Monday, April 11, 2022

Petua Lee Kuan Yew untuk jalani kehidupan yang bermakna ini menarik untuk dihadam

  Mohd Shubhi       Monday, April 11, 2022
Nota Penting JANGAN BACA:
Sebelum terus membaca, perlu diingatkan jika anda seorang pembenci Bangsa Cina, pembenci DAP dan seumpamanya, skip saja artikel ni dan jangan teruskan membaca.

Dalam banyak-banyak pemimpin negara, saya sangat kagum kepada Lee Kuan Yew. 

Anda boleh cari banyak sorotan video di youtube. Cuba lihat cara dia jawab soalan spontan. Saya yakin anda tentu akan jatuh cinta pada kebijaksanaan Lee Kuan Yew berfikir.

Buku yang beliau tulis bertajuk ‘From Third World To First World’ saya beli dan baca lama dulu masa mula-mula datang ke Lembah Klang. Bermula dari situ tercetus minat untuk terus mengikuti pemikirannya.

Bagi yang belum, saya sarankan beli dan baca buku tu. Sangat melekakan jika anda membacanya. Tak sikitpun rasa rugi membacanya sampai habis.

Isi di dalam buku itu ada jawapan, kenapa Singapura berada di kedudukan mereka sekarang.

Lee Kuan Yew punya otak yang sangat geliga. Kalaulah Singapura tak kena halau keluar dari Malaysia dulu, saya rasa percaturan politik negara kita tentu berbeza 360 darjah dari sekarang.

Kalau anda baca buku tu, boleh rasakan dia jenis manusia yang sangat fokus kepada objektif yang mahu dicapai. Dia sentiasa memikirkan bagaimana nak membina sebuah negara yang mampu berikan manfaat maksimum kepada rakyat tanpa mementingkan diri sendiri.

Lee Kuan Yew seorang pemerhati yang tajam. Dia peka mengamati semua orang disekelilingnya. Pandai membezakan antara yang bagus dengan tidak. Paling ketara, dia bijak dalam memilih orang yang betul untuk diletakkan di tempat yang sesuai agar organisasi dapat berfungsi dengan lancar.

Pengasas Singapura moden itu juga sangat berpegang pada prinsip meritokrasi. Anda dapat tempat yang selayaknya dari apa yang diusahakan.

Cara dia tulis, sama macam cara dia cakap juga. Menggambarkan seorang yang lebih suka buat kerja berbanding banyak cakap dan beretorik.

Berfikiran jauh memang terpahat baik dalam jiwa dia.

Polisi yang beliau ambil sentiasa berdasarkan matlamat dan bukannya sekadar nak ambil hati orang supaya dia disukai.

Jika perlu buat keputusan yang tak popular, dia akan buat sekalipun terpaksa hadapi tentangan.

Itulah antara apa yang anda boleh selami jika baca buku yang saya sebut di atas tadi.

Hidup yang bermakna

Hari ini, ketika sedang mencari bahan maklumat di Youtube, terjumpa satu video menarik dari rakaman lama bersama Lee Kuan Yew.

Ia memaparkan sesi temubual dengan Lee Kuan Yew yang dibuat oleh Shell.

Dalam program itu, ada satu soalan menarik ditanya oleh salah seorang peserta kepada Lee Kuan Yew.

Dia tanya apa pandangan pemimpin hebat itu berkenaan makna sebuah kehidupan.

Apa saja persoalan yang menyentuh makna sebuah kehidupan sentiasa manrik minat saya. Memang dari dulu perkara itu sangat dekat dihati.

Banyak buku yang saya baca berkenaan erti sebuah kehidupan yang baik. Topik itu membuatkan otak saya bergerak. Terpaksa melihat, mendengar, merasa dan seterusnya berfikir.

Sedar atau tidak, apa saja tindakan anda semuanya kearah nak hidup. Objektif untuk hidup sentiasa jadi default value terhadap segala tindakan anda dari kecik sampai besar. Kalau anda tak rasa pencarian kepada apa ertinya kehidupan itu penting, saya tak tau nak kata apa!

Kebiasaannya, persoalan tentang makna sebuah kehidupan yang baik banyak ditulis oleh orang dalam aliran falsafah. Bahkan itulah tajuk soalan paling awal yang darinya lahir ramai para pemikir di setiap tamadun awal dunia.

Bila soalan sama ditujukan pada Lee Kuan Yew, saya tak mahu lepaskan peluang untuk mendengar versi jawapannya.

Hidup bermakna bagi Lee Kuan Yew

Mendengar soalan itu, perkara pertama yang Lee Kuan Yew buat adalah tertawa. Mungkin dia rasa lucu atau terkedu dengan soalan yang dia tak duga.

Tapi macam biasa, dalam ketawa pun, apa yang keluar dari mulutnya menerangkan erti sebuah kehidupan yang bermakna sangat penting dan mantap sekali.

Secara mudah dia menerangkan bagaimana anda dilahirkan membawa DNA dari ibubapa yang melahirkan anda di dunia. Itu memang tak boleh nak ubah.

Dalam DNA itu, terpahat segala kelebihan dan kekurangan yang anda bawa dalam kehidupan di dunia itu.

Jadi pesan Lee Kuan Yew, gunakan segala kelebihan yang anda ada sebaik mungkin.

Elakkan diri dari ambil tanggung jawab terhadap perkara yang anda lemah dan tak ada kemahiran dan tiada kelebihan. Bagi orang lain yang lebih layak buat.

Ringkas tapi sangat padu.

Untuk jalani kehidupan yang bermakna, anda perlu amalkan prinsip sedemikian. Dalam perumpamaan mudahnya, kalau anda tiang rumah, jadilah tiang. Jangan cuba jadi lantai. Biarlah papan yang jadi lantai.

Apa yang anda cekap

Kalau anda biasa dengar orang yang suka ber-falsafah, mereka sering sarankan untuk berusaha 'kenali diri'.

Ayat itu sering saya dengar di zaman remaja kat kampung dahulu.

Abang-abang yang cenderung kepada ajaran sufi suka sebut ayat itu.

Tapi saya tak pasti pulak apa yang mereka faham. Biasanya saranan itu sering diulang sebut. Tapi bila diminta penerangan, jarang dapat jawapan yang mudah untuk difaham.

Bila ditekan minta jawapan, mereka kata untuk kenali diri perlu kenali Tuhan. Nak kenal Tuhan kena kenal diri. Last sekali ubah bersembang dan bincang cerita P Ramlee lagi bagus.

Bila dah besar, saya mula sedar bahawa memang proses kenali diri sangat penting. Ia membawa maksud, kenal di mana kekuatan dan kelemahan diri anda sendiri.

Sama seperti mana nasihat Lee Kuan Yew di atas tadi.

Pergunakan kekuatan dan kelebihan yang anda ada dalam menjadikan diri bermanfaat untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan agama.

Anda perlu ambil serius terhadap proses mengenali diri. Terutamanya jika masih berumur di bawah 30-an.

Bila dah masuk, tahap maksimum 35 tahun, sepatutnya anda dah dapat gambaran dan idea yang lebih jelas, siapa diri anda.

Ketika masih muda, cuba apa saja yang dirasakan menarik.

Tukar kerja, tukar kawan, tukar tempat tinggal, tukar daerah .. layari sebanyak mana, sekerap mana yang mungkin.

Itu akan membantu anda mendapat gambaran terhadap keupayaan diri.

Kemudian, bila dah masuk umur 35 tahun, mula tumpu kepada kekuatan yang ada.

Jika dah masuk umur 50 tahun masih juga tak tahu apa yang anda bagus, apa yang tak bagus, dikhuatiri selama ini banyak leka membuang masa. Dan tak pernah amalkan proses muhasabah dalam setiap kejadian yang berlaku dalam hidup.

Tapi masih belum terlewat.

Pergi cari satu sudut terpencil, sunyi dan damai. Buat refleksi kehidupan anda selama ini. 

Bila dah dapat jawapan, mula berikan tumpuan kepada perkara yang anda memang bagus. Dan beristiqamahlah dengan penuh kesabaran.

Jika anda berusaha perbaiki kelemahan, paling hebat, akan berjaya sampai ke tahap average sahaja. Sebaliknya, jika anda berusaha sempurnakan kekuatan, sudah tentu ianya akan makn bagus sehingga anda jadi luar biasa - Peter Drucker

 

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Petua Lee Kuan Yew untuk jalani kehidupan yang bermakna ini menarik untuk dihadam

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !