Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Saturday, April 30, 2022

Cara sambut raya idaman gagal juga akhirnya sebaik saja dapat raya macam biasa

  Mohd Shubhi       Saturday, April 30, 2022


Dalam masa yang pantas, dah masuk hari ke-28 kita jalani ibadah puasa di bulan Ramadan kali ini.

Alhamdulillah tahun ini puasa lebih normal dari 2 tahun yang lepas. Dapat solat tarawih di surau, dapat beli juadah di bazar ramadan, dapat solat berjemaah di masjid 5 waktu. 

Semuanya dah dibenarkan. Walaupun masih perlu pakai sarung tutup mulut dan hidung serta kena bawa sejadah sendiri. Masih tetap terasa keadaan kembali agak normal.

Itu bab beribadah. Masuk bab berbelanja juga dah mula meriah macam selalu. Baju raya, kuih raya, dan persediaan nak balik raya dah mula menyedut laju semua duit yang ada.

Itu bab yang tak best, sentiasa berikan satu tekanan jiwa yang kuat. Jiwa meronta rasakan itu tak kena. Perlu diubah. Tapi apakan daya. Pengaruh sekeliling terlalu kuat. Kalau dia tak heret diri sendiri, dia heret ahli keluarga dan akhirnya semua terheret sama.

Persediaan nak sambut raya hancurkan semua ketenangan yang berjaya dibentuk sejak hari pertama berpuasa.

Puasa satu proses kuatkan jiwa

Sebelum sambut raya kita kena puasa sebulan. Ada 3 fasa dalam berpuasa dan setiap fasa ada 10 hari. 

Fasa paling penting adalah fasa terakhir 10 ramadan. Dalam fasa terakhir ini ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Kalau nak dapatkan kebaikan malam tersebut, kena tingkatkan amal ibadat lebih sedikit daripada fasa sebelumnya secara konsisten selama 10 malam terakhir.

Sepanjang tempoh itu, harus dihentikan kerja tak perlu yang dah jadi adat kebiasaan orang kita sambut kedatangan syawal.

Secara umum ramadan merupakan bulan mengaut keuntungan akhirat. Ramadan bukan bulan bersuka ria perabih duit dan buat seribu satu macam pembaziran. 

Kita perlu utamakan akhirat dan buat apa yang agama anjurkan seperti yang diulang sebut para ustaz setiap tazkirah antara solat terawih sepanjang malam dibulan ramadan.

Jika kita betul-betul mahu amalkan saranan para ustaz tersebut, kita perlu ubah adat kebiasaan.

Idaman saya selama ini adalah seperti di bawah. Semua itu hanya berjaya dilakukan ketika wabak covid-19 melanda dan pihak berkuasa tak bagi raya sahaja. Diharapkan berkekalan, tapi punah. Sebaik saja raya dibenarkan macam biasa, pesta habiskan duit berlaku seperti biasa.

Alangkah bainya jika ..

  1. Tak perlu bersusah payah buat kuih raya. Dari mana datangnya idea buat kuih raya yang lansung tak bagus untuk kesihatan tu saya tak pasti. Siapa ajar sambut syawal dengan penuhkan meja dengan kuih raya juga satu kerja yang tidak diperlukan. Kalau tetamu datang, tujuannya untuk merapatkan hubungan dan bermaaf-maafan. Jadi hidang ala kadar macam hari-hari biasa dengan makanan yang menyihatkan dah cukup.
  2. Tak perlu belanja besar beli baju raya. Kita disuruh pakai pakaian elok ketika pergi solat hari raya. Kita tidak pula disuruh pakai pakaian baru ditempah dengan trend terbaru untuk beraya. Kalau nak buat juga baju raya, berikan tumpuan pada pakaian untuk bersolah saja. Yang lain tak perlu. Baju baru boleh dibeli pada hari lain sepanjang tahun. Pilih saja waktu ada duit dan bersesuaian. Lebih penting sekali hanya beli bila baju baru dah tak ada lansung, cuma tinggal baju lusuh saja.
  3. Tak perlu berhias rumah dengan kelengkapan baru dan berbelanja besar. Ini juga satu kerja tak perlu dan satu pembaziran. Saya syak ia satu konspirasi puak kapitalis untuk mengaut untung besar dengan cipta keperluan berdasarkan waktu hari kebesaran.
  4. Bercuti sebaik saja masuknya 10 hari terakhir bulan ramadan. Banyak syarikat di luar negara yang islamik amalkan budaya ini. Bukan untuk buat persiapan raya sebaliknya untuk tumpukan pencarian malam seribu bulan. Arab Saudi amalkan budaya ini. Elok jika seluruh negara umat Islam mengamalkan budaya yang sama.
  5. Duit yang dapat dijimatkan untuk beli baju raya, buat kuih raya dan hias rumah disalurkan pada amalan sedekah sepanjang ramadan. Utamakan sanak saudara dan adik beradik terdekat. Ini yang agama suruh dan ganjarannya cukup besar berbanding bulan-bulan lain.

Memang kita disuruh mengimarahkan sambutan syawal. Tapi ada banyak lagi cara lain yang lebih afdal daripada buat kuih, beli baju baru dan hias rumah dengan benda baru.

Jika semua amalkan budaya ini. Jalan TAR akan sunyi dan para peniaga akan berebut kaut keuntungan akhirat daripada kaut keuntungan duit dibazar ramadan. 

Agama tak suruh buat duit sampai tak pergi masjid dan meningkatkan ibadah dan melupakan maksud sebenar ramadan.

Budaya baru ini juga dapat mengawal kemasukan orang ramai ke hospital sebaik saja masuk bulan syawal. Kes pesakit masuk hospital meningkat setiap kali menjelang raya sebab makanan kebanyakannya tak sihat.

Kita juga seperti lepas geram belasah makan macam tak ingat dunia. Makan pula lebih berganda daripada biasa dan segala pantang tidak dijaga masa raya.

Yang paling penting sekali kita dapat jimat beribu ringgit berbelanja perkara yang tidak perlu atas nama adat. Adat pelik yang dimomokkan oleh para pengaut keuntungan perniagaan. 

Budaya berbelanja hanya pada perkara perlu saja akan terbentuk dan perniagaan yang tidak sihat akan mati. 

Budaya ekonomi sihat berdasarkan keperluan akan muncul menggantikan budaya ekonomi sesat.

Namun begitu, apa yang saya idamkanseperti di atas yang sebenarnya adalah amalan hidup ringkas masih gagal berjalan secara lancar.

Setiap kali berbelanja beli itu dan ini untuk anak-anak dan isteri satu keluarga akan berlaku pergolakan jiwa. Tertanya kenapa perlu habiskan semua duit yang ada untuk segala urusan tak wajib itu.

Sering juga berlaku pergolakan jiwa tertanya sama diri saya yang salah berfikiran sebegitu. Terasa mungkin yang buatkan stress adalah melihat tumpahnya duit berguguran setelah penat lelah mengumpulkannya selama ini.

Benar sekali kata-kata hikmat dalam Bahasa Inggeris di bawah,

“Once you carry your own water, you will learn the value of every drop.”

Teringat zaman kena angkut air naik ke dapur rumah dari telaga ketika kecik dahulu, sebelum adanya air paip macam sekarang.

Terasa benarnya pepatah di atas. Setiap cebuk yang menceduk air ketika itu terasa seperti menghisap kekuatan otot yang kepenatan berulang alik dari telaga sampai membawa bekas air naik ke atas.

Macam itulah terasa pedih perasaan setiap kali belanja beribu-ribu bayar segala benda tak perlu ketika raya.

Setiap tahun beli baju raya sedondong. Penuh almari tu dengan pakaian raya tahun-tahun sudah yang jarang-jarang sekali digunakan. Dah beli pula satu pasang lagi tahun ini.

Mungkin untuk orang perempuan pakaian tradisi raya tidak berapa membazir sebab memang boleh digunakan samada pergi kerja atau pergi kendur kendara dan berjalan. 

Tapi lelaki hanya dapat pakai sut raya ketika ke surau atau masjid. Itupun baju saja dan jarang-jarang sebab solat jumaatpun pakai pakaian formal kerja.

Dari sudut lain, terasa perlu juga sambutan sedemikian. Bukannya selalu pun. Elok ambil peluang itu untuk bersama anak-anak, membeli dan memilih. Melihat kegembiraan mereka. Melihat rasa bangga mereka dapat peragakan baju raya setahun sekali.

Tak kan itupun salah .. biarkan sajalah.

Itulah yang saya katakan sering berlaku pergolakan jiwa setiap kali masuk bulan ramadan dan nak masuk syawal.

Yang pastinya, tekanan melihat air tumpah setitik demi setitik tu memang amat berat pada mata yang mengangkut sendiri air tersebut ..

Selamat bercuti balik kampung semua pembaca yang sudi melayan blog ini. 

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Cara sambut raya idaman gagal juga akhirnya sebaik saja dapat raya macam biasa

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !