Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Saturday, July 16, 2022

Apa yang anda perlu tahu tentang 'duit' supaya hidup senang dan tenang

  Mohd Shubhi       Saturday, July 16, 2022

Saya kongsikan beberapa perkara asas yang anda perlu tahu tentang duit dalam artikel ini.

Kalau anda faham dan amalkan apa yang saya kongsikan ni, hidup jadi lebih senang dan paling penting, tenang.

Walau bagaimanapun, jika anda seorang yang cenderung untuk kerja kuat dan teruk, selesa dengan keadaan jiwa yang tertekan dan suka hidup serabut kelam kabut, sila abaikan artikel ini. Teruskan saja denga amalan itu. Tiada paksaan dalam memilih cara hidup.

Satu perkara lagi .., sebelum saya teruskan.

Perlu diingat bahawa saya bukan pakar dalam bidang kewangan. Bukan pengurus wang bertauliah. Tiada kelayakan untuk yakinkan anda bahawa, “tak hensem takpa, janji kaya!”.

Apa yang saya kongsikan di sini belum tentu dapat bantu anda jadi kaya secara pasti.

Dalam bab kewangan, saya hanya tahu perkara asas sahaja. Iaitu, apa yang saya amalkan selama ini. Dalam masa yang sama masih mencari jalan untuk lebih maju ke depan.

Semua maklumat yang saya kongsikan disini, saya dapat dari aktiviti pembacaan dan juga pertanyaan kepada kawan-kawan yang lebih pandai serta banyak pengalaman. 

Ditokok tambah dengan hasil dari pengamatan serba sedikit selama hidup sebagai seorang pemilik bisnes kecil sejak lebih dari 20 tahun yang lalu.

Untuk permulaan, kita tengok dulu soalan di bawah ni ..

Kenapa perlu bekerja?

Jika anda ada kerja, alhamdulillah. Tak sia-sia Tuhan berikan kesihatan dan kesempatan untuk hidup. 

Ada dua sebab anda bekerja selama ini.

Sebab pertama.

Memang sangat suka buat kerja tu. Jatuh cinta dengan kerja yang dilakukan sehingga mampu jadikan anda rasa murung dan naik biru muka tu kalau tak kerja.

Kategori yang atas tu, amat jarang berlaku. Hanya insan terpilih dapat rezeki sebegitu.

Jika anda salah seorang insan yang bernasib baik itu, tahniah! 

Anda masuk dalam kumpulan insan ‘rare’, yang tidak perlu bekerja untuk hidup.

Sebab Kedua.

Untuk dapatkan duit.

Ini paling ramai ada di luar sana. 

Duit diperlukan dalam hidup di zaman moden ni. Bila dapat duit, anda boleh uruskan hampir semua urusan kehidupan yang lain.

Saya pun sama, masuk dalam kumpulan ni.

Walaupun memang ada kerja yang saya buat sebab memang suka buat kerja tu. Tapi, kebanyakan kerja yang saya buat, tujuan akhirnya masih nak dapatkan duit juga.

Ada banyak kerja saya terpaksa buat juga, walaupun tak suka. Nak buat camna, kerja itu mampu berikan duit.

Cari duit tapi tak faham duit

Jika anda sama macam saya, buat kerja sebab nak dapatkan duit, maka saya yakin anda tentu setuju bahawa, sangat penting untuk fahami duit.

Perlu tahu macam mana duit berfungsi.

Cuba fikirkan.

Sangat pelik seandainya selama ini, anda pulun buat kerja untuk dapatkan duit. Tetapi, tak berapa nak faham tentang cara duit itu berfungsi.

Pulun cari sesuatu yang anda sendiri tak tahu menahu secara pasti! agak luar biasa tu.

Apa yang biasanya orang faham pasal duit?

Kebanyakkannya mereka faham macam ni saja.

‘Pulun kerja, kerja kuat. Lagi kuat kerja, dapat lagi banyak duit. Bila dapat banyak duit boleh banyak belanja. Bila habis, pergi cari lagi, dapat dan belanja lagi’.

Macam itulah yang berlaku selama sejak sekian lama.

Terutamanya kepada mereka yang kerja makan gaji. Memang tak boleh nak mengelak dari berulangnya semua itu.

Untuk berikan pencerahan terhadap duit, saya kongsikan beberapa prisip yang anda boleh renung dan fikirkan.

Anda perlu kenal apa kebenda 'duit', benda yang dicari selama ini. Benda yang ada dapat, dibayar hasil dari kerja yang anda buat.

Bila dah kenal, faham, insyallah anda akan nampak lebih jelas sikit bagaimana duit itu berfungsi.

Jom kita tengok beberapa perkara asas tersebut.

'Duit banyak' bukan perkara utama

Ini asas paling penting untuk difahami dan dipercayai. 

Ramai orang yang berjaya cari duit dengan banyak. Tapi, bila dia tak faham macam mana duit bekerja, sekejap saja, semua duit tu habis lesap.

Ada seorang kawan yang pernah ceritakan pada saya bagaimana dia boleh habiskan duit sebanyak 12 juta dalam tempoh setahun saja.

Dia belanjakan RM1 juta sebulan!

Bukan belanja buat bisnes ke apa. Tapi 'enjoy'. Joli katak kata orang kampung.

Bayangkan! 12 juta tu!.

Bila dia cerita, masa tu saya terfikir panjang. 

Fikir untuk cuba cara jalan macam mana nak buat, habiskan RM1 juta sebulan tanpa teragak-agak. 

Itu satu ilmu yang sangat hebat.

Bukan senang nak cari 12 juta. Tapi dia boleh buat dengan kreativiti yang dia ada. Malangnya dia hanya pandai cari duit. Tapi tak berapa pandai nak buat apa dengan duit tu.

Anda tak perlu pandai sampai mampu buat duit RM12 juta dengan pantas. Sebab yang pentingnya, anda hanya perlu ada sumber pendapatan.

Itu paling utama. 

Banyak atau sikit adalah tidak berapa penting sangat.

Jika anda fikirkan semula, dalam zaman sekarang ni, nak cari duit adalah satu urusan yang sangat mudah.

Buat bisnes secara online saja mampu membuatkan anda dapat duit dengan mudah. Cuba tengok orang buat kerja kat dunia cyber tu. Macam-macam mereka ketengahkan ..

Hanya kongsikan saja maklumat, anda boleh dapat duit.

Anda tentu pernah tengok paparan kat skrin media sosial anda ayat macam ni kan ..

“Bukan MLM, bukan Skim Cepat Kaya, bukan bla-bla-bla, kata ‘nak’ saya akan kongsikan ..”

Jangan terkejut. Ada saja orang yang joint.

Ada saja yang akan dapat jana duit berbekalkan ayat-ayat macam tu.

Semua yang saya katakan di atas bertujuan, nak beritahu kat sini, untuk buat duit sebenarnya memang mudah.

Pegang maklumat itu dan tak perlu nak risau untuk ligan duit yang banyak.

Simpan banyakpun tak guna

Cuba kaji berapa banyak nilai duit RM1 kita telah menyusut dari awal tahun 60-an dahulu sampai sekarang. RM1 zaman P Ramlee sudah tentu lansung tak sama nilai dengan RM1 yang ada dalam poket anda tu sekarang. Betul tak?

Jadi, kalau anda buat kerja, dapat RM100. Belanja RM50 dan baki lagi RM50 tu anda simpan masukkan ke dalam bank.

Biarkan pendam saja kat situ. Sebab anda amalkan apa yang orang pesan, bila dapat duit jangan lupa untuk menabung.

Tambah satu lagi.

Jika anda tak suka riba. Tak mau simpan dalam akaun yang janjikan bayaran interest.

Katakan anda simpan duit RM50, sejak zaman P Ramlee dulu lagi. Sampai sekarang masih ada dan kekal duit tu dalam simpanan sebanyak RM50.

Jika di zaman P Ramlee dulu, anda boleh senyum lebar, layak bangga.

Tapi sekarang, anda cepat-cepat akan koyak penyata baki akaun yang keluar dari mesin ATM tu. Sikitpun tak rasa bangga dengan jumlah sebanyak tu!

Jadikan duit bekerja untuk anda

Jika anda dah baca buku Rich Dad Poor Dad tentu dah biasa sangat dengar ayat ni. “Buat supaya duit bekerja untuk anda dan bukannya anda yang kena bekerja untuk duit”.

Kita dah baca kat atas tadi 2 perkara penting tentang duit.

  • Banyak bukanlah perkara utama dalam mencari duit
  • Menabung juga bukan perkara utama dalam mencari dan simpan duit.

Yang penting adalah usahakan supaya duit tu mula buat kerja untuk anda. Dalam ertikata yang betul, anda perlu melabur. Mat Saleh kata Invest. Itulah maksudnya yang dikatakan, duit buat kerja untuk anda.

Dan dalam bab melabur pulak. Tak perlu nak pandai macam Warren Buffet baru nak mula melabur. Anda boleh mula melabur dalam beberapa pilihan yang asas seperti berikut.

  1. Emas
  2. Hartanah
  3. Bond
  4. Pasaran saham
  5. Matawang Digital

Dengan meletakkan duit anda dalam pilihan tersebut, nilai duit itu tak akan menyusut teruk apabila masa beredar.

Pelbagaikan pelaburan anda

Ini satu lagi panduan tambahan yang sangat penting. Anda perlu pelbagaikan sumber di mana anda laburkan duit yang anda dapat tu. Jangan labur hanya pada satu tempat sahaja.

Cuma masalahnya, berapa dan nak letak kat mana.

Dalam contoh yang saya berikan kat atas tadi. Ada 5 tempat yang anda boleh laburkan duit sekarang. Cuba perdalamkan lagi pengetahuan anda terhadap ke semua perkara itu sedikit demi sedikit supaya lebih faham.

Jumlah yang perlu ditetapkan ke setiap saluran pelaburan itu juga bergantung pada umur dan jumlah duit yang anda ada sekarang.

Jika ada RM100 ribu lain caranya. Jika ada RM5000 pula lain lagi caranya.

Juga bergantung pada umur anda tu. Kalau RM100k dan masih muda dalam 20-an, anda ada masa panjang untuk ambil risiko naik turun ekonomi dalam pasaran saham.

Tapi kalau umur dah 60 tahun, elok pertimbangkan betul-betul kalau nak main saham di bursa yang biasanya sangat ‘volatile’.

Apapun, perlu selidik dan ambillah kursus atau seminar supaya mula faham sedikit demi sedikit. Faham tentang mekanisma setiap pelaburan dan mula tentukan berapakan peratusan yang sesuai untuk anda buat pelaburan.

Mungkin begini,

  • Emas – 10%
  • Hartanah – 40%
  • Bond – 20%
  • Pasaran saham – 25%
  • Matawang digital – 5%

Saya main letak saja peratusan tu secara spontan dengan sedikit pertimbangan berdasarkan umur saya dan jumlah duit yang ada. Mungkin untuk anda sendiri berbeza.

Bagi yang berniaga pula tentu bergantung pada kedudukan perniagaan sekarang. Ok ke tak ok. Stabil ke tidak. Anda perlu fikirkan kepantasan untuk cairkan pelaburan seandainya diperlukan untuk kegunaan perniagaan yang jauh lebih penting dari pelaburan kat atas tu.

Moga ada manfaat artikel ini. Saya ingatkan sekali lagi yang saya sekadar kongsikan maklumat asas. Bukan saya pandai dalam bab pelaburan ni. Sama macam anda juga. Silap hari bulan, anda lebih pandai dari saya.

Sama-sama lah kita cari maklumat dan mendalami urusan seterusnya bagaimana nak melabur. Yang pentingnya perlu melabur dan jangan simpan statik macam tu saja. Apatah lagi kalau simpan dalam tin milo!  

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Apa yang anda perlu tahu tentang 'duit' supaya hidup senang dan tenang

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !