Friday, April 1, 2022

"Ikigai" - Petua orang jepun untuk hidup sihat, berjaya, bahagia dan panjang umur

  Mohd Shubhi       Friday, April 1, 2022

Ada satu peribahasa Jepun berbunyi begini,

“Only staying active will make you want to live a hundred years”


Saya rasa itu satu petua yang sangat benar!

Jika anda termasuk dalam kategori golongan yang sudah ‘melepasi waktu muda’, petua dari budaya orang Jepun itu tentu lebih mudah untuk difahami.

Hidup tanpa ada sesuatu yang nak dilakukan adalah sesuatu yang amat menyiksakan.

Saya jumpa ramai orang yang jadi murung bila dia tak aktif. Makin dilayan sikap pasif tak aktif itu akan bertambah teruk jadi kehidupannya.

Biasanya, orang yang berterusan jadi macam tu tak dapat bertahan lama untuk terus bernafas.

Untuk pastikan agar anda terus aktif berusaha demi kehidupan, perlu ada pendekatan yang betul. Perlu ada sebab yang kuat kenapa perlu bangun esok pagi, terus hidup sehari lagi.

Sebab untuk hidup sehari lagi

"Apa alasan anda untuk bangun dan hidup satu hari lagi esok?"

Dalam Bahasa Jepun, ada satu perkataan yang memberi makna seperti ayat dalam bentuk pertanyaan di atas.

Saya tak pasti samada dalam bahasa atau budaya kita di Malaysia ada satu perkataan untuk menerangkan ayat sebegitu. Paling mudah kita boleh sebut 'alasan untuk terus hidup saja'.

Tapi, dalam Bahasa Jepun, mereka panggil, Ikigai.

Perkataan itu menerangkan konsep keinginan untuk terus hidup dan berusaha.

Dalam Bahasa Perancis juga ada satu perkataan. Mereka panggil, Raison D’etre. Konsep yang sama juga seperti perkataan Ikigai yang orang Jepun pakai.

Jika anda tahu ada satu perkataan dalam bahasa melayu yang membawa maksud sama seperti Ikigai, sila beritahu dalam ruang komen kat bawah ya!.

Untuk mudah, saya sebut saja "sebab untuk terus hidup".

Habis masa sibukkan diri

Mungkin anda masih tak jumpa sebab yang kuat untuk terus hidup satu hari lagi. Tapi itu bukanlah alasan untuk berdoa minta habis nyawa.

Jika masih tak jumpa apa Ikigai anda, apa Raison D’etre anda, perlu ikut amalan orang-orang yang berjaya.

Ada satu perkara yang saya belajar hasil dari berkawan dan membaca banyak kisah hidup mereka yang berjaya. Mereka kongsikan sikap yang sama dalam menjalani kehidupan.

Mereka akan sentiasa isikan masa dengan menyibukkan diri.

Masa tak akan dibiarkan berlalu begitu saja tanpa ada aktiviti untuk dilakukan. Ada saja benda yang nak dibuat. Ada saja idea yang terpancul keluar dari benak akal untuk dijadikan aktiviti menghabiskan masa yang ada.

Dalam buku memoir Robert Kuok yang saya baca, dia macam tu juga orangnya.

Masa dia remaja, ketika Jepun tawan Malaya, dia habiskan masa yang ada dengan kerja di bawah syarikat Jepun.

Bila Jepun kalah perang dan terpaksa serahkan semula Malaya pada British, syarikat Jepun tempat dia kerja itu umumkan pada semua pekerja untuk balik. Syarikat itumahu hentkan operasi.

Kalau terus kekal buat kerjapun, Jepun tak akan bayar gaji lagi.

Sebaik saja dengar pengumuman itu, semua orang hentikan kerja dan terus balik kecuali Robert Kuok.

Dia tawarkan dirinya untuk terus kerja walaupun tak dapat sebarang gaji. 

Alasannya mudah saja. Dia perlu isikan masanya dengan kerja. Bagi Robert Kuok, apa lagi yang seorang lelaki boleh buat melainkan isikan masa yang ada dengan kesibukan yang berfaedah.

Robert Kuok mungkin tak tahu apa dia nak jadi masa itu. Tapi dia tahu bahawa untuk kekal hidup, dia perlu terus aktif menyibukkan diri.

Saya faham dari situ bahawa untuk berjaya dalam hidup, anda perlu cari sebab yang kuat untuk terus bangun hidup pagi esok sehari lagi. 

Supaya anda boleh teruskan usaha yang masih tertangguh semalam.

Tetapi kalau masih tak tahu kenapa perlu terus hidup esok sehari lagi, anda hanya perlu bangun dan aktifkan diri.

Jangan duduk saja bermalas-malasan atas alasan masih tak jumpa tujuan hidup atau masih tak jumpa sesuatu yang mahu diperjuangkan.

Jika anda pegang bahawa masa perlu diisi dengan kehidupan yang aktif, insyaallah, Ikigai anda akan datang juga bila tiba masanya.

kenapa perlu hidup sehari lagi esok

Saya tulis artikel ini selepas Isya tadi. Esok saya nak ke luar kawasan di utara tanah air untuk kerja yang perlu dibuat kat sana.

Itu kerja yang saya suka buat dan mahu lihat ada hasil yang baik darinya. 

Saya mahu kerja yang saya usahakan itu memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat. Begitu juga kepada saya.

Selain dari itu, saya ada impian sendiri yang masih belum terhasil. 

Masih ada banyak kerja yang perlu diusahakan sebelum ianya berlaku. Impian untuk diri sendiri, impian untuk keluarga, impian untuk saudara mara dan lain-lain lagi.

Yang paling merisaukan sekali adalah saya sendiri masih terkial-kial mencari jalan untuk merealisasikan apa yang mahu dicapai itu.

Semua proses mencari jalan, berusaha, melihat hasilnya, membuat pembaikan dan berusaha lagi dan berterusan begitu membuatkan perlunya ada doa seperti berikut ..

“Ya Allah, hidupkan lah aku sehari lagi esok. Masih ada perkara yang aku perlu lakukan. Masih belum selesai tanggung jawab aku pada anak-anak dan sanak saudara yang ada”

Saya yakin selagi masih ada alasan untuk terus hidup sehari lagi, selagi itulah saya akan terus menjadi manusia yang berguna. 

Asalkan alasan untuk terus hidup itu adalah sesuatu yang baik memberikan manfaat dan bukanlah yang mendatangkan sebarang mudharat.

Apakah alasan anda untuk terus hidup sehari lagi esok hari … ? 

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, "Ikigai" - Petua orang jepun untuk hidup sihat, berjaya, bahagia dan panjang umur

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !