Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, March 31, 2022

Nostalgia Kedai Gunting Rambut Pak Mat di Pekan Penanti

  Mohd Shubhi       Thursday, March 31, 2022

Bisnes gunting rambut dah wujud sejak dari dulu, zaman saya kecil sampailah sekarang masih tetap ada.

Kedai gunting rambut yang paling awal saya kenal masa kanak-kanak di kampung adalah Kedai Gunting Rambut Pak Mat.

Kedai gunting rambut itu kecil saja. Macam sebuah kiosk yang kedudukannya tersorok di belakang sedikit satu kedai ke dalam. Ia ada di sebelah jalan, betul-betul di kepala simpang, Pekan Penanti.

Jika anda lalu simpang 3 pekan Penanti, akan nampak kedai kopi Pak Neh terlebih dahulu. Kedai Gunting Rambut Pak Mat ada di belakang kedai kopi tu.

Tuan punya kedai gunting, yang juga tukang gunting rambut tu namanya Mohammad. Biasa, orang kampung akan panggil Mat saja, pada semua orang yang bernama Mohammad.

Pak Mat merupakan ayah kepada kawan sekelas saya, Azizi, ketika di sekolah menengah dari tingkatan 1 sampai tingkatan 5.

Sedar-sedar, itulah kedai gunting rambut paling awal yang arwah bapa bawa bila perlu potong rambut. Ada kalanya arwah akan potong sekali dan ada kalanya, dia akan duduk minum di kedai kopi Pak Neh sementara tunggu saya dan abang selesai potong rambut.

Selepas ayah meninggal, saya masih tetap pergi gunting rambut di kedai Pak Mat. Cuma sekali sekala pergi juga ke satu lagi kedai gunting rambut Uncle India di hujung Pekan Penanti tu.

Macam saya sebut di atas tadi, kedai gunting rambut Pak Mat sangat kecil. Cuma muat seorang sahaja sekali gunting. Kerusi khas gunting rambut dalam kedai itu ada sebuah saja. Orang lain yang menunggu giliran akan duduk atas kerusi kayu panjang tepi kedai tu.

Tak pernah pula saya tergerak nak tanya satu hari berapa ramai orang yang dia gunting.

Tapi seingat saya, dari awal dia datang buka kedai di waktu pagi sampai tengahari, rehat kemudian buka balik sampai petang, tak pernah sunyi dari kunjungan pelanggan.

Pak Mat bersaiz sederhana. Orangnya sangat kemas bergaya. Tak pernah saya lihat dia pakai pakaian yang tak elok. Malah tak pernah dia pakai T-Shirt pun. Rambutnya tebal berminyak segak tersikat rapi.

Paling ketara, Pak Mat sentiasa manis mukanya. Sentiasa tersenyum. Datanglah ramai mana orang pun. Tunggulah berapa ramaipun kat luar tu. Pak Mat akan buat kerja gunting rambutnya slow and steady. Seolah-olah hanya dia dan pelanggan seorang tu saja ada kat situ.

Dia tak banyak cakap. Kalau cakappun, sepatah-sepatah dan perlahan intonasinya. Tumpuan penuh diberikan kepada urusan gunting rambut orang itu sahaja dari mula sampai habis. Mungkin itu yang membuatkan orang rasa selesa dan jadi pelanggan setia.

Pak Mat buat kerja gunting rambut sehingga tua. Tak ada orang yang ambil alih kerjayanya. Setelah dia lanjut usia, anak-anak pula sudah dewasa semuanya, barulah Pak Mat berhenti.

Masa saya berniaga nasi di kedai Pak Neh, saya rasa Pak Mat dah tak buka kedai gunting rambutnya lagi.

Setiap kampung ada kedai gunting

Samada anda perasan atau tidak, pergilah ke manapun, tak ada satu kampung pun yang tak ada kedai gunting rambut. Tak ada satu pekanpun kat negara kita ni yang tak ada kedai gunting rambut. Kadangkala ada lebih dari 2.

Macam itulah kewujudan kedai gunting rambut, atau lebih tepat lagi bisnes khidmat gunting rambut.

Dulu, biasanya, kerjaya gunting rambut ni macam satu kerjaya keturunan. Kalau ayahnya kerja gunting rambut, seorang dari anaknya mungkin akan turun jadi tukang gunting rambut juga.

Paling lekeh, anaknya kalau tak buat bisnes gunting rambut, dia pasti pandai gunting rambut.

Masa saya sambung belajar dulu, mulanya di KL kemudian ke luar negara, ada kawan yang pandai gunting rambut. Dialah yang jadi tukang gunting rambut kami ketika belajar dulu. Yang bestnya, khidmat gunting rambut yang kawan-kawan berikan adalah percuma.

Bila diluar negara, kawan yang pandai gunting rambut berpisah duduk tempat tak sama. Saya beli mesin potong rambut, dan mula potong rambut sendiri. Untuk mudahkan kerja, saya akan pasang takuk 1 atau 2, dan botakkan saja keseluruhan rambut tu.

Dan sampai sekarang, saya masih buat kerja tu sendiri. Ada mesin potong rambut yang sentiasa saya sediakan kat rumah dari dulu sehingga sekarang.

Cuma bila sibuk tak ada masa saja, baru akan ke kedai gunting rambut untuk cukur kepala.

Cukur kepala di kedai gunting

Di Puchong, tempat saya tinggal, ada satu kedai gunting yang saya sering pergi. Kesemua pekerjanya adalah tukang gunting yang datang dari India. Seorang dua saja yang fasih cakap Melayu. Yang fasih tu akan jadi penterjemah pada kawan-kawannya yang tak faham Melayu.

Saya kerap cukur kepala kat situ. Mereka siap pakai uniform. Pekerjanya ramai. Antara 6 ke 7 orang. Mereka buka awal pagi dan tutup malam.

Dah cuba beberapa tempat termasuk di kampung di Penanti, nak rasa perbezaan dan buat perbandingan. Saya dapat rasakan tukang gunting rambut dari India tu semuanya lebih memuaskan hati.

Mereka cukur dengan sempurna. Tidak pernah membuatkan kulit kepala saya luka. Malah tak rasa sakit atau risau dengan cara mereka cukur.

Cuma satu saja masalahnya. Ada seorang dua, yang bila cukur, banyak cakap. Dia cukur kepala sambil mulut tak henti bercerita. Sangat tak selesa. Ada masanya terasa percikan semburan air liurnya. Namun begitu, kecekapannya cukur dengan selamat dan sempurna masih tetap sama.

Ramai pekerja asing di kedai gunting

Ada satu lagi kedai gunting rambut. Tapi agak jauh sedikit di pekan satu lagi. Pekerjanya warga Bangladesh. Ada 2 kerusi dan ada 2 orang pekerja. Ada 2 kedai juga sebelah menyebelah. Kesemuanya pekerja Bangladesh.

Kerja mereka juga sangat cekap dan selesa.

Mereka tidak banyak cakap. Berikan tumpuan kepada kerja mencukur dari mula sampai habis dengan selamat dan sempurna.

Bila saya duduk di Sg Pelek, saya cuba pakai khidmat tukang gunting rambut di sana pula. Ada 3 kedai kalau tak silap saya di pekan yang kecil tu. Kedai pertama yang saya cuba tukang guntingnya juga seorang warga Bangladesh.

Saya pergi sekali saja dan tak ke sana lagi selepas tu sebab dia kenakan bayaran mahal berbanding kesemua kedai yang saya pernah pergi. Cukur kepala kasi botak dia kenakan RM17

Kalau di Puchong, mereka kenakan RM11 sahaja.

Kat pekan kecil itu juga, ada satu lagi kedai yang saya cuba. Tukang guntingnya ialah seorang uncle berbangsa Cina. Dia rakyat Malaysia, fasih cakap Melayu. Saya lihat semua bangsa jadi pelanggannya. Melayu, Cina dan India.

Kerjanya juga sempurna. Malah saya rasa lebih selesa cukur dengan dia berbanding kedai India dan Bangla. Saya tak pernah ke kedai salon yang tukang guntingnya wanita, jadi tak tahu apa beza tukang gunting wanita dengan lelaki.

Harga yang uncle cina tu kenakan juga jauh lebih rendah berbanding di semua tempat. Dia cuma kenakan RM7 sahaja untuk kerja cukur kepala dan trim janggut dan misai saya.

Malah dia orang pertama yang bila saya pergi bercukur, akan cukur habis kesemua bulu yang ada pada anak telinga.

Itu membuatkan saya rasa terus nak setia dengan dia.

Yang tak best cukur kepala dengan uncle Cina tu satu sahaja. Kalau ada kawan nya lepak baca akhbar berbahasa Cina dalam kedai tu. Mereka suka berborak panjang. Bila uncle tu cakap panjang, ada masanya, air liur berterabur ke udara.

Selain dari itu semuanya ok.

Cukup kepala sendiri jika ada masa

Sejak Covid-19 ni, saya rasa lebih baik saya cukur kepala sendiri pakai pisau cukur.

Jimat duit, dan terjamin selamat tak perlu jumpa orang. Tak perlu juga risau kena sembur air liur di kedai gunting rambut.

Malam tadi, anak-anak saya buat projek gunting rambut mereka sendiri.

Mereka gotong royong gunting sesama mereka riuh rendah. Oleh sebab semuanya tak pandai gunting rambut, mereka ikut saja cara saya. Pakai takuk 1, dan ratakan saja keseluruhan kepala tu.

Bila saya turun bawah, semuanya dah botak kepala. Saya hanya tertawa dengan gelagat mereka.

“Selepas ni tak payah ke kedai gunting rambut lagi”, saran saya pada mereka.

Semuanya sambut dengan tertawa gembira.

Dengan semua yang saya cerita kat atas tu, nampak macam kedai gunting rambut ni seperti satu keperluan asas la pulak. Mungkin sebab itu kedai gunting rambut pernah dibenarkan beroperasi setelah PKP dilonggarkan, sedangkan banyak bisnes lain yang masih tidak dibenarkan.

Samada kedai guntung rambut termasuk satu keperluan asas atau tidak, saya pasti, ia merupakan satu bisnes yang dah wujud sejak 5000 tahun BC lagi di Mesir. Di zaman itu, tukang gunting rambut adalah individu yang dihormati.

Jika sesebuah aktiviti itu dah wujud sejak sekian lama sebegitu, maka tidak mustahil ia akan kekal wujud untuk tempoh yang sangat lama lagi. 

Maksudnya bisnes itu kekal relevan.

Hanya pendekatannya sahaja yang akan berubah ikut kehendak masyarakat. Jika dilihat trend sekarang, anak-anak muda lebih gemar ke kedai gunting baru yang kenakan bayaran yang sangat tinggi.

Mereka suka ke sana sebab merasakan layanan dan cara pekerja gunting rambut itu mempamerkan rasa hormat terhadap kepala dan rambut orang yang sedang dilayannya. Itu yang saya dapat jawapan dari anak-anak muda sekarang.

Kalau ke kedai mamak, tukang guntingnya agak keras kasar sikit dan tidak disukai oleh orang muda.

Kalau pandai potong rambut, bisnes kedai gunting rambut sentiasa menantikan kemunculan anda di mana-mana pekan yang bersesuaian. 

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Nostalgia Kedai Gunting Rambut Pak Mat di Pekan Penanti

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !