Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, April 14, 2022

12 sebab utama kenapa perniagaan gagal dalam tempoh setahun sahaja dari mula

  Mohd Shubhi       Thursday, April 14, 2022

Jika ditanya apa tema yang saya amalkan dalam hidup, pantas akan saya jawab 'hidup ringkas'

Tema itu jadi pilihan sebab saya nampak jalan paling selamat untuk jalani kehidupan adalah dengan memilih jalan hidup yang ringkas.

Kenapa hidup ringkas?

Sebab, jalan yang paling ringkas untuk perjalanan dari A menuju ke B adalah jalan yang lurus. Tak percaya ambil pen dan buat 2 titik berasingan. Kemudian tarik satu garis lurus untuk sambungkan 2 titik tersebut.

Itu jalan paling cepat dan paling singkat untuk sampai ke destinasi.

Secara teorinya macam tu lah.

Tapi realitinya, bukan mudah nak terokai satu jalan yang lurus atas muka bumi ini. Anda akan hadapi dengan seribu satu halangan.

Bentuk muka bumi ini nampak saja dari jauh, macam rata.

Tapi bila dah berada atas daratan tu, baru nampak keadaan sebenarnya yang penuh berliku. 

Kesabaran dan usaha yang kuat saja akan membantu anda pecahkan segala halangan.

Itu secara fizikal.

Kalau ambil jalan hidup ringkas secara kerohanian pula, ia membawa maksud, buat apa yang perlu sahaja.

Yang mana tak perlu, tak membawa kepada matlamat yang ditentukan pada awalnya, elok tinggalkan.

Teorinya begitu, sama juga macam kes bentuk fizikal muka bumi kat atas tadi. Hakikat sebenarnya tidak semudah itu.

Cakap memang senang. Buat apa yang perlu saja, tinggalkan selain dari itu. Tapi manusia punya perasaan. Seribu satu macam perasaan yang tuan punya badan sendiri tak dapat kawal dan kuasai.

Jadi bukan senang nak elakkan diri dari terjebak ke dalam urusan yang tak perlu. Itu yang membuatkan perjalanan hidup jadi tak semudah yang anda sangkakan.

Bila saya berhenti kerja dan berniaga, perkara sama cuba diterapkan. Konsep hidup ringkas dalam perniagaan. Iaitu fokus buat perkara yang perlu sahaja untuk majukan perniagaan dan tinggalkan selain dari itu.

Ketika makan gaji, duduk tengok dari luar, nampak macam mudah dan seronok saja jadi usahawan.

Bila terjun masuk dan mulakan perniagaan, baru nampak keadaan sebenar. Berhadapan dengan segala halangan yang tak berhenti dari mula sampai habis.

Itulah yang saya lalui.

Banyak perniagaan gagal

Di mana-mana saja negara di seluruh dunia, statistik perniagaan menunjukkan jumlah bisnes yang gagal adalah jauh lebih tinggi dari yang berjaya.

Bila masuk ke dalam dunia perniagaan, anda masuk dengan impian indah.

Letak harapan yang sangat tinggi untuk berjaya. Hanya nampak kejayaan saja yang sedang menunggu di hadapan.

Sikap itu diperlukan dan sebenarnya memang bagus begitu. Ia meransang keberanian untuk anda terjun dan memulakan perniagaan. Sehingga fakta statistik di atas tertutup terus dari pertimbangan.

Bila dah laluinya, baru tersedar anda dah jadi salah satu subjek yang membuktikan kebenaran fakta tersebut. Gagal lebih kerap dari berjaya.

Saya bukan cakap pasal berjaya sampai jadi gergasi syarikat perniagaan besar di negara kita atau kat luar negara.

Saya maksudkan sekadar berjaya untuk lepaskan keperluan hidup sahaja. Itu pun bukan satu perkara mudah untuk dicapai dalam dunia perniagaan.

Di UK, data menunjukkan 50% dari bisnes yang bermula akan lenyap tak sampai 12 bulan. Bungkus dan dan terus gulung tikar.

Dalam tempoh selama 5 tahun pula, hanya 10% sahaja yang masih wujud!.

Dalam jumlah 10% tu pula tak semestinya semua akan jadi besar dan kuat. Kebanyakkannya hanya mampu bertahan menjana keuntungan yang mencukupi untuk mereka terus hidup. Itu saja.

Untuk 90% yang bungkus tu, 10% terpaksa tutup kedai walaupun bukan itu yang mereka mahukan. Mereka berakhir dengan jadi muflis atau bankrup!.

90% buat keputusan dengan rela untuk tutup kedai sebab perniagaan tak menjana keuntungan yang mencukupi untuk pemiliknya. Perniagaan yang mereka usahakan terlalu lemah dan nampak tak ada harapan.

Jadi, perniagaan gagal adalah perkara biasa dalam dunia keusahawanan. 

Yang luar biasanya adalah perniagaan berjaya. 

Sebab jumlah yang berjaya sangat rendah, layaklah mereka dikategorikan sebagai luar biasa.

12 sebab utama perniagaan gagal

Kenapa perniagaan gagal?

Itu yang nak saya kongsikan di sini.

Khas untuk anda yang masih ada hasrat nak jadi usahawan kat luar sana.

Semoga dengan maklumat yang saya kongsikan di sini, dapatlah kiranya statistik kat atas tu berubah menjadi lebih baik.

Jom kita tengok kenapa perniagaan gagal

1. Matlamat perniagaan salah

Sangat penting untuk betulkan niat awal kenapa anda nak mulakan perniagaan. Fikir masak-masak sedalam-dalamnya sebelum tetapkan keputusan anda itu.

Kalau sekadar nak larikan diri sebab meluat dengan boss kat tempat kerja anda sekarang, itu masih tidak mencukupi.

Kalau sekadar nak larikan diri dari boss, elok pergi lari kepada boss lain yang lebih bagus. Sekurangnya anda puas hati kerja dan ada duit setiap bulan untuk teruskan kehidupan.

Satu pendapat yang saya sangat setuju pasal tujuan berniaga ni saya jumpa dalam buku tulisan Peter F. Drucker. Dia tulis dalam bukunya bertajuk, Management: Task, Responsibilities, Practices.

Dia kata, jawapan yang betul kenapa berniaga adalah, 'kerana anda ada sesuatu yang mahu ditawarkan kepada pasaran'.

Produk atau perkhidmatan yang anda sangat yakin bermanfaat. Dapat selesaikan masalah yang manusia hadapi. Itu matlamat yang betul kalau anda memang ada niat nak jadi usahawan.

2. Tak cukup perancangan

Susulan dari matlamat yang salah akan membawa kepada masalah kedua ini. Tak cukup buat perancangan.

Tak selidik dan cari jalan yang mampu memudahkan perjalanan bisnes itu. Tak ada rancangan strategik.

Perancangan operasi harian perniagaan juga tidak dibuat dengan baik. Main bedal saja tanpa ada apa-apa strategi yang difikirkan betul-betul.

3. Tak fikir masa & sumber yang perlu

Bila anda tak ada buat perancangan terlebih dahulu, anda pasti akan terkejut dengan keperluan masa dan sumber yang tak mencukupi.

Bila dah mula berniaga baru sedar itu tak ada dan ini tak ada. Masa jalan pantas sehari demi sehari, stamina dan segala sumber makin pupus. Emosi makin kacau dan akhirnya gelabah dan tertekan. Tak boleh fokus lagi pada idea bisnes dalam impian anda itu.

4. Tak kaji pasaran

Produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan itu tidak dicuba terlebih dahulu. Tak kaji terlebih dahulu.

Paling kurangpun, lihat apa yang ada di pasaran sekarang dan fikirkan beza antara anda dan pesaing . Samada pesaing secara ansung atau tidak lansung.

Paling silap bila anda buat satu tawaran yang baru masih belum ada dalam pasaran. 

Anda fikir secara logik, itu idea yang hebat sebab tak ada pesaing lagi.

Tentu semua orang akan datang beratur teruja nak beli produk atau khidmat yang anda tawarkan. Jadi kelam kabut nak mulakan bisnes tanpa selidik dan kaji pasaran dan permintaan terlebih dulu.

Biasanya tak jadi macam tu.

5. Lemah dalam segenap segi

Ada orang yang hanya ukur keupayaan diri berdasarkan penilaian dirinya sendiri sahaja.

Dia rasa dia mampu. Dia hebat. Dia cekap. Dia rajin. Dia ada segala yang diperlukan untuk berjaya.

Biasanya orang yang bersemangat tinggi memang rasa macam itu.

Bagus percaya pada kebolehan diri sendiri.

Tapi dapatkan juga pandangan dari orang lain. 

Minta penilaian dan pandangan orang lain yang biasa dan kenal dengan diri anda. Minta mereka buat penilaian secara jujur kekuatan dan kelemahan yang ada.

Mungkin sikap anda yang negatif yang boleh menghalang kejayaan ada dalam diri secara tidak disedari.

Masa remaja dulu, saya ada seorang kawan yang sangat yakin kebolehannya bermain bolasepak. Dia betul-betul percaya skill permainannya lebih bagus dari semua orang.

Dia hairan dan kecewa kenapa setiap kali ada perlawanan kawan-kawan suruh dia duduk di bangku simpanan saja. Tak bagi dia peluang untuk bantu team bermain dengan jayanya.

Walaupun sentiasa jadi macam itu, dia masih tetap yakin yang dia bagus.

Hakikatnya, saya juga rasa dia memang syok sendiri. Dia mungkin bagus sikit saja dari kaki bangku. Namun begitu, tak tergamak nak bagi tahu kat dia.

Memang ada orang macam tu!

6. Tak faham aliran tunai dalam bisnes

Ini masalah yang paling ramai ada.

Walaupun dah bertahun berniaga bertungkus lumus, masih tak ambil tahu pasal aliran tunai atau cash flow. Tak bertanya dan tak mahu diajar.

Saya dah jumpa ribuan usahawan yang masuk dalam kategori ni.

Bila tanya macam mana nak bantu dia, jawapannya mudah saja. Bagi duit padanya, tahulah dia nak buat apa.

Dia yakin dengan adanya bantuan duit, jika bank sudi bagi pinjaman, jika MARA atau PUNB bagi dana, pasti bisnesnya akan maju.

Dia salahkan institusi kewangan tak mahu bantu dia. Sebab itu dia tak boleh naik dalam bisnesnya yang kais pagi makan pagi kain petang makan petang tu.

Bayangkan bisnesnya untung atau rugi banyak manapun dia tak tahu!

Siapa nak bagi duit pinjaman kalau macam itu?

Paling kurang ambil tahu pasal kiraan untung dan rugi. Kira untung kasar dan untung bersih.

Tahu di mana titik pulang modal dan bagaimana nak susun semula harga tawaran dan sebagainya.

7. Jahil bisnes & kurang maklumat industri

Semua bisnes, dalam apa saja industri ada ilmu asasnya yang perlu diketahui.

Perlu ambil tahu apa amalan yang terbukti berjaya dalam industri dan apa amalan yang terbukti tak boleh pakai.

Maklumat berkenaan industri penting.

Siapa pembekal, vendor, pengguna, siapa boleh bantu, siapa pakar, siapa penipu dan sebagainya. Itu perlu untuk susun strategi dalam perniagaan anda.

Perlu tahu apa yang perlu diukur untuk menilai prestasi dan kedudukan bisnes anda dalam industri. Kalau tak tahu apa nak ukur, macam mana nak buat pembaikan?

8. Abaikan ancaman pesaing

Dalam apa saja bisnes yang anda buat, pasti akan ada pesaing.

Sebaik saja mula berniaga, secara semula jadi, anda menjadi ancaman bagi pesaing. Sudah jadi kemestian yang pesaing akan cuba atasi ancaman.

Bila pesaing rasa anda adalah ancaman. Maka bermulalah satu ancaman sedang menanti anda. 

Bila jumpa dia secara bersemuka, tentu semuanya manis.

Ok! bagus! bagus! 

No Hal punya!

Itu apa yang dia cakap kat mulut.

Samada betul atau tidak dia rasa tergugat bukannya ada kat mulut tu!

Terima hakikat itu dan berhati-hati. Jangan leka rasa semuanya ok.

9. Salah pilih tempat

Ada banyak juga kawan-kawan yang buka perniagaan di tempat yang salah. Kebanyakannya berlaku sebab biarkan tempat yang pilih dia dan bukannya dia yang pilih tempat.

Maksud saya begini ..

Dia tahu tempat mana yang lebih sesuai dengan jenis bisnes yang dia nak buat tu. Tapi sebab nak jimatkan kos, dia cari tempat lain yang jauh lebih rendah.

Undur dan undur ke belakang sebab kos sewa yang jadi penentu bukan kesesuaian tempat. Akhirnya, terperap jauh ke belakang sampai semua orang rasa susah nak pergi.

Kesalahan paling mudah yang anda boleh buat dalam memilih premis adalah memilih premis yang menyusahkan pelanggan datang. Itu bertentangan dengan DNA manusia yang suka jauhi benda susah dan mendekati benda senang.

Lokasi sangat penting dalam membantu perniagaan anda naik. Tapi lokasi baik saja belum tentu menjamin kejayaan.

10. Tiada ilmu keusahawanan

Ilmu keusahawanan tak sama dengan ilmu teknikal.

Ramai yang keliru dengan perbezaan ini. Jika anda pandai repair kenderaan, belum tentu lagi anda pandai berniaga. Itu dua disiplin yang sangat berbeza.

Saya selalu kena sindir dengan orang yang pandai teknikal ni. Dia sindir kononnya saya nak mengajar dia berniaga sedangkan saya tak tahu apa-apa pasal ilmu teknikal yang dia sangat mahir.

Dengan sindiran macam itu saja saya dah boleh tahu kemungkinan kefahamannya pasal ilmu keusahawanan adalah cetek.

Sebagai contoh, ramai mekanik yang sangat otai, sangat pakar dalam repair kenderaan. Tapi bisnes nya tunggang terbalik.

Bila nak bantu, dia lekehkan orang yang nak bantu pulak sebab tak pandai lansung repair kereta nak ajar dia pasal bisnes workshop !

Sedangkan orang yang dia sindir tak tahu repair kereta itu bisnes workshopnya besar sales berjuta. Jauh berpuluh kali ganda dari workshopnya sendiri.

11. Minyak habis terbakar

Bila banyak buat salah, silap pilih tempat, silap tak merancang, silap tak faham industri, tak ada ilmu keusahawanan, ambil masa yang lama sekadar nak teruskan hidup, akhirnya semua minyak habis terbakar.

Dah tak ada tenaga lagi untuk teruskan.

Walaupun semangat sangat tinggi, api kalau tenaga dah habis, tak akan dapat bertahan juga.

Kalau berniaga sekadar cukup makan. Dilalui bertahun-tahun, tak ada manusia yang cukup kuat untuk terus bertahan macam tu sampai berjaya.

12. Lemah ilmu kewangan

Ini masalah paling ketara ada pada usahawan yang tak bersedia. Dah tak tahu, tak mahu ambil tahu pulak.

Sombong tak sudi bertanya.

Orang nak ajar ilmu kewangan dia pergi bandingkan pulak dengan ilmu teknikal buat produk. Dah lah bodoh, bebal .. sombong pulak!

Bukannya nak kata ilmu kewangan tu sukar sangat. Tak payah nak tahu secara mendalam macam akauntan bertauliah pun. Cukup sekadar ilmu asas pasal kiraan kos, kiraan untung dan rugi, cara cairkan tunai dan sebagainya.

Paling ramai usahawan bila saya tanya bab duit, dia akan jawab, haaa ! yang ni kena tanya isteri saya. Saya tak tahu semua tu.

Bila tanya isteri dia, isterinya hanya buat kerja book keeping saja. Itupun tak betul.

Kalau usahawan itu tahu serba sedikit ilmu kewangan, dapatlah dia tunjukkan pada isterinya apa yang penting untuk diambil tahu dan apa yang penting untuk dikira dan di semak. Itu adalah lebih baik.

Usaha elak perniagaan gagal

Panjang artikel pasal perniagaan gagal ni.

Mungkin saya dah pernah tulis lebih kurang perkara yang sama. Tapi tak rugi untuk ditulis berkali-kali.

Terutamanya buat diri saya sendiri. Ini juga satu ulang kaji. Untuk saya semak semula kedudukan diri sendiri.

Anda juga perlu semak semua 12 perkara yang membuatkan perniagaan gaga kat atas tu. Kalau nak elak dari gagal, pastikan ambil perhatian.

Walaupun anda lepas kesemua yang saya dah senaraikan kat atas tu, masih belum ada jaminan yang anda pasti akan berjaya. Dengan persediaan di atas untuk anda berjaya masih 50/50.

Bayangkan kalau anda main langgar saja !

Selamat berjaya !

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, 12 sebab utama kenapa perniagaan gagal dalam tempoh setahun sahaja dari mula

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !