Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, July 21, 2022

Cara makan durian dengan nasi putih yang ringkas dan lazat

  Mohd Shubhi       Thursday, July 21, 2022


Makan durian dengan nasi putih mungkin satu perkara baru bagi kebanyakan orang sekarang.

Yang biasa diamalkan adalah makan durian dengan pulut. Tak perlu buat sendiri kalau malas nak tanak pulut yang agak remeh kerjanya. Beli saja. Banyak dijual di pasar malam dan tepi jalan di mana buah durian dijual.

Masa di kampung dulu, saya sering singgah rumah Njang Bedah bila lalu depan rumahnya nak ke rumah Tok di Kubang Semang. Kalau musim buah durian, Njang Bedah sentiasa ada sediakan pulut yang dibalut dengan daun pisang dan dibakar.

Bila singgah, dia tak tanya samada saya nak makan pulut bakar durian itu atau tidak. Dia terus hidangkan. Kopek buah durian yang baru dikutip pagi tu dan tengok saya makan durian pulut yang dia buat itu sambil tersenyum.

Macam itulah kehidupan di kampung dahulu. Orang tua layan anak-anak jiran atau kawan dia macam anak-anak sendiri.

Masa kat kampung dulu, malah sampai sekarang, saya jarang makan buah durian ratah macam tu saja. Berbeza dengan apa yang sering diamalkan dan paling digemari orang ramai sekarang. Mereka makan buah durian, ratah begitu saja seulas demi seulas.

Kenapa makan durian dengan nasi

Masa kat kampung dulu, setiap kali datangnya musim durian, buah memang sangat banyak. Bagi orang kampung yang ada banyak pokok durian, memang jenuh makan. Mereka akan kongsikan pada semua jiran setiap kali datangnya musim.

Tapi ada kalanya bukan semua pokok menjadi. Ada musim tertentu, orang lain ada banyak buah tapi pokok dia tak berbuah. Merajuk kata orang tua.

Masa buah tak berapa banyak, makan buah dengan nasi adalah cara terbaik untuk menikmati sepenuhnya kelazatan buah durian tu.

Makan dengan pulut juga menepati matlamat yang sama dengan makan nasi. Tapi bezanya, nasi jauh lebih mudah nak disediakan. Pantas dan ringkas berbanding penyediaan pulut. 

Sebab itu makan buah durian dengan nasi lebih kerap diamalkan oleh keluarga saya masa kecil dulu di kampung. Lagipun harga pulut bukannya semurah harga durian. Semua itu perlu diambil kira oleh orang kampung yang miskin macam kami dulu.

Makan durian dengan nasi juga dapat jimatkan jumlah ulas buah durian yang dimakan oleh setiap orang. Tambah lagi jika buah itu jenis yang lazat, lemak manis dan tebal isinya, dan tak berapa banyak pulak berbuah.

Semua orang dapat rasa buah durian tu dan puas hati.

Rasanya itulah tujuan utama kami sekeluarga akan makan durian dengan nasi setiap kali datangnya musim durian. Sekalipun ada banyak pokok durian di tanah pusaka Tok di kampung. Banyak orang nak kena kongsikan buah tu. Akhirnya tak dapat makan banyak juga terutamanya baka yang baik.

Durian kacang puri

Ada satu baka yang kami panggil 'Durian Kacang Puri'. Ada satu saja pokok tu di sebelah rumah tok. Pokoknya amat tinggi dan besar. Dahan melebar jarang nampak sayup tinggi di atas.

Buahnya pulak bulat seperti buah epal bentuknya.. Saiznya pula sangat besar. Sekali dia luruh, bergegar tanah. Boleh didengari dari jauh. Memang tak akan miss jika ada buah durian kacang puri tu luruh sebab kuat berdentum bunyinya.

Masa kecik dulu, di musim durian, setiap pagi saya akan berjalan kaki dari rumah di Penanti, lintas Ban Busuk ke seberang sana untuk ke rumah Arwah Tok di Kubang Semang. Tak ada siapa lagi tinggal di rumah pusaka tu. Kedua-dua tok dan meninggal lama.

Pokok Kacang Puri itulah yang pertama sekali saya akan cari. Kumpulkan sebiji demi sebiji sampai habis. Bilah dah selesai kat situ, barulah pergi cari durian kat pokok lain pulak.

Masa bawa balik ke rumah, puas menolak tawaran orang minta nak beli buah kacang puri yang saya sedang tanggung dalam guni tu. Ada orang yang tahu dan biasa makan buah tu memang teringin sangat nak beli.

Kalau saya kutip banyak, memang saya jual sedikit secara diam-diam tanpa beritahu mak. Bakinya bawa balik ke rumah.

Bah macam kacang puri tu memang sentiasa akan dimakan dengan nasi. Baru puas merasai kelazatannya.

Cara makan durian dengan nasi

Sebelum saya terlajak lebih panjang cerita pasal musim buah durian ketika duduk di kampung dulu, elok saya kongsikan terus cara makan durian dengan nasi, seperti tajuk utama artikel ini.

Caranya mudah saja.

Tanak nasi seperti biasa. Saya yakin tak perlu nak ajar cara tanak nasi ni.

Ramuannya adalah seperti berikut:

  1. Nasi putih sepinggan
  2. Air suam secawan - campur sedikit dengan garam ke dalam air suam tu.
  3. Gula pasir - Satu sudu dan memadai.
  4. Buah durian - 2 atau 3 ulas saja dah mencukupi jika jenis yang isinya tebal
Untuk lebih sedap dan menaikkan lagi rasa lemak buah durian tu, anda boleh gantikan air suam tu dengan santan. Panaskan sedikit santan tu dan masukkan sedikit garam bersama santan yang dipanaskan tersebut. 

Dengan semua yang ada di atas tadi, anda hanya perlu campurkan air suam tu ke dalam nasi, tabur sedikit gula pada nasi tu dan ramas ulas durian bersama dengan nasi dan air garam tu sebelum suap masuk ke dalam mulut.


Ajar anak-anak makan nasi durian

Isteri saya memang kaki durian. Dia boleh habiskan 5 aau 6 biji buah durian seorang diri ratah seulas demi seulas. Hairan pulak kenapa dia tak rasa panas badan makan banyak durian begitu.

Kalau saya makan macam tu, dah berapa jadi badan panas. Jika makan sebiji dua pun akan saya amalkan petua orang tua untuk minum air kosong yang diisi ke dalam ruas buah durian tu. Biasanya tak berapa panas sangat badan sekalipun makan banyak.

Bila emak kaki durian, maka bakat itu jatuh juga kepada anak-anak saya walaupun tak semua. Ada seorang anak yang tak mahu makan lansung buah durian tu.Kenapa saya tak tahu.

Dalam keadaan harga buah durian dah jadi seperti harga emas, maka memang tak termampu nak beli banyak-banyak. 

Bila beli, saya akan korbankan jumlah ulas yang dimakan dengan makan bersama nasi. Biarlah saya makan seulas dua saja dan mereka makan lebih banyak ulas ratah begitu saja. 

Bila dua tiga kali saya makan dengan nasi, ada yang teringin nak cuba. Lalu saya ajar caranya. Dan sekarang dah ada anak yang lebih gemar makan durian dengan nasi macam saya.

Alhamdulillah!

Jika lebih ramai yang gemar, maka dapatlah jimat sikit. Tak perlu beli buah durian banyak-banyak lagi dah. Hanya isteri saja yang masih tak mahu cuba makan drian dengan nasi. Kalau dia cuba dan suka, tentu lebih menjimatkan lagi!.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Cara makan durian dengan nasi putih yang ringkas dan lazat

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !