Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Monday, April 11, 2022

23 perangai yang ada pada orang yang berjaya dalam apa yang mereka usahakan dalam hidup

  Mohd Shubhi       Monday, April 11, 2022

Artikel ini akan kongsikan pada anda 23 karakter yang ada pada kawan-kawan usahawan yang saya kenal, yang berjaya pergi jauh dalam usaha mereka.

Jika anda nak cari kawan, sila lihat pada karakter yang saya sebutkan di sini. Tengok ada atau tak ada. Lihat samada mereka berjaya atau tak. Dan cuba bandingkan apa yang saya katakan samada betul atau tidak.

Paling penting, lihat diri anda sendiri samada karanter di bawah ada atau tak. Kalau ada bagus, saya yakin anda juga seorang yang berjaya. Kalau tak ada. Berazam untuk adakannya, insyaallah.

Untuk maklumat, sejak mula buat keputusan berniaga, saya berikan tumpuan untuk berkawan dan berkenalan dengan seramai mungkin kawan-kawan yang berniaga.

Saya mula langkah tersebut sebelum berhenti kerja lagi. Mulakan dengan kenal pasti para usahawan yang menjalankan perniagaan sepenuh masa untuk didekati. Bukan sekadar usahawan biasa-biasa saja. Saya berikan perhatian lebih pada mereka yang berjaya.

Dari kawan-kawan tersebut, saya dapat kenal lebih ramai lagi kawan-kawan lain yang turut sama berjaya seperti mereka.

Dari mereka juga, saya dapat kenal kawan-kawan yang tak berjaya. Ertinya yang tak ke mana-mana walaupun dah buat macam-macam perniagaan. Semuanya asyik lingkup sekerat jalan.

Ada ramai usahawan yang berjaya sebenarnya. Berjaya dalam erti kata dapat membina perniagaan yang diusahakan sehingga mampu menyara kehidupan mereka dan semua tanggungan ke tahap yang selesa.

Tapi, jumlah mereka yang tak berapa menjadi dalam usaha perniagaan yang dijalankan, adalah jauh lebih ramai dari yang berjaya ke tahap selesa.

23 karakter ada pada orang berjaya

Apa yang membezakan antara yang berjaya berbanding tak berjaya?

Saya kongsikan 23 karakter atau sikap menarik yang ada pada kawan-kawan usahawan yang berjaya pergi lebih jauh di bawah ini untuk panduan kita semua.

1. Punya tahap inisiatif tinggi

Mereka boleh mula bergerak sendiri untuk usahakan sesuatu. Sangat mudah untuk mulakan ikhtiar sendiri tanpa perlu ditekan atau dipaksa oleh sesiapa.

2. Punya motivasi diri yang tinggi

Mereka berupaya memujuk dan menaikkan semangat diri sendiri tanpa perlu ke kursus motivasi berbayar atau percuma. Dalam 10 orang, mungkin seorang dua saja yang jenis hadiri program sebegitu. Itupun disebabkan ada kepentingan lain. Yang lain tak pergi pun.

3. Kurang penyabar

Tak sabar dalam ertikata yang tidak negatif. Mereka sentiasa mahu bersegera dalam segala tindakan. Tak boleh nak tangguh-tangguh.

Dalam ertikata lain, mereka jenis yang sangat laju bertindak.

4. Kerja cepat

Kawan-kawan yang berjaya jauh ni semuanya jenis yang buat kerja cepat. Bergerak macam Bruce Lee menewaskan lawan. Kawan-kawan usahawan yang tak menjadi biasanya akan merungut kalau ikut mereka.

5. Jiwa kental hadapi akibat

Banyak cabaran bila punya sikap tak sabar dan kerja cepat. Mereka akan menempuh banyak kecelaruan dan keadaan kucar-kacir bila sangat cepat berindak dan cepat bergerak. Tapi jiwa mereka macam dah bersedia untuk hadapi semua itu.

6. Tahan lasak 

Sama macam jiwa kental kat atas, mereka juga amat lasak mental atau fizikal dalam menghadapi segala rintangan. Samada rintangan fizikal atau mental.

7. Sentiasa tengok ke depan dan belajar dari kesilapan

Bergerak cepat dan tak sabar nak bertindak membuatkan banyak kesilapan berlaku. Tapi macam biasa, mereka hanya tengok ke hadapan dan jadikan segala langkah silap sebelum itu sebagai pedoman untuk terus bergerak maju lagi.

8. Sentiasa berfikir tentang pembaikan berterusan

Mereka tak pernah jemu cari jalan bagaimana nak buat pembaikan dalam semua perkara di sekeliling mereka.

9. Amat menghargai kepakaran

Samada kepakaran yang ada pada mereka atau kepakaran yang ada pada orang lain, mereka amat memandang tinggi dan menghargai semua keupayaan tersebut.

10. Sentiasa kusyuk bila buat kerja

Bila mereka buat kerja, nampak sangat kesungguhan dan daya tumpuan yang tinggi diberikan. Susah nak ganggu tumpuan mereka.

11. Sentiasa ingin tahu

Sikap nak tahu yang ada pada mereka memang amat tinggi. Seluruh deria mereka amat sensitif melihat, merasa dan mencari jawapan. Kalau seseorang yang berilmu atau pakar dalam bidang tertentu, bersembang dengan mereka memang jenuh nak jawab soalan.

12. Mudah bekerjasama

Kalau buat apa saja urusan dengan mereka memang menyeronokkan sebab sikap mudah berikan kerjasama dan bersungguh-sungguh membantu.

13. Degil

Semua kawan-kawan usahawan yang pergi jauh ini memang jenis degil sikapnya. Tak payah nak gertak atau nak patahkan semangat mereka, buang masa saja.

14. Mampu tangguhkan kesenangan

Bersusah-susah dahulu untuk mendapat hasil yang jauh lebih baik dalam jangkamasa panjang adalah amalan biasa mereka.

15. Sentiasa optimis 

Dari riak muka, dari segala tindakan, nampak jelas sikap optimistik yang tinggi sentiasa ada pada mereka.

16. Punya sejarah kerja teruk masa muda

Hampir ksemua mereka yang berjaya pergi jauh dalam dunia keusahawanan mereka punya sejarah dan pengalaman kerja rutin macam hamba di zaman muda mereka. Mereka biasa kerja teruk dan pengalaman itulah yang banyak membentuk fizikal dan mental mereka.

17. Punya keupayaan dan gerak hati yang baik untuk melihat gambaran besar

Kalau orang biasa melihat sesuatu, mereka hanya sekadar melihat apa yang berlaku depan mata sahaja. Tapi kawan-kawan usahawan berjaya ini biasanya mampu meneropong lebih jauh dan mampu melihat gambaran yang lebih besar dan dapat mencari corak berulang yang boleh dipelajari.

18. Kreatif

Ini memang amat jelas ada pada semua kawan-kawan usahawan yang berjaya. Perkara susah bagi kebanyakan orang lain (yang hanya pandai merunggut), bila dapat kat mereka diselesaikan dengan amat kreatif tak terfikir oleh kebanyakan orang.

19. Sentiasa bersedia untuk berubah

Bila bila masa saja jika diperlukan untuk berubah, mereka mampu lakukannya dengan mudah sekali.

20. Sentiasa fokus pada objektif 

Segala keputusan mereka biasanya tidak dipengaruhi oleh isu peribadi atau masalah peribadi. Mereka fokus pada objektif dan itulah biasanya prinsip yang diambil dalam segala keputusan.

21. Kadangkala ikut gerak hati 

Ini salah satu dari keupayaan yang ada pada mereka. Tiba-tiba saja buat keputusan dan tindakan yang tak disangka. Tak ada angin tak ada ribut mereka boleh saja bertindak berdasarkan gerak hati.

22. Ada sedikit kecelaruan peribadi atau gila gila

Samada suka atau tidak suka, saya memang lihat ramai dari mereka yang ada sedikit masalah ini. Mereka ada potensi punya 2 watak yang berbeza kalau diperhatikan. Kalau tak ada krisis identitipun, mereka ada sedikit perangai gila gila yang ringan. Hanya kawan-kawan yang kenal lama akan dapat kenal pasti perkara ini. Tapi bukanlah ke tahap yang teruk tak terkawal. Hanya sedikit saja …

23. Punya kecenderungan amat tinggi untuk laksanakan urusan 

Kalau diberikan 10 kerja pada mereka, paling lekeh 7 dari kerja itu anda boleh yakin akan diselesaikan oleh mereka. Malah boleh jadi kesemuanya akan selesai jika masa mengizinkan. Berbeza dengan kawan-kawan yang tak menjadi, kalau beri 10 kerja, paling kurang 7 hampas malah ada yang satupun tak selesai.

Bina 23 sikap menarik ini sekarang

Kalau dilihat kesemua 23 sikap menarik yang ada pada kawan-kawan usahawan yang berjaya di atas, kelihatan macam tak ada harapan bagi mereka yang tak punya sikap-sikap tersebut.

Macam mana nak ubah kalau sikap yang ada pada anda seperti dah sebati sejak sekian lama.

Mungkin sebab itu ada yang berpandapat sikap keusahawanan yang ada pada diri seseorang tak boleh dipelajari.

Tapi saya yakin semua sikap yang ada pada diri seseorang boleh untuk diubah.

Apa saja sikap boleh dibuang atau boleh ditambah. Sebab sikap yang dah melekat dalam diri hanyalah hasil daripada aktiviti berulang mengamalkan perkara yang sama. Dari amalan berulang itulah akhirnya melekat jadi sikap.

Oleh itu, anda hanya perlu kenal pasti satu sikap demi satu sikap ang mahu diterap ke dalam diri dan ulang sampai jadi sebati. Ianya bermula dari memujuk hati untuk bersahabat dengan sikap yang kita nak terapkan itu terlebih dahulu.

Untuk memujuk hati agar berkawan dengan sikap tersebut, carilah kawan-kawan yang memang dah punya sikap itu. Memang pada mulanya hati akan meronta meluat pada kawan-kawan sebegitu. tapi bila dipaksa, bertahan, lama kelamaan hati akan lembut dan mula menerimanya.

Bila hati dah terima, maka ianya akan mula bertukar menjadi amalan.

Oleh itu, pergilah berkawan dengan kawan-kawan yang anda lihat berjaya. Usaha supaya menjadi rapat dan tambah supaya lebih ramai kawan-kawan sebegitu ada di sekeliling anda.  

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, 23 perangai yang ada pada orang yang berjaya dalam apa yang mereka usahakan dalam hidup

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !