Wednesday, March 30, 2022

Kenangan kedai kopi nasi lemak gulai ikan kering unik di kepala simpang 3 Pekan Penanti

  Mohd Shubhi       Wednesday, March 30, 2022

Hari ini saya teringatkan nostalgia bisnes kedai kopi nasi lemak gulai ikan kering.

Selepas selesai senaman pagi seperti biasa, saya sarapan dengan isteri kat dapur rumah.

Isteri sediakan sebungkus nasi lemak kecil atas meja, khas untuk saya. Sebelah nasi lemak ada telur goreng diletakkan dalam piring.

Disediakan juga secawan kopi O pekat panas.

Kopi O jenama Hang Tuah dalam bentuk uncang, sentiasa jadi pilihan untuk gantikan bancuhan kopi O yang biasanya, emak kat kampung sediakan setiap pagi.

Di kampung, emak pakai serbuk kopi yang dibeli di pasar pagi ahad. 

Campuran kuantiti serbuk, gula dan air yang seimbang dibancuh emak, agak sama lebih kurang pada kopi O Hang Tuah dalam bentuk uncang itu.

Nasi lemak, telur goreng mata kerbau dan Kopi O panas. Boleh dikatakan itu menu yang rutin bagi saya sejak dulu sampai sekarang.

Ketika membuka bungkusan nasi lemak yang kecil itu, saya teringatkan gulai ikan kering yang isteri masak semalam.

“Gulai ikan kering semalam tu dah panaskan?”, tanya saya pada isteri.

“Belum!, nak dipanaskan ke?”, tanya isteri sambil terus keluarkan periuk gulai ikan kering dari peti ais.

Dia tak tunggu jawapan saya untuk terus panaskan gulai ikan kering tu.

“Nak campur kuah ikan kering tu sikit ke dalam nasi lemak ni.. “, jawab saya walaupun tak ditanya.

Saya tunggu sebentar sementara gulai ikan kering tu dipanaskan. 'Biar lambat asalkan sedap', kata saya dalam hati.

Lama dah tak makan nasi lemak gulai ikan kering.

Bisnes kedai kopi nasi lemak gulai ikan kering

Sebaik saja siap panas, isteri nak cedok gulai tu untuk dimasukkan ke dalam pinggan. Tapi saya kata tak payah.

“Ceduk sedikit saja kuahnya dan masukkan ke dalam nasi lemak ini”, terang saya tak mahu susahkan dia.

Bila dah dimasukkan campuran gulai ikan kering tu, nasi lemak kelihatan kekuningan. Saya ceduk sesudu dan suapkan masuk ke dalam mulut lalu kunyah perlahan-lahan.

Isteri duduk sebelah tengok saja.

Saya makan dan menikmati kelazatan nasi lemak campuran sambal ikan tumis bersama dengan gulai ikan kering.

“Masa kat kampung dulu, nasi lemak gulai ikan kering ni, salah satu makanan pilihan abang!”, terang saya pada isteri bila tengok dia macam nampak pelik, saya campurkan nasi lemak itu dengan gulai ikan kering.

Kat kampung dulu, hanya satu kedai yang saya suka makan nasi lemak gulai ikan kering sebegitu.

Kedai kopi Pak Neh.

Nama Kedai kopi Pak Neh tu, sedar-sedar itulah nama panggilan kedai kopi di kepala simpang 3 kat Pekan Penanti dahulu.

[Nota: Sebutan Pak Neh perlu disebut Neh tanpa membunyikan huruf ‘H’ di belakang tu.]

Pak Neh buat bisnes kedai kopi kat situ dah lama. Sejak saya kecik lagi dia dah buka bisnes kedai kopi tu. Dibantu oleh Pak Mat yang mahir dalam ilmu betulkan tulang patah.

Kedua-duanya kawan bapak. Sama-sama jadi ahli surau yang terletak tak jauh dari kedai kopi Pak Neh tu.

Nasi lemak gulai ikan kering

Memang ada juga orang lain yang buat dan jual nasi lemak gulai ikan kering kat kampung dulu.

Tapi tak boleh lawan yang dijual oleh Pak Neh kat kedai kopinya. Mungkin sebab dah dibiasakan oleh bapak sejak kecil makan nasi lemak gulai ikan kering tu, maka dah serasi dengan lidah saya.

Nasi lemak gulai ikan kering Pak Neh dibungkus kecil dengan menggunakan plastik pada bahagian dalamnya dan dilapis dengan kertas surat khabar pada luarnya.

Dia tak gunakan daun pisang seperti mana biasa orang kampung pakai bila bungkus nasi lemak.

Boleh dikatakan cara membungkus Pak Neh agak berbeza ketika itu. Ringkas dan pantas agaknya.

Pak Neh akan letakkan seketul ikan talang masin bersama dua atau 3 ketul ubi kentang kecil, betul-betul di atas bucu bukit nasi lemak kecil itu. Warnanya kuning dan bukan merah macam nasi lemak ikan bilis biasa sebab kuahnya adalah kari.

Rasanya memang unik dan tak dapat nak saya gambarkan dengan perkataan. Malah sampai sekarang saya masih dapat ingat lagi macam mana rasanya.

Mula bisnes burger depan kedai kopi

Bisnes kedai kopi Pak Neh tu sebenarnya simpan banyak kenangan dalam hidup saya. Sebaik saja tamat sekolah saya mula berniaga burger kat depan kedai tu.

Selepas selesai SPM, saya perlu cari duit.

Ayah dah lama meninggal sejak saya tingkatan 2 lagi. Jadi kalau nak duit kena pandai-pandai cari sendiri.

Hasil dari pengalaman bantu kawan buat bisnes burger ketika masih tingkatan 5, saya nampak itulah bisnes yang paling sesuai untuk diteruskan.

Sebelum itu saya lihat dah ada orang buka stall burger kat pekan penanti. Tapi bukan depan kedai Pak Neh. Lepas tamat SPM, saya tengok orang pertama itu dah tak berniaga lagi.

Itu peluang saya!

Saya lihat tempat yang paling mudah dan sesuai adalah di depan kedai kopi Pak Neh.

Saya tak pikir panjang untuk terus minta izin pada Pak Neh buka stall burger kat depan kedainya sebelah petang. Lagipun Pak Neh tak berniaga sebelah petang.

Orang semua kata dah ramai yang minta pada Pak Neh sebelum itu, tapi dia tak kasi. Saya abaikan saja apa orang kata. Tak cuba tak tahu. Itulah yang saya fikirkan, lalu pergi jumpa Pak Neh.

Memang betul seperti mana yang orang beritahu, Pak Neh memang tak berikan orang berniaga depan kedai kopinya pada sebelah petang dan malam. Ganggu dan takut nanti kotor, kata Pak Neh.

Tapi memandangkan saya anak kawan baik dia, dan saya juga anak yatim, maka dia benarkan hanya untuk saya.

Dah rezki saya rupanya. Maka bermulalah aktiviti berniaga burger setiap hari selepas tamat SPM.

Bisnes burger mewah zaman dulu

Masa itu sekitar tahun 1985. Bisnes burger agak baru di kampung ketika itu.

Burger Ramly dah terkenal ketika itu dan stall burger sedang mula merebak masuk ke seluruh pelusuk negara termasuk ke kampung saya.

Orang muda yang lebih cenderung untuk buka bisnes burger sebab ianya masih lagi makanan baru buat orang kampung.

Bisnes burger saya memang laris. Boleh himpun duit dan agak mewah. Malah boleh gajikan seorang pembantu yang merupakan kawan sekelas.

Bila dah ada pembantu, urusan buka stall akan diuruskan oleh pembantu saya tu.

Saya mula relaks sedikit. Buat mahu bisnes itu berjalan sendiri walaupun dengan ketiadaan saya. Supaya boleh lebih banyak relaks sebenarnya. Dah jadi macam konsep berbisnes saya sejak awal dahulu lagi.

Roti burger yang dibakar adalah rangup. Itu perkara wajib yang akan saya lakukan. Bahannya semua mesti segar dan paling penting, wajib jaga kebersihan.

Entah dari mana asalnya, bila buat bisnes burger masa itu, saya akan pastikan pakaian sentiasa kemas dan bersih. Macam pakaian nak pergi berjalan.

T Shirt yang bersih, dan dimasukkan ke dalam seluar serta pakai kasut yang bertali. Masa itu hanya kasut sekolah saja jenama Warrior yang ada dalam berbagai warna. 

Semua itu mempamerkan kekemasan dan nampak bersih ketika berniaga.

Begitulah pengalaman bisnes burger saya selepas SPM.

Berhenti bisnes burger sambung belajar

Selepas keputusan SPM diumumkan, burger saya bertambah maju. Sebab saya banyak bagi free terutamanya pada pelanggan setia. Itu dijadikan kenduri, sebab keputusan SPM saya agak baik.

Tak lama lepas itu, saya terpaksa tinggalkan bisnes burger itu untuk pergi sambung belajar. 

Malam akhir bisnes burger itu, saya buat burger dan berikan percuma kepada siapa saja yang datang membeli. Esoknya saya akan berhenti berniaga.

Sebelum itu saya dah cari pengganti kepada bisnes burger tu.

Dia merupakan kawan kampung yang agak lincah dengan macam-macam aktiviti nakal, seperti main kuda dan seumpamanya. Saya tawarkan padanya moga-moga dia mampu berubah dan maju jaya.

Masa nak jual bisnes burger itu, dia tak ada duit. Saya tanya berapa yang dia ada dalam poket. Dia hanya ada RM50 sahaja. 

Jadi itulah harganya yang saya jual. Dia ambil semua apa yang ada segala peralatan, dapur, stok roti dan daging termasuk stall dengan hanya RM50 sahaja.

Saya kemudiannya hilang dari kampung, pergi sambung belajar, pergi ke luar negara sehinggalah balik semula ke kampung dalam tahun 1993.

Kawan yang ambil alih burger berjaya

Balik dari luar negara, kawan saya itu dah jadi agen Burger Ramly untuk kawasan utara.

Dia juga dah ada berpuluh-puluh stall burger di merata tempat di kawasan utara itu. Memang berkat sungguh bisnes burger yang saya serahkan padanya.

Kalau tanya kawan saya itu, tentu dia masih ingat macam mana dia boleh berubah bermula dengan ambl alih bisnes burger yang saya mulakan dahulu.

Ada sekali ketika raya di kampung, anak-anak saya balik dalam keadaan teruja. Mereka ceritakan bagaimana ada seorang uncle yang duduk kat belakang kampung bagi duit raya yang banyak pada mereka.

Mereka rasa pelik.

Menurut mereka, ketika hulurkan sampul raya, orang itu tanya anak siapa?

Anak-anak saya jawab, anak Shubhi.

Orang itu minta balik sampul raya yang diberikan. Digantikan dengan duit raya yang banyak pada setiap orang anak saya. Ambil duit raya ni dan kirim salam pada ayah, kata orang tu.

Rupanya mereka pergi beraya kat rumah kawan yang saya sebutkan kat atas tu. Saya tersenyum sendirian dan teringatkan masa mula dia ambil alih bisnes burger saya dahulu.

Berniaga lagi di kedai kopi Pak Neh

Selepas balik dari luar negara, sekali lagi saya berniaga kat Kedai Kopi Pak Neh. Dia dah tak larat dan tak buka lagi perniagaannya.

Abang saya yang berhenti kerja kapal minta pada Pa Neh untuk sewakan kedai kopi bersejarah itu. Pak Neh bagi. Sekali lagi saya terlibat dalam perniagaan kat kedai kopi Pak Neh.

Tapi kali ini bisnes kedai kopi pulak yang saya buat dengan abang.

Kami tumpukan bisnes hanya waktu pagi sehingga tengahari sahaja. Menunya adalah nasi berlauk masakan mak, yang memang pandai masak.

Dalam perniagaan itu, saya hanya bantu abang sahaja sebab selepas balik dari luar negara, timbul minat ke arah mendalami pengajian agama.

Ada banyak kuliah agama diberikan secara percuma di sekitar Kubang Semang. Maklumlah bila duduk kat luar negara, terasa ada banyak perkara yang saya rasa ketinggalan dalam bab ilmu dan amalan kehidupan seharian.

Masa kat luar negara juga saya ada banyak belajar agama dari kawan-kawan berbangsa Arab di sana. Jadi bila balik teringin nak teruskan pengajian. Dalam masa yang sama dapat bandingkan apa yang saya belajar di sana, dengan aliran yang ada kat sekeliling kampung.

Ketika itu, saya jadi seperti seorang yang kemaruk ilmu agama. 

Perkara pertama yang saya buat sebaik saja balik adalah pergi belajar mengaji Al-Quran semula kepada Tok Imam Masjid Kubang Semang, Pak Ndak Mud. 

Masa kanak-kanak dulupun saya belajar dari dia. Bila dah dewasa, saya pergi sekali lagi tertemu lutut ke lutut dengannya. Tapi kali ni saya hanya seorang dengan dia saja. Lebih esklusif.

Nota: Pak Ndak Mud sudah kembali ke hadrat Ilahi – semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh hendaknya

Bisnes kedai kopi itu saya jadikan sebagai kerja sambilan sahaja dan abang saya yang jadi boss besar.

Bagaimana bisnes kedai kopi bermula

Sebelum kami buka kedai kopi, ambil alih bisnes kedai kopi Pak Neh tu, abang saya hanya berniaga tepi jalan tak jauh dari pasar basah asal di Pekan Penanti. 

Pasar ikan Pekan Penanti sekarang dah berpindah ke tempat lain berhadapan dengan Jirat Cina, jalan menuju ke Guar Perahu.

Orang yang turut sama membantu abang saya berniaga nasi tepi jalan ketika itu ialah jiran, yang kami panggil sebagai Abang (orang kampung panggil dia Bani Tok Man).

Setiap pagi selepas subuh, abang saya dengan Bani Tok Man akan usung periuk lauk dan periuk nasi satu persatu dengan basikal dari rumah menuju ke tepi jalan. 

Jaraknya lebih kurang 15 minit saja. Tapi dengan muatan yang berat dan ulang alik 2 atau 3 kali, jarak itu bukanlah sesuatu yang menyeronokkan.

Pacak meja tepi jalan jual nasi

Sampai di tepi jalan tu abang dengan Bani Tok Man buka meja kecil dan mula susun periuk lauk diatasnya dan letakkan bekas nasi atas kerusi. 

Sebaik saja sampai pelanggan yang dalam perjalanan ke tempat kerja, kebanyakannya yang naik motosikal, akan mula singgah dan beli nasi bungkus.

Orang kampung yang baru lepas balik dari solat subuh di masjid dan surau juga akan mula beratur beli nasi bungkus hasil masakan emak yang memang dah terkenal di kalangan orang kampung, pandai masak.

Biasanya lauk tak banyak. Hanya ada lauk daging, ikan dan ayam. Sejenis sayur dan jenis masakannya akan berubah-ubah tidak tetap.

Hanya hari tertentu, kalau tak silap saya, hari jumaat, lauk dan nasi tomato istimewa akan disediakan. Hari lain, hanya nasi putih sahaja dengan beberapa pilihan lauk yang ringkas. Jualan memang laris dan tak perlu nak tunggu sampai lewat pagi.

Saya masih tak mahu libatkan diri dengan mereka berdua, iaitu abang saya dan Bani Tok Man. 

Dua orang sudah mencukupi untuk berniaga nasi tepi jalan sebab mereka tak jual air. Hanya jual nasi bungkus sahaja, jadi dah boleh cover dengan hanya ada dua orang buat kesemua urusan bisnes tepi jalan itu.

Bukan mudah jual tepi jalan

Saya masih ingat betapa sukarnya proses persediaan dari mula beli segala bahan untuk masakan, bangun awal, masak segala nasi dan lauk, kemudian isikan ke dalam bekas satu persatu.

Lepas itu angkut pergi dan balik dengan basikal, kemudiannya motosikal ke tepi jalan dan mula pacak jual sampai habis kesemuanya.

Semua pengorbanan dan susah jerih itu ditanggung oleh emak saya terutamanya sebab saya rasa dialah yang buat kerja paling teruk memasak dan terpaksa bangun seawal pukul 3 pagi setiap hari.

Bila kenangkan semua itu, saya rasa sayu sangat setiap kali merenung muka emak sekarang.

Emak dah tua, dah tak larat dan tak masak apa-apa lagi. Badannya kelihatan bongkok senget di belakang dan sering mengadu lenguh dan kadang kala sakit urat.

Kesan bongkok tulang senget itu adalah hasil dari kerja kuat dari muda sampai ketua dan tak pernah ingat nak jaga ketrampilan diri macam orang sekarang yang pergi spa, mengurut dan sebagainya. Mak tidak ada masa untuk semua itu demi sesuap nasi untuk anak-anak.

Abang pula berhenti kerja kapal, itupun atas desakan keluarga semua yang kesian kat dia kerja sampai tak ada cuti samada raya atau tidak. Jarang-jarang balik ke rumah asyik duduk atas kapal dan dah mula jauh dari perhubungan masyarakat dengan kehendak pekerjaan sebegitu.

Bila dia berhenti, perlu cari jalan untuk sara hidup. Maka keluarlah idea jual nasi tepi jalan, hasil dari perbincangan sesama keluarga dan dorongan dari Bani ToK Man, yang juga banyak memainkan peranan untuk merealisasikan projek itu.

Mula buka kedai kopi

Bani Tok Man ni kawan kami sekampung sejak kecil. Dia seorang yang unik bagi saya yang rajin berusaha dari tak ada apa-apa sampai berjaya jadi seseorang. Kisah dia juga menarik, nanti kalau ada masa saya akan kongsikan.

Setelah sama-sama berniaga dengan abang saya, Bani Tok Man buat keputusan nak berhijrah ke KL. 

Dia nak cari rezki dan majukan dirinya kat sana. Tak silap saya dia dapat kerja sebagai kerani kat KL masa itu. Dari kerja kerani itulah, dia ambil kelas malam sambung pengajiannya, kemudian semakin maju dan maju membina kerjayanya kat bandar.

Langkah seterusnya kemudian adalah pergi sekali lagi pada Pak Neh minta nak buka kedai kopi dan teruskan perniagaan nasi bungkus kat tepi jalan tadi dengan ketiadaan Bani Tok Man. 

Masa itulah saya perlu masuk membantu.

Bila buka kedai kopi, perlu sasarkan pelanggan yang nak beli bungkus dan perlu juga buat persediaan pelanggan yang nak makan duduk kat kedai kopi tu. 

Perlu ada tukang bancuh air dan perlu ada kuli basuh pinggan mangkuk, perlu ada orang ambil order dan macam-macam kerja lagi.

Rutin bisnes kedai kopi

Kedai kopi yang kami buat itu mulanya bermula selepas subuh dan dibuka sampai ke petang.

Selepas beberapa lama jalankan konsep pagi sampai petang begitu, kami dapati, lebih strategik untuk hanya buka awal pagi dan tutup selepas tengahari sahaja. Dalam waktu asar kami dah tutup kedai.

Dari segi kos dan tenaga, tempoh masa itu lebih optimum dan ada masa untuk uruskan segala tugasan persediaan untuk keesokkan harinya.

Kami masih teruskan modus operandi yang sama. Mak masak kat rumah, angkut satu persatu lauk dan nasi ke kedai dan mula jual. 

Kedai kopi Pak Neh itu tak sesuai untuk dijadikan sebagai pusat masakan sebab tak ada dapur.

Kedainya ringkas dan terbuka lapang. Hanya ada dua bahagian yang boleh ditutup. Satu bahagian kaunter utama tempat letak pinggan mangkut dan segala barangan lain. 

Dan satu lagi bahagian yang hanya ditutup dengan pagar dawai, yang menyimpan semua bahan dan peralatan untuk masak dan bancuh air.

Saya dan abang bahagikan kerja secara sama rata. 

Bab angkut lauk dan nasi pergi balik dengan motosikal adalah kerja saya sebab saya lebih cekap tunggang motosikal daripada abang yang lebih cekap naik basikal masa tu. 

Dia lambat sikit ubah cara pengangkutan untuk digunakan dan saya pulak memang jenis yang suka buat benda baru.

Jadi biasanya dia akan pergi buka kedai satu persatu, jerang air dan buat persediaan tunggu lauk untuk saya hantar.

Macam itulah setiap hari setiap pagi saya dan abang mula kerja tanpa jemu. Biasanya awal pagi memang sibuk sebab orang datang beli dan makan kat kedai kopi tu tak berhenti.

Bila reda sikit saya akan tinggalkan abang yang masa itu kami dah ada seorang lagi pembantu untuk menguruskan kedai kopi tersebut. Pembantu itu juga jiran kami yang lebih muda belia dari saya ketika itu, yang kami panggil Lan.

Lan sekarang dah jadi kontraktor berjaya, alhamdulillah.

Bisnes kedai kopi yang teruk

Bisnes kedai kopi memang teruk. Bukan bisnes tu teruk, tapi rutin kerjanya tak pernah habis dari pagi sampai malam.

Biasanya saya akan tinggalkan abang dan Lan kat kedai itu untuk pergi ke Pondok yang tak jauh dari kampung. Saya pergi menadah apa saja ilmu yang diajarkan oleh para tok guru muda kat Pondok penanti kat situ.

Selesai mengaji, saya akan pergi solat zohor kat Masjid dan selesai semua itu, barulah saya balik semula ke kedai kopi. Abang akan balik untuk selesaikan urusan solatnya pulak. Saya sambung jaga kedai dengan Lan sehinggalah pukul 3 lebih dan mula tutup kedai.

Abang akan datang pulak sambung urusan tutup kedai dan saya pula ambil motosikal untuk mula pergi beli segala kelengkapan untuk masak untuk jualan keesokkan harinya. 

Sampai asar, saya bergegas pula ke masjid untuk solat berjemaah dan sambung belajar mengaji pulak dari Pak Ndak Mud.

Habis belajar mengaji saya bergegas pulak pergi main bolasepak sampai magrib. Pergi solat magrib dan insya dan kemudian bantu emak pulak untuk buat persediaan memasak kat rumah.

Bersiang apa-apa yang patut dan akhirnya terdampar lena atas tilam kekabu keletihan sehinggalah dikejutkan semula pergi solat subuh oleh mak yang dah lama bangun memasak.

Dan berkitar lagi satu proses pusingan yang sama macam hari-hari yang sebelumnya tak habis-habis.

Semua itu terpaksa dilakukan demi untuk sesuap nasi bagi menyara kehidupan dan buat apa yang kami tahu. Letih memang letih, tapi kepuasan tetap ada bila setiap detik dipergunakan sebaik mungkin tanpa ada masa untuk nga-nga.

Kenangan buka kedai kopi

Banyak kenangan yang saya simpan sepanjang perjalanan buka bisnes kedai kopi itu bersama abang. Kenangan berkelahi dengan abang tak payah nak kiralah, memang selalu sebab bila letih, mula nak cari salah orang lain untuk lepaskan geram.

Yang tak best, hanya apabila saya berfikir pasal emak. 

Sampai bila emak nak kerja teruk macam itu. Sepatutnya dia dah tua, masa itu tak perlu lagi kerja teruk. Relaks saja dan buat apa yang lebih mudah dan tidak susah-susah. 

Itulah yang membuatkan saya selalu berkelahi dengan abang. Suruh abang belajar masak sampai cekap dari mak dan jangan kacau emak lagi.

Saya memang tak minat nak jadi tukang masak walaupun saya boleh memasak. Itu bisnes abang, jadi abanglah yang kena berfikiran jauh dan mula menyusun langkahnya untuk pergi lebih jauh lagi. Itu hujah saya yang sering membuatkan kami berkelahi.

Baru sedar pandai bancuh kopi

Tugas utama saya adalah bancuh air. Ada beberapa pelanggan yang kalau datang hanya mahukan bancuhan air kopi dari saya sahaja. Kebanyakannya orang tua-tua. 

Saya memang kaki minum kopi O. Mungkin citarasa bancuhan kopi O saya kena dengan citarasa orang tua-tua, maka bancuhan saya lebih digemari.

Ada seorang cina Tua bernama Ah Yan yang jadi pelanggan tetap kami. Paling kurang dia mesti datang makan atau minum sekali kat kedai kopi tu. Dia mahu saya saja yang bancuh kopi O pekat untuknya.

Bila dah siap bancuh, saya hantar dan letakkan atas mejanya dan dia akan paksa saya duduk pula layan dia nak bersembang.

Ada sekali itu dia ada tanya satu soalan.

“Lu kalau ada 50 sen, mau buat apa?”, tanya Ah yan pada saya.

“50 sen nak boleh buat apa, simpan sajalah atau beli coklat”, jawab saya spontan.

“Jangan itu macam!, lu mesti fikir macam mana mau kasi itu 50 sen jadi satu ringgit!, baru boleh jadi otak niaga!”, jawab cina tua itu pada saya.

Ah Yan masa mudanya ialah seorang usahawan yang jual segala rempah ratus kat pekan Penanti tu satu masa dulu. Dia memang seorang usahawan dan masa tuanya dah ada banyak hartanah. Anak-anak dah besar, jadi dia tak buat apa-apa lagi masa itu.

Itu satu pendedahan awal yang saya dapat dari orang cina, Ah yan merupakan kawan arwah bapak.

Ada banyak lagi yang saya belajar masa buat bisnes kedai kopi tu, tapi terpaksa hentikan kat sini dulu sebab artikel ni dah jadi terlalu panjang.

Sekadar kenangan, setidaknya untuk anak-anak saya nanti untuk dibaca semula bila saya dah dikebumikan .. nostalgia! 

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Kenangan kedai kopi nasi lemak gulai ikan kering unik di kepala simpang 3 Pekan Penanti

Previous
« Prev Post

2 comments:

  1. Aku pulak kalu boh nasi lemak misti capur dgn bihun goreng...foohhhh!!terangkat! Simpang tiga ni sebelah masjid/petron atau sebelah balai pulis/depan ramli motor tuan?

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !