Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Wednesday, April 6, 2022

Cerita korea ini berikan gambaran betul tentang pentingnya bina tabiat untuk berjaya

  Mohd Shubhi       Wednesday, April 6, 2022

Pernah tonton cerita Korea yang bertajuk Lucky Key?

Kalau ada Unifi, mungkin anda dah tonton.

Bila saya buat sedikit carian, dapat maklumat yang cerita itu dibuat semula berdasarkan dari cerita asal Jepun bertajuk Key of Life.

Bagi yang belum tengok, ceritanya lebih kurang begini.

Ia dimulakan dengan satu babak tentang seorang pemuda, Jae-sung. Dia merupakan seorang pelakon yang gagal. Terlalu banyak berhadapan dengan masalah dan berhasrat nak bunuh diri.

Nasibnya baik. 

Cubaan tamatkan riwayat hidupnya melalui tali gantung terhalang. Cubaan itu terhenti.

Kalau dilihat dari keadaan rumah, dia memang jenis pengotor. Rumah berselerak tak terurus. Dirinya sendiri busuk dan kusut masai. 

Hari itu, dia keluar untuk pergi ke pusat mandi awam bagi membersihkan diri.

Selepas masukkan semua barang dan maklumat kepunyaannya dalam loker dan kunci, dengan tuala dibalut paras pinggang, dia berjalan pergi mandi.

Muncul karaktor baru pula ..

Hyung-wook, pula seorang pembunuh upahan sangat ganas kelas tinggi.

Berjaya dan kaya raya dengan kerjayanya itu. Dia tinggal di kondo mewah. Pakai kereta, pakaian, aksesori dan lain-lain, semuanya serba mewah bercitarasa tinggi. 

Dia baru selesaikan tugasnya bunuh orang dan pergi ke pusat mandian awam untuk bersihkan diri.

Hyung-wook dan Jae-sung berada di pusat mandian awam yang sama dan mereka berselisih. Gaya mewah dan hebat Hyung-wook tidak terlepas dari pandangan Jae-sung. Timbul rasa cemburu dalam hatinya.

Nak dijadikan cerita, sebuku sabun jatuh ke lantai. Hyung-wook terpijak sabun itu lalu jatuh terlentang. Kepalanya menghentak kuat pada lantai dan dia pengsan. Kunci yang dia pegang terpelanting berdekatan dengan Jae-sung.

Ketika sibuk semua orang melihat dan cuba bantu Hyung-wook, Jae-sung dengan spontan nampak satu peluang. Dia ambil kunci loker pembunuh upahan malang itu dan tinggalkan kunci lokernya sebagai ganti.

Semua orang kalut uruskan Hyung-wook untuk dibawa ke hospital. Jae-sung pula terus bergegas pergi cari loker. Dia ambil kesemua barang yang ada dan keluar dari pusat mandian awam tersebut.

Sekelip mata, Jae-sung berubah jadi bergaya dengan sut kot yang mahal. Dompet penuh dengan duit, pakai jam tangan mahal dan kereta mewah.

Hyung-wook pula, sebaik sedar dari pengsan di hospital, lupa ingatan. Dia tak ingat lagi siapa dirinya yang sebenar akibat hentakan kuat di kepala. Dari semua barang yang ada di loker tempat mandian awam tadi, dia percaya yang namanya sekarang adalah Jae-sung, seorang pelakon yang gagal.

Mereka bertukar identiti dan kehidupan. Hyung-wook balik ke rumah tumpangan yang diduduki oleh Jae-sung dan begitulah sebaliknya.

Tabiat dan disiplin bergerak spontan

Fokus saya adalah pada Hyung-wook, pembunuh upahan yang sekarang percaya bahawa dia ialan Jae-sung, seorang pelakon.

Rumah sewa yang sebelum ini kotor berterabur, berubah menjadi kemas dan tersusun sebaik saja Hyung-wook menginap di situ.

Dengan kemahiran menggunakan senjata yang secara spontan ada padanya membuatkan restoran dimana dia bekerja jadi popular dan berjaya.

Dalam bidang lakonan sebagai pelakon tambahan pula, pada awalnya dia kaku dan tak pandai. Tapi dia berusaha cari maklumat, beli dan baca buku, belajar bersungguh-sungguh untuk menguasai aksi berlakon.

Ditambah pula dnegan kemahiran seni pertahankan diri yang memang dah ada yang dia sendiri tak tahu datang dari mana, membuatkan Hyung-wook berjaya dalam bidang lakonan juga.

Jae-sung pulak, memang seorang yang tidak berdisiplin. Rumah mewah kondo yang dia tinggal sekelip mata saja jadi macam sarang tikus.

Patutlah dia gagal dalam cubaannya untuk jadi pelakon. Memang tidak berdisiplin dan punya tabiat yang pengotor, buruk dan tiada citarasa.

Hyung-wook pula, tidak hairan jika dia jadi pembunuh upahan peringkat tinggi yang luar biasa berjaya. Memang dia punya disiplin, ada citarasa tinggi dan berusaha gigih dalam menguasai apa yang dilakukannya.

Memori tabiat dan disiplin sebati

Anda mungkin dah tahu bagaimana tubuh badan kita berfungsi dalam menyimpan segala maklumat terhadap aktiviti dan amalan kita selama hidup.

Memori bukan daja melekat dalam otak kat atas kepala tu. Malah dia melekat pada semua anggota dan sel pada tubuh badan anda.

Saya faham perkara ni bila cuba belajar main gitar dengan menggunakan jari tangan yang ada.

Dari pembacaan, saya dapat tahu latihan tubi, perlahan-lahan dan buat semua aktiviti dengan penuh kesedaran untuk menyerap segala pembelajaran dan pengalaman supaya memori mula melekat dan jadi sebati.

Bila jadi digunakan begitu, sel pada semua anggota jari, tangan dan tubuh badan juga akan membentuk memori mereka sendiri tanpa disedari oleh diri kita.

Katakan saya juga terhentak kepala lalu hilang ingatan. Sekalipun tak ingat siapa diri saya sebenar, tapi, bila diberikan gitar, biasanya secara spontan segala pergerakan bermain gitar dengan mudah akan mampu dilakukan. Sebab semua memori memang dah terbentuk setakat yang saya amalkan selama ini.

Begitulah powernya tabiat.

Jika anda tekun membentuk apa saja tabiat yang baik dalam diri. Bila dah terbentuk, letak kat manapun, buat apapun, jika kena tabiat itu, anda akan cemerlang.

Sebaliknya, jika anda memang dah perangai buruk, tak tekun, tak ada disiplin, pemalas, dan seribu satu lagi tabiat buruk, letak kat manapun, anda akan jadi rosak dan merosakkan.

Semangat dan tabiat

Dalam hidup ini, untuk berjaya anda perlu bentuk 2 perkara tersebut di atas.

Semangat diperlukan agar anda mampu memulakan sesuatu perkara yang baru yang anda belum mahir dan rasa tak selesa terhadapnya. Tak ada semangat, memang tak akan bangun, tak bergerak.

Tabiat pula diperlukan supaya anda kekal istiqamah melakukan perkara tersebut tanpa ada rasa jemu, bosan. Bukan takat itu, malah rasa tak selesa jika ianya tida dilakukan.

Bayangkan jika anda ada kedua perkara tersebut?

Takkan tak berjaya kut?

Ramai kawan-kawan yang saya kenal jelas kelihatan kejayaan mereka dibantu oleh tabiat baik yang mereka dah bina sampai jadi darah daging.

Dari segi prestasi bukanlah bagus sangat. Mereka bukannya yang terbaik ketika zaman mula jadi pejar dulu. Tapi bab disiplin rajin berusaha tanpa jemu memang jadi darah daging.

Hasil latihan tubi sejak zaman jadi pelajar. Bila masuk dunia pekerjaan, disiplin berusaha yang konsisten itu membuatkan mereka naik setingkat demi setingkat ke atas tanpa henti. Disaat orang dah rasa malas dan selesa tak mahu pulun lagi, mereka kekal berusaha gigih sebab memang itu perangai mereka.

Satu lagi sikap yang saya nampak banyak ada pada semua kawan-kawan yang sukses adalah punya citarasa tinggi. Perkara ini dah banyak kali saya sebut dalam blog dan tulisan saya yang lain. Sebab memang sangat ketara perkara ini ada pada semua kawan-kawan yang sukses dalam apa saja kerjaya mereka.

Tapi takat punya taste tinggi, tanpa ada semangat dan tabiat yang baik, anda hanya jadi kaki bergaya saja. Sedangkan poket kosong.

Macam mana nak bentuk tabiat baik

Saya dah lama perhatikan bab tabiat ni. Dah lama juga melihat beza antara orang yang berjaya dan tak ke mana ni.

Apa yang saya boleh rumuskan adalah nak ubah tabiat ni bukan perkara mudah. Majoriti besar, sebagaimana saya dapat tahu dari kajian pakar, akan kekal dengan semua tabiat yang dah terbentuk dalam diri ketika mereka berumur 7 tahun. 95% dari tabiat yang anda ada sekarang adalah apa yang terbentuk ketika anda berumur 7 tahun dahulu.

Ada 5% saja ruang lagi untuk masukkan perkara baru, tabiat baru yang dapat ubah sedikit sebanyak apa yang dah terpahat dalam 95% tadi.

Dari segi positifnya, maklumat itu baik untuk anda yang mahu berubah. Ertinya masih ada ruang jika anda berazam tinggi dan belajar cara yang terbukti berkesan untuk tanam tabiat baru.

Bagi anda yang rasa memang dah tak boleh nak ubah, rasa terlalu berat, anda memang betul. Saya setuju jika anda mahu kekal begitu sebab usaha nak ubah adalah sangat berat.

Jadi kekallah macam itu. Tak perlu rasa kecewa dengan apa yang anda dah ada. Telan saja apa yang kehidupan dah berikan. Relaks dan tanam rasa bahagia. Tak salahpun jika anda suka hidup dan kekal berada dibawah saja. Memang orang begitu sangat diperlukan oleh mereka yang duduk di atas. Terutamanya untuk buat kerja-kerja remeh, susah dan bayarannya rendah.

Dari situ, anda yang jadi usahawan atau taukeh, sila ambil perhatian.

Bila nak ambil orang untuk masukkan ke dalam team syarikat atau projek, pastikan anda perhati semangat dan tabiatnya.

Ambil yang bersemangat dan punya tabiat yang baik saja untuk diketengahkan naik ke atas. Jangan buang masa untuk ubah tabiat orang. Memang tak sempat dalam dunia perniagaan yang serba mencabar ini.

Syarikat bukanlah tempat atau kem bina semangat dan membentuk tabiat. Bagi pada orang lain untuk urusan tersebut. paling tidakpun, biarlah tanggung jawab itu dipegang oleh masing-masing punya tuan badan. 

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Cerita korea ini berikan gambaran betul tentang pentingnya bina tabiat untuk berjaya

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !