Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Tuesday, April 5, 2022

7 perkara yang pengusaha bengkel kenderaan boleh buat untuk selesaikan masalah kewangan bisnes

  Mohd Shubhi       Tuesday, April 5, 2022
Dalam bancian tahun 2018, saya tengok ada sebanyak 25,324 bengkel selenggara dan baiki kenderaan di negara kita.

Jumlah bisnes yang jual spareparts pula ada sebanyak 18,139 syarikat.

Itu maklumat perniagaan untuk kenderaan bermotor selain dari motosikal.

Untuk perniagaan berkaitan motosikal sahaja, selenggara dan baiki serta penjualan alat ganti serta aksesori, ada sebanyak 10,685 syarikat di seluruh Malaysia.

Setelah negara dilanda wabak covid-19 sejak tahun 2020. Kena PKP demi PKP dan banyak perniagaan lingkup, termasuklah bengkel kenderaan, ada kemungkinan besar jumlah tersebut di atas berkurangan.

Yang pastinya, bagi bengkel yang bisnes mereka hidup segan mati tak mahu, keadaan kewangan yang suam-suam kuku, sebelum dilanda covid-19 lagi, bila kena penangan wabak itu, tentu lebih parah jadinya. Bungkus gulung tikar adalah sangat hampir.

Walaupun bisnes baiki dan selenggara kenderaan termasuk dalam perkara perlu, jumlah pelanggan yang datang ketika wabak dah tentu tak macam selalu.

Sama juga macam bisnes perlu lain seperti kedai makan. Masih boleh buka berniaga. Tapi jumlah pelanggan tak akan sama macam biasa.

Namun begitu, seteruk manapun, perniagaan yang anda jalankan adalah jauh lebih baik dari perniagaan lain yang bukan dalam kategori keperluan seperti pelancongan umpamanya. 

Maksudnya bisnes anda ada harapan untuk dipulihkan sekarang dalam keadaan kegiatan ekonomi dah kembali meriah sekarang.

Untuk itu, artikel ini saya kongsikan khas untuk pemilik bengkel kenderaan yang ada masalah aliran tunai dalam bisnesnya.

Pemilik bengkel kenderaan pening

Bila sebut bab kewangan ni, yang membuatkan bisnes anda jadi lebih teruk adalah jika ada hutang bank atau mana-mana agensi kewangan.

Sejak awal 2020 yang lalu, aliran duit terjejas teruk tak membolehkan bayaran hutang bulanan dibuat sebagaimana sepatutnya. Itu yang memeningkan kepala.

Jika bisnes workshop anda berhadapan dengan situasi begitu jangan panik. Pergi saja berdepan dan bincang dengan pegawai bank tu. Tanya apa solusi yang ada untuk membolehkan anda bernafas semula dan bina kekuatan untuk start bayar balik.

Bagi workshop yang tiada bebanan hutang, premis perniagaan pulak dah habis bayar atau atas tanah sendiri, tak perlu bayar sewa, itu adalah satu nikmat yang sangat besar.

Bisnes workshop yang berjalan selama ini tanpa ada bebanan hutang, bila ada krisis ekonomi, hanya perlu buat penjimatan kos tetap saja.

Potong semua belanja yang tak perlu.

Jika terpaksa kurangkan jumlah pekerja, kena buat juga walaupun perit dan rasa tak sampai hati.

Buat dengan cara yang dibenarkan undang-undang dan jangan aniaya orang dah la.

Atasi masalah aliran tunai

Dalam keadaan ekonomi sedang baik pulih macam sekarang ni, apa yang diperlukan adalah stamina untuk terus bertahan.

Stamina dalam mana-mana bisnes bukan ditentukan oleh jumlah untung, bukan juga jualan. Tapi bergantung kepada aliran TUNAI.

Macam orang politik selalu kata,

‘Cash is king’.

Tun Mahathir

Betul dan tepat sekali ayat tu. Sekalipun duit tu bukan anda punya, kalau dalam poket ada cash, anda selamat.

Jika dalam kertas saja tunjuk ada duit, tapi tak boleh ditunaikan, tak ada makna sangat berbanding ada duit tunai dalam tempayan kat rumah tu. 

Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang masih kucar kacir.

Makanya, perlu ada langkah-langkah berkesan untuk pastikan bisnes ada tunai yang mencukupi untuk bertahan.

Berikut saya kongsikan 7 perkara yang anda boleh buat bagi memastikan aliran tunai bisnes bengkel kenderaan anda dapat bertahan.

1. Naikkan sikit harga

Ini petua yang tak payah nak ajar sebenarnya. Semua orang yang berniaga tahu pasal ilmu naikkan harga ni boleh bantu aliran tunai perniagaan.

Kalau tanya tokeh workshop, dia kata, ‘tak payah bagi tau pun saya tau benda ni!”

Masalahnya adalah dia tak buat.

Punca utama adalah, dia lupa bahawa ada seribu satu macam kerja yang dia berikan pada pelanggan. Setiap satu kerja tersebut ada harga yang berbeza. Bila suruh naikkan harga dia bayangkan nak kena naikkan kesemua khidmat yang ada dalam senarai tawarannya kepada pelanggan.

Anda boleh pilih dalam 10% ke 20% kerja sahaja yang mahu dinaikkan harganya. Bukan kesemuanya. Lebih mudah jika disenaraikan kerja yang anda lebih lebih cekap berbanding pesaing, naikkan sikit kerja tu.

Make up la sikit gaya dan cara persembahan tanpa ada penambahan kos. Ini memperlihatkan bahawa ada penambah baikan dalam kerja anda dan pelanggan akan rasa perbezaan harga yang naik sikit tu ada alasan yang baik.

2. Naikkan sikit jualan

Ini lebih kurang sama macam kes kat atas. Petua yang semua orang tahu hatta yang tak pernah berniaga sekalipun.

Tapi, sama juga, dia tak buat apa-apa untuk cuba tingkatkan sikit jualan. Andaiannya semua dah diusahakan tapi hasilnya macam tu juga. Kalaulah naikkan jualan semudah cakap di bibir, tak ajarpun dia boleh buat.

Sama seperti kes di atas, anda tak boleh buat projek tingkatkan jualan jika dalam kepala ada gambaran bisnes sebagai satu produk saja.

Sekali lagi saya ingatkan untuk diri sendiri dan semua, ada seribu satu produk atau servis. Fikirkan hanya satu produk atau servis saja dulu untuk ditingkatkan jualannya. Produk atau servis lain jalan macam biasa dulu.

Paling bijak, pilih produk atau servis yang margin keuntungannya paling baik. Rangka strategi bagaimana nak ketengahkan produk atau servis tersebut dari segi persediaan, persembahan pemasaran dan jualan.

Rangka satu persatu strategi dan laksanakan. Lihat hasilnya dan buat penambah baikan sehingga jualan produk atau servis tersebut mula meningkat.

Ingat! cara paling mudah tingkatkan jualan ada kepada pelanggan yang dah setia dan biasa dengan bengkel anda. Bukan dengan cari pelanggan baru yang masih tak ada pengalaman dengan anda yang membuatkan mereka lebih berhati-hati untuk berbelanja.

Jadi perlu fikirkan strategi up-sell kepada pelanggan setia yang dah ada untuk push produk atau servis yang anda dah tentukan tadi.

3. Rendahkan sikit kos jualan

Apa maksud kos jualan?

Bila berlaku jualan, barulah kos tu ada. Itu maksudnya kos jualan. Kalau tak berlaku jualan, tak payah keluarkan duit.

Dalam bisnes bengkel kenderaan, kos jualan biasanya adalah spare parts. Bila orang datang repair, barulah perlu ada spare parts. Kalau sekadar tunggu melangut balut rokok daun tak ada kereta masuk, spare parts tak ada satu pun kat workshop tu tak kisah.

Kadang-kadang, bagi bengkel yang tak ada pekerja tetap, hanya pekerja sambilan yang upah dibayar bila ada kerja saja. Maka itu juga masuk dalam kos jualan. Tapi kalau pekerja dibayar gaji tetap, ianya tak dinamakan kos jualan.

Anda boleh kurangkan kos jualan yang berkaitan dengan projek di atas tadi. Dah rangka untuk tingkatkan satu produk atau servis, maka perlu berani nego dengan pembekal minta kurangkan sikit harga spareparts tu.

Dalam masa yang sama, risik dengan pembekal lain dan bandingkan harga mereka.

Buat projek cari dan nego 3 spareparts setiap minggu dengan pembekal dan risik pembekal lain untuk bandingkan harga sampai dapat kurangkan kosnya.

4. Kurangkan sikit kos tetap

Ini yang agak kasar dan berat sikit untuk dilaksanakan. Kos tetap adalah semua benda yang anda terpaksa bayar samada bisnes ok atau tak ok, ada kerja atau tak ada, PKP atau tidak. Dah namapun kos tetap.

Tapi masih boleh diusahakan. Antara yang paling mudah adalah kos sumber manusia iaitu gaji. Macam mana nak kurangkan kos pembayaran gaji yang setiap bulan keluar tu?

Sasarkan pekerja yang kerjanya geli-geli. Bagi amaran untuk berubah, atau belah. Tapi perlulah ikut undang-undang ya!. Jangan sampai dia bawa naik mahkamah pekerja. Dalam bab uruskan pekerja ni perlu ada nasihat dari mereka yang ada pengalaman dan tahu undang-undang tenaga buruh dan pekerja.

Jika anda rapat dengan pemilik premis yang disewa, boleh usahakan untuk bincang kurangkan sikit saja sewa bulanan. Kalau anda berjaya kurang dari RM2,500 sebulan kepada RM2,350 pun dah kira sukses.

Selain dari itu adalah kos-kos tetap lain seperti bil utiliti, logistik dan seupamanya.

5. Minta pelanggan bayar cepat sikit

Bergantung kepada cara anda tentukan terma pembayaran sekarang ini.

Jika majoriti kerja adalah repair kenderaan jabatan kerajaan, maka termanya adalah hutang. Sila berusaha untuk pantaskan urusan hantar inbois, pastikan sampai ke meja orang yang proses inbois tu dan jangan lupa follow-up.

Kecekapan anda buat tuntutan pembayaran kerja menentukan lambat atau cepat bayaran masuk.

Jika anda buat kerja untuk pasaran terbuka, biasanya selepas kerja siap barulah dapat bayaran. Jika anda tahu kerja tak akan siap dalam hari yang sama, sila pertimbangkan untuk ambil deposit sekurangnya 50% dari anggaran dari harga yang dipersetujui. Jika dapat terus 100%, anda memang hensem!.

6. Kurangkan sikit simpan stok

Kawal stok yang ada kat dalam kedai dapat legakan aliran tunai anda. Tak perlu beli banyak-banyak terutamanya parts yang sejuk lambat bergerak. Jangan korbankan duit tunai anda hanya atas dasar takut pelanggan tak datang jika tak simpan stok. Apatah lagi jika tak pasti pelanggan akan datang bulan depan atau tahun depan.

Kalau nak simpan juga stok, pastikan ianya barang laju yang selalu digunakan. Itupun jangan hentam penuhkan stor. Kawal juga sekadar 2 atau 3 pusingan belian dalam seminggu. Itu lebih baik.

7. Minta bayar lewat sikit

Jika dengan pelanggan anda usahakan supaya mereka bayar cepat. Dengan pembekal lain pula.

Minta untuk lewatkan sikit tempoh bayaran. Kalau sekarang anda dapat terma 30 hari, cuba minta terma 35 hari. Lewat sikit macam tu biasanya pembekal tak perasan sangat dan tak kisah. Selepas 6 bulan, minta lewatkan ke 40 hari pulak. Injak dan injak seagi boleh.

Jika selama ini anda beli cash, banyak pulak tu, tak susah untuk minta terma kredit. Lajak sebulan atau 45 hari supaya aliran tunai anda sihat wal-afiat.

Anda tentu kata sama saja jadinya. Untung tak akan bertambah sekalipun anda lewatkan tempoh bayaran. Bila tiba masanya kena bayar juga!

Betul, tak ada kesan kepada profit. Tapi ada kesan kepada aliran tunai bisnes anda tu. Dapat dilihat pada laporan kewangan dalam penyata bank anda.

Bank bukan tengok profit, tapi dia tengok aliran duit keluar masuk. Jika masuk pantas dan keluar lewat, itu tandanya anda cekap kawal duit dan mampu bayar hutang jika bank berikan pinjaman.

Pantau kewangan bisnes secara berkala

Perhatikan semua aktiviti yang saya sarankan di atas tu ada perkataan sedikit.

Maksudnya, buat pelan-pelan dan tak payah drastik terus berdesup kurangkan semuanya. Sasarkan sekarang 1% perubahan saja atau sehari sahaja dah bagus sebagai permulaan.

Jangan lupa bahagian paling penting ni. Perlu pantau dan semak secara berkala dan konsisten. Ini saja yang akan jadi penentu samada usaha anda berjaya atau tidak.

Tak ada apapun yang akan menjadi jika anda tak pantau secara konsisten. Usain Bolt tak akan jadi pelari no. 1 dunia kalau setiap kali berlatih dia tak semak masa, kepantasan dan prestasinya. Semua urusan yang anda nak tingkatkan keupayaannya wajib diukur dan di pantau. 

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, 7 perkara yang pengusaha bengkel kenderaan boleh buat untuk selesaikan masalah kewangan bisnes

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !