pukul habis semua pesaing yang ada dipasaran dalam semua segi.

Biasalah tu. Usahawan memang perlu ada keyakinan diri yang tinggi. Kalau tidak macam mana nak percaya yang dia boleh berniaga.

Tetapi dalam perniagaan, apa yang anda rasa sahaja masih tak memadai kalau ianya tidak sama dirasai oleh pelanggan. Jika anda rasa produk anda sangat berkualiti, lebih baik dari apa yang anda ceritakan, sebaliknya pelanggan tak rasa macam itu, ia lansung tidak mendatangkan apa-apa manfaat dalam perniagaan.

Jadi, untuk mudahkan anda buat satu senarai yang bermakna, cuba fikirkan apa yang pelanggan selalu puji bila berurusan mendapatkan produk atau perniagaan yang anda buat. Cuba ingat balik selama anda berniaga apa yang pelanggan puji.

Kalau pelanggan lansung tak pernah puji, ada masalah sedikit.

Namun begitu, jika anda ada repeat customers, maknanya ada sesuatu yang baik. Ada kekuatan dalam produk atau bisnes anda sekarang yang membuatkan pelanggan suka dan ulang beli. Untuk tahu apa kekuatan tersebut, pergilah tanya pelanggan tersebut. Tanya seramai mungkin untuk mendapatkan satu gambaran yang jelas.

Sentiasa perhatikan perkara yang selalu mendapat pujian dan penghargaan dari pelanggan. Di situ ada petanda kekuatan syarikat anda

www.bisneskecil.com

Perkara kedua yang masuk dalam faktor dalaman ini adalah kelemahan yang ada dalam perniagaan atau produk anda sekarang.

Ini agak mencabar sikit. Rata-rata bila saya tanya pada rakan usahawan apa kelemahan bisnes atau produknya, dia rasa macam susah nak jawab. Biasanya dia akan jawab secara umum berdasarkan apa yang dia rasa saja.

Kebiasannya, kelemahan seperti lokasi, modal tak cukup, tak ada pekerja, sales rendah, dan macam-macam lagi yang dia rasa membuatkan perniagaannya lemah. Ada kalanya, apa yang dia senaraikan adalah lebih kepada kesan dari kelemahan utama dan bukannya kelemahan itu sendiri.

Sama juga macam nak kenal pasti kekuatan, anda boleh tahu kelemahan perniagaan anda sekarang dengan melihat apakah yang pelanggan selalu marah, merunggut atau kecam bila berurusan dengan perniagaan anda.

Itu kelemahan yang sangat jelas. Mungkin ada sebab utama yang membuatkan pelanggan marah dan komplen. Cuba ingat semula selama anda berniaga apa yang pelanggan selalu komplen.

Jangan leka dari melihat apa saja rungutan dan keluhan pelanggan terhadap syarikat atau produk anda. Di situ ada petanda kelemahan syarikat.

www.bisneskecil.com

Kita dah selesai buat analisis swot untuk faktor dalaman perniagaan ada yang boleh diringkaskan seperti berikut.

  • Kekuatan – Apa yang pelanggan selalu puji
  • Kelemahan – Apa yang pelanggan selalu komplen

#2. Faktor luaran

Sama seperti faktor dalaman, faktor luaran boleh dibahagikan kepada 2 jenis analisis.

Pertamanya adalah apakah peluang yang ada dalam industri atau perniagaan yang anda sedang buat sekarang. Keduanya pula, apakah ancaman yang sedang atau bakal melanda perniagaan atau industri anda.

Bila sebut faktor luaran, ia menggambarkan bahawa anda tak ada daya upaya untuk kawal keadaan tersebut. Bukan di bawah bidang kuasa anda. Kalau nak cuba kawal atau ubahpun, mungkin separa sahaja atau akan memakan masa yang sangat lama.

Saya berikan contoh perkara yang boleh memberikan samada peluang atau ancaman kepada perniagaan anda. Lihat kat bawah ni.

  • Alam sekitar – Keadaan cuaca yang berubah, bencana alam, pencemaran dan sebagainya memang diluar kawalan anda
  • Ekonomi – Ini termasuklah kehadiran pesaing yang besar dari luar negara. Keadaan ekonomi gawat yang melanda negara dan dunia dan sebagainya.
  • Sosial – Perubahan sikap masyarakat yang membuatkan citarasa berubah juga adalah faktor luaran yang tak boleh nak kawal.
  • Undang-undang – Bila parlimen bersidang lalu menggubal satu undang-undang baru, anda tak boleh nak buat apa-apa apabila ianya diluluskan. Atau mungkin tekanan dari luar negara, atau tekanan dari NGO besar dunia yang membuatkan satu undang-undang baru terhasil boleh samada memberikan peluang atau nacaman kepada bisnes anda sekarang.
  • Politik – Keadaan politik yang tidak stabil. Kerajaan berbeza polisi yang sering bertukar. Kemunculan ahli politik yang mendukung konsep kroni berlebihan dan lain-lain lagi seumpamanya dapat memberikan kesan terhadap perniagaan anda.
  • Teknologi – Perkembangan teknologi juga banyak memberikan kesan terhadap suasana perniagaan. Bila ada teknologi baru yang ubah gaya hidup dan amalan berniaga, anda tak boleh nak buat apa-apa selain dari akur dan cuba sesuaikan diri.

Faktor luaran ni boleh diibaratkan macam angin yang bertiup ketika anda bawa kapal layar. Kalau tak ada angin, merungut 10 gunipun tak akan mendatangkan apa-apa kesan terhadap kehadiran angin.

Kalau angin datang bukan dari arah yang anda mahu juga anda terpaksa terima saja tak boleh nak ubah.

Tapi anda masih boleh buat sesuatu dengan menggunakan layar pada kapal anda tu. Dengan mengubah layar, anda dapat menggunakan kekuatan angin untuk membawa hala tuju kapal anda.

Layar adalah kekuatan dalaman anda. Itu boleh diubah.

Guna faktor dalaman hadapi faktor luaran

Dari perumpamaan yang saya berikan kat atas tadi, nampak jelas bagaimana analisis swot ini sangat berguna.

Tujuan utamanya adalah untuk menggunakan faktor dalaman, yang dibawah kawalan anda, bagi menghadapi faktor luaran yang diluar kawalan.

Gunakan kekuatan yang ada sekarang untuk ambil segala peluang yang ada. Cari jalan perbaiki kelemahan supaya anda tidak kecundang.

Peluang mesti direbut secekap mungkin, manakala ancaman perlu dielakkan sejauh boleh. Itulah kegunaan buat analisis swot ini setiap kali anda nak maju ke hadapan setapak lagi.

Seperti yang saya janjikan, selesailah sudah cara buat analisis swot paling mudah dan ringkas untuk kegunaan perniagaan anda sekarang. Moga ianya benar-benar ringkas dan mendapatkan manfaat. 

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Panduan mudah dan ringkas buat analisa SWOT bagi anda yang berniaga

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !