Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Saturday, November 5, 2022

Perebutan kuasa berbagai ideologi, doktrin dan agama dalam politik negara yang rumit

  Mohd Shubhi       Saturday, November 5, 2022


Dah selesai acara penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum yang ke-15 hari ini. Hari pengundian sebenar akan berlansung dalam tempoh 2 minggu dari sekarang, iaitu pada 19 Nov 2022.

Sebelum ini kehangatan suasana berebut kerusi antara pemimpin di dalam setiap parti sudah dapat dilihat. Yang terpilih rasa lega. Yang tak terpilih ada yang redha dan ada juga yang merajuk lalu buat keputusan bertanding juga samada sertai parti lain atau jadi calon bebas.

Satu perkara yang saya pasti adalah rakyat rata-rata tidak nampak bersemangat seperti sebelum-sebelum ini. Momentum dan keterujaan untuk sama-sama hangatkan suasana sudah tidak ada lagi macam dulu.

Rakyat dah bosan melihat telatah para pemimpin politik negara. Mereka buat sesuka hati saja lompat parti, jatuhkan kerajaan dan seribu satu macam kerenah lagi.

Bagi saya, semuanya disebabkan wujudnya berbagai doktrin, ideologi dan motivasi tersendiri di kalangan para penggiat politik negara. Demokrasi yang kita amalkan tidak menghalang kewujudan segala aliran politik tersebut.

Hanya satu saja yang tidak dibenarkan, parti komunis. Perlembagaan negara tidak membenarkan pengamal politik yang menolak kepercayaan kepada Tuhan. Ertinya masih ada ruang, jika kita mahu, untuk menyusun aliran apa yang boleh dan tidak boleh dalam amalan berpolitik.

Itu yang nak saya cuba fikirkan dalam artikel ringkas ini. Bukan tulisan akademik, saya bukan ahli akademik pun. Sekadar untuk melontarkan pemikiran yang berlegar dalam kepala ni. 

Tak ada halangan untuk berfikir di negara kita. Jika dihalangpun, siapa yang boleh kuat kuasakan halangan tersebut. Berfikir adalah satu-satunya yang bebas tanpa ada sekatan undang-undang. Itu hak semua manusia.

Ideologi berteraskan bangsa dan agama

Ini merupakan dua paksi utama yang menguasai pemikiran politik negara kita. Sangat kuat dipergunakan oleh ahli politik sejak dulu lagi untuk menarik penyokong mereka.

Dalam bab menggunakan bangsa, UMNO jadi juaranya. Dalam penggunaan agama pula PAS jadi juara. Fokus aliran ini lebih kepada orang Melayu yang majoritinya adalah beragama Islam.

Tak ada parti politik yang perjuangkan agama selain Islam di negara kita. Walaupun ada agama Buddha, Hindu, Kristian dan lain-lain lagi di kalangan rakyat Malaysia, tapi tak ada yang cuba gerakkan parti politik berteraskan agama masing-masing selain Islam.

Itu juga ada kaitan dengan kekangan tidak boleh sebarkan agama selain Islam di Malaysia. Orang Islam boleh giat promosi dan cuba tukarkan orang lain masuk Islam. Tapi agama lain tak boleh sebarkan dan giat cuba tukar orang Islam keluar murtad masuk agama lain.

Dalam perjuangan bangsa, UMNO fokus kepada orang Melayu. Matlamatnya untuk pastikan hak istimewa Melayu dipertahankan. Itu lah yang diwar-warkan.

Perlaksanaannya sudah tentu boleh dipertikaikan samada benar-benar perjuangkan hak Melayu atau sekadar menggunakan perjuangan itu untuk kepentingan pejuang itu sendiri.

Kemudian wujud pula parti yang fokus kepada bangsa Cina dan India. Tak ada apa-apa hak istimewa yang dapat dilaungkan oleh parti-parti ini. Mereka sekadar wujud sebagai pelengkap kepada kewujudan parti yang perjuangkan hak Melayu tadi.

Maksudnya, jika UMNO berjuang untuk pertahankan hak Melayu, maka parti teras bangsa lain terpaksa wujud agar perjuangan Melayu itu tidak menafikan hak orang selain Melayu sebagai rakyat Malaysia. Maka jadilah gabungan Barisan Nasional.

Umno laungkan melayu sambil komponen lain berikan peringatan bahawa Cina, India dan lain-lain jangan pula dilupakan dan diabaikan.

Sama juga kesannya. Samada benar-benar perjuangkan bangsa itu sendiri atau pejuang itu ambil kesempatan atas nama perjuangan untuk kepentingan diri.

Atas nama bangsa inilah juga, sehingga kini negara kita masih gagal lahirkan satu bangsa Malaysia. Perjuangan bangsa ini juga membuatkan ramai orang cina yang lahir dan membesar di Malaysia terasa mereka bukan anak jati Malaysia.

Wujud juga sekolah aliran bangsa yang berbeza. Aliran Tamil, Cina, Melayu yang menambahkan lagi perpecahan sejak di bangku sekolah. Dan perkara ini akan kekal berserabut sampai bila-bila selagi semua pecahan aliran ini dibenarkan secara undang-undang.

Atas nama agama

Berbalik kepada PAS yang berjuang atas nama Islam. Dah tentu timbul juga persoalan samada mereka benar-benar perjuangkan Islam demi kepentingan islam atau sekadar gunakan Islam untuk kepentingan para pejuang itu sendiri dan kroni mereka.

Secara umum, semua dapat lihat sendiri kerosakkan paling banyak berlaku adalah kesan dari perjuangan atas nama bangsa atau agama tersebut. Paling jelas adalah perjuangan atas dasar agama.

Bila guna agama dalam politik di dalam negara berbilang bangsa dan agama, akan timbul masalah definisi apa itu kebaikan dan apa itu kebenaran.

Memang betul semua agama suruh buat baik dan mencari kebenaran. Tapi masalahnya adalah takrifan kebaikan dan kebenaran itu sendiri yang berbeza dalam setiap agama. 

Bila jahat dan baik berbeza dari segi agama, ditambah pula ada hukuman terhadap perbuatan jahat atas dasar agama itu yang perlu dilaksanakan, maka berlaku masalah besar dalam perlaksanaan undang-undang negara. Nak pakai mana satu dalam negara berbilang agama tu?

Masalah paling besar selama ini hanya timbul pada agama Islam sebab pejuangnya yakin bahawa melaksanakan undang-undang berteraskan agama Islam itu adalah wajib. Perlu mengatasi undang-undang sivil atau apa saja undang-undang lain jika ada. Kalau semua rakyat beragama islam macam di arab saudi tu oklah. Tapi jika hanya separuh saja Islam tentulah berat cabarannya.

Masalah itu tidak akan habis selagi wujudnya perjuangan agama dalam parti politik di negara kita selagi masih ada berbagai agama yang berbeza. Orang PAS sendiri tentu sedar kesukaran itu. 

Apatah lagi jika mereka mahu gunakan konsep demokrasi untuk cuba bentuk kerajaan yang rakyatnya berbilang agama. Tak kan jadipun. Tapi mereka masih mahu mencuba sekadar nak lepaskan batuk ditangga saja. Sekadar nak jawab di akhirat nanti yang mereka dah berusaha. Itu lah yang mereka percaya.

Perjuangan berpaksikan kelas pekerja

Satu lagi perjuangan yang cuba di terapkan oleh parti sosialis terutamanya adalah berjuang untuk golongan bawahan terutamanya pekerja buruh.

Golongan kelas bawah atau golongan pekerja ini sebenarnya paling ramai di negara kita. Tapi nampaknya sambutan terhadap perjuangan untuk jaga kepentingan golongan pekerja kelas bawah ini kurang mendapat sambutan.

Ada persepsi buruk yang kaitkan jenis perjuangan ini kepada perjuangan komunis tak ada agama. Maka, orang Melayu terutamanya orang kampung terus tolak apa saja perjuangan yang berkaitan dengan kelas pekerja.

Mungkin jika mereka tukar nama pergerakan atau nama parti akan ada perubahan sikit. Contohnya buat satu parti yang dinama Parti Orang Susah. Rasanya ramai yang akan sertai kot?

Parti yang berkonsepkan sosialis ini seperti Parti Rakyat Malaysia, Parti Sosialis Rakyat Malaysia dah lama wujud. Kalau anda kenal Kassim Ahmad tentu tahu pasal parti rakyat malysia.

Tapi macam saya kata, pergerakan atas nama rakyat atau sosialis ini tidak mendapat tempat sangat di kalangan rakyat terutamanya orang Melayu.

DAP contohnya bergerak atas dasar sosialisme. Tapi mereka agak bijak dengan menampilkan konsep perjuangan universal atas dasar kemanusian dan kebaikan universal, maka ia lebih mendapat tempat. Orang Melayu pun ramai juga yang jadi ahli dan pemimpinnya.

Tapi tetap ia mempunyai ruang lemah yang sentiasa diserang oleh lawannya dalam cubaan melabelkan dan kaitkan parti itu dengan pergerakan komunis juga. DAP dan Babi sejak dulu lagi nampak seperti sukar untuk dipisahkan. Ia menakutkan orang Melayu.

Perjuangan berteraskan kebaikan universal

Ini yang cuba diperjuangkan oleh parti seperti DAP terutamanya atau PKR. Tapi elemen agama dan bangsa masih terpaksa di masukkan juga untuk mengambil hati rakyat Malaysia yang memang kuat berpaksikan pada agama dan bangsa.

Mereka masih cuba sesuaikan apa yang dah termaktub dalam perlembagaan dan segala kebiasaan dan amalan kepercayaan rakyat untuk merealisasikan keadilan universal.

Dan akhir sekali, kesemua parti yang mahu laksanakan kebaikan universal ini masih tidak dapat lari dari kongkongan agama dan bangsa sebab dah memang begitu negara kita dibentuk selama ini.

Untuk lahirkan parti yang mahu perjuangkan satu dasar kemanusiaan tanpa melihat agama atau bangsa adalah sesuatu yang hampir mustahil selagi tiada perubahan ke atas perlembagaan dan konsep demokrasi berparlimen di negara kita.

Parti mana yang berani nak laungkan untuk hapuskan hak istimewa orang Melayu contohnya. Parti gila saja yang berani buat begitu di Malaysia. 

Laungan konsep meritokrasi pun sudah pasti akan membuatkan ramai orang melompat. Inikan lagi nak hapuskan segala keistimewaan yang dah lama menjadi racun dalam perkembangan dan kemajuan di negara kita.

Konsep untuk asingkan agama dan bangsa dari pemerintahan dan politik memang sudah ada. Golongan yang vokal terhadap konsep ini biasanya di label sebagai liberal, anti hadis, murtad, pluralisme dan sebagainya. Kebanyakan mereka adalah dari kalangan yang berpelajaran dan berfikiran terbuka. Tapi tak ramai.

Mereka lebih suka untuk berikan hak kebebasan peribadi terhadap amalan agama dan budaya masing-masing tapi tidak mahu ia mempengaruhi segala keputusan dan polisi ekonomi, pendidikan dan perundangan serta pentadbiran negara.

Contoh mudah kalau dalam sistem persekolahan kebangsaan, alirannya mestilah berteraskan konsep membaca, menulis, mengira, berfikir dan membentuk keupayaan berfikir para pelajar yang perlu ditekankan. 

Tak perlu dimasukkan elemen keagamaan dan amalan kepercayaan dalam sekolah. Tapi kalau nak hantar anak masuk sekolah agama sebagai tambahan silakan, tak ada masalah.

Ada unsur sekular di situ. Pentadbiran dan segala keputusan perlu dibuat secara perbahasan dengan ambil kira semua pihak tak kira apa agama atau bangsa. Sebab memang Tuhan jadikan mukabumi ni penuh dengan seribu satu macam kepercayaan, budaya dan agama. Tak ada paksaan dalam pemilihan doktrin hidup yang mahu diamalkan. Kalau nak selamat, amalkan doktrin yang Tuhan berikan dalam Al-Quran, tapi tak dipaksa.

Secara logik akalnya, konsep ini sahaja yang mampu menstabilkan negara kita dan memacu keluar masalah ekonomi yang makin merudum di negara kita. Saya condong ke arah ini. Dan sudah pasti akan dichop sebagai sesat, sekular, liberal dan segala mak nenek yang mungkin bile berfikiran sedemikian.

Tapi tak apalah, macam saya sebut di atas tadi. Siapa yang dapat halang apa yang saya fikirkan .. selamat mengundi.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Perebutan kuasa berbagai ideologi, doktrin dan agama dalam politik negara yang rumit

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !